Followers

Sunday, May 9, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 6

ALIYA tergaman sebaik terpandang sekotak besar hadiah yang berbalut kemas terletak di atas mejanya. Siapa punya? Syazana yang menurutinya dari belakang terjerit kecil.

“Wow hadiah. Birthday kau ke Lia?”

“Entah. Rasanya harijadi aku lambat lagi.” Aliya teragak-agak mahu menyentuh kotak hadiah itu. Namun perasaan ingin tahu begitu kuat menguasainya.

“Bukalah, aku pun nak tahu siapa yang bagi.” Desak Syazana yang sekejap sahaja sudah berdiri di sebelahnya. Begitu berminat ingin tahu apakah isi kandungan kotak tersebut. Dengan berhati-hati, Aliya mengangkat kotak hadiah itu lalu membeleknya. Tak ada nama pengirim pada kotak tersebut. Yang ada hanyalah sekeping kertas bertulis namanya dan nombor bilik kolejnya sahaja.

“Siapa bagi Lia?” Soal Syazana.

“Entah.” Jawabnya separuh bingung.

Perlahan-lahan dia mencapai pisau kecil di mejanya, lalu membuka satu persatu helaian kertas yang membaluti kotak sederhana besar itu. Apabila helaian terakhir dibuka, dia terpegun. Syazana di sisinya turut ternganga.

“Mak oii cantiknya.” Ujar Syazana, kagum. Matanya tak berkelip memandang isi kotak tersebut.

Perlahan-lahan Aliya menarik sehelai baju kurung berwarna kuning air yang bersulamkan manik permata kecil di bucu kedua-dua lengan. Apabila dia mengungkai lipatan baju, sekeping kad berwarna pink menimpa kakinya. Dia segera mengutip kad tersebut lalu membaca isinya sepintas lalu. Tanpa disedari, bibirnya mula mengukir senyuman.

Syazana yang sedari tadi memerhatikan gelagat Aliya, mula tertanya-tanya.

“Siapa bagi Lia?” Soalnya ingin tahu.

“Daddy aku.”Aliya memandang Syazana sambil melebarkan senyuman yang tak lekang-lekang dari bibir. Gembira benar dia dengan pemberian lelaki itu.

“Daddy? Maksud kau ayah angkat kau tu?”

Aliya segera mengangguk. Tanpa bertangguh, dia segera menggayakan baju kurung itu di hadapan cermin. Warna kuning air itu begitu memikat. Cantik! Pandai daddynya memilih. Tentu lagi padan kalau dia mempunyai sepasang sandal yang sama warna.

“Alahai bertuahnya badan kawan aku yang seorang ni. Dapat ayah angkat yang pemurah. Aku rasa ayah angkat kau ni mesti kaya kan Lia. Yalah, dia selalu belikan kau macam-macam benda. Bulan lepas sahaja dia hadiahkan kau rantai tangan.”

“Tak kisahlah dia kaya ke tak Sya. Aku cuma harap dapat jumpa dia. Itu pun sudah cukup membahagiakan aku.” Ujar Aliya penuh berharap.

“Dont worry, aku percaya lambat laun kau pasti jumpa dia. Nanti kalau kau dah jumpa ayah angkat kau tu, jangan lupa perkenalkan pada aku. Manalah tahu ayah angkat kau tu ada ramai anak teruna yang handsome. Boleh aku pilih satu buat boyfriend.” Gurau Syazana nakal.

“Ala tak payah anak-anak dialah, apakata kau mengorat sajalah daddy aku tu, boleh juga kau jadi mak angkat aku.” Balas Aliya pula, separuh bergurau. Kedua-duanya kemudian tergelak besar.

* * * *

“TERIMA KASIH untuk hadiah tu. Baju kurung tu cantik.”

“Daddy tahu Lia mesti suka. Kerap-keraplah pakai baju kurung, mesti Lia nampak lagi manis.”

Aliya cuma mampu tersenyum membaca kata-kata daddynya di dalam YM.

“Boleh Lia tahu kenapa daddy hadiahkan baju tu pada Lia? Harijadi Lia kan lambat lagi.”

“Lia, suatu pemberian tak semestinya diberi pada harijadi atau hari perkahwinan saja. Bila-bila masa pun ia boleh diberi, asalkan seseorang itu ikhlas. Daddy benar-benar ikhlas dengan Lia.”

“Apa yang perlu Lia buat untuk balas budi daddy?”

“Tak perlu buat apa-apa sayang. Just be yourself. Daddy cuma mahu Lia hidup gembira, itu sudah lebih dari memadai.”

Ya daddy. Lia janji yang Lia akan hidup dengan gembira, jika itu yang daddy harapkan. Lia takkan benarkan sebarang kesedihan terus menghuni hati Lia seperti dulu. Bisik Aliya tersenyum.

“Hoi menung apa lagi ni?” Syazana menepuk meja agak kuat. Aliya tersentak. Lamunannya sebentar tadi melayang entah ke mana. Dia menjegilkan matanya ke arah Syazana, tapi seperti biasa anak gadis itu hanya ketawa tanpa rasa bersalah.

“Kuss semangat aku. Kalau ya pun bagi la salam dulu, ini main redah saja apahal?” Aliya pura-pura marah.

“Habis siapa suruh kau melamun?”

“Aku bukan melamunlah...”

“Habis kalau bukan melamun apa dia?”

“Aku termenung aje.” Aliya tersengih. Sengaja dia hendak mengenakan Syazana semula. Terbeliak mata anak gadis itu memandangnya.

“Badigol kau Lia. Perli aku ya.”

Aliya tergelak besar disusuli deraian ketawa Syazana yang ‘happy go lucky’. Beberapa pasang mata yang sedang makan-makan di kafeteria itu sesekali menjengah ke arah mereka. Ada yang tersengih dan ada juga yang menunjukkan riak wajah kurang senang. Mungkin berasa terganggu dengan gelak ketawa dua sahabat baik itu.

Tiba-tiba anak mata Aliya menangkap beberapa susuk tubuh yang melewati deretan meja berhampiran mereka. Kelihatan Doktor Aidit sedang bercakap-cakap dengan dua orang lelaki di sampingnya. Suara lelaki itu lantang kedengaran.

Aliya terus memerhati dengan penuh minat. Entah mengapa, salah seorang dari teman Doktor Aidit itu menarik perhatiannya. Macam kenal! Wajah lelaki bertali leher coklat lembut itu seakan-akan pernah ditemuinya, tapi dia tidak pasti di mana.

Lelaki-lelaki yang bersama Doktor Aidit itu masih rancak berbual-bual sambil mengambil tempat di meja yang hanya selang tiga buah dari meja yang didudukinya bersama Syazana.

Tiba-tiba Doktor Aidit berpaling. Menyedari kehadirannya di situ, lelaki itu terus melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Aliya tergaman, tidak tahu apa yang harus dibuat. Hendak tak hendak, dia terpaksa melemparkan senyuman pada pensyarah itu.

Gelagat Doktor Aidit menyebabkan kedua-dua temannya turut memandang ke arah Aliya. Kali ini Aliya terus terpaku di tempat duduknya. Dia nampak jelas wajah lelaki yang memakai tali leher coklat muda itu. Lelaki itu lelaki yang sama yang ditemuinya di pusat beli belah tempohari! Cuma kali ini, lelaki itu nampak benar-benar berlainan dengan kemeja dan tali lehernya berbanding t-shirt dan jeans denim yang dipakainya tempohari.

“Lia, mamat tu la.” Bisik Syazana, turut melopong memandang lelaki yang sedang tersenyum ke arah mereka.

* * * *

“SELAMAT pagi kelas. Saya pensyarah ganti untuk subjek History of Economic Thought yang ditinggalkan oleh pensyarah kamu Doktor Aidit. Kamu boleh panggil saya Encik Adam sahaja.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya pada seisi kelas yang nyata kusyuk mendengar dan memberi perhatian.

“So before we start the class, I would like to know your names, starting from there.” Pensyarah baru itu menunjuk ke arah seorang pelajar. Seorang demi seorang bangun memberitahu nama masing-masing.

Aliya memandang ke arah Syazana. Anak gadis itu hanya tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

“Kau rasa dia ingat kita tak Lia?” Bisik Syazana.

“Entahlah, aku pun tak tahu.” Balas Aliya sedikit resah.

“Alamak malunya aku. Rupa-rupanya dia kawan Doktor Aidit. Macamana dia boleh jadi lecturer kita pulak?” Keluh Syazana.

“Kau boleh tolong diam boleh tak? Itulah, hari tu kau pandai-pandai layan dia siapa suruh? Nasib aje lah kalau dia ingatkan muka kita hari ni.” Marah Aliya. Tiba-tiba kepalanya jadi berserabut dengan omelan Syazana.

“Cik yang pakai baju kurung tu siapa nama?”

Aliya tergaman. Dia memandang kawan-kawannya yang lain. Semuanya menunjuk ke arah lelaki itu. Dia mengalihkan bebola matanya. Lelaki itu sedang memandangnya sambil tersenyum. Dari tempat duduknya, Aliya nampak dengan jelas lesung pipit kecil yang terukir pada wajah itu. Entah kenapa hatinya terusik.

“Lia, dia tanya nama kaulah.” Bisik Syazana, apabila melihat reaksi Aliya yang seperti patung cendana. Senyap sunyi tanpa apa-apa reaksi. Kata-kata Syazana mengembalikannya ke alam realiti semula. Dia cepat-cepat mengatur nafas lalu menyebut namanya.

“Aliya.”

“Aliya? Is that all?” Lelaki itu tersenyum ke arahnya.

Kali ini Aliya pula tersenyum, menyedari kesilapannya.

“Maaf. Aliya Murni binti Ibrahim.”

“Cik Aliya, saya difahamkan kamu di bawah penyeliaan Doktor Aidit untuk tesis kamu, betul? Jadi bermula hari ini, saya akan mengantikan Doktor Aidit sebagai penyelia projek kamu sehingga beliau balik dari Vienna. Jadi lepas ni tolong jumpa saya di bilik Dr. Aidit.” Pesan lelaki itu.

Aliya segera mengangguk. Lega kerana lelaki itu tidak pula menyebut apa-apa petanda yang mengaitkannya dengan peristiwa di pusat beli belah tempohari. Agaknya lelaki itu memang tidak ingat pertemuan mereka beberapa hari yang lalu agaknya. Namun jangkaan Aliya meleset. Ini kerana sebaik sahaja Syazana menyebut namanya, lelaki itu segera ketawa kecil.

“Cik Syazana, kamu sudah beli buku yang ingin dibeli tempohari?”

“Su..sudah En. Adam.” Tergagap-gagap Syazana menyebut.

“Harap buku itu menarik untuk orang yang bakal menerimanya.”

“Harap-harap pun begitu.” Syazana tersengih. Lelaki itu tergelak besar dengan jawapan yang diberi Syazana.

“Fuh tergugat iman aku dibuat Encik Adam tu.” Keluh Syazana sebaik kelas mereka berakhir. Aliya acuh tak acuh mendengar lalu terus mengemaskan fail-failnya. Matanya sempat menjeling lelaki itu yang sedang melayan beberapa orang pelajar yang sibuk bertanyakan sesuatu. Entah mengapa hatinya bagai ditarik-tarik untuk terus memandang. Seperti ada sesuatu yang menarik perhatiannya pada gerak-geri lelaki itu.

Tiba-tiba lelaki itu berpaling ke arahnya. Aliya tergaman bercampur kalut. Serba salah pun ada. Ketara sangatkah aku merenungnya? Hatinya mula tidak senang. Hendak dilarikan matanya, dia jadi serba tidak kena apabila melihat lelaki itu melemparkan senyuman. Lelaki itu sekali lagi mengangkat tangan ke arahnya. Aliya hanya mengangguk. Dia tahu dia harus berjumpa lelaki itu sebentar lagi.

* * * *

DIA menarik nafas seketika sebelum mula mengetuk pintu bilik. Sebaik terdengar suara mengarahkannya masuk, Aliya segera menolak daun pintu. Dia melihat dua susuk tubuh sedang rancak berbual-bual di dalam bilik itu.

“Aliya, saya memang tengah tunggu awak ni. Masuklah.” Doktor Aidit mempelawa sebaik terpandang kelibatnya di muka pintu.

“Wah! Cantik awak hari ni Aliya. Selalunya jarang dapat tengok dia ni berbaju kurung.” Beritahu Doktor Aidit seolah-olah kepada teman di sebelahnya. Lelaki di samping Doktor Aidit hanya tersenyum simpul. Matanya tak sudah-sudah menatap gadis itu dari atas ke bawah. Memang anggun, hati kecilnya berbisik.

“Bila doktor nak bertolak ke Vienna?” soal Aliya sebelum duduk di hadapan dua lelaki itu. Walaupun dirinya merasa tidak selesa diperhatikan, namun apakan daya.

“Kenapa? Tak sabar nak tunggu saya pergi?” Gurau Doktor Aidit.

“Heh taklah, bukan macam tu. Cuma kalau saya tahu bila doktor nak pergi, bolehlah saya ikut hantar di KLIA,” balas Aliya berhati-hati. Silap cakap tersinggung pulak hati lelaki itu nanti.

“Malam lusa Aliya, flight pukul 9.30. Kalau nak hantar, apa salahnya. Kecil tapak tangan, Kompleks InventQ kat Putrajaya tu saya tadahkan.” Doktor Aidit berlawak. Aliya ingin ketawa, tapi malu nak melepaskannya di hadapan kedua lelaki itu. Terasa lucu dengan istilah yang digunakan oleh lelaki itu.

“Kalau betul awak nak hantar saya, bolehlah tumpang Encik Adam kita ni. Boleh Adam? Lagipun malam-malam bahaya nak ke KLIA tu. Jauh lagi satu.” Doktor Aidit memandang ke arah sahabatnya.

“Aku okey, no problem.” Sahut Adam selamba.

“Eh tak payahlah susah-susah Encik Adam. Saya boleh pergi sendiri, lagipun Syazana nak ikut sekali.” Dalih Aliya serba-salah. Cadangan Doktor Aidit benar-benar membuatkan dia kecut perut.

“Apa salahnya, bawalah kawan awak tu sekali. Lagipun saya faham, awak tentu tak selesa berdua-duaan dengan saya kan?” Adam tergelak kecil. Doktor Aidit ketawa terbahak-bahak mendengarnya.

Aliya malu sendiri mendengar kata-kata itu. Tak sangka, di bilik kuliah tadi nampak serius, rupa-rupanya loyar buruk jugak pensyarah baru ni! Gumam Aliya dalam hati.

“Saya tak bimbang, cuma takut nanti ada orang marah saya tumpang kereta Encik Adam.” Puas hati Aliya selepas menuturkannya. Ambik kau! Ingat kau saja yang pandai kenakan orang? Aku pun reti tau!

“Siapa nak marah? Lagipun Encik Adam ni masih belum berpunya, macam saya jugak.” Sampuk Doktor Aidit.

Aliya hanya tersengih nakal. Boleh percaya ke? Habis siapa pula gadis cantik yang bersamanya di pusat beli belah tempohari. Takkan adik pulak! Aliya langsung tidak percaya.

“Saya yang sepatutnya bimbang bawa Aliya naik kereta saya.” Tiba-tiba Adam bersuara sambil merenungnya.

“Kenapa?”

“Yalah bawa gadis cantik. Manalah tahu ada orang marah ke, tak suka ke.”

Aliya hanya tersenyum. Pandai lelaki itu mengenakannya dalam diam-diam.

“Okey sudahlah tu, kita bincang hal lain pulak. Begini Aliya, saya dah terangkan dengan terperinci pada Encik Adam berkenaan tesis Aliya. Malah dia dah baca proposal dan bahagian pertama. Beritahu dia pandangan kau Adam.” Suruh Doktor Aidit.

Adam memandang Doktor Aidit sekilas sebelum mengalih pandangan ke arah Aliya. “Ya, saya dah baca proposal dan chapter-chapter tu, dan saya amat berpuas hati dengan tajuk kajian Aliya. Saya difahamkan Aliya sedang menyiapkan bahagian kedua. So bila agaknya Aliya boleh tunjukkan saya chapter baru, kemudian kita boleh bincangkan lebih detail tentang tesis tu?”

“Insya Allah, bila-bila masa Encik Adam free. Saya tak ke mana-mana pun, di kawasan kampus ni saja.” Ujar Aliya. Jauh di sudut hati dia merasa sedikit lega kerana lelaki itu bukan jenis yang ‘lepas tangan’ dengan kerja-kerja tesis yang sedang dijalankannya.

“Okay that’s good. Bagaimana kalau esok? Opps tak boleh, saya kena jumpa Dekan. Kalau lusa, lepas kelas?” Mata lelaki itu menjamah tepat ke wajahnya. Aliya menarik nafas. Entah kenapa, renungan lelaki itu membuatkan dia gugup.

“Boleh, tak ada masalah. Err.. kalau tak ada apa-apa saya nak minta diri dulu doktor, Encik Adam.” Pantas dia bangun lalu membetulkan beg sandang di bahunya.

“Kami nak pergi minum di kafe. Mari ikut sekali.” Pelawa Doktor Aidit.

“Hmm tak apalah doktor, lagipun saya ada kelas lagi ni. Syazana tengah tunggu saya kat bawah. Saya pergi dulu.”

“Okeylah kalau begitu. Jangan lupa datang hantar saya kat airport. Nanti saya suruh Encik Adam kita ni call awak dulu sebelum pergi.” Ujar Doktor Aidit.

“Nanti saya call Aliya.” Sahut Adam seolah-olah berjanji. Wajah lelaki itu tiba-tiba berubah serius. Aliya hanya mengangguk, tidak pula memberi respon samaada setuju atau pun tidak. Dia segera angkat kaki meninggalkan bilik itu.

* * * *

“WHAT? Kau dah gila ke?” Hampir terjerit Syazana apabila mendengar kata-kata Aliya. Namun Aliya bersikap acuh tak acuh, sambil asyik mengemaskan lockernya yang agak bersepah. Macam sarang tikus!

Syazana yang tidak berpuas hati dengan reaksi gadis itu segera mencubit lengan temannya. Aliya tersentak.

“Aduh! Apa ni Sya? Sakitlah.” Dia mengaduh seraya menggosok-gosok lengan yang tentu akan lebam-lebam tidak lama lagi. Syazana hanya mampu tersengih.

“Tahu pun sakit. Aku cuma nak sedarkan kau kalau-kalau kau tengah bermimpi. Please Lia, peluang kan dah datang bergolek, kita rembat sajalah.” Usul Syazana.

“Sya, aku dah cakap dengan kau kan yang aku tak nak naik satu kereta dengan Encik Adam tu. Tapi kalau kau betul-betul nak pergi, kita naik cab atau sewa kereta saja boleh?” Cadang Aliya.

“Tapi kenapa pulak? Kan orang tu dah pelawa, lagipun kau ingat KLIA tu dekat ke? Jauh tau! Sekurang-kurangnya kita dah boleh jimat duit sewa kereta dan duit minyak. Jom la Lia, aku nak sangat hantar Doktor Aidit tu. Hadiah pun aku dah sediakan.” Pujuk Syazana dengan mimik muka memohon belas.

Melihatkan wajah Syazana yang beria-ria, Aliya mengeluh panjang. Hendak menolak dia tidak sampai hati pula. “Tengoklah macamana nanti. Aku fikir dulu.” Ujarnya akhirnya.

Syazana tersenyum girang mendengar kata-kata gadis itu. Mulanya dia bimbang juga kalau-kalau Aliya tetap berdegil, namun akhirnya dia yakin, gadis itu pasti tidak akan menolak permintaannya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!