Followers

Sunday, November 30, 2008

Vendetta 16

Dia memerhatikan bilik yang sudah lama ditinggalkannya. Alas meja tulis dan meja soleknya sedikit berdebu. Mananya tidak, jika tuan punyanya sudah tidak pulang selama 2 bulan lebih. Mujur ketika dia sampai tadi, Nora sudah hendak berangkat ke Singapura. Jika tidak pasti pertanyaan demi pertanyaan yang merimaskan akan muncul dari bibir gadis itu. Itupun sewaktu gadis itu sudah bersiap-siap dengan bagasinya, mulut Nora tak henti-henti membebel padanya.
“Ingatkan dah tak nak duduk sini.” Rungut Nora antara dengar dengan tidak. Dia hanya mendiamkan diri. Malas mahu memanjangkan kisahnya dengan Nora. Alah kalau dia tidak balik sekalipun, Nora takkan sesenang itu mencari gantinya. Maklumlah gadis itu seorang yang susah nak mempercayai orang lain. Lagipun bukan semua orang mampu bertahan dengan kerenah ‘kerek’ Nora selain dari dia.
Selepas mengelap debu dan habuk di biliknya, Anabella merebahkan tubuhnya di atas tilam empuk. Dia tersenyum senang. Selesanya boleh berbaring di bilik ini. Tak adalah dia asyik mendengar suara leteran ibunya yang merimaskan serta suara Jalak Lenteng yang belum subuh sudah beradu kekuatan vokal dengan ayam-ayam lain seluruh Kampung Sirih Pinang.
Tiba-tiba dia terfikir mahu menghubungi keluarganya di kampung. Dia sekadar mahu memberitahu yang dia telah selamat sampai di Kuala Lumpur. Sebaik mendengar suara Syasya berteriak, Anabella tersenyum lebar.
“Beritahu mak dengan ayah yang kakak dah sampai Kuala Lumpur.”
“Huh…” Jawab Syasya.
“Oh ya, jangan lupa kalau ada surat interview kakak sampai..cepat-cepat beritahu yek. Manalah tahu ada offer yang lebih bagus dari Trans-Trading.” Heehehe..sempat lagi dia berangan.
“Haaa..,” jawab Syasya lagi. Anabella mengerutkan dahinya. Kenapa si Syasya ni, dah bisu ke sampai hu..ha..hu…ha aje?
“Syasya, kau ni kenapa? Dah tak reti-reti nak keluarkan suara tu?” Anabella menjerkah sekuat hati. Bengang kerana Syasya acuh tak acuh melayannya.
“Apa ni Kak Ana, sakitlah telinga Syasya ni. Orang jawab macam tu sebab tengah makan ni. Sensitif betullah dia ni.” Rungut Syasya. Anabella terkedu. Opss tersilap tafsir!
“Kau makan apa tu?” Anabella pura-pura bertanya, sengaja mahu ‘cover’ perasaan malunya yang mula timbul.
“Tadi mak ajak pergi pekan beli KFC ni. Kami semua tengah makan KFC lah ni.”
“Hah makan KFC? Kenapa masa kakak ada, mak tak pernah beli pun KFC?”
“Hehehe jangan marah sis, mak kata dia nak raikan sebab Kak Ana dah balik ke Kuala Lumpur. Mak gembira sangat bila Kak Ana dah balik sana. Dia kata hujung-hujung minggu kalau Kak Ana sibuk, tak payahlah balik kampung.”
Bertuah punya budak Syasya ni! Cukup berterus terang! Anabella menggaru kepala tidak gatal. Mak ni mak kandung aku ke mak tiri? Kalau mak orang lain mesti suka anak dia balik kampung, ini terbalik pulak. Patutlah masa aku beritahu nak balik ke Kuala Lumpur, bukan main seronok lagi dia. Siap nyanyi lagu keroncong lagi kat dapur! Hai mak..mak…nasib aku ada mak begini, keluh Anabella seraya berbaring semula di atas katilnya.
Matannya asyik merenung ke arah kipas yang ligat berpusing. Esok aku mula kerja semula kat Trans-Trading. Entah apa patut aku ucapkan kalau berjumpa dengan rakan-rakan sekerja. Nak kata apa ya? Hai ingat Bella lagi tak? Hai semua, I’m back! Assalamulaikum semua, lama ya kita tak jumpa. Dia menggelengkan kepala. Hiss langsung tak sesuai. Nampak baik dan ‘skema’ la pulak.
Opss tunggu! Dia bingkas bangun sekali lagi. Matanya terbelalak. Kalau esok aku kena pergi kerja, aku nak naik apa? Dia menggaru kepala tidak gatal. Kereta dahlah tak ada, nak naik teksi..makan belanja besar. Naik bas? Huwaaa..aku kena naik bas jugak lah ni! Dia terasa mahu menangis. Kalau kereta aku tak serah pada Kojie, tentu tak timbul masalah ini.
Kojie! Anabella terdiam. Ingatan terhadap lelaki itu menerjah secara tiba-tiba. Sejak dia menampal plaster pada pipi Kojie yang luka, itulah kali terakhir dia melihat Kojie. Entah mengapa timbul rasa rindunya pada telatah Kojie yang kadangkala bodoh dan menyebalkan. Setiap kali sendirian, dia akan teringatkan perjalanan singkatnya bersama Kojie. Siapa sangka dia boleh bertahan dengan lelaki itu selama beberapa hari dia di Cherating. Kadangkala dia akan tertawa sendiri sebaik terkenangkan lelaki itu. Kojie yang selekeh..Kojie yang penakut macam tikus…Kojie yang menyakitkan hati dan Kojie yang boleh bertukar ‘caring’ dan baik hati…..semuanya sering bertemu menjadi satu dalam lipatan kenangannya.
Anabella tersenyum. Entah di mana lelaki itu kini. Menyesal pula rasanya dia kerana tidak bertukar-tukar nombor dengan Kojie sebelum berpisah dulu. Sekurang-kurangnya dia masih mampu membelanja lelaki itu minum kopi di Kopitiam..atau membayar semula harga pakaiannya semasa mereka membeli belah di Hugo Megamall tempohari. Dan yang paling utama, dia ingin berterima kasih kerana kesudian Kojie menemani perjalanannya tempohari. Mana kau Kojie? Hati Anabella tiba-tiba berbisik. Lirih.
* * * *
Selesai mengeluarkan wang di ATM, dia terus bergerak ke arah sebuah kafeteria di suatu arah. Mujurlah orang tidak ramai di situ. Dapatlah dia duduk menenangkan fikiran buat seketika. Matanya asyik tertumpu pada kelibat manusia-manusia yang bertali arus di hadapannya. Hampir seharian lamanya dia menghabiskan masa di pusat beli-belah itu. Berpuluh-puluh buah kedai sudah dijelajahi, malangnya dia masih terasa sunyi. Hendak berbual dengan sepupunya Yatt, awal-awal lagi Yatt sudah memperingatinya supaya lupakan sahaja niat jika dia datang kerana mahu meminjam wang. Sudahnya dia hanya mampu merenung gagang telefon. Apalah si Yatt ni, asal nampak muka aje aku mesti ingat aku nak pinjam duit, dia mengeluh. Di hatinya tercuit rasa hampa yang menggunung tinggi.
Bosannya! Anabella terkelip-kelip sendirian. Rupa-rupanya selama ini aku memang tidak ada ramai kawan. Kenapa agaknya? Teruk sangat ke perangai aku dulu sampai tak ada seorang kawan pun yang lekat? Kawannya hanyalah di pejabat. Itupun hanya Zana dan Kak Tun yang sudi bercakap-cakap dengannya. Yang lain sepatah haram pun susah nak dengar suara. Padahal dia sudah bekerja hampir tiga tahun dengan Syarikat Trans-Trading. Nasib kaulah Bella…di sekolah kau bermusuh dengan Mira, di rumah kau berlaga angin pula dengan si Nora. Dipejabat pula, meskipun dia tidak membuat musuh, namun dia tahu ramai yang tidak menyenangi sikapnya yang gemar berterus-terang serta membuat hutang di sana sini.
Siapa yang tahan dengan perangai aku yang macam ni! Keluh Anabella seraya menghirup baki ‘ice mocha blended’ yang dipesannya. Dia mengalihkan perhatian ke arah isi kandungan dompetnya. Aduh, duit pun makin berkurang…aku duduk takat ini juga! Rungut Anabella lagi sambil menjeling dua not biru serta beberapa keping not merah di dalam dompetnya. Banyak ni nak hidup sementara tunggu gaji…larat ke aku?
Ralit dia termenung sehingga tidak sedar, sepasang tangan menjulur ke arah mejanya. Renungan Anabella tembus dan hilang entah ke mana. Dompet kecil berwarna pink dan berhiaskan Hello Kitty ditarik perlahan-lahan lalu disusup masuk ke dalam saku seluarnya. Lelaki itu menarik topi menutupi mukanya sambil tersenyum. Misi tamat. Dia cepat-cepat ingin beredar. Namun belum jauh kakinya melangkah…tiba-tiba suatu suara memanggil.
“Encik, tunggu sekejap.” Larang si gadis.
Langkahnya serta-merta berhenti. Dia mengetapkan bibirnya. Alamak, dia dah perasan ke? Mampus aku!
Dia membalikkan tubuh perlahan-lahan. Pandangannya lurus ke hadapan. Seorang gadis memandangnya tidak berkelip. Dia turut memandang si gadis dengan wajah resah. Apabila mata gadis itu berganjak dari wajahnya ke suatu arah, pandangannya turut beralih. Melihat sebuah dompet kulit terdampar di atas lantai, dia terkejut besar.
“Encik jatuhkan dompet tu barangkali.” Ujar Anabella sambil tersenyum. Mujur dia ternampak, kalau tidak..lelaki itu akan pulang dengan tangan kosong. Lelaki itu kelihatan teragak-agak. Anabella mengerutkan dahinya. Kenapa pulak ni? Takkan tak mahu dompet sendiri!
“Encik tak apa-apa?” Anabella bertanya. Hairan melihat gerak geri lelaki yang tidak jelas wajahnya di sebalik topi. Lelaki itu berganjak sedikit ke hadapan. Mata lelaki itu beredar ke arah dompet kulit di tangannya. Tiba-tiba lelaki itu tunduk lalu mengutip dompetnya. Anabella tersenyum kelat. At last…nak juga dia dompet tu. Tapi apabila lelaki itu meluruskan badannya, sesuatu yang lain pula jatuh. Anabella tergaman.
Terkebil-kebil matanya memerhatikan benda yang jatuh itu. Dahinya berkerut seribu. Macam kenal aje! Dia menoleh ke arah hamparan mejanya yang hanya ada segelas minuman. Sesaat matanya menyorot lelaki itu dengan pandangan panik. Lelaki itu sudah mula gugup. Menyedari dirinya dalam bahaya, sepantas kilat dia mengambil dompet berwarna pink itu lalu segera melarikan dirinya.
Dada Anabella bagaikan mahu pecah. Tidak!!!! Dompet aku tu! “Tolong, pencuri!!” Anabella menjerit sekuat hati. Namun memandangkan jeritannya hanya menimbulkan panik kepada sesetengah orang, dia tidak bertangguh lagi. Dia segara buka langkah seribu. Lelaki itu harus dikejar walau dengan apa cara sekalipun kerana itulah satu-satunya wang yang masih tinggal dengannya.
Namun larian lelaki itu cukup pantas bagaikan pelari pecut Olimpik. Cuma bezanya acara pecutan itu bukan diadili di padang balapan, tapi di tengah-tengah kompeks beli belah termasyur di Kuala Lumpur. Dan lawannya pula bukan Shelly Ann Fraser, pelari pecut Jamaica yang baru sahaja menjadi juara Olimpik 100 meter di Beijing..tapi seorang lelaki bebal, menyusahkan, tak berhati perut dan bangang! Dia menyumpah tak putus-putus seraya melajukan langkahnya.
* * * *
“Kenapa lambat?” Soalan itu yang mula-mula terpacul keluar dari bibirnya. Dia memandang lelaki yang baru sampai. Nafas lelaki itu tercungap-cungap seperti tidak cukup udara. Matanya memandang lelaki itu tidak berkelip.
“Kau ni kenapa? Termengah-mengah macam orang tua.” Dia bertanya.
Lelaki itu hanya ketawa seraya membuang topi yang menutup wajahnya. Rambut yang ala-ala ‘spike’ dan sedikit perang di hujung diraut ke belakang. Gelas teh ais milik lelaki di hadapannya diraih lalu dihirup agak rakus.
“Relaxlah bang, takkan itu pun nak marah. Aku pergi toilet sekejap.” Jawabnya acuh tak acuh.
“Pergi toilet sampai sejam?” Lelaki yang seorang lagi meningkah dengan senyum sinis. Kalau nak tipu pun, berpada-padalah…
Lelaki berambut spike itu ketawa lagi. “Aku sakit perut, tak tahan. Agaknya masakan kat rumah kut yang buat perut aku jadi macam ni.” Perutnya dipegang dengan dahi berkerut. Sejurus kemudian ketawanya meledak.
“Kau ni tak pernah matang agaknya Furqan. Selalu buat abang risau.” Rungut Fakruzi. Furqan terdiam. Dia memandang lelaki itu sambil tersenyum.
“Itu kan gunanya abang. Kalau kau tak bimbangkan aku, siapa lagi.” Jawab Furqan selamba. Lelaki itu hanya mampu menggelengkan kepalanya. Macam-macam hal budak ni! Lain yang kita maksudkan, lain pula yang dia faham!
Tiba-tiba Furqan mengeluarkan sesuatu dari poket seluar. Melihat dompet berwarna pink muda dengan gambar Hello Kitty yang sedang memegang sejambak bunga, Fakruzi segera memandang ke arah Furqan. Wajahnya nampak berang.
“Furqan, mana kau dapat dompet tu?” Dia bertanya dengan nada bimbang. Bulat matanya memandang ke arah adiknya. Jangan-jangan Furqan….
“Aku curi tadi.” Jawapan Furqan yang terus terang cukup membuatkan dia tersentak. Apa? Again?
Furqan memandangnya sambil ketawa. Reaksi abangnya benar-benar membuatkan perutnya seakan mahu pecah. Dia mengalihkan pandang ke arah dompet di tangannya. Idi dompet itu segera dibelek.
“Hmm banyak ni aje duit dia? Patutlah dia kurus kering macam tak cukup makan.” Rungut Furqan entah pada siapa. Tiba-tiba matanya tertancap pada sekeping gambar di dalam dompet. Tangannya pantas mengeluarkan kepingan gambar tersebut. Bulat matanya memerhatikan wajah yang terpamer pada gambar di tangannya.
“Hmm..but she’s quite cute. Comel orangnya.” Mata Furqan tak habis-habis merenung pada gambar di tangannya. Dia menjeling abangnya seraya tersenyum.
“Abang, perempuan ni boleh tahan. Aku dah tengok dia dari tadi lagi.”
“Kau merepek apa ni?” Fakruzi mula naik angin. “Beritahu abang mana kau dapat dompet ni?”
“Aku kata aku curi tadi. Berapa kali nak beritahu ni.”
“Jangan nak main-mainkan abang Furqan. Abang nak kau cari peermpuan ni dan pulangkan dompet ni pada dia.” Putus Fakruzi. Gambar dan dompet di tangan Furqan segera diambil. Kepingan gambar kecil itu disimpan dalam celah-celah dompet tanpa dilihat.
“Tapi aku belum jumpa apa yang aku nak.” Furqan berdegil.
“Kau ni dari dulu sampai sekarang tak pernah serik-serik. Dulu nyaris-nyaris tertangkap, mujur ayah bantu. Sekarang kalau kau kena tahan lagi, jangan harap ayah dengan abang nak bantu.Kalau kau kurang duit, just cakap saja dengan abang. Abang boleh bagi berapa sahaja kau nak.” Marah Fakruzi.
“Siapa kata aku mencuri sebab nak duit.” Pintas Furqan.
Mata Fakruzi terbeliak. Geram mendengar omelan adiknya yang ada-ada sahaja helahnya. Kali ini apa pulak? Apa dia ingat dia tu Lindsay Lohan ataupun Madonna ke? Mencuri kerana suka-suka!
“Bang, kalau setakat duit beberapa ratus dalam dompet ni aku tak heranlah. Aku curi dompet dia sebab nak berkenalan dengan dia.” Furqan tersengih.
“Maksud kau?” Fakruzi tercengang.
“Bukankah ada orang kata, hubungan hanya boleh bermula jika ada jodoh. Dan sekarang ni, jodoh kami dah bermula. Dia akan mencari-cari dompet ni. Aku akan tunggu beberapa hari sebelum aku pulangkan dompet ni kat rumah dia. Lepas tu dia akan berterima kasih dengan aku. Dan sebagai ucapan terima kasih, dia akan belanja aku makan dan…lepas tu ehemm.” Furqan tersengih lebar membayangkan hasrat hatinya.
Fakruzi segera menghempuk kepala Furqan dengan dompet di tangannya. Bodoh! Manusia macam ni pun ada juga. Baru umur 19 tahun, dah berperangai miang macam ni, rungut Fakruzi.
Furqan mengaduh. Wajah Fakruzi dijeling dengan perasaan tidak puas hati. Tapi sejurus kemudian riak di muka Furqan berubah. Dia segera menundukkan wajahnya. Kedua belah tangannya dihadapkan ke wajahnya. Fakruzi tercengang. Kenapa pulak ni? Kena sampuk ke?
Furqan memanjangkan lehernya. Ketika itulah Anabella sudah sampai di hadapan Dunkin Donut. Mata gadis itu meliar-liar mencari sesuatu. Furqan mengetapkan bibirnya. Alamak! Bala ni, macamana dia boleh kejar sampai ke sini?
“Furqan, kenapa ni?” Fakruzi semakin hairan. Mata adiknya menjengah-jengah ke luar restoran, namun dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang dilihat lelaki itu. Furqan bingkas bangun. Topi di atas meja diambil lalu dikenakannya.
Tiba-tiba Anabella menoleh. Furqan yang sedang membetulkan topinya tergaman. Mata Anabella sudah mencerun tajam ke arahnya. Furqan sudah tidak mahu menunggu lagi. Dia menjeling abangnya.
“Abang, cover aku please…perempuan tu dah datang cari aku.” Bisik Furqan lalu cabut lari melalui pintu belakang. Fakruzi tergaman. Belum sempat dia berkata apa-apa, Furqan sudah menghilangkan diri. Dia menoleh ke arah gadis yang dimaksudkan oleh Furqan. Melihat gadis itu cuba mengekori Furqan, otak Fakruzi segera bertindak pantas. Dia cepat-cepat bangun apabila gadis itu menghampiri mejanya. Lengan gadis itu segera direntap.
Anabella terkejut bercampur marah apabila tangannya tiba-tiba ditarik sepasang tangan yang kuat bagaikan besi. Dia cuba meronta mahu melepaskan diri. Kerlingan matanya masih melekat pada kelibat lelaki yang mencuri dompet duitnya.
“Lepaslah, saya nak kejar lelaki tu.” Bentak Anabella sambil meronta-ronta. Geramnya dia hanya tuhan yang tahu. Berani betul budak bertopi tu curi dompet aku! Namun merasakan pautan di tangannya semakin kemas, Anabella menoleh dengan wajah menyinga. Namun sebaik dia melihat wajah yang terpampang di hadapannya, Anabella seakan tidak dapat mempercayai matanya. Dia terlopong.
“Kojie?” Dia memanggil dengan nada gementar.
Fakruzi tergaman. Kojie? Panggilan gadis itu terhadapnya membuatkan dia tercengang. Bulat matanya memandang gadis di hadapannya. Sambil itu dia menoleh ke belakang, mahu memastikan kalau-kalau gadis itu memanggil orang lain di belakangnya. Namun saat itu, hanya ada dia dan gadis itu sahaja. Menyedari renungan gadis itu singgah di wajahnya, hati Fakruzi mula dibias rasa tidak senang.
* * * *
Dia memegang dompet duitnya yang mewujudkan segala kekecohan. Dompet itu sudah lusuh. Warna pinknya juga sudah luntur. Kartun Hello Kitty itu dia sendiri tidak tahu siapa yang menampalnya. Mungkin Syasya atau mungkin juga Fina. Tapi dia tidak pernah kisah dengan dompet duit itu. Baginya isi di dalamnya lebih penting dari dompet yang digunakannya.
Hari ini dompet itu menjadi satu penyebab kepada sebuah pertemuan. Memang selama ini dia sering terkenangkan Kojie. Sejak perpisahan terakhir mereka di Cherating dulu, dia tidak pernah menghubungi Kojie lagi. Kojie juga tidak cuba menghubunginya. Padahal kalau dikira, walaupun mereka tidak saling meninggalkan alamat atau no tel masing-masing..namun dia masih mampu mencari Kojie jika dia mahu. Malah bukan susah untuk dia berhubung dengan pihak bank dan bertanya tentang Kojie. Dan Kojie sendiri pernah mencarinya di Trans-Trading. Tapi kenapa selama ini mereka tidak pernah cuba mencari antara satu sama lain?
Peristiwa siang tadi benar-benar mengembalikan ingatannya terhadap Kojie. Bagaikan berada dalam mimpi dia benar-benar rasa gembira menyebut nama itu.
“Kojie?” Nama itu meniti semula di bibirnya setelah sekian lama. Anehnya lelaki itu hanya berdiam diri memandangnya, membuatkan dia jadi ragu-ragu. Kali ini dia mengambil kesempatan memandang lelaki itu lebih lama. Lelaki yang berada di hadapannya itu bukan lelaki selekeh, tidak juga memakai t shirt lusuh serta berjeans denim yang koyak rabak di kepala lutut. Malah rambut lelaki itu tidak panjang dan menutup mata seperti yang terpamer di matanya suatu ketika dulu. Lelaki di hadapannya itu kini seratus-peratus amat kontra sekali dengan penampilan Kojie sebelumnya. Betulkah Kojie atau hanya pelanduk dua serupa?
“Kau Kojie kan?” Dia bertanya lagi sekadar mahu memastikan. Lelaki itu mengerutkan dahinya. Bagaikan hairan mendengar kata-katanya.
“Kojie? Siapa dia?” Lelaki itu memulangkan pertanyaan. Dia terpempan. Aku salah orangkah? Bagaikan menyedari raut resah terpamer di wajahnya, lelaki itu tiba-tiba menghulurkan tangannya.
“Fakruzi. Fakruzi Abdullah.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya.
Dia tercengang. Fakruzi? Bukan Kojie?
Lelaki itu menghulurkan sesuatu. Dia tergaman. Dompet miliknya berada di tangan lelaki itu. Dia memandang lelaki itu berkali-kali. Bagaimana dompetnya boleh ada pada lelaki itu?
“Dompet ni tercicir tadi di hadapan saya. Cuba awak tengok kalau-kalau ada barang yang hilang. Kalau ada yang hilang, saya akan gantikan.” Ujar lelaki itu lagi sambil tersenyum. Suaranya lembut dan memukau.
Anabella meraup wajah. Kepalanya tiba-tiba terasa pusing. Apakah aku sudah gila kerana asyik terkenangkan Kojie? Lelaki itu Fakruzi..bukannya Kojie. Meksipun wajah lelaki itu seiras Kojie, tapi setelah difikirkan kedua-duanya memang jauh berbeza. Jika lelaki itu benar-benar Kojie, lelaki itu pasti akan mengenalinya dan bukannya tercengang sahaja apabila melihatnya. Sekurang-kurangnya Kojie akan menegurnya dan bukannya sekadar berlalu pergi bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku. Itu bukan Kojie! Anabella mengetapkan bibirrnya. Dia yakin matanya hanya cuba menipunya. Kojie tak mungkin jadi lelaki itu!

4 comments:

nana_yoong said...

errm.. beshhhh sgt, kojie da berubah ke?? tp die mmg org ada2 kan??? bestnterr.. ayat2 dlm novel ni mencui hati.. sempoi giler.. nak2 part c jalak membuat pertndgn vocal ngan ayam2 lain kat kmpg setiap pg.. hehhehe

waiting for next n3

puteri_mukhriz said...

bestla..kojie dah berubah..memang depa ada jodohla...x sabar nk tgu next episod nie!

Hany Nafisya said...

bile nak smbg? citer neh best la

Mazni Aznita said...

thnks semua krn sudi mmbaca SV versi sy yang lintang pukang ni...

ini cubaan sy untuk menulis novel bergenre komedi cintan...harap-harap berjaya la yek...

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!