Followers

Thursday, May 7, 2020

Beautiful Lie (Bab 3)


TEKSI yang dinaikinya berhenti di sebuah rumah teres setingkat. Seorang gadis bertocang turun dari perut teksi dan membayar sejumlah wang kepada si pemandu. Kepalanya tertoleh ke suatu arah, merenung lama sebuah kereta dari jenis Mitsubishi Lancer berwarna putih yang terparkir di laman rumahnya.
             Mengecam si pemilik kereta itu, dia menarik nafas panjang. Wajahnya sudah menegang. Mahu apa lagi wanita itu datang mencarinya? Bukankah hutang mereka sudah lama langsai?
     Adriana menapak masuk ke dalam. Di ruang tamu dia terpandang kelibat wanita itu sedang berbual-bual dengan adiknya. Wanita itu tersenyum sebaik menyedari kepulangannya.
         “Dah balik pun adik kakak ni.” Suara itu meresap mesra tetapi Adriana tahu kemesraan itu hanya dibuat-buat.
              Dia mencampakkan beg sandangnya ke tepi lalu menjeling Anas.
       “Anas, masuk dalam tengok mak. Kakak nak cakap sikit dengan Kak Yas.” Ujar Adriana memberi isyarat pada si adik. Anas tanpa banyak soal terus mengangguk lalu menghilang ke dalam.
         Yasmin sekadar tersenyum memerhatikan anak muda itu. Comel sungguh Anas. Dua tiga tahun lagi anak itu akan jadi anak muda yang kacak, desis hati kecil Yasmin.
         “Anas dah tingkatan 4 kan tahun ni? Tahun depan SPM.” Suara Yasmin kedengaran.
        “Apa kakak nak lagi dengan kami? Hutang kami dengan kakak dah lama selesai, jadi tolong keluar dari rumah ni.” Pinta Adriana, masih dengan suara terkawal. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu ibu dan adiknya mendengar perbualannya dengan Yasmin.
           “Rian, kenapa marah-marah ni sayang? Kak Yas dah lama tak jenguk Rian, at least cakaplah elok-elok sikit.” Yasmin tersenyum.
             “Rian tak faham dengan kakak ni. Apa lagi yang kakak nak kikis dari kami? Rian dah tak ada duit nak beri kakak. Keluarga kami dah tak ada apa-apa. Rumah ni pun rumah sewa.” Tutur Adriana berang.
        “Adriana, kakak bukan datang nak kutip duit. Tapi kakak datang nak tawarkan kerja untuk Rian. Kakak tahu Rian kesempitan duit. Belanja hospital mak Rian, belanja sekolah Anas, belanja kolej Rian, semuanya akan selesai kalau Rian terima tawaran kakak ni. Kalau Rian nak, rumah ni pun kakak boleh belikan untuk Rian.” Ujar Yasmin tenang. Dia membelek-belek jambangan bunga di atas meja di suatu sudut.
          "Kerja apa? Rian tak nak buat kerja yang bukan-bukan.” Mata Adriana tajam memandang wanita itu.
             Yasmin ketawa kecil mendengarnya.
          Don’t worry, lepas apa yang Rian dah buat, tak ada orang berani nak ambil Rian kerja kat kelab tu lagi. Lagipun Tuan Malique masih bengang dengan Rian setelah Rian bocorkan kepala dia tempohari.” Gelak Yasmin.
      Adriana terdiam. Orang tua gatal itu masih berdendam padanyakah? Kerana Tuan Malique, keluarganya terpaksa berhutang pada Yasmin yang telah membayar gantirugi di atas kecederaan Tuan Malique tempohari. Hasilnya mereka terpaksa membayar pada Yasmin pula sedikit demi sedikit. Bukan sedikit jumlahnya tapi mencecah puluhan ribu ringgit. Semua wang simpanan milik ibunya dan dirinya habis begitu sahaja.
           “Kerja ni mesti Rian takkan tolak.” Provok Yasmin.
           “Kerja apa?” Tanya Adriana.
           “Jadi cikgu tuisyen.” Ujar Yasmin.
            Adriana tercengang. What? Jadi cikgu tuisyen?
         “Kakak bergurau kan?” Dia menatap Yasmin dengan wajah bingung.
         Yasmin menggeleng. “Kakak serius ni. Ada kawan kakak yang nak cari cikgu tuisyen untuk anak dia yang nak ambil SPM tahun ni. Kak Yas terus teringatkan Rian. Lagipun kakak rasa Rian orang yang paling sesuai.” Pujuk Yasmin.
         Adriana terdiam. Dia masih tidak mampu mempercayai Yasmin. Wanita itu jenis yang licik. Pasti ada helah yang sedang Yasmin rancangkan. Jika tidak masakan wanita itu bersusah payah mencarikannya kerja sebagai guru tuisyen.
          Well terima kasihlah. Tapi Rian dah ada kerja part time. Rian dah tak nak terlibat dengan apa sahaja rancangan kakak lagi.” Ujar Adriana.
              Yasmin terdiam. Degilnya budak ni! Dia harus melakukan sesuatu atau Adriana boleh merosakkan rancangannya.
      “Kakak baliklah, Rian nak berehat.” Ujar Adriana lalu membukakan pintu untuk wanita itu.
Yasmin mengetap bibir. Betulkah gadis itu tidak mahu menerima tawarannya? Cepat Yasmin! Fikir sesuatu untuk memaksa dia! Tanpa Adriana, rancangan kau takkan berhasil.
         Tell me something Rian, Anas tahu fasal mak kamu?” Yasmin menoleh seraya tersenyum sinis. Ideanya sudah muncul.
             Adriana terkesima.
           “Dia tahu kerja mak kamu yang sebenar? Dia tahu kakaknya pernah kerja kelab malam semata-mata sebab nak dapatkan duit untuk belanja sekolahnya?” Provok Yasmin tenang. Senyumannya menular di bibir.
             “Kak Yas, jangan…” Adriana mengetap bibirnya.
         “Dia tahu ayah kalian pernah cuba nak jual kakaknya sendiri? Dia tahu ayah kalian mati kerana apa? Kerana angkara siapa? Dia tahu itu semua Adriana?” Bisik Yasmin seraya merenung tajam ke arah gadis itu.
           Bebola mata Adriana bergenang air jernih. Kata-kata Yasmin ibarat racun berbisa. Kenapa Yasmin kejam benar memperlakukannya?
          “Kalau kakak cakap apa-apa pada Anas, Rian janji yang Rian akan bunuh kakak.” Getus Adriana dengan suara perlahan tapi keras bunyinya.
          “Jadi kau harus tahu apa yang kau patut buat untuk aku Rian. Aku cuma nak uruskan seseorang dan aku perlukan bantuan kau. Itu sahaja! Jika kau tolong aku, aku janji aku takkan muncul di depan keluarga kau lagi buat selama-lamanya. Ini yang terakhir kali, aku janji.” Ujar Yasmin dengan wajah serius.
          Adriana terdiam. Tepat seperti yang apa yang diduga, Yasmin memang ada agenda lain. Wanita itu bukan benar-benar ikhlas mahu membantunya. Dan dia tetap terperangkap dalam permainan wanita itu dari dahulu sehingga sekarang. Kali ini siapa pula yang bakal menjadi mangsa permainan Yasmin itu? Dan untuk apa dirinya diperlukan?
           “Esok, datang ke alamat ni. Aku tunggu kau.” Bisik Yasmin lalu meletakkan sekeping kertas berlipat ke tangan Adriana.
           Adriana terpaku seperti patung. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Hendak menolak, dia tahu dia sudah tidak ada pilihan lain lagi. Yasmin akan terus mengugutnya selagi kehendaknya tidak dituruti. Dia tidak mahu rahsia hitam keluarga mereka diketahui Anas, adiknya yang tidak berdosa apa-apa.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!