Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 12


            “Mana tanggungjawab kamu Naz? Naz tahu tak yang projek melibatkan klien-klien US kita tu memakan belanja berbilion dollar. Bangunan yang dibina di Putrajaya tu salah satu makmal penyelenggaran peralatan mekanikal yang terbesar di Asia. Pihak menteri pun ambilberat fasal projek ini.” Engku Latifah menggelengkan kepalanya. Kesal dengan apa yang berlaku semalam.

            “Dah jelas mereka seperti tidak mahu berbincang fasal projek ni semalam umi, jadi untuk apa saya tunggu? Apa yang mereka mahu cuma berhibur dengan arak dan perempuan. Umi nak suruh saya tunggu mereka dan tonton sahaja apa yang mereka buat. Begitu?”

            Engku Latifah terdiam. Wajah Nashriq seolah naik berang.

            “Tapi Naz tak sepatutnya tinggalkan mereka begitu saja.”

            “Siapa kata saya tinggalkan mereka? Erman dan Farouk ada untuk temankan mereka. Lagipun saya tak ke mana, di bilik sebelah saja. Daripada saya tengok orang-orang putih tu mabuk, baik saya duduk seorang diri di tempat lain.”

            “Sudahlah umi, jangan kita bercakap lagi soal klien dari US tu. Lain kali kalau mereka nak berbincang tentang perniagaan, saya akan hadir sama. Tapi kalau sekadar nak temankan mereka minum dan tambah dosa, biarkan saja Farouk yang buat.” Sambung Nashriq, separuh geram. Laju kakinya dihela meninggalkan bilik itu. Tercengang Engku Latifah dengan reaksi Nashriq.

            “Maaf Naz, ini semua sebab laporan Farouk pada Puan Engku.” Ujar Erman ketika mereka minum-minum di kafeteria. Nashriq tidak menjawab. Dia tidak salahkan Farouk. Sudah pasti ibunya mahu tahu tentang perjalanan pertemuan malam semalam.

            So mana kau menghilang malam semalam?” Tanya Erman ingin tahu. Hairan juga dia kerana Nashriq tiba-tiba sahaja hilang dari bilik itu. Dia tahu Nashriq tidak suka dengan cara layanan terhadap klien mereka dari US itu.

            “Tak ke mana pun, ada di bilik sebelah.” Jawab Nashriq ringkas.

            “Bilik sebelah? Seorang diri?” Erman tersengih.

            Nashriq terdiam. Dia langsung tidak menyebut tentang gadis yang tiba-tiba menerpa masuk ke biliknya. Bilik itu memang sengaja ditempah, kerana dia mahu bersendirian. Tapi tak disangka-sangka dia akan bertemu semula dengan gadis yang pernah ditemuinya di balai polis tempohari. Apakah ini satu takdir atau hanya kebetulan?

            “Abang, saya nak abang buat sesuatu untuk saya.” Ujar Nashriq, lari dari topik asal.

            Erman menoleh.

            “Saya ke Villa Kecil tempohari. Rumah tu semacam tak terjaga. Boleh abang siasat kenapa rumah tu jadi macam tu? Apa umi dah buat pada Villa Kecil tu? Saya nak tahu semuanya.” Bisik Nashriq serius. Erman hanya mengangguk. Sesekali matanya menjeling ke wajah Nashriq yang muram. Dia mengeluh panjang.

*  *  *  *

            Engku Iskandar tersengih apabila mendengar cerita Farouk tentang peristiwa malam semalam. Dia tergelak besar. Dia tahu, pasti selepas ini, wakil-wakil dari US itu akan serik untuk berurusan dengan Nashriq. Memang itu salah satu kelemahan Nashriq yang dia perasan. Anak muda itu suka bertindak melulu, lebih-lebih lagi jika melibatkan sesuatu yang tidak digemarinya.

            “Habis apa kata Puan Engku?” Tanya Engku Iskandar ingin tahu.

            “Puan Engku dah panggil Encik Nashriq ke biliknya, Tuan Engku.” Jawab Farouk. Dia diam sahaja apabila melihat Engku Iskandar tergelak-gelak kecil. Dia sendiri tidak faham kenapa lelaki itu kelihatan senang hati dengan berita yang dibawanya, sedangkan hal ini bersangkut paut dengan syarikat mereka.

            “Bagus Farouk, kamu boleh keluar sekarang.” Arah lelaki itu. Farouk tanpa banyak soal segera menurut.

            Engku Iskandar tersenyum senang. Dia memandang ke arah pintu kecil di biliknya yang terbuka tiba-tiba. Seorang wanita keturunan Cina melangkah keluar lalu segera menghempaskan tubuhnya ke dada sofa. Engku Iskandar hanya tersenyum menatap wanita yang muncul tiba-tiba itu.

            “You dah dengar kan?” Tanya Engku Iskandar.

            Wanita itu tidak menjawab. Matanya merenung jauh ke jendela yang sedikit terbuka. Kata-kata Engku Iskandar hanya dibuat endah tak endah.

            “Dah lama sangat I tunggu. Bila you nak jalankan rancangan kita?” Engku Iskandar memandang wanita itu.

            Reyna tersenyum hambar. Lama matanya terpaku pada Engku Iskandar yang seperti tidak sabar-sabar.

            “I tak pernah berjanji dengan you untuk bantu you dapatkan Mega Timur, Is. Hal Mega Timur urusan you. Tapi hal Zainal Ikram dan anaknya adalah urusan I. Itu yang kita janjikan dulu kan?”

            “Tapi dulu you pernah kata, kalau I tolong you uruskan Zainal, you akan tolong I dapatkan kuasa ke atas Mega Timur.”

            Reyna merenung lelaki itu. Tajam.

            “Dah dua belas tahun budak tu lari ke US. Dalam tempoh itu, apa yang you buat sampaikan you tak mampu berusaha sendiri untuk dapatkan Mega Timur?” Sindir Reyna Merah padam wajah Engku Iskandar menerima sindiran itu.

            “Bukan I tak mampu, tapi Zainal yang cerdik. Awal-awal lagi dia dah tentukan kedudukan Nashriq dalam syarikat. I tak boleh buat apa-apa. Lagipun ini semua salah you dengan Albert. Kalau bukan Albert yang larang I ubah semua wasiat tu, mungkin I dah lama dapat Mega Timur.”

            “Kenapa you salahkan I dan Albert? Mengapa tidak you katakan yang you ni yang bodoh, tak tahu merebut peluang. Benda macam ni pun you tak tahu nak uruskan.” Reyna tersenyum.

            Engku Iskandar terkedu. Kata-kata wanita itu tajam merenggut hatinya. Dia tersinggung, benar-benar berjauh hati. Kata-kata Reyna lancang menikam ke lubuk jantungnya.

            “Kalau I tahu begini, I akan hapuskan Nashriq awal-awal lagi. Biar dia dan ayahnya mampus terus sama-sama. Tapi you yang halang I, kenapa? Apa pentingnya budak tu pada you dan Albert?” Marah Engku Iskandar.

            Reyna membulatkan matanya. Entah kenapa dia tidak senang dengan kata-kata lelaki itu. “Jangan you harap you boleh sentuh Nashriq Adli, jika Albert tidak mengizinkan. Atau you mahu Albert buru you seumur hidup you?” Reyna memberi amaran keras. Engku Iskandar menelan liur.

            Dia masih ingat lagi saat-saat bagaimana kepalanya hampir pecah ditembusi peluru dari corong pistol lelaki itu lama dahulu. Semuanya kerana lelaki itu dapat tahu yang dia pernah mengupah orang melanggar Zainal Ikram dan Nashriq ketika dua beranak itu pulang dari bermain tenis. Sampai sekarang perasaan gementarnya itu masih ada. Albert Wong memang seorang lelaki yang benar-benar menakutkan.

*  *  *  *

            Nashriq menghirup milo sejuk di balkoni apartmentnya di tingkat 12. Udara malam yang terasa nyaman, membuatkan fikirannya lebih tenang. Sedari pagi dia berhempas-pulas membaca berpuluh-puluh dokumen syarikat. Tak cukup di pejabat, dia membawa sebeban lagi fail-fail pulang ke rumah.

            Selepas mandi dan makan malam, Nashriq menyambung ulangkajinya. Semua dokumen itu dibaca teliti, kerana dia tidak mahu tertinggal satu pun maklumat tentang projek-projek syarikat lima tahun kebelakangan ini. Semua ini diperlukan untuk dia menghadapi tekanan ahli lembaga pengarah dan ibunya sendiri.

            “Semua orang nak tengok prestasi kau Naz. Kau harus bersedia.” Kata-kata Erman menjengah ke dalam ingatannya.

            Nashriq memejamkan matanya. Entah kenapa wajah Raihana kian kerap bertamu di dalam ingatan. Wajah itu tersenyum memandangnya.

            “Abang rasa Hana cantik tak?” Suara manja anak gadis itu muncul.

            Dia tertawa mendengar pertanyaan gadis itu. “Kenapa Hana tanya macam tu? Ha..abang tahu, ini mesti Hana dah ada pakwe.” Usiknya nakal.

            Raihana melopong. Serentak wajah anak gadis itu merah padam menahan malu. “Abang ni jahatlah! Selalu usik Hana. Hana kan kecil lagi, mana Hana ada pakwe.” Gadis itu menggelengkan kepala. Dia terus-terusan ketawa. Lucu dengan gelagat Raihana.

            “Kecil-kecil pun manalah abang tahu. Abang dulu masa sebaya Hana, dah pandai suka kat budak perempuan sekelas dengan abang.” Dia mencanang begitu. Wajah Raihana cepat berubah. Dia tergelak besar melihat Raihana sudah memuncungkan mulutnya.

            Nashriq tersenyum. Saat-saat itu adalah memori yang terbaik dalam hidupnya. Tapi memori itu kini pecah berderai di laluan masa. Mungkinkah kaca-kaca yang pecah di sepanjang perjalanan hidupnya mampu dikutip satu persatu?

            Tanpa sedar dia meraba kalung yang tergantung di lehernya. Kalung putih bertatahkan batu ‘saphire’ itu sudah lama di lehernya. Dengan kalung itulah dia pernah berjanji dengan ayahnya untuk melindungi Raihana selalu. Janji yang hanya tinggal janji, semuanya berlaku tanpa dirancang.

            “Kenapa baba bagi kalung ni pada Hana?” Lunak suara anak kecil itu bertanya. Nashriq turut menoleh. Memandang ke arah ayahnya yang hanya tersenyum. Entah kenapa hati kecilnya turut ingin tahu sebabnya.

            Siang tadi ayahnya membawa dua kotak kecil masuk ke kamarnya sambil memimpin tangan Raihana. Kata ayahnya, satu untuknya dan satu lagi untuk Raihana. Tangan lelaki itu pantas memakaikan kalung itu ke leher Raihana.

            “Hmmm cantiknya anak baba ni.” Lelaki itu tersenyum. Nashriq memandang kalung yang terhias di tengkuk Raihana. Sama dengan kalung yang ada di lehernya.

            Dia terpaku apabila tangan lelaki itu tiba-tiba meraih tubuh Raihana dalam dakapannya. Memandang airmata yang menitis di pipi lelaki itu, hati Nashriq turut sama tercuit. Sebak. Apabila ayahnya menghulurkan sebelah tangannya ke arahnya, Nashriq tidak tertahan terus menerpa ke arah lelaki itu. Airmatanya turut mengalir. Dia memang sayangkan lelaki itu. Teramat sayang.

            “Kalung ini adalah lambang kasih sayang ayah pada kamu berdua. Lambang ingatan ayah yang tak berbelah bagi terhadap Naz dan Hana. Ayah nak Naz dan Hana saling sayang menyayangi dan saling melindungi antara satu sama lain. Walau apapun yang berlaku, janji  dengan ayah jangan sesekali kamu berpisah jauh.” Pesan lelaki itu suatu ketika dahulu.

            Nashriq termenung panjang. Apa gunanya janji yang pernah diucapkannya dahulu di hadapan ayahnya, jika dia tidak mampu berpegang pada janji itu. Hasrat ayahnya agar dia dan Raihana tidak berpisah hanyalah satu impian kosong yang terlakar menjadi sejarah silam.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!