Followers

Sunday, December 16, 2018

Dia..Beautiful Lie (Prolog)

TUBUHNYA berdebu, pakaiannya kotor dan rambutnya menggerbang. Kakinya tidak bersarung sepatu, sebaliknya tumitnya sudah pecah-pecah kerana banyak berjalan tanpa hala tujuan.
                Hatinya kosong, sama seperti fikirannya yang terawang-awang. Dia melihat dunia tidak lagi sama seperti dulu. Dunia yang penuh dengan cinta seperti kata ibunya. Dunia yang penuh dengan kasih sayang. Dunia itu sudah musnah. Tiada lagi cinta terpaut di hatinya. Tiada lagi kasih sayang di jiwanya. Dia hanya insan yang kehilangan segala-galanya.
                Nun jauh di hadapannya, bunyi ombak mengganas singgah di gegendang telinga. Dia tertarik. Seolah-olah suara ombak itu bagaikan bisikan ibunya yang asyik memanggilnya.
                “Tunggu bu…..” bisiknya. Matanya terpejam rapat. Wajah wanita itu terbayang-bayang di fikiran. Senyuman wanita itu bagaikan penawar duka yang mahukan dia melupakan segala-galanya.
                Langkahnya dihela perlahan. Tumitnya perlahan memijak hamparan pasir yang dingin. Namun matanya hanya melurus ke hadapan. Ke arah imej ibunya yang sedang melambai-lambai ke arahnya. Panggilan itu harus disahut. Ya, itu sahaja yang ada di fikirannya saat ini. Dan bunyi ombak menghempas ke batu itu semakin lama semakin jelas kedengarannya.
                Apabila kakinya dibasahi air, dia tunduk. Sedar tak sedar separuh kakinya sudah ditenggelami air.
                “Jangan takut sayang, mari dekat ibu.” Suara itu terus memanggil.
                Buat kali terakhir dia menitiskan airmatanya. Dunia, selamat tinggal! Andai dunia ini hanya memberinya derita, lebih baik dia tinggalkan sahaja derita itu. Ibu, aku akan datang menemanimu! Tunggu aku!
*  *  *  *
JALAN yang berliku di hadapannya tetap diredah meski dalam keadaan hujan lebat. Dia tidak peduli langsung pada lekuk-lekuk jalan yang sesekali menganggu kelancaran motorsikal yang dipandunya. Saat ini dia lebih berminat mahu segera sampai ke destinasinya. Dia mahu mengejar gadis itu sebelum semuanya sudah terlambat lagi. Gadis itu harus menjelaskan segala-galanya padanya. Harus!
                Nun jauh di hadapan, perjalanannya terganggu oleh sorotan cahaya dari kenderaan di hadapan. Hendak tak hendak dia terpaksa memperlahankan kelajuan motorsikalnya. Hujan yang membasahi mukanya langsung tidak dipedulikan. Dia mengetuk cermin tingkap kereta di sebelahnya. Lelaki yang menjadi pemandu Toyota Camry itu menurunkan jendelanya.
                “Kenapa sesak kat depan bro? Ada apa?” Dia bertanya.
                “Entah, rasanya ada kemalangan agaknya. Tadi aku dengar ada kereta jatuh gaung. Itulah, dah tahu hujan lebat macam ni, yang nak bawa kereta laju sangat tu kenapa? Kan tak fasal-fasal menyusahkan orang lain.” Bebel lelaki itu seraya menggelengkan kepalanya.
                Dia melontarkan pandangan ke suatu arah. Seperti ada suatu suara yang menyuruhnya meneruskan perjalanan. Dia mahu melihat apa yang sedang berlaku. Ada kereta polis dan ambulan sudah berada di tempat kejadian. Terdapat juga anggota penyelamat yang baru tiba. Dia memerhatikan kawasan itu dan ternampak penghadang jalan yang kelihatan rosak dirempuh kenderaan. Hatinya entah kenapa gusar.
                “Adik, adik tak boleh berada kat sini. Adik kena berpatah balik. Bahaya.” Tegur salah seorang anggota polis yang menahannya.
                “Ada apa ni encik?” Tanyanya pada anggota polis bertubuh gempal itu.
                “Ada kemalangan yang membabitkan sebuah kenderaan. Kereta tu jatuh gaung lebih kurang sejam tadi dan terbakar. Anggota bomba masih cuba memadamkan kebakaran tu.” Ujar anggota polis tersebut.
                “Kereta apa?”
                “Ada saksi yang nampak sebuah kereta Proton Preve berwarna hitam menjunam ke bawah. Pihak bomba sedang melancarkan usaha-usaha menyelamat.” Jelas anggota polis tersebut.
                Mendengar Proton Preve disebut, hatinya serta-merta berdebar. Lagi-lagi Adriana juga memandu Preve berwarna hitam.
                “Kawan saya juga memandu Preve berwarna hitam dan mungkin melalui jalan ini. Namanya Adriana.” Ujarnya pada anggota polis tersebut.
                Wajah anggota polis itu tiba-tiba berubah. Tanpa sebarang suara, lelaki itu segera menyeluk saku bajunya.
                “Apa nama kawan adik tu Adriana Imaniyah Binti Abdullah?” Soal lelaki itu.
                Dia hanya mengangguk disulami rasa cemas dan panik saling berbaur.
                “Ya, macamana encik tahu nama penuhnya?”
                “Sebab ini yang kami jumpa di kaki gaung tadi. Mungkin terjatuh dari kereta mangsa.” Ujar lelaki itu lalu menunjukkan sekeping tag nama pelajar milik Adriana, lengkap dengan gambar gadis itu sekali.
                Melihat tag nama tersebut, tubuhnya mengigil. Nafasnya menjadi tidak keruan. Ya ALLAH! Adriana! Bunyi riuh rendah di kawasan itu seperti lenyap. Dia tidak mendengar apa-apa lagi kecuali suatu suara.
                “Nama saya Adriana. Saya diupah oleh ayah awak untuk jadi tutor peribadi awak.”
                “Like I care. I don’t need a tutor.”
                “But I do care. Saya dah diupah, jadi mulai hari ini suka atau tidak, awak dah jadi anak  murid saya.”
                “Adik?” Suara anggota polis itu kedengaran lagi. Kali ini bernada cemas. Dan dia terus terjelepuk lemah ke arah tanah, bermandikan air hujan dan airmata seiring. Ada tangisan di sudut hati, harga untuk kekesalan yang dirasainya saat ini. Malam ini dia kehilangan dua insan yang amat bererti dalam hidupnya. Segala-galanya seperti kelam.
Adriana! Aku benci kau! Kau patut jelaskan pada aku kenapa semua ini berlaku? Aku takkan izinkan kau mati sebelum kau jelaskan semuanya. Kau patut hidup supaya aku boleh balas dendam! Aku benci kau Adriana! Jiwanya menjerit dalam kepayahan.
*  *  *  *
DIA menaiki tongkang jam 2 pagi itu, menuju ke suatu destinasi yang agak jauh. Pakaiannya tidak banyak hanya yang bersarung di tubuhnya sahaja. Pakaian yang dikenakannya agak kotor dan compang camping tetapi dia sedikit pun tidak peduli. Matanya asyik mengawasi beg sandang yang dipegangnya sahaja.
                “Ini duit 1 juta seperti yang dijanjikan. Bos nak kau tinggalkan tempat ni sementara keadaan reda. Jangan muncul kat sini lagi dalam beberapa tahun ni. Pergi ke Macau dan duduk senyap kat situ. Kalau ada kerja baru, bos akan panggil kau balik.” Ujar lelaki itu semasa menyerahkan beg sandang yang penuh berisi wang itu.
                Dia tersenyum senang. Kelam malam di hadapannya dipandang dengan riak wajah  tajam. Sengihannya semakin lebar sebaik dia teringat dendamnya yang sudah terbalas. Malam ini dia sudah bunuh 4 orang dan dia takkan teragak-agak lagi melakukannya. Meskipun tanpa wang ini, dia tetap akan melakukannya. Orang-orang yang telah memporak perandakan hidupnya, satu persatu akan dicincang lumat. Inilah padah kerana mencari fasal dengannya!
                Ketawanya bergema kuat, seiring dengan bunyi kuat tongkang yang sedang membelah ombak. Malam ini dia akan tinggalkan tempat ini buat sementara. Tapi dia akan kembali! Dia masih punya seorang anak lelaki yang terpaksa ditinggalkannya. Suatu hari nanti dia akan kembali bertemu dengan anak itu semula!



No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!