Followers

Sunday, July 4, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 15

Nazrul asyik mengintai kelibat Suria dari tirai jendela di biliknya. Gadis itu kelihatan ralit mengadap PCnya. Sesekali rambutnya yang separas bahu dibawa ke belakang. Apabila dia melihat Suria menguap dengan nganga lebar, Nazrul ketawa kecil. Dia menggelengkan kepalanya. Sweet!

“Encik Nazrul, Dato’ Hamdan nak jumpa Encik Nazrul di biliknya.” Tiba-tiba interkom di biliknya berbunyi. Perhatian Nazrul beralih arah. Dia mengeluh panjang. Mahu tidak mahu, dia terpaksa melangkah keluar dari biliknya. Sampai di meja Suria, Nazrul menoleh.

“Suria…”Panggil Nazrul. Suria yang hampir terlelap terkejut mendengar namanya diseru. Dia terpinga-pinga memandang ke arah Nazrul yang sudah mengadap ke arahnya.

“Ya? Kenapa?” Suria terpisat-pisat. Nazrul hampir ketawa dibuatnya. Wajah Suria yang mamai ditenungnya agak lama.

“Malam ni ada kerja?” Tanya Nazrul.

“Kerja? Kerja apa?” Suria buat-buat tidak faham.

“Kalau tak ada apa-apa, malam ni ikut saya keluar makan?” Pinta Nazrul selamba. Suria terpegun. Hampir melopong mulutnya mendengar pelawaan Nazrul. Aku bermimpikah?

“Malam ni saya jemput Suria kat rumah. Pakai lawa-lawa ya,” pesan Nazrul lalu melangkah pergi sebelum sempat anak gadis itu memberi jawapan. Suria masih kaku di mejanya sehingga tidak nampak Umaira lalu di tepi mejanya.

“Hoi Suria!”Jerkah Umaira.

Suria tersentak. Bulat matanya mencari wajah Umaira yang tergelak besar memandangnya. Suria mengetapkan bibirnya. Mak oii, mahu gugur jantung aku ni dibuat minah Penang ni.

“Kau ni kenapa? Terkejut?” Usik Umaira.

“Mahunya tak, yang kau jerkah aku macam tu kenapa?”

“Ala baru jerkah sikit dah terkejut. Kata wartawan hebat.” Sindir Umaira lagi. Ketawanya pecah berderai.

“Hei kawan, yang bagi gelaran tu bukan aku tahu, tapi orang-orang kat luar sana. Selain dari itu, aku ni masih manusia yang ada hati dengan jantung. Kalau hari-hari kau jerkah aku macam ni, jantung yang sihat ni pun boleh jadi lemah tahu.” Sambung Suria. Dia segera duduk di kerusinya. Kepalanya masih ligat memikirkan pelawaan Nazrul sebentar tadi. Benarkah lelaki itu mempelawa aku makan malam bersamanya atau aku yang salah dengar?

“Aku nampak Encik Nazrul tadi. Dia cakap apa kat kau?” Umaira tiba-tiba bertanya. Suria tergaman mendengarnya. Alamak! Minah Penang ni pun perasan?

“Tanya apa? Tak ada apa-apalah.”

“Ala jangan bohonglah, aku nampak tadi.” Umaira tersenyum simpul. Suria menggaru kepala yang tidak gatal. Alasan apakah yang patut diberikan pada gadis itu?

“Encik Nazrul sebenarnya….err dia…”

“Dia apa?” Jerkah Umaira sudah tidak sabar.

“Dia tanyakan aku fasal staf-staf kat sini aje. Berapa ramai? Yang kerja kat unit tu berapa ramai? Si polan tu dah kahwin ke belum? Si polan tu dah ada boyfriend ke?” Suria tersengih. Wajah Umaira jelas tercengang.

“Sampai macam tu sekali? Baiknya Encik Nazrul tu kan. So sweet. Padanlah ramai wartawan-wartawan dengan staf-staf kat sini tergila-gilakan Encik Nazrul tu. Dahlah baik, handsome pulak tu. Aduh lagi lama aku kerja kat sini, lagi cair dibuatnya.” Umaira tersengih.

“Aloo kawan, ingat sikit. Kau tu dah ada tunang. Mana kau nak letak tunang kau kat kampung tu?” Perli Suria. Umaira tergelak kecil.

“Ala bukannya luak pun. Lama-lama nanti aku kahwin jugak dengan tunang aku tu. Masa belum kahwin nilah aku main-main mata sikit dengan orang lain. Dah kahwin esok dah tak boleh buat.” Balas Umaira, nakal.

Suria tersenyum sendiri. Yalah tu, buatlah lagi. Tahu dek tunang tu nanti, mahu kau nangis tak berlagu merayu-rayu dia! Bisik Suria dalam hati. Melihat wajah Umaira yang tersengih sendiri membuatkan Suria tergelak besar. Lucu!

* * * *

Mata Dato’ Hamdan menerpa ke arah Nazrul sewaktu lelaki itu melangkah masuk ke biliknya. Nazrul memandang Dato’ Hamdan seketika sebelum duduk di hadapan lelaki itu. Dia menarik nafas panjang.

“Bagaimana dengan tugas Naz? Dapat sesuaikan diri?” Soal Dato’ Hamdan seraya tersenyum.

“So far okay.” Jawab Nazrul ringkas.

“Ayah rasa ayah patut naikkan pangkat Naz lebih tinggi lagi. Bagaimana kalau ayah jadikan Naz Pengarah Urusan?” Cadang Dato’ Hamdan. Nazrul dengan pantas menggelengkan kepala.

“Tak payahlah ayah, lagipun jawatan tu terlalu besar bagi saya. Sebagai Ketua Operasi pun saya dah rasa susah nak terima. Lagipun saya lebih suka jadi wartawan biasa.” Balas Nazrul. Sememangnya dia sukakan kerjaya yang mencabar, yang menepati dengan kepuasan hidupnya.

Selama dia berkhidmat sebagai wartawan BBC selama dua tahun di Berkshire, banyak pengalaman hidup yang ditempuhinya. Paling berharga apabila dia mengikut sekumpulan wartawan-wartawan Reuters ke Afghanistan, menjejak kisah pertelingkahan antara tentera Pakistan dengan kumpulan militan pro-Taleban di sempadan Afganistan. Meskipun setiap hari berdepan dengan bahaya, tapi dia seronok sebenarnya.

Tapi keseronokan itu dihancurkan dengan kedatangan Hadif beberapa bulan yang lalu. Lelaki itu hadir membawa perkhabaran yang tidak dapat disangkal olehnya. Permintaan ibunya agar dia pulang ke Malaysia membuatkan dia jadi rimas, sekaligus rasa terbeban dengan masalah yang dibawa ibunya. Selama ini dia memang cuba lari dari wanita itu.

Sejak belajar di kolej sehingga dia menyambung pelajaran ke luar negara, dia sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang. Dan usaha ini dilakukan semata-mata kerana dirinya mahu bebas dari kawalan ibunya sendiri. Namun setiap kali dia cuba lari, setiap kali itu juga wanita itu dapat menjejaknya. Dia tahu dengan kebolehan wanita itu, dengan mudah dia boleh dijejaki ke ceruk mana sekalipun dia cuba bersembunyi.

“Naz, ayah tahu selama ini susah Naz nak terima ayah. Tapi percayalah, ayah sayangkan Naz.” Akui lelaki itu.

Nazrul terdiam. Sayang? Perkataan itu tidak ada maknanya jika diucapkan oleh lelaki asing seperti Dato’ Hamdan. Yang tidak pernah ada pertalian darah dengannya. Dia benar-benar terjeruk hati dengan keinginan ibunya untuk berkahwin semula dengan taiko stesyen televisyen itu. Tapi diam-diam dia juga tahu perkahwinan itu sememangnya mempunyai agenda tertentu. Jika tidak masakan ibunya memilih ahli korporat berstatus jutawan itu untuk menjadi teman hidupnya.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, boleh saya balik dan continue dengan tugas?” Tanyanya selamba. Tiada gerak emosi terkandung dalam suaranya yang mendatar seperti garis lurus. Dato’ Hamdan terkesima. Melihat Nazrul seolah tidak berminat mahu meneruskan perbualan, dia mengangguk akhirnya. Lelaki itu dibenarkan berlalu pergi.

Melihat kelibat Nazrul menghilang di sebalik pintu, Dato’ Hamdan mengeluh panjang. Entah bagaimana mahu diikat hati anak muda itu supaya mengasihinya bagaikan ayah kandung. Demi tuhan dia sayangkan Nazrul meskipun Nazrul sering melayannya seperti orang asing. Tiba-tiba dia diusik kenangan lama sewaktu dia mula-mula berkahwin baru, setelah kematian isterinya Rasyidah.

“Abang dah buntu Yong. Nazrul langsung tak mahu bercakap dengan abang.” Dia menoleh ke arah isterinya Yong Habibah. Wanita itu menoleh lalu tersenyum.

“Nazrul pernah menghadapi dua kehilangan serentak dalam hidupnya. Bagi dia masa abang,” pujuk Yong Habibah.

“Yong tahu kan yang abang tak ada anak masa berkahwin dengan arwah Syidah dulu. Sebab tu bila Yong dan Nazrul muncul dalam hidup abang, abang rasa sungguh gembira. Hidup abang rasa lengkap,” bisiknya sayu.

“Yong pun sayangkan abang. Abang lelaki yang sungguh baik untuk Yong, dan dari dulu Yong tahu yang Nazrul akan mendapat pengganti ayahnya.” Balas Yong Habibah pula.

Dia terdiam. Tangannya merangkul tubuh isterinya di samping. Sebuah kucupan singgah di dahi wanita itu. Dan sejak hari itu dia berjanji akan menjaga Yong Habibah dan Nazrul sebaik mungkin. Malah diam-diam dia menyimpan harapan untuk mengambil hati Nazrul. Tapi itu hanya harapan yang saban tahun meninggalkan sempadan luka di hatinya.

* * * *

Matanya memandang suasana di rumah kedai itu dengan penuh berhati-hati. Langkahnya ditekap di permukaan lantai, lalu menyusuri ruangan itu sambil matanya meliar mengawasi sekelilingnya. Setelah yakin lelaki tua yang selalu menjaga kedai itu tidak ada di situ, dia lekas-lekas menuju ke arah kaunter kedai. Mesin daftar tunai ditarik keluar. Wajahnya bercahaya melihat not-not kertas yang tersusun di dalamnya. Namun sejurus kemudian wajahnya kembali mencerut.

Nafasnya dihela kasar. Huh banyak ini aje ke duitnya? Tak sampai pun dua ratus ringgit. Daud mencebik. Orang tua kedekut nak mampus, rungutnya separuh geram. Dia baru hendak menutup mesin tersebut, tatkala matanya terpandang sesuatu di dalam mesin wang. Dahinya berkerut kehairanan.

Dia segera mengutip kad yang terdampar bersama-sama not kertas seringgit. Mata Daud mengarah pada paparan isi kad. Suria Baharom, KZM News. Dia membacanya berulangkali. Fikirannya menerawang pantas. Suria Baharom?

Tiba-tiba ingatan Daud terperosok pada satu wajah manis yang bercakap-cakap dengan pakciknya Hussin beberapa hari yang lalu. Dia masih ingat wajah ayu itu. Dia juga masih ingat pada jam yang dipegang Suria ketika itu. Mula-mulanya dia memang terperanjat apabila melihat jam tangan itu berada di tangan gadis itu. Namun Hussin memberitahunya, jam tangan tersebut milik salah seorang kawan gadis itu dan tujuan gadis itu ke situ hanya untuk membaiki jam tersebut. Penjelasan Hussin sedikit sebanyak membuatkan hatinya beransur lega.

* * * *

Sudah lama dia mengekori gerak geri lelaki berkumis liar itu. Meskipun dalam tempoh sehari, lelaki yang diekorinya asyik berkejar ke sana ke mari, namun dia sedikit pun tidak kisah. Dengan sabar dia mengekori lelaki itu meskipun teman di sampingnya beberapa kali mengeluh kerana kebosanan menanti di bawah terik mentari.

“Sampai bila abang nak ekori dia macam ni?” Lelaki di sampingnya bertanya. Dia hanya tersenyum.

“Sampai aku tahu apa dia nak buat dan ke mana dia pergi.”

“Lepas tu apa?”

Dia mengerling ke arah temannya. “Kita kena sabar Kamar. Orang-orang Yong Habibah sudah mula bertindak. Jika sampai masanya kita takkan mampu menghalang perempuan itu. Kau mahu lihat nyawa orang-orang yang tak berdosa dikorbankan begitu sahaja? Sudahkah kau lupa janji kau pada guru kita Kiyai Muluk?”

“Tapi kita sepatutnya tumpukan perhatian pada kerja kita bukan pada dia. Semakin kita tunggu semakin ramai gadis-gadis yang tak berdosa menjadi korban.” Kamar membantah kata-katanya.

Dia mencerlung ke arah lelaki itu. Namun kata-kata Kamar tidak membangkitkan rasa marahnya. Sebaliknya dia faham, kebimbangan Kamar bersebab. Semuanya kerana berita kematian gadis di Hutan Air Hitam beberapa hari yang lalu. Meskipun berita yang disebar tidak menyebut tentang punca kematian gadis itu, namun mereka berdua tahu, bencana yang sentiasa diawasi sejak di Johor beberapa bulan yang lalu, kini menggila semula. Kali ini di bandaraya Kuala Lumpur pula.

“Kamar, percayalah aku untuk kali ini. Dia harus kita libatkan kerana dia merupakan salah satu kunci yang boleh menghalang pembunuhan beramai-ramai yang pernah berlaku dua puluh lima tahun yang lalu.” Bisiknya cuba menyakinkan temannya. Kamar terdiam. Lelaki itu sudah mati kutu mahu membidas setiap kata-kata yang terluah dari bibirnya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!