Followers

Wednesday, November 13, 2013

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 3


MELIHAT sejambak mawar segar bersama kuntuman lili indah menghiasi meja kerjanya, wajahnya segera berkerut. Dia segera meletakkan tas tangannya seraya menuju ke arah jambangan bunga tersebut. Matanya mengintai celahan kuntuman bunga, mencari-cari kad meskipun dia sudah dapat mengagak siapa pengirimnya.

            “Cari kad ke? Kad tu tak ada kat situ sebab tuannya sendiri yang datang menghantarnya tadi,” celah suatu suara.

Dina Azura berpaling. Emelda tercegat di muka pintu billiknya, sedang tersengih.

            “Siapa yang hantar?”

            “Siapa lagi kalau bukan jejaka kat bangunan depan tu.”

            Irman?”

            “Namanya Irman? Amboi siap tahu nama, dah mesra nampaknya.” Usik Emelda galak. Dina Azura hanya mampu menggelengkan kepalanya menerima usikan Emelda.

            “Ada-ada aje lah kau ni. Kalau kau nak tahu, lelaki yang kau maksudkan tu abang kawan baik aku. Dah bertahun-tahun kami kenal. Kau tu suka nak mengada-adakan benda yang tak ada.” rungut Dina Azura sambil memasang komputer ribanya. Jambangan bunga yang terletak di atas meja dialih sedikit ke tepi. Kerja lebih penting dari asyik melayan perasaan.

            “Aku bukan mengada-adakan cerita, tapi kau dengan lelaki tu yang nampak mesra semacam. Macam orang bercinta pulak. Tengok ni siap hantar bunga, memang sah tengah bercinta.” Tukas Emelda nakal.

            Aku dengan Irman tu kawan biasa aje. Tak payahlah kau nak buat gosip kat sini. Macamana dengan presentation esok, dah ready?” Soal Dina Azura, sengaja mahu mengalihkan perhatian Emelda dari terus membicarakan tentang Irman. Rimas juga dia asyik diusik Emelda tak putus-putus.

            Dah lama aku bersiap sedia. Lagipun Tuan Helmi tu dah lama jadi klien kita. Rasanya kali ini takkan ada masalah.” Balas Emelda yakin.

            Baguslah kalau kau dah kata macam tu. Tapi walau dah kenal lama, tapi preparation mesti superb. Jangan cincai-cincai sahaja. So presentation kali ni aku serahkan bulat-bulat pada kau. Good luck!”

            “Harap-harap macam tu lah. Okeylah, aku nak keluar dulu. Kerja aku bertimbun lagi di luar tu, lepas ni aku nak keluar jumpa klien pulak. Hari ni kau kena lunch sorang-soranglah jawabnya.“ Emelda mengenyitkan matanya.

            “Tak apa, aku tak kisah.” Jawab Dina Azura seraya ketawa kecil menyerlahkan sepasang lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.

            Selepas Emelda beredar, Dina Azura sibuk menyiapkan kerja-kerjanya yang terbengkalai. Sesekali matanya tertarik merenung kuntuman-kuntuman bunga lili yang masih segar di atas mejanya. Teringat pada kata-kata Emelda sebentar tadi, dia tergelak sendiri. Entah mengapa, dia rasa lucu kerana dicanang sedang bercinta dengan Irman. Macam-macam hal!

            “Cik Dina, Tuan Halim minta Cik Dina datang ke pejabatnya sekarang juga.” Suara dari interkom tiba-tiba menganggu lamunannya.

Dina Azura mengeluh. Baru dia hendak menyiapkan tugasnya, tiba-tiba dia dipanggil pula. Apa agaknya orang tua itu mahu dengannya awal-awal pagi begini? Rungutnya sedikit geram.

            Dengan langkah malas, dia terus beredar ke bilik ketuanya. Pintu bilik lelaki itu diketuk perlahan. Setelah mendengar satu suara mengarahkannya masuk, dia terus menolak daun pintu. Pandangannya segera tertancap pada Tuan Halim dan seorang wanita separuh usia yang agak cantik.

            Masuk Dina,” suruh Tuan Halim.

            Dina Azura menurut, namun matanya masih mengawasi kelibat wanita tak dikenali di pejabat ketuanya itu. Mata wanita itu turut terpaku memandang ke arahnya.

            “Apahal tuan suruh saya datang ke mari? Kalau fasal perbincangan dengan pihak Datuk Low, kita masih belum dapat apa-apa kata putus dari pihak mereka lagi.” Ujar Dina Azura.

            Fasal Datuk Low tu, setiausahanya dah maklumkan pada saya. Ada hal lain yang hendak saya bincangkan dengan awak Dina. Sebelum itu kenalkan, ini Puan Alma Katherine dari Bumi Emas Holdings.”

            “Apa khabar? Alma Katherine.” Wanita itu menghulurkan tangannya terlebih dahulu.

Dina Azura terpaku. Entah kenapa, matanya ralit tertumpu pada seraut wajah di hadapannya. Cantik sekali orangnya walaupun sudah berumur. Sesekali tengok macam perempuan mat saleh. Kacukan agaknya! Fikir Dina Azura, menyulam kesimpulan sendiri.

            “Dina?” Teguran Tuan Halim membuatkan lamunannya terhenti. Menyedari kesilapannya, dia segera menyambut huluran tangan wanita di hadapannya.

            “Dina. Dina Azura.” Balasnya pula, sedikit gugup.

            Alma Katherine tersenyum memandang gadis manis di hadapannya. Dia dapat merasakan gadis itu agak gementar berhadapan dengannya. Entah kenapa! Diam-diam dia melirik wajah itu lama-lama. Wajah yang manis, sejuk mata memandang. Bertuah mana-mana ibu yang mempunyai anak gadis semanis ini.

            “Saya dengar kamu top advertiser kat sini. The best among the best.” Alma Katherine bersuara ramah, cuba melupuskan rasa gementar dan kekok pada diri gadis di hadapannya.

            “Puan tersalah dengar barangkali. Saya masih hijau dalam bidang ini.”

            “Hmmm…merendah diri. You pandai pilih orang Halim.” Puji Alma Katherine seraya menoleh ke arah Tuan Halim yang hanya tersengih. Kembang kempis hidung lelaki itu menerima pujian itu.

            “Macam ni Dina, Puan Alma nak kamu handle satu advertising untuk syarikat dia. Saya rasa kamu boleh uruskannya kerana Emelda sedang berurusan dengan Tuan Helmi. Idham dan Zuhairi pula sedang sibuk. Kalau kamu tak kisah, kamu boleh gunakan budak baru kita, Ezam dan Suhaili. Bagi mereka peluang untuk belajar.” Ujar Tuan Halim.

            Dina Azura terdiam. Tiba-tiba dia teringatkan kata-kata Emelda sebelumnya. Rupa-rupanya memang benar Tuan Halim baru mendapat durian runtuh.

            “Syarikat puan nak hasilkan iklan tentang apa?” Soal Dina Azura bersahaja. Tumpuannya kini seratus-peratus pada wanita itu. Aura wanita itu begitu melekat di hatinya entah kenapa!

            “Syarikat kami terlibat dalam bidang pembinaan. Kami buat projek perumahan di kawasan Subang dan Damansara. Baru-baru ini kami juga terlibat dalam projek usahasama dengan kerajaan untuk Projek Techno City. Jadi saya nak advertisekan projek-projek ini. Grand opening akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang. Saya harap Cik Dina dapat membantu,” ujar Alma Katherine.

            Insya ALLAH, saya akan cuba sebaik mungkin.” Janji Dina Azura.

Alma Katherine kelihatan lega mendengar kata-kata gadis itu.

            Jadi details nya akan kita bincangkan kemudian nanti. Selepas ini salah seorang pekerja saya akan berhubung lagi dengan Cik Dina. Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu. Okey Halim, I kena pergi tengok tapak projek lepas ni. Lain kali I belanja you makan.” Alma Katherine tersenyum memandang Tuan Halim.

            “I tak tolak, anytime.” Balas Tuan Halim separuh bergurau. Alma Katherine tersenyum lebar sebelum melangkah pergi meninggalkan kedua-duanya.

            “Siapa tu tuan?” Tanya Dina Azura sambil matanya masih mengekori langkah wanita itu.

Tuan Halim memandang ke arah Dina Azura. Dahinya berkerut sedikit. “Apa maksud awak Dina? Bukankah saya dah perkenalkan awak tadi?”

            Maksud saya siapa Alma Katherine tu? Muka macam minah salleh celup, girlfriend lama tuan ya?” Dina Azura tersengih nakal. Sengaja mahu mengusik lelaki itu.

Mendengar kata-kata gadis itu, Tuan Halim ketawa terbahak-bahak. Lucu mendengar andaian yang berputik di kepala Dina Azura.

            “Ada-ada ajelah awak ni Dina. Sebenarnya Alma tu kawan lama arwah isteri saya. Kami kenal dia semasa saya dan arwah menyambung pelajaran di luar negara dahulu.”

            “Puan Alma tu tak  macam orang melayu kan tuan?”

            Tuan Halim tersenyum. Dia mengerti kekeliruan yang bersarang di kepala gadis itu.

            Dia orang melayu tapi berdarah campuran. Ibu dia anak mami Penang. Ayah dia pulak tentera berpangkat Kolonel dalam US Navy. Suaminya orang melayu” Jelas Tuan Halim.

            “Oh patutlah. Jadi syarikat Bumi Emas tu milik Puan Alma dan suaminya?” Tanya Dina Azura ingin tahu. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja dia berminat mahu ambil tahu mengenai klien barunya itu.

            Setahu saya Bumi Emas adalah hasil titik peluh Alma. Dulu suaminya memiliki sebuah firma guaman. Selepas suaminya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan  meninggal dunia, Alma pulang ke mari. Di sini dia bina kehidupan baru, bina Bumi Emas sehingga berjaya.” Cerita Tuan Halim yang tahu serba sedikit tentang wanita yang dimaksudkan.

            Dina Azura terdiam mendengar  penjelasan Tuan Halim. Jauh di sudut hati dia merasa simpati pada wanita itu. Selebihnya turut kagum kerana wanita itu berjaya membina empayar perniagaan sendiri meskipun hidup tanpa kehadiran seorang suami di sisi.

*  *  *  *

IRMAN tertinjau-tinjau kelibat orang ramai yang keluar masuk ke restoran itu. Namun orang yang dinanti tidak juga kunjung tiba. Matanya dikerling memandang pergelangan tangannya. Sudah masuk pukul 1.30 tengahari. Mana Dina ni, takkan tak sampai-sampai lagi? Bukan jauh mana pun restoran itu dari pejabat gadis itu.

            Encik nak pesan apa-apa?” Seorang pelayan bertanya kepadanya buat kali kedua. Irman buat-buat melihat kad menu yang tersedia. Segan juga dia pada pelayan restoran itu. Kerusi sudah panas, tapi makanan tak juga dipesan.

            “Tak apalah, bagi saya…..” Sebelum sempat dia membuat pesanan, mata Irman segera terpandang sesusuk tubuh tinggi lampai sedang menuju ke arahnya. Dia tersenyum lega. Cepat saja matanya memandang si pelayan yang menanti sedari tadi.

            “Bagi dua lunch set dengan dua fresh orange.” Sebut Irman. Sebaik pelayan itu beredar, gadis itu sudah berada di hadapannya. Irman bangun, mahu menarik kerusi buat gadis itu tapi Dina Azura lebih pantas melakukannya sendiri.

            Sorry Man, Dina lambat. Sibuk berbincang sehingga lupa appointment kita. Maaf ya.” Ujar Dina Azura sambil cuba mengatur nafas. Gelas air masak di hadapannya diraih lalu diteguk perlahan.

            “Tak apa, Man pun baru saja sampai.” Irman berbohong sedangkan sudah lebih setengah jam dia menanti gadis itu di situ.

            “Man dah oder dua set makan tengahari untuk kita. Dina tak kisah makan apa yang Man pesan kan?” Soalnya seraya memandang anak gadis itu.

            Dina Azura hanya mengangguk sambil tersenyum. Mujurlah lelaki itu memesan makanan untuknya terlebih dahulu. Perutnya sudah berkeroncong menahan lapar.

            Sebaik makanan tengahari sampai, Dina Azura laju menyuap makanan ke mulutnya. Irman hanya memerhatikan gelagat gadis itu. Gadis itu langsung tidak menyebut apa-apa tentang jambangan bunga yang dititipkannya sebentar tadi. Kenapa? Tidakkah Dina Azura suka dengan pemberiannya pagi tadi?

            Dina Azura yang sedang rancak mengunyah tiba-tiba berpaling ke arah Irman yang sugul wajahnya. Dahinya berkerut. Kenapa dengan Irman?

            “Kenapa Man tak makan? Tak sedap ke makanan tu?” Soal Dina Azura, hairan melihat reaksi Irman kali ini.

            “Sedap, tapi tiba-tiba Man tak ada selera.” Jawab Irman muram.

Gadis itu tidak berkata apa-apa, terus meneruskan seleranya yang tergendala sebentar tadi.

Irman menarik nafas panjang. Dia memandang makanannya yang masih banyak berbaki. Apabila renungannya dilemparkan ke arah Dina Azura, gadis itu kelihatan selamba menghirup fresh orange.

            Sedaplah makanan kat sini. Lain kali giliran Dina belanja Man dan Lisa pulak makan kat sini. Kita bertiga keluar sama-sama, tentu seronok. Dah lama Dina tak jumpa Lisa. Rindu rasanya pada dia.” Sebut Dina Azura seraya tersenyum.

            “Kalau rindukan dia, kenapa Dina tak datang ke rumah? Ibu selalu tanyakan khabar Dina. Katanya Dina dah lama tak datang ke rumah kami.” Ujar Irman.

            “Bukan Dina tak mahu datang Man, tapi Dina sibuk dengan kerja. Man kan tahu situasi kerja Dina macamana.“ Keluh Dina Azura.

            “Tapi sibuk macamana pun, Dina kena luangkan masa kunjungi kami. Mama dan ayah Dina macamana? Man dengar mereka masih di USA?” Irman membangkitkan perihal ayah dan ibu gadis itu pula.

            Dina Azura terdiam. Jika ditanya soal ibubapanya, dia terus mati kutu mahu menjawab. Hampir sebulan lamanya dia tidak bertemu ibubapanya.

            “Ayah Dina ada conference kat sana. Mama temankan dia, mungkin mereka lama kat sana.” Ujar Dina Azura dengan nada hambar.

            Mungkin?” Irman mengerutkan dahinya. Hairan dengan istilah yang digunakan gadis itu.

            Dina Azura mengigit bibir. Rasa tertekan mendadak muncul dalam dirinya.

            “Entahlah Man, tolong jangan tanya Dina apa-apa lagi. Mereka pergi dan balik bila-bila masa mereka suka. Dina dah tak kuasa nak ambil tahu.” Keluh Dina Azura seraya tunduk merenung baki makanan di pinggannya.

            Irman terdiam. Dia tidak sepatutnya menyebut tentang hal ibu bapa Dina Azura. Selama ini dia tahu hati gadis itu tidak senang bila bercakap tentang ibubapanya. Sejak dia mengenali Dina Azura dari dulu sampai sekarang, banyak yang diketahuinya tentang gadis itu dari mulut Nurlisa, adiknya.

            Pertama kali dia bertentang mata dengan Dina Azura, hatinya sudah bergetar memandang wajah ayu berlesung pipit itu. Ketika itu Dina Azura masih menuntut di tahun pertama di Universiti Malaya. Adiknya Nurlisa pula ketika itu menuntut di UPSI. Meskipun berbeza universiti, namun itu tidak menghalang persahabatan kedua-duanya. Persahabatan itu bermula semasa Nurlisa mewakili universitinya dalam pertandingan debat. Dina Azura pula mewakili kolej kediamannya. Dan perdebatan itulah yang mula menyemai benih-benih perkenalan antara mereka sehingga menjadi teman yang cukup akrab.

 Gadis itu sering mengikut adiknya Nurlisa bermalam di rumah mereka. Pada asalnya Dina Azura malu-malu mahu menegurnya. Dia pula tidak bercakap banyak dengan gadis itu. Sehinggalah pada suatu malam, dia terpandang Dina Azura sedang menangis di kerusi rehat di halaman rumah. Perlakuan gadis itu menarik perhatiannya. Itulah kali pertama dia cuba memberanikan diri menegur gadis itu.

            “Kenapa? Awak ada masalah?” Tegurnya ingin tahu.

            Dina Azura berpaling. Airmata yang berjurai di pipi langsung diseka dengan hujung jarinya.

 Matanya asyik merenung wajah itu. Hatinya tertanya-tanya kenapa gadis itu mengalirkan airmata? Masalah apakah yang membelenggu gadis semuda Dina Azura sehingga menangis begini?

            “Saya tak apa-apa.” Jawab Dina Azura.

            “Kalau tak ada apa-apa, kenapa sampai menangis? Awak bergaduh dengan Lisa ya?” Tekanya sesuka hati.

            Dina Azura memandang tepat ke arahnya. Dia terpaku. Buat pertama kali, dia bertentang mata begitu hampir dengan gadis itu. Dadanya berdebar-debar tidak keruan. Meskipun tanpa mekap, wajah Dina Azura kelihatan manis kelihatan.

            “Lisa kawan yang paling baik pernah saya miliki. Saya suka keluarga awak. Alangkah baiknya kalau keluarga saya semesra keluarga awak dan Lisa.” Ujar gadis itu.

Dia tercengang mendengar bicara Dina Azura. Itukah sebabnya? Hanya kerana soal itukah Dina Azura bersedih? Aneh!

            “Man?”

            Irman terkejut. Pantas matanya mencari-cari wajah Dina Azura. Jauh lamunannya sehingga dia terlupa di mana mereka berada.

            Kenapa ni?” Mata Dina Azura memandang curiga ke arahnya.

            Tak ada apa-apa. Dina dah habis makan?” Irman tersenyum kekok.

            Emm dah, tapi Man tu yang tak berselera makan. Lepas ni Dina nak kena terus balik office. Kejap lagi ada perbincangan dengan staf-staf di pejabat Dina. Man terus balik office nanti?” Tanya Dina Azura.

            “Tak, Man nak terus balik sahaja. Hari ni Man ambil cuti separuh hari. Baba suruh Man temankan dia ke jamuan persaraan dia. Dina nak ikut sekali malam ni?” Pelawa Irman.

            Dina Azura ketawa besar mendengarnya.

 Takkan nak ikut pulak. Nanti apa kata teman-teman lama pakcik pulak. Man ni ada-ada ajelah,” rungut Dina Azura. Irman tersenyum.

            Manalah tahu kalau Dina nak ikut. Kalau orang tanya pun, apa susah? Jawablah yang Dina ni teman wanita Man.” Balas Irman separuh berlucu.

            Dina Azura terdiam. Dia memandang ke arah Irman. Entah kenapa kali ini dia dihujani perasaan bersalah. Dia tahu Irman menyukainya dalam diam-diam. Dia juga tahu apa maksud pemberian jambangan bunga dari Irman hari ini. Malah Nurlisa kerap menterjemahkan apa yang tertulis di hati abangnya itu. Hanya dia yang pura-pura tidak ambil kisah semua ini. Bukan kerana dia tidak prihatin dengan perasaan Irman. Tapi kerana dia tidak mahu terus mempovok Irman untuk menyukai dirinya.

            Jujurnya dia amat menyenangi Irman. Malah dia mengasihi Irman jauh di sudut hati. Tapi malangnya perasaan itu bukannya cinta. Irman hanya seorang abang di matanya, pengganti kepada abangnya sendiri yang tidak pernah mengingini kehadirannya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!