Followers

Wednesday, November 24, 2010

Blue Sunset : Bab 15

SESEKALI dia menjeling gadis di sampingnya. Sejak tadi, wajah muram itu terus dipandangnya dalam diam-diam sejak mereka meninggalkan perkarangan hospital. Dia perasan wajah Aqi lesu tidak berseri. Gadis itu juga tidak banyak bercakap dengan Iman dan juga dengan ibunya sendiri. Dia tahu punca kebisuan Aqi mungkin ada kaitan dengan ibunya.

“Awak!” Jerit Aqi tiba-tiba. Zahar tergaman. Terkejut bercampur panik mendengar jeritan nyaring Aqi yang menyumbat kedua-dua corong telinganya. Serentak dia menekan brek kereta lalu membelok ke tepi jalan. Sebuah van putih melewati keretanya dari arah bertentangan.

“Hoi yang kau menjerit macam nak keluar anak tekak ni apasal? Sakit telinga aku ni tau tak.” Marah Zahar. Bengang kerana disergah sebegitu rupa.

Aqi terdiam. Kelu lidahnya mendengar bebelan Zahar. Terselit juga rasa geram di hatinya kerana dimarahi sebegitu rupa. Sedarkah lelaki itu, kalau bukan kerana jeritannya, pasti kereta Zahar sudah bergerak ke tengah pembahagi jalan dan melanggar van yang sedang meluru laju dari arah berlawanan. Silap-silap haribulan, dua-dua masuk hospital. Parah!

“Lain kali kalau nak menjerit tu tengok-tengok sikit kat mana kau ada dan dengan siapa? Tak fasal-fasal aku kena polish telinga ni.” Rungut Zahar berang.

“Kalau saya tak jerit macam tu tadi, awak dengan saya dah lama jadi arwah tau tak. Kalau nak tegur saya pun, tengoklah dulu siapa yang salah. Bukannya tahu nak berterima kasih, sibuk kutuk-kutuk saya pulak. Patutlah nenek awak tak tahan dengan perangai awak yang bodoh sombong ni!” Herdik Aqi tiba-tiba. Segala amarahnya dilepas keluar tanpa berfikir panjang. Perasaan gelisah dan bimbang yang merantai hatinya sejak di hospital tadi turut dilepaskan biar apa yang terbuku di dadanya menghilang dengan segera.

Suasana jadi hening. Dada Aqi berkobar-kobar mengatur nafas. Dia memandang ke arah Zahar yang memandangnya satu macam. Mata lelaki itu menjamah ke serata wajahnya, bagaikan dia sebuah objek pelik yang sedang dinilai harganya.

Aqi gugup. Kerana terlalu marah, dia hilang pertimbangan diri dan tanpa sedar mengungkapkan kata-kata yang agak pedas untuk santapan telinga Zahar. Tuhan! Marahkah dia? Jangan berasap sudahlah! Itulah kau Aqi, apasal boleh keluar benda yang bukan-bukan dari mulut kau ni? Aqi mengguman sendiri, menyesali apa yang tidak boleh diundur semula. Ya, kata-katanya memang takkan mampu ditarik balik.

“Awak, saya…saya…” Aqi tergagap-gagap mahu menyusun mukadimah. Zahar dilihatnya mengalihkan matanya. Lelaki itu memandang lurus ke hadapan. Aqi semakin gelisah. Kelakuan Zahar sudah menunjukkan yang lelaki itu sedang dalam keadaan berang.

“Kita balik.” Ungkap Zahar perlahan. Keretanya dikenderai semula ke arah jalan raya. Aqi tercengang. Sangkanya Zahar mahu memarahinya, tapi lelaki itu kelihatan biasa-biasa sahaja. Eh silap! Luar biasanya sebenarnya. Ini bukan sikap Zahar yang sebenar. Nak kata kepala lelaki itu terhantuk sewaktu mengelak dari van tadi, rasa-rasanya tak ada. Pelik! Gumam Aqi dengan wajah bingung.

* * * *

Zahar membuka helaian sketches book bersaiz A4 yang baru diambilnya dari atas meja. Sesudah itu dia mencapai pula black pen di dalam bekas mug di atas mejanya lalu mula melakar pada kertas tebal berjenama Syamal yang sering digunakan oleh designer-designer dari pelbagai bidang. Dia jarang membuat lakaran menggunakan pensel kerana dirasakannya kurang selesa menggunakannya.

Tiba-tiba tangannya berhenti melakar. Zahar membelek helaian-helaian lain di dalam sketches tersebut. Beberapa lakaran bertemakan corak alam yang abstrak sudah disiapkan sejak dua hari yang lalu. Entah kenapa perasaannya jadi tidak enak. Ada sesuatu pada lakarannya yang dirasakan tidak lengkap. Seolah-olah hatinya sendiri tidak menyukai apa yang sedang dilukisnya. Kenapa begini? Keluh Zahar bingung. Apakah kerana dia sudah lama tidak membuat sketching maka ideanya sudah tidak fresh? Atau apakah kerana ada sesuatu yang membelenggu fikirannya?

Zahar mengeluh panjang. Sketches dihadapannya segera ditolak ke tepi. Dia menyandarkan tubuh ke belakang sambil berpeluk tubuh. Masih ada beberapa hari untuk sesi pembentangan tema untuk Riser. Bolehkah aku siapkannya tepat pada masanya?

Dia menolak kerusi ke belakang lalu bangun dari mejanya. Hajat di hatinya mahu membuat minuman untuk menghilangkan haus yang menjolok anak tekak. Ketika dia mahu melangkah ke arah dapur, matanya sempat meneliti jam dinding di ruang tamu. Hampir pukul 11 malam.

Melihat Aqi di meja bulat di dalam dry kitchen, dia terkejut besar. Aqi turut menoleh. Wajah gadis itu turut berubah. Zahar pura-pura tidak kisah lalu melangkah masuk dengan selamba. Dia berhajat mahu memasak air sebenarnya. Tapi sebaik melihat cerek kecil tertenggek di atas dapur, serta-merta mulutnya melepaskan keluhan.

“Kau yang masak air tu?” Tanyanya sambil memandang ke arah Aqi.

Aqi mengangguk. Mengiyakan saja apa kata lelaki itu.

“Kita kongsi air boleh?” Pintanya, tetap dengan wajah serius.

Sekali lagi Aqi mengangguk. Dia tidak kisah untuk berkongsi air panas itu. Lagipun semua benda di dalam rumah ini milik lelaki itu juga. Takkan dia hendak kata tak boleh. Nanti dikatakan melampau pulak!

Tak disangka-sangka Zahar menarik sebuah kerusi lalu duduk di hadapannya. Aqi serba salah. Terasa lemah kepala lututnya menyedari pandangan mata lelaki itu tertumpu ke arahnya. Dia pura-pura menumpukan perhatian pada lakaran yang sedang disiapkannya. Namun pensel yang dipegangnya terasa bergoyang sedikit. Cool Aqi, jangan mengaku kalah dengan mamat ni. Dia memang suka tengok kau gelabah! Pujuk hatinya.

Zahar memandang ke arah beberapa sketches yang bersepah di atas meja bulat. Matanya sempat menangkap beberapa fragmen imej yang dilukis oleh gadis itu. Cantik! Desis hatinya separuh kagum. Memang benar gadis itu berbakat sebenarnya. Hanya dia yang sukar mahu mengaku bahawa seorang gadis bertubuh kecil boleh melukis sebaik itu. Malah lebih baik darinya!

“Dah banyak yang siap?” Tanya Zahar.

Aqi mengangkat kepalanya. Memandang lelaki itu dengan wajah bingung.

“Aku tanya, dah banyak ke sketches yang kau dah siapkan?” Soalan itu berulang, tapi dengan nada yang lebih keras.

“Err..dah dekat tujuh agaknya.” Jawab Aqi sedikit gagap.

Zahar tidak memberi reaksi. Tangan lelaki itu menarik beberapa helaian sketches di atas meja lalu dibelek-beleknya sejenak. Bulat matanya mengarah pada hamparan kertas-kertas di tangannya.

“Tak payah buat banyak, buat lima belas cukuplah.” Ujar Zahar lagi. Matanya langsung tak berkalih dari lakaran yang dipandangnya.

Aqi mengangguk, meskipun dia tahu Zahar tidak memandangnya.

“Aku lapar, nak makan. Kau nak telur goreng?” Zahar tiba-tiba menoleh. Aqi terkedu. Tercengang dengan pelawaan lelaki itu yang tak disangka-sangka.

“Kalau tak nak sudah.” Tukas Zahar sebelum sempat gadis itu menjawab. Dia bingkas bangun lalu bergerak ke arah kabinet. Sebiji kuali berbentuk pan dikeluarkan dari dalam kabinet dapur. Dia juga mencapai tiga biji telur lalu dipecahkan ke dalam mangkuk. Isi mangkuk itu dikacau dengan sudu.

Sesudah itu Zahar mencapai bekas berisi minyak masak di belakang Aqi. Tapi entah macamana, sewaktu dia membawa minyak masak itu ke arah kuali, tiba-tiba kakinya tersadung kaki meja. Tubuh Zahar terdorong ke hadapan hampir jatuh. Namun sepantas kilat dia menahan dengan tangannya. Tanpa diduga, bekas berisi minyak di tangannya terus tercurah ke arah api yang menyokong dasar cerek.

Serentak satu libasan api naik tinggi ke udara. Bunyi marak api mengejutkan Zahar. Aqi yang menoleh turut tergaman. Zahar yang mahu berundur dari api yang kian marak itu terus melanggar Aqi yang turut mahu berundur dari kerusi yang didudukinya. Kedua-duanya terus jatuh mencium lantai. Aqi mengaduh kesakitan. Tubuh Zahar yang menghempap dirinya membuatkan dia sesak nafas. Malah kepalanya turut melanggar pemegang kabinet dapur di bahagian bawah.

“Sakit…” bisik Aqi dengan nafas termengah-mengah. Zahar memandang anak gadis itu. Untuk beberapa detik, dia terpempan memandang ke arah Aqi yang hanya berjarak beberapa meter sahaja darinya. Naluri lelakinya berombak-ombak menyedari betapa rapatnya dirinya kini dengan seorang gadis.

Suara Aqi yang memintanya menjauhkan diri, mematikan khayalan singkatnya. Zahar cepat-cepat mengalihkan badannya. Menghindar diri dari Aqi.

“Awak, api tu.” Jerit Aqi separuh terkejut melihat api yang semakin marak terus membalut tubuh cerek kecil itu.

Tanpa berfikir panjang, Zahar segera mencapai helaian kertas di hadapannya, digulung lalu dipukulnya api yang marak itu berkali-kali. Tapi usahkan mahu padam, sebaliknya api itu terus menjangkiti kertas di tangannya. Zahar cepat-cepat membuang kertas tersebut ke dalam sinki.

Melihat baldi kecil di tepi dapur, dia terus mencapainya lalu mengisi air ke dalamnya. Air di dalam baldi tersebut lalu dicurah ke arah api yang meninggi. Beberapa kali mencuba, akhirnya dia berjaya memadamkan api tersebut. Zahar cepat-cepat menutup gas yang masih terpasang.

Dia mengeluh lega. Nasib baik padam juga akhirnya! Kalau tak, mesti masak telinga ni kena basuh dengan nenek, keluh Zahar. Dia menoleh ke arah Aqi. Anehnya gadis itu terpaku di situ sambil memandang ke arah sinki. Zahar turut mengalihkan pandangannya. Sebaik dia melihat kertas sketches yang sudah rentung dan basah itu, dia terkejut besar. Alamak! Sketches dia? Mati aku! Gumam Zahar dengan wajah resah.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!