Followers

Monday, June 21, 2010

Arina : Bab 12

ARINA berdebar-debar tidak keruan sementara menunggu kemunculan Alwiz. Dia mengerling ke arah ayah dan ibu saudaranya yang sabar menanti lelaki itu membawakan bukti seperti yang dikatakannya. Hatinya entah kenapa kecut memikirkan helah Alwiz kali ini. Bagaimana lelaki itu mahu membuktikan kata-katanya jikalau dia sendiri tidak pernah mengenali Alwiz sepanjang hidupnya?

Mata Fahrin Toh mengawasi kelibat lelaki itu tatkala Alwiz memasuki ruang tamu. Arina dan Suhana juga turut berpaling. Gerak geri Alwiz kini mencuri tumpuan tiga pasang mata. Masing-masing sudah tidak sabar menanti lelaki itu membuka mulutnya.

“Mana bukti yang awak katakan tu?” tanya Fahrin Toh apabila dilihatnya lelaki itu masuk ke ruang tamu tanpa sebarang benda atau sesuatu yang boleh menyokong kata-katanya.

Alwiz tidak terus menjawab. Matanya merenung ke arah Arina yang mula gelisah. Tatapan mata gadis itu membuatkan dia ragu-ragu mahu meneruskan niatnya. Tapi demi benda yang diinginkannya dari Fahrin Toh, dia terpaksa.

“Sebaiknya kita harus berbincang berdua sahaja Encik Fahrin.” Ujar Alwiz tiba-tiba menukar fikiran.

Mata Fahrin Toh menukas tajam ke arah anak muda itu. Dia tersenyum sinis.

“Jika anak saya tunangan awak seperti yang awak dakwa, tunjukkan saja buktinya. Mereka ada atau tidak, tidak ada bezanya sekarang ni.” Balas Fahrin Toh.

Mata Alwiz menatap kembali ke arah Arina. Dia seolah dapat mendengar jantung Arina yang berdegup kencang. Mungkin selepas apa yang akan ditunjukkannya sebentar nanti, jantung gadis itu akan lebih kencang bunyinya.

“Mengapa masih ragu-ragu? Just show me what you have.” Desak Fahrin Toh sudah mulai hilang sabar.

Mahu tak mahu, Alwiz mengeluarkan sesuatu dari poket jaket yang dipakainya. Sekeping kertas bagaikan kepingan foto dikeluarkan lalu dihulurkan ke arah lelaki itu.

Fahrin Toh mengerutkan dahinya. Kepingan foto itu disambut dengan perasaan ragu-ragu.

Sedetik berlalu, suasana di ruang tamu itu sunyi sepi. Hanya deruan nafas keempat-empatnya sahaja yang kedengaran. Arina sabar menanti dalam debaran. Meskipun dia berhajat mahu menjenguk gambar yang berada di tangan ayahnya, namun sebaik melihat kerut gusar di wajah ayahnya, dia terus mematikan hasrat hati. Sudahnya dia hanya mampu membisu di samping Suhana.

Mata Fahrin Toh menatap kepingan foto di tangannya agak lama. Wajah Alwiz jelas tersenyum lebar di sisi anaknya. Begitu juga Arina kelihatan riang dalam pelukan lelaki itu. Namun bagi Fahrin Toh, gambar itu langsung tidak membuktikan apa-apa. Dia mendongakkan wajahnya merenung ke arah Alwiz yang sudah melangkah ke arah jendela lalu merenung ke luar tingkap.

“Jika dengan sekadar sekeping gambar ini, awak nak menyakinkan saya tentang hubungan awak dengan Arina..well you are not satisfied me. Sekeping gambar tak boleh membuktikan apa-apa Encik Alwiz.” Nada suara Fahrin Toh sinis.

Alwiz berpaling. Renungannya singgah lama ke wajah lelaki itu. Dia menarik nafas panjang.

“Sekeping gambar boleh menceritakan apa sahaja hanya jika Encik Fahrin memerhatikannya dengan teliti. Just look at the picture…will you.” Suruh Alwiz tenang.

Dahi Fahrin Toh berkerut seribu, namun dia akur dengan suruhan lelaki itu. Tidak ada apa-apa yang aneh tentang gambar itu. Mungkin juga anaknya sememangnya bercinta dengan lelaki itu, tapi untuk bertunang seperti yang didakwa oleh Alwiz, dia masih tidak mampu untuk percaya.

Mata Fahrin Toh menuju pula ke arah Arina yang kelihatan gembira di dalam gambar. Gadis itu memakai sehelai pakaian seperti raincoat yang berwarna kuning keemasan. Lama meneliti, tiba-tiba mata Fahrin Toh terpandang sesuatu. Dia mengecilkan matanya. Ada sesuatu yang berbentuk seperti seutas rantai terhias di leher gadis itu di dalam gambar. Dia cuba memastikan sekali lagi. Namun melihat pada rantai itu, wajah Fahrin Toh tiba-tiba berubah pucat. Secara drastik matanya mencari wajah Alwiz.

“Ayah, kenapa ni?” Tanya Arina apabila dia melihat perubahan pada wajah ayahnya. Suhana turut dihambat kerisauan. Kenapa dengan wajah abangnya? Pucat lesi bagaikan baru sahaja bertemu dengan hantu.

Namun Fahrin Toh tidak mempedulikan pertanyaan Arina. Sebaliknya matanya lebih berminat ditala ke arah Alwiz yang kelihatan cukup bersahaja. Wajah lelaki itu direnung tajam.

“Did she sent you here?” Tanya Fahrin Toh terketar-ketar.

Arina terkejut mendengar kata-kata ayahnya. Siapa yang dimaksudkan ayahnya? Siapa yang telah menghantar Alwiz ke mari?

“Kita harus berbincang Encik Fahrin. In private…” Pinta Alwiz.

Dengan langkah longlai, Fahrin Toh bingkas bangun dari kerusi yang di dudukinya. Matanya dikerling ke arah Alwiz.

“Kita ke pejabat saya.” Ujarnya. Dia beredar ke muka pintu sambil diekori oleh Alwiz dari arah belakang.

Arina yang mahu tahu apa sebenarnya yang telah berlaku, mengambil keputusan untuk mengekori kedua-dua lelaki itu. Namun Fahrin Toh tiba-tiba menoleh.

“Arin…tunggu di sini dengan Mak Lang kamu. Jangan ke mana-mana sehingga ayah kembali.” Pesan Fahrin Toh sebelum menghilang ke dalam sebuah bilik.

Langkah Arina segera terhenti. Dia memandang kelibat ayahnya dengan wajah bingung. Sesaat matanya memangkas ke arah Alwiz yang turut berpaling ke arahnya. Lelaki itu memandangnya dengan tatapan mata yang cukup serius. Amat serius sehingga terbit satu kerisauan dalam hatinya tentang tingkahlaku kedua-dua lelaki itu yang dirasakannya cukup aneh.

Arina berpaling ke arah Suhana. Wajahnya resah.

“Mak Lang, ayah kenapa?” Tanyanya seolah-olah mengharapkan Suhana tahu jawapannya. Wanita itu tidak menjawab. Hanya nafas wanita itu kedengaran mendesah, tanda fikirannya juga turut buntu.

“Entahlah Arin, agaknya adalah hal yang ayah Arin nak bincang dengan Alwiz tu. Arin jangan bimbang, Mak Lang yakin..ayah Arin akan terima Alwiz juga akhirnya.” Pujuk Suhana tanpa mengesyaki apa-apa. Sejurus berkata, Suhana beredar ke arah dapur untuk menyiapkan minuman petang.

Tiba-tiba Arina menoleh ke arah sofa yang ditempati ayahnya sebentar tadi. Sekeping foto yang terdampar di atas sofa itu menarik minatnya. Dia segera mengutip kepingan foto tersebut lalu dijengah paparannya.

Apa yang dilihatnya membuatkan dia terpegun. Nafasnya berderu kencang. Kepingan foto itu benar-benar mengejutkannya. Apakah kerana ini baru ayahnya berkelakuan aneh?

Mata Arina terus memerhatikan gambar di tangannya. Tubuhnya yang sedang dipeluk Alwiz di dalam foto tersebut cukup untuk membuatkan kepalanya tiba-tiba jadi pusing. Tuhan! Bila masanya aku bergambar dengan Alwiz begini? Sedangkan bertemu lelaki itu juga tidak pernah selama ini. Aku mimpikah? Apakah gadis di dalam gambar ini benar-benar aku atau ini hanya sandiwara Alwiz untuk mengelabui mata ayah? Hati kecil Arina merusuh tanpa disedari. Tangannya terketar-ketar meramas foto di tangannya dengan wajah merah padam.

Dia berpaling ke arah bilik kerja ayahnya yang kini tertutup rapat. Dahinya berkerut seribu. Wajah Alwiz yang serius serta wajah ayahnya yang pucat lesi terhimbau kembali ke dalam kotak fikirannya, membawa semacam satu keresahan yang tidak ada penghujungnya.

Alwiz! Bibir Arina mengucapkannya tanpa sedar. Siapa lelaki itu sebenarnya? Apa sebenarnya yang membuatkan kemarahan ayahnya mereda secara tiba-tiba? Pertanyaan itu hanya mampu berlegar di kepalanya tanpa jawapan. Saat itu, Arina benar-benar di dalam keadaan buntu.

* * * *

FAHRIN TOH melangkah masuk ke sebuah bilik sambil diekori oleh Alwiz dari arah belakang. Sebaik dia menghampiri meja tulisnya, tubuhnya segera dibalikkan mengadap ke arah Alwiz yang kelihatan tenang. Namun ketenangan di wajah lelaki itu langsung tidak menyurutkan kegelisahannya. Tiba-tiba dia menarik salah sebuah laci di situ. Sepucuk pistol Glock 19 buatan Austria dikeluarkan lalu diacukan ke arah Alwiz.

Alwiz tidak berganjak dari kedudukan asalnya. Matanya mengawasi muncung pistol di tangan lelaki itu. Wajah Fahrin Toh yang gelisah ditatap tenang.

“Now tell me who you really are?” Pertanyaan Fahrin Toh singgah ke telinganya. Nada suara lelaki itu keras dan bersifat mengancam, meskipun ada getaran di hujung suara itu.

Alwiz tidak terus menjawab. Dia beredar ke arah tingkap di bilik tersebut. Berpaling sebentar ke arah jendela sebelum membalikkan tubuhnya menghadap Fahrin Toh semula.

Muncung pistol di tangan Fahrin Toh terus setia mengekori lenggok tubuh lelaki itu. Bersedia meledakkan peluru ke arah tubuh Alwiz jika benar lelaki itu bukan seperti yang disangkakannya.

“Encik Fahrin tahu siapa saya. Why don’t you believe me?” Soal Alwiz perlahan.

Peluh dingin memercik di dahi Fahrin Toh. Lelaki itu terketar-ketar memegang pistol di tangannya. Meskipun muncungnya berpeluru dan seharusnya dia tidak sepatutnya takut dengan lelaki itu, namun ada sesuatu yang membuatkan hatinya diserang rasa sangsi terhadap lelaki itu. Tak mungkin lelaki itu dihantar oleh Magdalena Anna. Bukankah wanita itu sendiri yang memberitahunya bahawa tidak akan ada sesiapapun yang akan menemui mereka di situ!

“Awak datang dari sana?” Dahi Fahrin Toh berkerut seribu ketika menyulam pertanyaan.

Alwiz mengangguk.

“Magdalena yang hantar awak ke mari?”

Alwiz menggelengkan kepala kali ini.

“Saya datang bukan kerana Arina kalau itu yang Encik Fahrin bimbangkan. Saya hanya mahukan sesuatu yang Encik Fahrin simpan. Diserahkan oleh Magdalena dalam jagaan Encik Fahrin lima tahun yang lalu.” Ujar Alwiz berterus terang.

Dahi Fahrin Toh berkerut. Kata-kata Alwiz membuatkan dia termenung panjang.

“Apa yang awak mahu?”

“Kunci Orkid. Saya mahukan Kunci Orkid yang Encik Fahrin simpan atas permintaan Magdalena sendiri. Kami harus dapatkan kunci itu supaya ia tak jatuh ke tangan pihak yang tak sepatutnya.” Ujar Alwiz serius.

Fahrin Toh terpegun sebaik mendengar Alwiz menyebut tentang Kunci Orkid. Siapa lagi yang tahu tentang Kunci Orkid kecuali….Mata Fahrin Toh semakin diliputi rasa curiga terhadap lelaki itu. Dia mengemaskan pegangan di pistolnya.

“Siapa awak sebenarnya? Bagaimana awak kenal dengan anak saya?”

“Tentulah saya kenal dengan bintang sirius milik saya yang sudah lama hilang, meski dia sudah tidak ingat siapa dirinya!” Keluh Alwiz perlahan.

Fahrin Toh terpegun. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

“Alwiz...you are the Prince…” Tiba-tiba Fahrin Toh menyebut begitu. Kelopak mata lelaki itu tak berkelip meratah wajah Alwiz. Dia sudah ingat siapa lelaki itu. Magdalena Anna pernah bercerita tentang lelaki itu padanya suatu ketika dahulu. Malah Arina sendiri pernah menyebut nama lelaki itu. Aduh, kenapa lambat benar dia sedar siapa lelaki yang sedang berdiri di hadapannya sekarang ini!

Alwiz tersenyum tenang. “Gerero sebenarnya..” Sahut lelaki itu.

“Magdalena…dia bagaimana?” Tanya Fahrin Toh.

Alwiz tidak terus menjawab. Wajah Fahrin Toh yang gelisah ditatap lama. Dia tahu bagaimana hubungan antara Magdalena dan lelaki itu bermula

“Dia sihat, tapi dia dalam masalah. Kami juga begitu…” Alwiz berterus terang.

Fahrin Toh terdiam. Keluhan kecil terlontar keluar dari bibirnya. Terbayang di ruang matanya wajah manis Magdalena Anna yang sering tersenyum memandangnya. Wajah wanita itu cantik seperti bulan purnama. Tutur katanya pula sentiasa lembut dan memikat hati.

Ketika pertama kali dia menemui Magdalena Anna 25 tahun yang lalu, hatinya benar-benar tidak dapat mempercayai hakikat bahawa wanita itu bukan berasal dari dunianya. Malah mereka berasal dari dimensi yang dipisahkan oleh jarak dan ruang kuantum yang berbeza. Namun kecantikan wanita itu benar-benar memukau perasaannya.

Ada perasaan kecewa menyelinap di dalam sanubari apabila dia mendapat tahu Magdalena Anna sudah dimiliki. Wanita itu datang ke dunianya hanya sementara bersama seorang lelaki tua yang menjadi mentornya. Dan suatu hari wanita itu menghilangkan diri entah ke mana. Membuatkan dia sasau menanti sesuatu yang tak pasti. Tahun demi tahun dia sabar menanti, namun Magdalena Anna bukan lagi ditakdirkan untuknya. Dia belajar untuk memahami, belajar untuk menerima kenyataan.

Ketika itulah dia mengambil keputusan berkahwin dengan Adelia, seorang gadis kampung yang baik budi dan tutur kata. Paling penting, kelembutan wanita itu mengingatkan dia pada Magdalena Anna. Tapi bahagia yang diharapkan dalam hidupnya tak berpanjangan, apabila Adelia meninggal dunia ketika melahirkan Chayi.

Kerana rasa berdosa terhadap Adelia, dia tidak pernah berkahwin lain. Chayi dibesarkannya seorang diri dengan bantuan adiknya Suhana. Perniagaannya juga semakin berkembang maju sehinggalah Chayi meningkat remaja. Dan secara tiba-tiba, Magdalena Anna muncul kembali dalam hidupnya. Membawa seorang gadis yang sedang tercedera.

“Apa sebenarnya dah berlaku kat sana?” Fahrin Toh bertanya.

Alwiz menarik nafas panjang.

“Peperangan akan meletus Encik Fahrin. Kami tahu sejurus sebelum Magdalena meninggalkan tempat ini, dia ada meninggalkan sesuatu dalam simpanan Encik Fahrin. Dan kami perlukan ianya semula. Kami mahukan Kunci Orkid itu semula!” Pinta Alwiz.

Fahrin Toh terkejut. Kunci Orkid yang disebut oleh lelaki di hadapannya cukup untuk membuatkan dia bungkam.

“Saya..saya tak faham apa yang awak cakapkan Alwiz.” Fahrin Toh cuba mengelak.

“Masa kami semakin suntuk Encik Fahrin. Kunci itu harus diserahkan pada kami supaya kami boleh kembali ke dunia kami. Kalau kunci itu Encik Fahrin serahkan, kami akan lepaskan anak Encik Fahrin, Chayi.” Ujar Alwiz. Kata-kata lelaki itu mengejutkan Fahrin Toh.

“Apa maksud awak? Jadi kehilangan Chayi angkara awak?” Suara Fahrin Toh meninggi. Hampir dia tidak percaya dengan ugutan yang baru sahaja meniti keluar dari bibir lelaki itu.

“Maaf, kami terpaksa lakukan semua ini sebagai jaminan untuk memastikan Encik Fahrin sudi menyerahkan Kunci Orkid itu pada kami. Jangan bimbang, kami takkan mengapa-apakan dia. Ini arahan dari Akademi untuk memastikan Encik Fahrin berkerjasama, itu sahaja.”

“Sekadar untuk mendapatkan Kunci Orkid itu awak sanggup menculik anak saya?” Marahnya belum mereda.

“Encik Fahrin harus faham, Kunci Orkid sangat penting bagi kami. Kalau kami tak bawa balik semua kunci-kunci Orkid yang wujud, dunia kami dan mungkin dunia Encik Fahrin akan musnah dan hancur. Kehadiran kunci-kunci ini mengancam kedua-dua dunia kita Encik Fahrin, dan ia harus dihapuskan segera.” Tegas Alwiz.

Wajah Fahrin Toh pucat lesi mendengar kata-kata Alwiz. Apakah semua itu boleh berlaku?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!