Followers

Monday, November 29, 2010

Sayangku Casper : Bab 34

TERMENGAH-MENGAH Rafique cuba mengejar Tia yang semakin jauh. Dia cuba menyaingi gadis itu. Tapi sebaik melihat langkah Tia kian laju, Rafique naik geram. Dia pantas menarik tangan anak gadis itu.

“Kenapa?” Tanya Tia dengan wajah berkerut.

Rafique ketawa kecil. Boleh tanya kenapa pulak? Yang kau jalan sampai tak jejak tanah tu kenapa?

“Awak kenapa? Macam nampak hantu aje?” Tanya Rafique hairan. Kepala Tia dilihatnya asyik tertoleh-toleh ke belakang, seolah-olah mencari sesuatu. Apa sebenarnya yang dicari gadis itu?

“Memang nampak hantu pun.” Balas Tia.

“Hah?” Rafique terpempan. Hantu apa siang-siang macam ni? Dia merenung ke arah Tia yang kelihatan gelisah sambil berfikir sejenak.

Tiba-tiba Rafique menarik tangan Tia lalu mengheretnya ke suatu arah. Tia terjerit-jerit. Terkejut bercampur panik melihat tindakan Rafique yang tak diduga. Namun Rafique langsung tidak ambil peduli meskipun beberapa pasang mata sudah tertumpu ke arahnya. Dia mengheret Tia ke arah kawasan parkir kereta berdekatan.

“Masuk!” Suruh Rafique sebaik membukakan pintu kereta untuk gadis itu.

“Kita nak ke mana Rafique? Awak curi kereta siapa pulak ni?” Soal Tia dengan wajah cemberut. Sangkanya Rafique mengulang tabiat lama.

“Awak ni banyak soal la.” Rungut Rafique lalu menolak tubuh Tia ke dalam perut kereta. Sesudah itu dia mula memandu kereta Davian yang dipinjamnya keluar dari kawasan parkir kereta di restoran itu. Ketika kereta itu melewati bangunan hadapan restoran, Halijah, Datin Amra dan Farid tiba-tiba meluru keluar. Tia terkejut. Dia tidak sempat melarikan wajahnya apabila mata Halijah lebih cekap mengesannya.

“Alamak!” Keluh Tia. Habislah aku kali ni!

Rafique berpaling dengan wajah bingung. “Kenapa?”

Tia tidak menjawab. Rafique di sampingnya dilirik dengan wajah resah. Kepalanya digelengkan sedang bibirnya diketap rapat. Dia nampak jelas jelingan Halijah sebentar tadi. Jelingan yang membawa petanda tidak baik. Silap-silap haribulan dia akan dibalun Halijah malam ini. Aduh! Apa patut dia buat?

Rafique yang asyik memerhatikan gerak-geri anak gadis itu sekali lagi tercengang. Tidak mengerti apa sebenarnya yang sedang berlaku. Namun dia malas mahu bertanya kerana saat ini ada satu hal yang lebih penting mahu ditanyakannya pada Tia.

* * * *

“Kenapa kita kat sini?” Soal Tia sebaik melihat Rafique berhenti di hadapan sebuah kafeteria berhadapan dengan sebuah taman botani. Namun Rafique tidak menjawab. Dia bergerak ke arah pintu kereta di sebelah Tia lalu mula membukanya.Tangannya dihulurkan ke arah gadis itu.

Tia terkedu. Janggal diperlakukan sebegitu. Dibukakan pintu dan dijemput keluar bagaikan seorang ratu. Dia tidak biasa dilayan istimewa seperti itu, lebih-lebih lagi oleh seorang lelaki.

“Yang terlongo macam tu kenapa? Takkan sebab dah kenyang makan kat restoran ekslusif tadi sampai tak lalu nak singgah kat kafeteria buruk ni.” Ujar Rafique selamba. Namun begitu sipi bibirnya seperti mahu mengorak senyuman.

Tia tergaman. Tak fasal-fasal dia diperli lelaki itu. Mahu tak mahu dia segera keluar dari perut kereta. Matanya memandang ke arah bangunan dua tingkat di hadapannya. Bibirnya mencebik tanpa sedar. Kafeteria buruk? Buta agaknya si Rafique ni. Namun dia malas mahu mencari gaduh dengan lelaki itu.

Rafique tersenyum melihat wajah Tia yang masam mencuka. Mereka beriringan ke kafeteria itu sambil sesekali Rafique menolak bahu Tia ke hadapan. Sengaja mahu menggesa langkah si gadis yang agak perlahan seperti kura-kura.

“Sakitlah!” Bentak Tia. Rafique ketawa kecil. Entah kenapa dia jadi gelihati melihat sikap Tia.

“Hah tu ada tempat kosong, jom.” Mata Rafique segera terpandang port baik untuk tempat lepak mereka. Lagipula meja itu berada agak jauh dari pengunjung-pengunjung lain. Memang itu yang dicari kerana ada sesuatu yang mahu dinyatakannya pada gadis itu.

Tanpa disedari, Rafique sekali lagi mencapai tangan Tia lalu dihelanya ke arah meja tersebut. Tia yang menyedari pegangan tangan Rafique kemas bertaut di jari-jemarinya entah kenapa tiba-tiba jadi bungkam. Dadanya berombak kencang. Dia segera meleraikan jari-jemarinya lalu cepat-cepat menuju ke arah meja yang dimaksudkan lelaki itu.

Rafique yang ditinggalkan sendirian terpinga-pinga. Dahinya berkerut lebar melihat sikap Tia. Namun dia tidak berkata apa-apa lalu segera menempati kerusi di hadapan gadis itu.

“Tia nak minum apa? Kita pesan minuman dulu ya.” Ujar Rafique lembut.

“Tak payah, saya tak dahaga pun. Kenapa awak bawa saya ke mari?” Soal Tia ingin tahu.

Rafique tidak segera menjawab. Tanpa mempedulikan kata-kata Tia, Rafique segera memanggil seorang pelayan. Apabila pelayan kafeteria itu menghampiri mereka, dia segera membuat pesanan dua gelas jus tembikai.

“Makan?” Rafique memandang anak gadis di hadapannya.

Tia cepat-cepat menggelengkan kepala. Padahal dia sebenarnya agak lapar meskipun sudah makan sedikit di restoran tadi. Mungkin kerana seleranya terus terbantut sebaik mendengar kata-kata Saiful, atau kerana dia kepenatan kerana termengah-mengah melarikan diri dari ibu tirinya.

“Hmm tak nak makan sudah.” Sahut Rafique sedikit hampa. Wajah Tia yang masam mencuka ditatap dalam-dalam.

“Tia, saya ada hal nal cakap.” Ujar Rafique tidak mahu terus lagi bermain teka-teki. Membuang masanya sahaja!

“Nak cakap fasal apa?” Soal Tia pula sedikit keliru.

“Fasal Adelie de Casper.” Ujar Rafique. Sengaja dia mencanang nama itu untuk melihat sejauh mana reaksi Tia kali ini.

“Fasal siapa?” Tia tergaman. Dia tahu siapa yang dimaksudkan lelaki itu. Cuma nama Adelie agak janggal bila disebut Rafique dengan cara sebegitu. Casper?

“Adelie..kakak awak?” Rafique teragak-agak.

“Ya saya tahu, tapi kenapa?”

“Betul dia kakak awak?” Soal Rafique.

Tia mengangguk. “Yalah, ayah saya pernah bercerita dulu. Katanya dia ada anak sebaya dengan saya. Dia kahwin dengan wanita Perancis masa dia belajar di oversea dulu. Pada masa yang sama dia kahwin dengan ibu saya Rosmah. Kebetulan kami dilahirkan pada tahun yang sama. Saya dan Adelie. Tapi bila Adelie dibawa ke mari dan tinggal dengan kami, dia jatuh sakit dan meninggal dunia tak lama lepas tu.” Tia bercerita sekadar apa yang dia tahu.

Kata-kata Tia membuatkan Rafique termenung panjang. Susah dia hendak menilai kebenaran kata-kata Tia kali ini.

“Awak masih ingat dia?”

“Tak.” Tia menggeleng.

“Kenapa?” Soal Rafique lagi.

“Masa dia meninggal saya pun masih kecil. Mustahil saya boleh ingat dia.” Jawab Tia acuh tak acuh.

Rafique terdiam. Betul juga! Dia teringatkan perbualannya dengan Louis tentang Adelie suatu ketika dahulu.Kalau dia yang pernah bertemu Adelie sewaktu kecil dulu langsung tidak mengingati rupa gadis itu, masakan Tia boleh ingat.

“Drink sir,” seorang pelayan menghantar pesanan minuman ke meja mereka. Rafique mengangguk lalu mendengus kecil.

“Tia..awak..”

Kali ini bunyi panggilan telefon pula menganggu percakapannya. Rafique mengerutkan dahinya. Banyaknya spoiler, gumam Rafique bengang. Dengan wajah berang dia menjawab panggilannya sambil diperhatikan oleh Tia yang kelihatan bingung.

* * * *

Gadis itu dihantar sehingga ke hadapan pintu pagar. Meskipun Tia melarang, namun dia tetap berdegil mahu berhenti di hadapan rumah gadis itu.

“Terima kasih sebab hantar saya.” Ujar Tia sambil berpaling ke arah Rafique. Senyuman Tia yang polos memaku pandangan Rafique pada gadis itu. Namun cepat-cepat dia mengalihkan pandangan.

Tia yang melihat kilas pandangan Rafique yang muram tergaman. Sejak dari kafeteria tadi, dia perasan sikap Rafique tiba-tiba berubah. Wajah lelaki itu seperti membendung masalah besar. Entah apa yang tak kena dengan mamat ni agaknya! Jangan-jangan fasal along agaknya! Tia membuat andaian yang pelbagai.

“Saya keluar dulu.” Ujar Tia seraya mula membuka pintu kereta.

“Tia..” Panggil Rafique tiba-tiba.

Tia menoleh. Suara lelaki itu lembut menjamah pendengarannya.

“Take care.” Ujar Rafique ringkas. Mata lelaki itu melurus ke hadapan, bukan menghala ke arahnya.

Tia terdiam. Take care? Kenapa bunyinya seperti selepas ini mereka takkan bertemu lagi! Betulkah begitu?

Tia segera keluar dari perut kereta. Ketika pintu pagar itu dilewati, tiba-tiba hatinya tergerak untuk berpaling. Dari dalam kereta Rafique sedang memerhatikannya. Pandangan lelaki itu menjunam lama ke arahnya. Tia terkedu. Dia masih merasa ada yang tidak kena dengan sikap Rafique petang itu.

Rafique menarik nafas panjang. Tia Adila bukan Adelie de Casper. Entah kenapa hatinya merasa sedikit hampa dengan kenyataan itu. Jauh di sudut hati, dia benar-benar mengharapkan mesin kepunyaan Blast benar-benar tepat. Tapi ternyata takdir lebih mendahuluinya.

“Kau yakin?”

“Aku dah berjaya kesan tanah perkuburan yang menempatkan Adelie. Memang nama Adelie Ahmad Faruk tercatat pada batu nesan tu bertarikh tahun 1995. Aku juga berjaya kesan rekod kematian Adelie yang dikeluarkan oleh pihak hospital di sini. Rafique, aku rasa Adelie memang benar-benar dah meninggal dunia.” Ujar Davian.

Kedatangannya ke Malaysia hanya dengan satu niat. Mahu mencari Adelie bagi pihak Madame Marianne dan membawanya balik ke Paris untuk mewarisi Fleur de Casper. Hanya ini sahaja caranya untuk menghalang niat jahat ayahnya sendiri. Tapi dia benar-benar tidak menduga semua ini. Kematian Adelie bukan menjadi harapannya, lantaran hanya dia yang faham betapa granny amat merindui satu-satunya cucu perempuan yang dimilikinya. Kasihan granny, bisik hati kecil Rafique sambil mengeluh panjang. Apa patut dia buat? Kembali ke Paris dan memberi khabar duka ini bukan tugas yang diinginkannya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!