Followers

Saturday, November 27, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 41

HAZRIL asyik termenung di kerusi rehat di halaman rumah. Fikirannya resah. Entah bagaimana dan kepada siapa dia harus mengatakan apa yang terbuku di hatinya. Memikirkan Aliya, dadanya bergetaran entah kenapa.

Sedari tadi Mak Yam asyik mengintai kelibat Hazril dari jauh. Dia perasan, sejak akhir-akhir ini Hazril tidak banyak bercakap seperti biasa. Ada juga dia bertanyakan Ikram mengenai Hazril ketika anak muda itu datang bertandang beberapa hari yang lalu, namun Ikram hanya ketawa kecil. Kata lelaki itu, Hazril hanya risaukan masalah di pejabat.

“Apa yang awak tengok tu Yam?” Tegur Pak Kassim apabila dilihat isterinya asyik meneropong ke luar. Dia mendekati isterinya. Cuba mengintai sama melalui celah langsir yang sedikit terbuka, tapi dia tidak nampak apa-apa yang mencurigakan.

“Saya tengok Hazril.” Beritahu Mak Yam akhirnya.

“Kenapa pulak dengan budak tu?” Pak Kassim tercengang.

“Inilah yang saya nak cakap dengan abang ni. Abang tak perasan ke perangai Hazril dua tiga menjak ni nampak lain macam?”

“Lain macamana?” Pak Kassim mengerutkan dahinya. “Awak ni ada-ada ajelah Yam.” Pak Kassim ketawa. Gelihati dia melihat telatah isterinya. Tak habis-habis risaukan Hazril.

“La.. takkan abang tak perasan? Hazril tu macam susah hati. Ada apa-apa ke yang berlaku kat syarikat tu?” Tanya Mak Yam.

“Manalah saya tahu Yam, dah lama saya tak ke sana. Hazril kan larang saya hantar dan ambil dia kat sana. Katanya dia lebih suka memandu sendiri. Kereta Perdana tu disuruhnya saya bawa awak jalan-jalan honeymoon saja.” Balas Pak Kassim separuh bergurau.

“Abang ni, ke situ pulak. Saya cakap serius, abang main-mainkan saya.” Mak Yam menarik muka empat belas. Geram dia dengan perangai suaminya itu. Sedikit pun tidak mahu ambil tahu apa yang berlaku pada Hazril.

“Agaknya dia risaukan Aliya kut.” Ujar Pak Kassim seolah-olah pada diri sendiri. Mak Yam memandang suaminya. Aliya? Betulkah Hazril memikirkan gadis itu?

Mak Yam mengeluh. Berbelas tahun lamanya dia mendengar cerita tentang kewujudan gadis itu. Namun dia sendiri tidak pernah mengenali gadis itu. Cerita-cerita mengenai Aliya hanya diketahui melalui suaminya sahaja. Sesekali bukan dia tidak mahu mengikut Pak Kassim menjenguk Aliya, tapi orang tua itu melarang. Katanya Hazzril tidak membenarkannya pergi. Dia sendiri tidak tahu kenapa?

Sedang dia asyik melamun, deringan telefon di ruang tamu berbunyi. Dia menoleh ke arah Pak Kassim, tapi orang tua itu sudah menghilang entah ke mana. Terkocoh-kocoh Mak Yam mengangkat telefon.

“Hello! Oh kamu rupanya. Hazril? Ada..dia ada kat luar tu. Nanti Mak Yam panggilkan.” Mak Yam segera menjenguk ke luar pintu. Dia terjerit-jerit melaung memanggil nama Hazril. Lelaki itu menoleh seketika sebelum berjalan menghampirinya.

“Ada apa Mak Yam?”

“Telefon.” Jawab Mak Yam ringkas.

Tanpa membuang masa, Hazril segera menuju ke ruang tamu. Gagang telefon di tepi meja diangkat. “Hello!”

“Hai dah tak ingatkan aku lagi?” Dia terdengar suara itu ketawa di hujung talian.

“Aidit! Hei kau kat mana ni? Bila balik?” Bertalu-talu soalan diasak ke arah temannya itu.

“Dah seminggu dah. Saja aku malas nak susahkan kau. Lagipun aku tahu kau sibuk. Tak sampai hati aku nak menganggu.” Ujar Aidit separuh bergurau.

“Tak adalah, bukan kau tak tahu urusan kat pejabat tu mana pernah habis.”

“Jadi adalah masa untuk aku ni?”

“Anytime.” Hazril ketawa.

“Boleh aku jumpa kau kat Serene Cafe, pukul lima petang nanti?” Pinta Aidit.

“Sure, why not?”

Hazril tersenyum seraya merenung gagang telefon di tangannya. Perlahan-lahan gagang itu diletakkan kembali ke tempatnya. Sudah agak lama juga dia tidak bertemu dengan Aidit. Dulu temannya itu pernah menelefon dari Vienna, mengatakan kursusnya akan tamat lebih awal dari yang dijangka. Sangkanya Aidit akan pulang awal ke Malaysia, tapi setelah dua bulan, baru dia mendengar berita teman yang satu itu.

* * * *

Dari jauh, dia melihat kelibat Aidit menunggu di suatu sudut. Lelaki itu melambai-lambai ke arahnya. Mereka berjabat tangan lantas berpelukan beberapa ketika.

“Kau nampak makin sihat ni.” Tegur Hazril sambil menepuk bahu teman itu. Terkejut juga dia apabila melihat Aidit tadi. Hampir dia gagal mengecam lelaki itu kerana tubuh lelaki itu dilihatnya semakin berisi.

“Kau nak minum apa?” Tanya Aidit apabila seorang pelayan menghampiri mereka.

“Fresh orange.”

“Bagi fresh orange dua. Eh silap, tiga fresh orange.” Aidit membetulkan pesanan.

Hazril mengangkat kening ke arah Aidit, namun lelaki itu hanya tersenyum lalu menunjuk ke suatu arah. Dia segera menoleh. Melihat kelibat Aliya melangkah ke arah mereka, dia lantas terpanar. Aliya?

“Aku yang call Aliya tadi.” Ujar Aidit perlahan.

Aliya yang menyedari kehadiran Hazril turut terpaku. Dia benar-benar tidak menyangka akan bertemu lelaki itu di restoran. Cuak juga hatinya kerana Doktor Aidit tidak berterus-terang ketika mengajaknya keluar tadi.

“Sorry doktor, saya lambat.” Dia menyapa Aidir.

“Lambat sepatutnya kena denda.” Aidit mengusik. Dia ketawa melihat wajah Aliya sedikit berubah.

“Gurau aje. Aliya ni tak berubah-ubahlah. Mudah sangat percaya kata-kata saya. Sikap macam ni boleh kena jual tau tak.” Canda Aidit.

Aliya hanya tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu. Dia sempat melirik ke arah Hazril sepintas lalu. Lelaki itu memandangnya dengan wajah bersahaja.

“Bila doktor balik ke sini? Kenapa tak beritahu?” Soal Aliya, sengaja mahu memancing suasana yang dirasakan agak kekok hari itu dengan kehadiran Hazril.

“Kalau saya beritahu, Aliya nak datang ambil saya ke?” Aidit cuba menduga.

“Mestilah, doktor kan pensyarah kesayangan saya.” Aliya tersenyum simpul. Lelaki itu dilihatnya tergelak besar.

“Habis saya seorang saja? Encik Adam bukan pensyarah kesayangan Aliya?” Soal Aidit dengan wajah selamba.

Aliya terdiam. Dia memandang wajah Hazril. Tatapan lelaki itu masih belum berkalih dari wajahnya. Dia kian resah. Matanya segera dilarikan dari wajah lelaki itu.

“Macamana praktikal Aliya di Perkasa Budi?” Tiba-tiba Aidit menukar topik. “Bos garang tak?” Tanyanya lagi sambil menjeling nakal Hazril di sisinya.

“Bagus.” Jawab Aliya ringkas.

Sebenarnya dia tidak berminat mahu bercerita panjang dengan lelaki itu kerana Hazril ada sama. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini dia merasa kurang selesa berada bersama lelaki itu. Adakalanya dia langsung tidak faham dengan perubahan sikap Hazril terhadapnya. Lelaki itu sering membuat dia bingung dan sekaligus resah.

Contohnya peristiwa kelmarin langsung tak disangka-sangka. Dia tidak tahu kenapa Hazril bertindak begitu kasar terhadapnya. Lagak lelaki itu seolah-olah marah terhadapnya.

Perasaan geram terhadap Hazril dibawa balik sehingga ke rumah sewanya. Beg kertas berisi pakaian yang dibeli oleh lelaki itu hanya dicampak ke atas katil. Sedikit pun dia tidak berminat ingin menyentuhnya.. Dia benar-benar tersinggung dengan layanan Hazril padanya.

“Saya rasa Aliya dah tahu kan siapa Encik Adam ni? Saya memang sengaja aturkan Aliya jalani praktikal di Perkasa Budi. Saya harap Aliya tak marahkan saya.” Ujar Aidit sambil memandang anak gadis itu.

Aliya masih membisu. Dia tahu lambat atau cepat, dia pasti akan berhadapan dengan persoalan ini. Cuma ada satu sahaja persoalan yang belum terungkai. Kenapa lelaki itu mahukan dia menjalani praktikalnya di Perkasa Budi? Apakah ada rahsia yang tersembunyi antara dua lelaki itu terhadapnya?

“Maaf, sebab saya tak beritahu Aliya perkara sebenarnya.” Hazril pula tiba-tiba bersuara. Wajah Aliya yang mendung ditatap agak lama. Gadis itu membalas tatapannya dengan mata sedikit berair.

* * * *

Selepas menghantar Aliya pulang ke rumah sewanya, Hazril terus memecut Toyota Harriernya menuju ke arah pusat bandar. Aidit dibawanya bersama. Namun dia tidak berminat mahu berbual-bual dengan temannya itu. Saat ini fikirannya hanya melayang pada seraut wajah yang asyik bermasam muka dengannya.

“Kenapa kau diam aje ni?” Soal Aidit tiba-tiba. Bukan dia tidak perasan, Hazril tidak banyak berbual-bual seperti biasa. Wajah lelaki itu keruh dan muram, meskipun Aliya berada bersama mereka sebentar tadi. Melihatkan keadaan Hazril hari itu, serta sikap Aliya yang sedikit kekok, Aidit merasakan seperti ada yang tidak kena.

“Adam, kau dengan Aliya ada masalah apa?” Tanya Aidit.

“Kenapa kau tanya macam tu?” Balas Hazril acuh tak acuh.

“Aku tahu aku bukan berkhayal, tapi kau dan Aliya nampak lain macam sangat.”

Hazril melirik sepintas lalu ke arah Aidit. Aidit memang agak peka jika dibandingkan dengan kawan-kawannya yang lain. “Patutnya kau ni jadi doktor psikologi, bukannya doktor ekonomi.” Dia tersenyum kecil.

“Adam, aku kenal kau dah berbelas tahun. Dari kecil kita kawan, sampailah sama-sama menuntut di universiti. Segala gerak geri, air muka kau semuanya dalam poket aku tau. Atau Aliya yang dah tahu?” Aidit menjeling ke arah Hazril. Jawapan lelaki itu dipintanya.

“Dia tak tahu lagi.” Keluh Hazril, sedikit resah.

“Kau tahu apa masalah sebenarnya kan? Masalahnya ialah kau tak berani berterus terang dengan Aliya. Semuanya akan selesai kalau kau berani dan sanggup berhadapan dengannya. Ceritakan segala-galanya pada dia. Biar dia pula yang tentukan apa yang patut dibuat.” Aidit jujur dalam memberi nasihat.

“Aku risau jika hatinya terluka..”

Aidit hanya tersenyum mendengar kata-kata teman yang satu itu. “Adam, aku rasa kau terlalu memandang rendah pada Aliya. Aku yakin Aliya bukan gadis yang lemah semangat. Soalnya di sini bukan hati Aliya yang terluka, tapi kau yang takut dilukai.” Canang Aidit.

Hazril terpanar. Dia merasa terpukul dengan kata-kata Aidit. Namun dia tahu temannya itu tidak berniat untuk menyakiti hatinya. Memang setiap patah perkataan Aidit ada benarnya. Selama ini dia yang takut dengan bayang-bayang sendiri. Takut pada fikiran Aliya yang mungkin akan berfikir yang bukan-bukan jika gadis itu tahu siapa dirinya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!