Tahun 1989 – Selatan Ysvjerk, Rusia…
TAPAK ujian 3. Itu sekadar nama untuk mereka. Tanpa apa-apa makna.
Tanpa apa-apa perasaan melihat hampir 3000 orang penduduk pekan kecil di
Selatan Rusia itu menjalani kehidupan seharian. Rata-rata daripada mereka masih
berladang dan ada yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan.
Dia menoleh ke arah
lelaki di sampingnya. Lelaki itu sekadar tersenyum menatap skrin di hadapan
mereka. Skrin yang memaparkan imej perkampungan itu. Ada anak-anak kecil yang
berlari-lari anak, bermain, langsung tidak menjejaskan senyuman sinis di wajah
lelaki itu.
“Prodolzhat,” ujar
lelaki itu, memberi arahan agar mereka bertindak segera.
Seorang lelaki bertubuh
besar menyarung baju seragam, mengangguk pada lelaki itu. Lelaki itu segera
menekan suis pada panel kawalan di hadapannya yang bertindak sebagai transmitter.
Di tengah-tengah pekan
kecil itu, kesibukan mereka terhenti dengan bunyi dengungan entah dari mana.
Gempa kecil menggegar membuatkan seisi kampung mula dicengkam kepanikan.
“Johanna...” Lelaki itu
berpaling ke arahnya.
Dia tergaman. Renungan lelaki
itu agak lama di wajahnya, membuatkan dia serta-merta gusar. Kenapa lain macam
sungguh pandangan lelaki itu terhadapnya?
Tetapi belum sempat dia
mahu memikirkannya, bunyi jeritan kuat membuatkan anak matanya kembali terpaku
ke arah skrin di hadapannya. Di perkampungan yang tadinya terang benderang
disinari cahaya matahari kini diselaputi kabus tebal entah dari mana datangnya.
Kabus putih itu memenuhi segenap ceruk perkampungan itu. Tidak mengambil masa
yang lama, dari kabus tebal terpercik sinaran cahaya yang menyilaukan
pandangan. Bunyi dengungan itu semakin kuat.
Dia menahan nafas. Menggigil
dengan apa yang sedang disaksikannya.
Matanya terus terpaku pada
skrin. Kegelapan yang kini melanda kampung itu umpama malam yang tidak
berbulan. Kabus itu seolah-olah menutupi segala-galanya. Tiada lagi cahaya,
tiada lagi sumber elektrik, sebaliknya hanya ada jeritan demi jeritan sebelum
setiap daripada penduduk kampung itu jatuh bergulingan satu per satu. Dan satu
pembersihan beramai-ramai telah berlaku tepat jam 3.15 petang di kampung kecil
di selatan Rusia itu.
Hatinya terbakar. Degupan
jantungnya kencang sekali. Fenomena luar biasa itu mencengkam dirinya. Deburan
nafasnya bergelora. Ikutkan hatinya, ingin sahaja muncung pistol yang terselit
di pinggangnya dikeluarkan, sedia untuk memuntahkan laharnya ke arah lelaki
itu. Namun dia masih ingat tujuan utamanya ke situ. Arahan pihak atasan tidak
boleh dibangkang sesekali atau buruk padahnya.
Beberapa bulan kemudian…
KEBAKARAN di bangunan itu berlaku dengan pantas sekali. Asap tebal
menyelubungi ruangan itu se hinggadia gagal melihat apa-apa. Dia menjerit
memanggil orang-orangnya tetapi sebaik terpandang sesuatu, darahnya berderau.
Tidak jauh dari situ terdapat puluhan orang-orangnya yang terkulai layu dengan
kesan tikaman dan kelaran di merata bahagian anggota badan. Dia segera menekan
loceng penggera, mahu memberi amaran pada yang lain-lain kerana jelas ternyata
sarang operasinya telah diserang hendap oleh sekumpulan penceroboh.
Matanya tiba-tiba
terbuntang luas. Segera teringatkan sesuatu. Zeus! Dia segera berlari ke
tingkat atas. Ke arah pejabatnya yang dilengkapi dengan peti besi, tempat di
mana dia menyimpan senjata paling berbahaya di dunia. Zeus! Senjata biokimia
yang mempunyai kesan pemusnah yang dahsyat. Tidak ada radiasi yang meninggalkan
kesan yang lama di udara, kerana kesan Zeus hanya sebentar sahaja. Mana-mana
orang yang terhidu kabus Zeus, organ-organ dalaman mereka akan terbakar sebelum
kulit mereka melepuh dan cair. Sama seperti mereka terdedah kepada radiasi yang
amat tinggi.
Sampainya di pejabatnya,
apa yang disaksikannya membuatkan mulutnya melopong. Matanya segera dilarikan ke
arah peti besi di biliknya.Kosong!
Serentak dia melaung dan
menjerit sekuat hati. Tempikannya bergema dan bergempita. Marahnya berapi
lantaran menyedari ada seseorang yang begitu berani mencuri darinya.
“Bos…” Muncul beberapa
orang askar-askarnya dalam keadaan termengah-mengah.
“Cari siapa yang buat
semua ni. Cari orang yang berani mencuri daripada aku. Kalau aku jumpa dia, aku
akan siat-siat kulitnya untuk makanan buaya aku!” bentaknya.
“Jo…Johanna, bos.”
Tergagap-gagap salah seorang askarnya menyebut.
Dia berpaling.
“Johanna yang buat semua ni bos, dia yang
bunuh semua orang-orang kita.”
Mendidih darahnya
mendengar kata-kata lelaki itu. Perempuan itu orang kepercayaannya selama ini.
Berani perempuan itu mencuri Zeus daripada tangannya?
“Mana dia sekarang? Cari
dia sampai dapat!” tempiknya sekuat hati.
“Kita kena lari bos,
bangunan ni dah teruk terbakar,” pujuk askar-askarnya.
Dia senyap. Asap-asap
dari ruangan bawah terbakar sudah sampai sehingga ke atas. Hendak tak hendak
dia terpaksa beredar.
“Kita keluar ikut situ.”
Salah seorang askar menunjuk ke arah sebuah tingkap di bilik belakang.
Mereka semua meluru ke
situ. Sebahagiannya melindungi majikan mereka daripada ancaman, manakala yang
lain asyik mengumpil tingkap yang sudah lama tidak dibuka dan digunakan.
Bunyi tembakan meletus
dari suatu arah. Para askar itu segera berlindung. Bersedia menghadapi ancaman
yang tidak kelihatan dari arah hadapan. Majikan yang lebih penting telah pun
terlebih dahulu dikubu biar selamat.
Mata mereka masih cuba
menembusi apa sahaja yang mungkin bersembunyi di dalam asap tebal di hadapan
mereka.
“Bunuh walau siapa sahaja
dia,” bisiknya, memberi arahan pada orang-orangnya agar segera bertindak.
Lelaki-lelaki itu hanya
mengangguk. Tiba-tiba suatu objek tergolek ke arah kaki mereka. Masing-masing
terpaku. Memerhatikan ke arah objek bulat yang mendarat betul-betul di hadapan
ketua askar tadi. Beberapa saat berlalu, satu letupan besar kedengaran. Dia
yang berada paling hampir ke arah tingkap kini terpelanting ke luar jendela,
meranapkan hampir sebahagian tingkat dua itu yang kini marak dijilat api.
No comments:
Post a Comment