Followers

Wednesday, June 23, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 16

KELASNYA baharu sahaja selesai. Dia keluar dari dewan kuliah sambil mengintai kelibat Syazana. Mana pulak budak ni pergi? Tadi pesan nak ajak makan tengahari sama-sama!

Sedang dia menunggu, matanya terpandang kelibat pelajar-pelajar fakultinya yang sedang mengerumuni papan kenyataan fakulti. Hatinya diasak perasaan ingin tahu. Apa agaknya yang menarik di situ? Nak kata markah ujian keluar, musim ujian baharu sahaja selesai bulan lepas.

Aliya berjalan di belakang pelajar-pelajar yang bersesak-sesak di situ. Dia cuba mengintai namun tak berjaya. Apa yang dilihat mereka agaknya? Tiba-tiba matanya terpandang kelibat Alfian, teman satu jabatan yang berdiri di antara kelompok pelajar-pelajar di hadapan papan kenyataan.

“Pian....” Aliya memanggil sambil melambai-lambaikan tangannya.

“Hei Lia.” Alfian melaung dari tempatnya berdiri. Bersusah payah dia cuba keluar dari kelompok pelajar itu untuk mendekati Aliya.

“Apasal ramai sangat orang kat situ Pian? Apa yang menarik kat papan kenyataan tu?” Tanya Aliya. Dia benar-benar ingin tahu.

“Tak ada apa-apalah, cuma senarai nama untuk praktikal dah keluar.” Balas Alfian selamba.

“What?” Aliya hampir terjerit. Alamak, kenapalah dia boleh terlupa fasal latihan industri. Asalnya dia tidak mahu menyertai latihan industri kerana masih sibuk dengan tesis. Tapi Doktor Aidit berjaya menyakinkannya yang latihan industri adalah satu pengalaman yang sangat berguna sebelum memasuki dunia pekerjaan. Hendak tak hendak, dia terpaksa memberikan namanya. Dan semester yang lalu, dia sudah pun mengikuti beberapa seminar korporat yang dianjurkan oleh pihak universiti.

“Kau dapat mana Pian?” Tanya Aliya.

Anak muda itu hanya mengeluh. “Asalnya aku minta Perkasa Budi. Kau tahulah syarikat tu kan syarikat besar, tapi sayangnya tak dapat. Lain yang aku mintak lain pula yang dapat. Tapi aku dengar ada sorang dari jabatan kita dapat buat praktikal kat situ, tapi tak tahulah siapa. Aku nak tengok pun tak sempat, asyik bertolak-tolak dengan orang lain. Malang betul,” keluh Alfian.

Aliya hanya tersenyum melihat kehampaan pada wajah Alfian. Dia sendiri tidak ingat nama syarikat yang dipohonnya. Semuanya main isi ikut suka hatinya saja. Entah dapat entah tidak pun dia tidak pasti.

Apabila dilihatnya pelajar semakin berkurangan dari kawasan papan kenyataan itu, Aliya segera menerpa ke situ. Alfian juga mengekorinya dari belakang. Agaknya tidak berpuas hati dengan hanya tengok sekali.

“Fulamak, kau dapat Perkasa Budi la Lia.” Jerit Alfian sedikit terkejut. Aliya yang masih tercari-cari namanya tercengang. Hanya apabila Alfian menunjuk ke suatu arah, barulah dia terjumpa namanya sendiri. Bebola matanya tertancap ke arah senarai nama yang tertampal di hadapannya.

Perkasa Budi? Pelik! Macamana boleh dapat pulak? Dia memandang Alfian seakan-akan sedang berfikir.

“Macamana boleh jadi macam ni?” Suara rungutannya singgah di telinga Alfian. Anak muda itu mengerutkan dahinya.

“Kenapa? Takkan tak gembira dapat syarikat ni? Ini syarikat besar Lia, kau sepatutnya gembira. Bukan senang nak dapat peluang macam ni.” Ujar Alfian.

“Bukan itu Pian. Tempohari masa aku buat pilihan tempat untuk Latihan Industri, tak ada pula aku minta syarikat ni. Itu yang aku pelik ni macamana aku boleh dapat pulak sedangkan aku tak minta pun.” Sahut Aliya dengan wajah bingung.

“Kau tak ingat kau ada isi agaknya. Tak apalah Aliya, ini rezeki kau. Mungkin lain hari rezeki aku pulak.” Balas Alfian seraya tersengih.

Selepas Alfian berlalu, Aliya masih berdiri di situ. Dia masih tidak percaya dia akan membuat praktikalnya di Perkasa Budi. Sebenarnya dia tidak arif sangat dengan syarikat itu cuma hanya sesekali mendengar nama syarikat itu disebut oleh Doktor Aidit. Malah jika dia tidak silap, Perkasa Budi pernah dijadikan kajian kes dalam kelas Doktor Aidit dan beberapa pensyarah ekonomi yang lain. Untuk kali kedua, dia meneliti namanya di senarai, cuba memastikan pandangannya tidak silap.

Ketika dia termenung sendiri, matanya tiba-tiba terpandang Toyota Harrier kepunyaan Encik Adam di tempat parkir kereta kakitangan universiti. Lelaki itu kelihatan sedang rancak berbual-bual dengan seorang lelaki separuh umur di tepi keretanya.

Matanya mengecil, terus memerhati. Entah kenapa, lelaki separuh umur yang sedang bercakap-cakap dengan pensyarahnya itu menarik perhatiannya. Meskipun dia tidak nampak jelas wajah itu, tapi susuk tubuh dan gaya lelaki itu seperti terlalu akrab di matanya.

Apabila lelaki itu tiba-tiba berpaling, Aliya tergaman. Tanpa disedari, fail yang dipegangnya bertaburan di atas lantai. Dia terlopong bagai tidak mempercayai matanya sendiri. Wajah itu!

* * * *

Dalam usia baru menginjak 8 tahun, apalah yang diketahuinya. Yang dia tahu dia telah kehilangan tempat berlindung, tempat dia bermanja dan menumpahkan kasih sayang. Siapalah yang mampu mengerti hati seorang gadis kecil sepertinya. Tidak guna dia meratap walau keluar airmata darah sekalipun. Ibu dan ayah yang disayanginya tetap jua takkan kembali. Hendak menumpang kasih pada siapa lagi, kerana hanya ibu dan ayah yang dia ada.

Dia masih ingat lagi di hari pengebumian ayah dan ibunya, ada seorang lelaki yang setia memegang tangannya. Tidak pernah dilepaskan walaupun dia meronta dan mengamuk, tatkala jenazah ayah ibunya diturunkan di liang lahad. Gerimis kecil seolah-olah mengiringi tangisannya. Mungkin bersimpati dengan nasibnya yang tersurat.

“Mak….ayah, kenapa tinggalkan Lia? Lia nak ikut.” Dia meronta-ronta di pegangan lelaki itu. Namun pegangan lelaki itu semakin kemas di pergelangan tangannya.

“Sabarlah Aliya, mak dan ayah Aliya dah pergi tapi pakcik ada. Sabarlah sayang.” Pujuk lelaki itu. Bahunya dipeluk erat. Namun dia tidak peduli. Tangisannya semakin kuat di selang-seli dengan bacaan talqin di perkuburan.

Semenjak petang dia berkurung sahaja di dalam biliknya. Tetamu-tetamu yang hadir berziarah langsung tidak diendahkannya. Beberapa wanita yang menjenguknya di bilik tidak sampai hati melihat keadaannya yang muram di suatu sudut.

“Habis macamana budak Aliya ni tok, apa kita nak buat? Takkan nak biarkan dia sorang-sorang dekat rumah ni?” Dia terdengar suara Pak Mat, jiran keluarganya di sebelah rumah bersuara.

“Nantilah aku fikirkan Mat. Apa si Berahim ni tak ada saudara mara lain ke?”

“Seingat saya tak ada tok. Masa Berahim baru datang kampung ni dulu, dia tak pernah cerita apa-apa. Kalau tak silap, mak arwah si Piah kata Berahim ni anak yatim piatu, tak ada saudara mara.”

Tok Ketua menggaru kepala yang tidak gatal. Termenung dia mendengar kata-kata Pak Mat itu. Sekaligus sedih mengenangkan nasib Aliya. Kecil-kecil lagi sudah merasai kehilangan ibu dan ayah.

“Sudahlah arwah si Ibrahim sebatang kara, arwah Salbiah pun cuma berdua saja dengan arwah Mak Som. Mungkin dah takdir tuhan. Kalau tak ada orangnya yang hendak menjaga Aliya ni, nampaknya terpaksalah kita hubungi jabatan kebajikan. Kita putuskan begitu sajalah.” Putus Tok Ketua dalam keadaan serba salah.

Mengenangkan rata-rata penduduk di kampung itu hanya menoreh dan bercucuk tanam, setelah difikirkan lebih baik Aliya diserahkan sahaja ke tangan jabatan kebajikan masyarakat. Sekurang-kurangnya kebajikan anak itu terpelihara. Begitulah fikiran Tok Ketua.

“Assalamualaikum!” Laung satu suara dari luar. Serentak orang-orang kampung yang berada di situ menjenguk ke bawah. Seorang lelaki yang tidak dikenali berdiri di hujung tangga bersama seorang wanita dan seorang budak lelaki dalam lingkungan usia belasan tahun. Kehadiran mereka menarik perhatian orang-orang yang berada di situ.

Tok Ketua mengerutkan dahinya. Wajah itu dikenalinya, kerana mereka baru sahaja bertemu di tanah perkuburan tengahari tadi. Cuma dia sendiri tidak tahu siapakah lelaki itu.

“Encik ni yang datang di pengebumian arwah Ibrahim dan Salbiah tadi kan?” Sapa Tok Ketua dari atas. Lelaki itu hanya melontarkan senyuman, sebelum mendaki tangga rumah dan bersalaman dengan orang-orang kampung yang berada di ruang tamu.

Dalam diam-diam Aliya mengintai dari tirai kamar. Dia melihat seorang lelaki bertubuh besar sedang asyik berbual-bual dengan Tok Ketua. Lelaki itulah yang memegang tangannya sebentar tadi. Dan dia hanya membiarkan sahaja. Entah kenapa, terasa seperti satu keselesaan memegang tangan itu. Seperti dia memegang tangan ayahnya sendiri. Wanita di sebelah lelaki itu tidak dikenalinya, tapi wajah budak di sisi lelaki itu menarik perhatiannya. Dia asyik memerhatikan budak lelaki itu.

“Kalau ada keizinan dari abang, saya ingin mengambil Aliya sebagai anak angkat saya. Puan Hamimah ni dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihaknya pun bersetuju untuk mempertimbangkan hal ini. Lagipun saya dapat tahu, Aliya ni dah tak ada saudara mara, baik dari belah ibu atau belah ayahnya Ibrahim.” Tutur lelaki itu agak teratur.

Tok Ketua terdiam seketika. Wajah lelaki di hadapannya ditatap serius. Meskipun dia tidak berapa mengenali lelaki itu, namun firasatnya mempercayai kebenaran kata-kata lelaki itu. Orangnya nampak segak kemas dengan baju melayu moden dan cermin mata kecil yang dipakainya membayangkan dia seorang yang berpengetahuan luas. Tentu orangnya juga kaya, kalau tidak masakan dia memandu Mercedes di tanah kampung yang berlecak, fikir Tok Ketua.

Apabila Tok Ketua mengalih pandangannya, matanya tertumpu ke arah budak lelaki di sebelah lelaki itu. Entah mengapa, wajah budak lelaki belasan tahun itu kelihatan aneh di mata Tok Ketua. Mata itu sayu bening menatap ke suatu arah. Apabila bebola mata Tok Ketua mengekori arah pandangan remaja lelaki itu, dia turut melihat potret arwah Ibrahim dan Salbiah sedang meriba Aliya tergantung di dinding rumah.

“Budak sebelah encik ni, anak ke?” Tanya Tok Ketua. Budak lelaki itu seolah-olah tersedar lalu memandang ke arah Tok Ketua.

“Ya anak saya.” Balas lelaki itu sambil tersenyum.

“Beginilah encik, saya sebagai ketua kampung bersetuju sangatlah dengan saranan encik tu. Cuma satu saja saya minta, tolonglah jaga Aliya baik-baik macam anak encik sendiri.” Pinta Tok Ketua setelah berbincang dengan beberapa orang kampung yang ada di situ.

“Soal itu abang janganlah risau. Insya Allah, Aliya takkan terabai dari segi pelajaran dan kemudahan. Saya akan pastikan dia mendapat semua yang diinginkannya,” janji lelaki itu.

Perlahan-lahan dia menghindar jauh dari dinding. Fikirannya keliru. Benarkah seperti apa yang didengarnya? Tak lama lagi dia akan diambil sebagai anak angkat oleh lelaki itu. Ini bermakna dia akan tinggalkan rumah ini? Meninggalkan segala kenangan manis bersama ayah dan ibunya di rumah ni.

Ayah, mak….Lia takut. Lia tak mahu ikut pakcik tu. Lia nak tinggal sini, biar dekat dengan kubur ayah dengan mak. Tolong Lia mak….,” rintih Aliya namun tiada siapa pun yang mendengar ocehan hatinya.

* * * *

“Lia, bangun!” Tubuhnya digoncang kuat berkali-kali. Dia cuba membuka mata, meskipun terasa berat. Syazana sedang duduk di birai katilnya. Memandangnya dengan wajah kehairanan.

“Kenapa ni Lia? Mimpi buruk? Dah dua malam macam ni.” Rungut Syazana. Dia benar-benar bimbangkan keadaan Aliya. Sudah lama dia tidak melihat Aliya meracau-racau dalam tidur seperti itu.

Perlahan-lahan Aliya bangun, lalu bersandar di kepala katil. Dia menyapu dahinya yang basah dek peluh. Melihat wajah gadis itu yang keletihan, Syazana terus menuang air putih dari termos yang terletak di atas meja tulisnya lalu menghulurkannya ke arah temannya.

Tanpa banyak soal Aliya terus meneguknya sampai habis. Dia benar-benar kehausan. “Thanks Sya.” Ucapnya sebelum memeluk lutut di atas katil.

Gadis itu hanya mengangguk lalu duduk di hadapannya tanpa bersuara. Aliya melemparkan senyuman. Dia tahu Syazana turut berasa tidak senang dengan mimpi yang kerap kali mengganggu tidurnya. Sudah banyak hari dia tidak lena tidur.

“Don’t worry Sya, mimpi biasa saja.” Aliya tersenyum hambar. Cuba menghalau kebimbangan yang bermain di wajah gadis itu.

Syazana hanya mampu mengeluh. Ditatapnya wajah Aliya yang muram di katilnya agak lama. Bukan kali ini sahaja dia terjaga dari tidur kerana Aliya. Sejak dia menjadi teman sebilik gadis itu, tiga tahun yang lalu, Aliya memang kerap meracau-racau di dalam tidur. Hanya setelah mereka berada di tahun kedua, baru racauan gadis itu mulai berkurang. Tapi entah apa sebabnya, malam ini dia mendengar lagi racauan yang sama.

“Lia, ada orang kata kita mengigau kalau ada sesuatu yang menganggu hati dan emosi kita. Ada sesuatu ke yang menganggu fikiran kau?” Syazana bertanya, penuh berhati-hati. Dia tidak mahu Aliya menyalah-tanggapi pertanyaannya.

“Tak ada apa-apa Sya, aku okey.” Aliya ketawa kecil, cuba melindungi kegugupan hati yang sedikit sebanyak dapat dibaca temannya itu.

“Betul ni?” Syazana seakan tidak mahu mempercayainya.

“Betul. Dahlah tu, kau pergilah tidur dulu. Besok kau ada kelas pagi kan?”

“Okey lah aku tidur dulu. Tapi kalau ada apa-apa hal, kau kejutkanlah aku ya.” Pesan Syazana sebelum beredar ke katilnya. Dia hanya mampu tersenyum melihat sikap prihatin Syazana yang tidak pernah berkurang dalam persahabatan mereka.

* * * *

Sepanjang malam itu, Aliya tidak mampu kembali melelapkan matanya. Dia asyik termenung di katilnya. Sesekali dia menoleh ke arah Syazana. Sekejap sahaja meletak kepala di atas bantal, dengkuran halus Syazana kedengaran di telinganya. Nyatalah temannya itu sudah dibuai mimpi panjang. Tinggal dia terkontang-kanting sendirian.

Entah mengapa, ingatannya asyik tertumpu pada wajah yang dilihatnya bersama Encik Adam beberapa hari yang lalu. Dia tahu matanya tidak salah memandang. Mana mungkin dia akan lupa wajah itu. Wajah yang sama memimpin tangannya ke rumah anak-anak yatim Seri Kenangan lima belas tahun yang lalu.

“Lia kena tinggal kat sini dulu buat sementara waktu. Nanti bila semuanya dah selesai, pakcik datang bawa Lia balik rumah.” Ujar lelaki itu.

“Lia nak balik.” Dia merengek seakan-akan mahu menangis.

Lelaki itu menatapnya dengan senyuman. Bahunya dirangkul erat. “Mulai hari ni, Lia dah jadi anak pakcik. Tempat Lia di rumah pakcik. Tapi pakcik kena uruskan satu perkara sebelum Lia boleh balik ke rumah. Jadi pakcik nak Lia duduk kat sini buat sementara waktu. Lagipun kat sini, Lia boleh main-main dengan kawan-kawan sebaya Lia.” Pujuk lelaki itu lagi.

Dan itulah kata-kata terakhir lelaki itu tatkala dia ditinggalkan bersama Ibu Fatimah. Waktu itu hati kecilnya tertanya-tanya kenapa dia ditinggalkan di situ? Namun hidupnya saat itu lebih mewah dari anak-anak yatim yang lain. Dia mendapat segala-galanya yang diinginkan. Kemewahan dan hadiah-hadiah mahal yang tidak pernah diimpikannya bagai air yang menderu jatuh ke ribanya.

Dia tahu dirinya sering dicemburui teman-temannya yang lain. Saban waktu sambutan harijadinya sentiasa istimewa dan besar-besaran, meskipun hanya disambut bersama teman-temannya di rumah anak yatim itu. Hanya sesekali lelaki itu akan datang menjenguknya. Kadang-kala membawanya keluar ke bandar jika dia ingin membeli sesuatu atau ingin bersiar-siar. Itulah dunianya semasa kecil. Sedikit demi sedikit, dia mula melupakan kesedihan.

Namun hanya tahun-tahun pertama lelaki itu hadir dalam hidupnya. Aliya sendiri sudah lupa, entah sejak bila dia sudah tidak melihat wajah lelaki itu lagi. Saban hari dia menunggu, namun lelaki itu tidak kunjung tiba. Aliya rindu, namun tidak mampu mengucapkannya. Hinggalah suatu hari dia mengenali Pak Kassim. Lelaki itu seolah pengganti, muncul tap-tiap bulan bertemunya. Meskipun dia ingin menemui lelaki itu, namun kemesraan Pak Kassim jua menghiburkan. Dan dia seakan tidak pernah merasa sunyi.

Jauh di sudut hati, entah kenapa hatinya kuat mengatakan lelaki yang ditemuinya bersama pensyarahnya itu adalah lelaki yang sama yang memegang tangannya sewaktu kedua ayah dan ibunya dikebumikan. Malah wajah yang sama juga yang membawanya ke rumah anak-anak yatim itu lima belas tahun yang lalu.

Mungkinkah lelaki itu benar-benar daddy? Benarkah daddy yang Lia nampak? Siapa Encik Adam pada daddy?

Berbagai-bagai persoalan menerpa ke benak Aliya. Dia ingat lagi bagaimana Encik Adam melayan lelaki itu agak mesra. Bergelak ketawa seolah-olah sudah kenal lama. Apakah hubungan di antara mereka? Anak dan ayahkah? Dia masih ingat lagi lelaki itu mempunyai seorang anak lelaki berusia belasan tahun yang pernah dilihatnya. Budak lelaki yang asyik memandangnya tanpa henti, tatkala dia merengek-rengek tidak mahu melepaskan tangan lelaki itu. Ah! Semua ini benar-benar membingungkannya! Aliya menekup muka dengan kedua-dua belah tangannya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!