Followers

Wednesday, November 24, 2010

Blue Sunset : Bab 14

SWAN berjingkit-jingkit di belakang Aqi apabila dilihatnya gadis itu kelihatan kusyuk menyembunyikan kepala ke arah meja. Mug yang dipegangnya perlahan-lahan diletakkan di atas mejanya, sebelum dia merapati Aqi dengan nafas yang sengaja ditahan.

Tangannya perlahan-lahan berlingkar di belakang tengkuk anak gadis itu yang kelihatan ralit. Dengan bersulamkan senyuman nakal, tapak tangannya hinggap di bahu Aqi agak kuat. Aqi yang sedang melukis hampir terjerit. Opocot!

Ketawa Swan meletus kuat. Beberapa staf yang berada di meja masing-masing menoleh sambil tersenyum. Ada yang hanya mampu menggeleng kepala melihat sikap Swan yang suka menyakat.

Aqi berpaling ke arah Swan sambil mengurut dada. Ya Allah! Kalau hari-hari macam ni, mungkin dia mati lebih cepat agaknya. Gadis tomboy itu suka benar menyakatnya.

“Swan, terkejut saya.” Aqi mengeluh.

“Hai mudah terkejut tu maknanya ada problem kat jantung. Baik kau pergi check cepat-cepat Aqi.” Usul Swan masih berbaur usikan.

Aqi tersenyum kecil. Macam-macam hal minah ni! Namun dia tidak terdaya mahu memarahi Swan. Lagipun hanya Swan sahaja yang menjadi teman bercakapnya di situ, lagi-lagi meja mereka diletakkan berhampiran.

“Kau buat apa tu, kusyuk sangat?” Swan menjengah ke mejanya.

Aqi hanya membiarkan. Tidak ada apa yang patut disembunyikan. Hampir semua pekerja-pekerja di situ tahu yang dia sedang bertungkus lumus menyiapkan rekaan-rekaan yang dimahukan oleh Iman.

“Oh buat design untuk Riser ye. Hmm..bagus tu, teruskan usaha. Sebagai sokongan padu, nah aku buat air coklat special untuk Cik Aqi yang comel ni.” Ujar Swan. Dia mencapai mug berisi coklat panas di mejanya lalu diletakkan di atas meja Aqi. Aqi tersenyum simpul. Terasa senang dengan layanan Swan padanya yang penuh dengan kemesraan. Coklat panas itu segera dicapai lalu dihirup sedikit.

“Hmm..sedapnya.” Puji Aqi sengaja mahu mengambil hati Swan.

“Hei mestilah, tengoklah siapa yang buat.” Swan tersengih. Ketawanya meletus lagi membingitkan suasana di situ.

“Swan, kau takde kerja lain ke? Dari tadi aku tengok kau asyik ganggu Aqi aje.” Tegur Khairil yang duduk di hadapan kedua-dua gadis itu. Lelaki berjambang tebal itu tersengih-sengih memandang kedua-dua anak gadis itu.

Swan segera menarik muka masam. “Sibuk! Suka hati akulah.” Cebik Swan dengan mulut terherot-herot. Khairil dan Aqi hanya mampu ketawa besar melihat sikap Swan yang agak keanak-anakan. Gadis itu nama saja tomboy, tapi perangai langsung tak menampakkan kematangan.

“Emm..cantiklah rekaan kau ni Aqi, ada style.” Puji Swan ketika menilik beberapa lakaran yang ada di atas meja Aqi.

“Iman kata kau bukan designer fashion, tapi lakaran-lakaran yang kau buat atas jeans ni, orang fesyen pun kalah. Dulu kau ambil course apa?” Soal Swan ingin tahu.

“Industri.” Jawab Aqi.

“Oh orang industri. Gempak tu!” Swan tersengih. Aqi hanya tersenyum.

“Tapi apasal kau tak rendering terus design-design ni? Lepas ni mesti Iman suruh kau buat benda yang sama jugak.” Dahi Swan berkerut ketika memandangnya.

Aqi terdiam. Rendering?

“Senang kerja kalau kau tetapkan terus warna-warna untuk tema flora kau ni. Bila dah siap, baru kita grafikkan semua design-design ni.” Jelas Swan apabila melihat Aqi seperti kebingungan.

“Lagipun buat apa kita jadi designer kalau tak boleh bermain dengan warna kan!” Ungkapan Swan meskipun tidak bermaksud menyindirnya, namun cukup membuatkan wajah Aqi berubah pucat. Kata-kata Swan entah kenapa menghadirkan sekelumit resah dalam jiwanya.

Betul kata Swan! Untuk apa dia jadi designer kalau dia tidak tahu apa-apa tentang warna. Di mana letaknya kesempurnaan pada hasil-hasil rekaannya kalau dia tidak kenal mana-mana warna yang ada di dunia ini? Aqi tunduk. Keresahannya bersarang. Kesedihannya tiba-tiba mendatang.

Tanpa disedari, Iman tidak sengaja terdengar perbualan kedua-duanya ketika dia mahu mencari Edri. Melihat wajah Aqi yang resah, entah kenapa simpati Iman tumpah pada anak gadis itu. Dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran Aqi. Dengan keluhan kesal, dia bergerak semula ke biliknya. Ada sesuatu yang perlu dilakukannya.

* * * *

Hampir tercengang Aqi dibuatnya apabila Iman mengajaknya pergi bersama-sama melawat ibunya Kamelia di hospital. Dia yang terpisat-pisat mahu menjawab tiba-tiba dikejutkan pula dengan kehadiran Zahar yang tak disangka-sangka.

Perbualannya dengan Iman terputus apabila Zahar bertanyakan sesuatu dengan lelaki itu. Usai menjawab pertanyaan Zahar, Iman menoleh kembali ke arahnya.

“So macamana Aqi? Jadi ya lepas habis kerja.” Iman mencari kepastian.

Aqi terkedu mahu menjawab. Zahar yang belum beredar mengerutkan dahinya.

“Aqi naik kereta dengan saya. Nanti saya hantar balik.” Putus Iman sebaik dilihatnya gadis itu seperti sukar mahu membuat keputusan.

“Nak ke mana ni?” Zahar mencelah. Pandangan Zahar saling berganti pada wajah kedua-duanya.

“Aku nak melawat mak Aqi kat hospital. Khabarnya makcik dah sedar.” Ujar Iman. Zahar mengerutkan dahinya.

“Tak boleh.” Balas Zahar tiba-tiba. Pendek tapi tegas.

Dua pasang mata serentak memandang ke arah Zahar. Terkejut mendengar kata-kata itu meluncur laju dari bibir lelaki itu. Aqi seperti hendak pengsan mendengar bicara Zahar yang berbunyi agak aneh. Buang tebiat agaknya lelaki ni!

“Apasal pulak tak boleh?” Iman ikut tercengang.

“Aku kata tak boleh tak bolehlah.” Gumam Zahar.

“Don’t be childish Zahar. Apa salahnya aku dan Aqi pergi ke hospital jenguk mak Aqi? Yang kau tak fasal-fasal marah ni apasal?” Tempelak Iman separuh bengang. Sikap Zahar dirasakan benar-benar tak masuk akal. Nak marah pun biarlah bertempat!

“Dia kena balik dengan aku. Datang kerja dengan aku, balik pun dengan aku.” Putus Zahar tegas.. Iman terlopong mendengarnya. Gila ke apa Zahar ni?

Zahar berpaling ke arah Aqi yang turut tercengang memandangnya. “Kau nak aku kena marah dengan nenek ke? Dah lupa?” Dia mencerlung tajam ke arah gadis itu.

Iman yang tidak mengerti pokok pangkal tiba-tiba mencelah. “Ni apa kaitan pula dengan nenek kau ni?”

“Untuk pengetahuan kau Encik Iman Khaliq, budak perempuan ni tinggal kat rumah aku sekarang ni. Idea nenek aku! So aku dah dipertanggungjawabkan untuk pergi kerja dan balik sama-sama dengan dia. Kalau tak, berleter panjanglah orang tua tu nanti.” Ujar Zahar berterus terang.

“Wait, don’t tell me that Aqi…” Kata-kata Iman terhenti. Wajahnya menunjukkan kebingungan. Zahar mengangguk mengiyakan meskipun kata-kata temannya itu tergantung begitu sahaja. Dia tahu selepas ini tentu banyak soalan dilemparkan lelaki itu padanya.

Iman tiba-tiba ketawa besar. Serentak dua pasang mata menoleh ke arahnya. Dahi Zahar berkerut memandang Iman yang tiba-tiba jadi ‘sinting’ seketika. Aqi juga terkulat-kulat memandang lelaki itu.

“No wonderlah….” Macam tadi, kata-kata Iman juga sekerat. Dia tersenyum memandang ke arah Zahar dan Aqi silih berganti.

“Patutlah kau dan Aqi datang kerja sama-sama. Aku ingatkan kau terserempak dengan Aqi kat mana-mana, then terus bawa dia ke mari. Rupa-rupanya nenek kau dah cop dia dulu ya.” Ketawa Iman meletus. Santai!

Mata Zahar terbeliak mendengar kata-kata Iman. Cop? Istilah apa pulak tu?

“Tak sangka, Aqi kenal ya dengan nenek Zahar?’ Iman bertanya. Soalannya ditujukan buat Aqi yang tercegat seperti patung menghadap ke arah mereka berdua.

Gadis itu mengangguk perlahan. “Baru aje kenal sebenarnya. Dia yang ajak saya duduk sama-sama dengan dia bila dia tahu mak saya di hospital.” Jelas Aqi sekaligus berniat mahu merungkai segala tanda-tanya yang bersarang di kepala Iman. Seboleh-bolehnya dia mahu membetulkan apa sahaja tanggapan serong yang mungkin difikirkan lelaki itu mengenai dirinya dan Zahar.

“Nenek Zahar tu memang baik orangnya. Cucunya aje yang kepala batu.” Ungkap Iman separuh berbisik, dengan niat mahu mengusik Zahar.

“I heard that!” Getus Zahar dengan suara meninggi. Memberi petanda bahawa kata-kata bisikan Iman masih mampu mencelah masuk ke dalam corong telinganya.

Iman ketawa kecil. Dia sengaja berkata begitu untuk memancing perhatian Zahar. Matanya melurus ke arah Aqi yang hanya tersenyum. Pandangannya tumpah lama ke wajah itu. Manis senyuman Aqi sudah menakluk ke hatinya.

* * * *

Mahu tak mahu Zahar terpaksa bersama-sama menaiki kereta Iman ke hospital untuk melawat ibu Aqi. Mulanya dia malas mahu pergi bersama, tapi kerana mengenangkan kata-kata neneknya tempohari, dia memaksa diri untuk turut serta. Mereka terpaksa menunggu beberapa minit sebelum dibenarkan melawat Makcik Kamelia yang sudah dipindahkan ke wad kelas pertama. Semuanya kerana jasa Doktor Hakim yang membantu.

Aqi menerpa laju ke arah ibunya sebaik melangkah masuk ke bilik yang menempatkan ibunya. Wanita itu dipeluk kuat. Rindunya pada ibunya sudah tidak mampu dibendung lagi.

“Aqi datang dari mana ni sayang?” Tanya Kamelia dengan suara yang masih lemah. Badannya masih belum cukup kuat ketika ini.

Perlahan-lahan gadis itu melonggarkan pelukannya lalu menoleh ke belakang. Kamelia turut berpaling. Melihat kehadiran dua anak muda itu, bibirnya segera menguntum senyuman.

“Kalau tak silap, Iman kan?” Tegur Kamelia masih mengingati anak muda berperwatakan ramah itu. Adik lelaki kepada Doktor Ilani! Lelaki yang pernah datang ke rumahnya minggu lepas.

Lelaki itu mengangguk lalu ketawa kecil. “Maaf baru sekarang saya sempat melawat makcik kat sini. Saya bawa buah tangan sikit untuk makcik.” Ujar Iman lalu meletakkan sebakul buah-buahan di atas meja di hadapan Kamelia.

Wanita itu sekadar tersenyum. “Buat susah-susah Iman aje.” Balas Kamelia. Matanya menoleh ke arah seorang lagi lelaki yang hanya berdiam diri memerhatikannya di tepi penjuru biliknya.

“Zahar…” panggil Kamelia perlahan.

Serentak Aqi dan Iman menoleh ke arah Zahar. Wajah Zahar berubah sebaik mendengar Kamelia memanggil namanya. Apakah wanita itu turut mengingatinya?

Kamelia tersenyum memandang lelaki itu. “Kenapa berdiri jauh sangat? Datanglah dekat sikit, borak-borak dengan makcik.” Sapa Kamelia lembut.

Zahar berasa serba-salah. Namun menyedari renungan tajam Iman singgah di wajahnya bagaikan memberi isyarat, perlahan-lahan dia mampir ke arah katil Kamelia. Tangan wanita itu diraih lalu dikucup. Agak lama. Kamelia hanya tersenyum memerhatikan gelagat anak muda berperawakan serius itu.

“Makcik nak ucap terima kasih pada Zahar.” Ujar Kamelia tiba-tiba.

Zahar mengangkat wajahnya. Kata-kata yang keluar dari bibir Kamelia membuatkan dia terkesima.

“Untuk apa makcik?” Suara mahalnya kedengaran juga. Lagipun dia benar-benar ingin tahu maksud wanita itu. Budi apakah yang ditaburkannya sehingga dia layak menerima ucapan terima kasih?

“Aqi dah ceritakan pada makcik tentang segala-galanya. Nenek Zahar pun ada datang melawat makcik tengahari tadi. Makcik berterima kasih pada Zahar dan keluarga Zahar kerana sudi menjaga Aqi sewaktu makcik sakit.” Ujar Kamelia.

Zahar terdiam. Tidak menyangka itu sebenarnya maksud Kamelia.

“Aqi ni tak ada adik beradik, ayah pun tak ada. Kalau jadi apa-apa pada makcik, entah dengan siapa dia boleh menumpang kasih.” Keluh Kamelia dengan nada sebak.

“Mak, jangan cakap macam tu mak.” Pintas Aqi dengan linangan airmata. Entah kenapa dia tidak dapat menahan kesedihan mendengar kata-kata ibunya. Tubuh ibunya sekali lagi didakap erat.

Zahar merenung ke arah dua beranak itu. Kata-kata wanita itu membuatkan dia termenung sendiri. Tiba-tiba dia terfikir sesuatu. Betapa dia dan Aqi sebenarnya mempunyai persamaan. Aqi kehilangan ayah sedangkan dia pula kehilangan seorang ibu. Beza antara mereka hanyalah dia masih mempunyai ayah dan seorang nenek yang kuat berleter. Dia juga mempunyai ramai kawan-kawan yang boleh diharap. Hidupnya tidaklah malang seperti yang sering difikirkannya selama ini. Berbeza dengan Aqi yang sudah tidak punya siapa-siapa selain ibunya.

“Makcik nak minta maaf dengan Zahar kalau Aqi banyak menyusahkan Zahar dan keluarga Zahar selama ini. Budi Zahar sekeluarga, Insya-Allah akan makcik balas kalau Allah panjangkan nyawa makcik ni.” Kamelia menyambung kata-katanya dengan perasaan terharu.

Zahar memandang wanita itu sambil tersenyum hambar. Tiba-tiba dia berasa segan dengan wanita itu. Selama ini dia sentiasa mengelak untuk mengakui hakikat bahawa bukan semua wanita di dunia ini seperti ibunya. Masih ada di dunia ini ibu yang penyayang dan mengambil berat tentang anak-anak mereka. Contohnya seperti Makcik Kamelia di hadapannya. Kasih sayang wanita itu terhadap anaknya Aqi adalah bukti bahwa bukan semua wanita itu jahat. Hanya mamaku yang jahat! Hanya wanita itu saja yang tidak layak dipanggil ibu! Bisik hati kecil Zahar. Sebak!

* * * *

Zahar sengaja tinggalkan Iman berbual-bual dengan Makcik Kamelia. Kebetulan dia singgah, dia berhajat mahu menemui ayahnya sebentar sebelum beredar. Aqi sejak tadi menghilang entah ke mana. Sejurus selepas seorang jururawat datang ke bilik dan bercakap-cakap dengan Aqi, gadis itu tiba-tiba minta diri. Meninggalkan dia dan Iman bersama-sama Makcik Kamelia.

Kakinya melangkah perlahan ke arah bilik ayahnya Doktor Hakim. Dia sudah hafal dengan segenap ceruk dan ruang di hospital itu. Malah dia juga kenal dengan beberapa orang staf di hospital tersebut. Maklumlah dalam sebulan, pasti ada dua tiga kali dia menemui ayahnya di situ.

Kesibukan ayahnya dengan tugas-tugas hospital memaksa Zahar mencuri masanya sendiri untuk makan bersama lelaki itu sekurang-kurangnya sekali seminggu. Kadangkala ayahnya sendiri akan menelefon dan mengajaknya. Begitulah rutin mereka setelah ayahnya dinaikkan pangkat menjadi salah seorang pakar neuro-surgeri di hospital itu.

Sedang dia ralit melayan perasaan, tiba-tiba matanya terpandang kelibat Aqi baru keluar dari sebuah bilik. Zahar cepat-cepat mengelak lalu menyembunyikan diri di suatu penjuru bilik.

Aqi sedang bersandar pada sebuah dinding menghadap ke arah sebuah bilik. Mata gadis itu merah menyala dan mukanya pula sembab. Sesekali gadis itu dilihat menyeka pipi dengan tangannya. Seorang doktor lelaki separuh umur keluar dari salah sebuah bilik berhampiran. Melihat Aqi tidak jauh dari situ, lelaki itu segera menghampiri anak gadis itu. Lagak doktor lelaki itu bagaikan sedang memujuk.

Zahar mengerutkan dahinya. Terasa aneh dengan situasi di hadapannya. Kenapa dengan perempuan tu? Macam ada yang tak kena! Zahar tertanya-tanya sendiri.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!