Followers

Sunday, October 21, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 11


            “NIRA, kami semua nak balik ni. Selalunya Kak Siti orang yang paling lambat balik. Tapi hari ni Kak Siti kena balik awal sikit sebab mak Kak Siti tengah sakit. Boleh tak Nira tolong temankan anak-anak kat sini sampai mak ayah diaorang datang ambil?” Pinta Siti hari itu. Jarum jam sudah menginjak pukul 4.30 petang. Dia harus berkejar ke hospital pula selepas ini.

            “Mak Kak Siti sakit apa?” Tanya Danira. Sengaja dia mahu memancing perbualannya dengan Siti yang tidak sempat habis kelmarin.

            “Ala sakit biasa je, sakit orang tua. Darah tinggi, buah pinggang, semua ada. Kita ni pun kalau dah tua nanti, macam nilah juga agaknya.” Jawab Siti tersengih.

            “Tak apalah, Kak Siti baliklah. Nira boleh tunggu anak-anak ni. Lagipun Nira pun tak ke mana, kat sini aje.” Balas Danira. Bulat matanya memerhatikan Siti yang bergegas pergi sebaik dijemput suaminya dengan Perodua Kancil berwarna merah hati.

            “Nira, kami balik dulu ya.” Laung Umaira pula seraya melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Hanya Lynn yang masih berat mahu menyedekahkan senyuman untuknya. Namun dia tidak kisah. Sedikit pun tidak!

Sesekali dia menoleh ke arah beberapa orang kanak-kanak yang masih tinggal. Yang lain-lain sudah dijemput ahli keluarga masing-masing. Sambil menunggu, Nira rajin mengajak anak-anak kecil itu berbual. Pelbagai pertanyaan dilemparkan dan mulut-mulut mungil itu keletah menjawab. Kadangkala sehingga berebut-rebut mahu menjawab, sehingga dia ketawa sendiri. Sedikit sebanyak hatinya tercuit dengan telatah si kecil di hadapannya.

            Di kalangan kanak-kanak itu, mata Danira selalu mencuri pandang ke arah seorang anak kecil yang berwajah muram. Jika kanak-kanak lain riang melayannya, berbeza pula dengan si comel yang seakan tidak ambil pusing. Mata anak kecil itu asyik menatap ke luar pagar, bagaikan menanti seseorang.

            “Tunggu siapa?” Tegur Danira seraya duduk di sisi si kecil itu. Wajah itu mendongak memandangnya. Danira tersenyum.

“Kakak tanya ni, adik tunggu siapa?” Soal Danira lagi. Kasihan pula dia melihat anak itu tinggal berseorangan setelah teman-temannya telah pun dijemput ibubapa masing-masing.

            “Tunggu papa.” Jawab bibir mungil itu.

            “Nama siapa?”

            “Melia Alina.”

            “Hmm Melia Alina, cantiknya nama. Kakak panggil Lia ya.” Danira tiba-tiba teringat pada ibunya Zahlia yang juga dipanggil Lia.

            “Papa selalu panggil Melly aje.” Jawab Melia pantas.

Danira terkedu. Melly? Dia tersengih sendiri. Macam nama penyanyi Melly Goeslow pula. Agaknya ayahnya peminat setia penyanyi dari seberang itu, detik hati kecil Danira.

            “Selalu ke papa datang lewat macam ni?” Tanya Danira sekadar ingin berbual. Wajah itu mengangguk muram. Danira tersenyum. Kasihan pula dia melihat wajah comel itu diliputi mendung. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dia bergegas ke arah dapur lalu membuka peti ais. Sekotak aiskrim dibawa keluar bersama dua mangkuk kecil.

            “Melly nak aiskrim tak? Sebelum papa datang, kita makan aiskrim dulu mahu?” Dia mengumpan kanak-kanak itu dengan aiskrim di tangannya. Wajah si kecil itu terkelip-kelip memandangnya. Danira tersenyum. Umpan yang dipasang mengena. Melia menganggukkan kepala.

            Sambil menikmati aiskrim, dia asyik bercerita dengan Melia. Kanak-kanak itu sudah mahu tertawa bila dia bercerita pelbagai kisah kisah lucu.

            “Umur Melly berapa tahun?”

            Lima tahun.” Jawab anak itu.

            “Suka tak aiskrim ni?”

            “Suka.” Jawab Melia sambil tersenyum.

            “Lain kali kalau papa Melly datang lambat lagi. Melly cari kakak saja, nanti kita sama-sama habiskan aiskrim ni. Setuju?”

            Melia mengangguk seraya tertawa girang.

*  *  *  *

Seorang lelaki baru saja melangkah keluar dari keretanya yang diparkir di hadapan pintu pagar taska itu. Mendengar suara hilai tawa datangnya dari dalam rumah, dahinya segera berkerut. Apatah lagi suara itu seakan dikenalinya. Dia segera menolak pintu pagar, lalu melangkah perlahan ke arah rumah dua tingkat di taman perumahan itu.

            Baru sahaja bibirnya hendak melafaz salam, dia terpandang kelibat Melia sedang duduk bersama seorang perempuan tidak dikenali dari celah muka pintu yang sedikit renggang. Melihat Melia ketawa terkeheh-keheh seperti ada sesuatu yang mengusik hatinya, wajahnya tambah berkerut.

Pandangannya beralih ke arah perempuan bertudung di samping Melia yang asyik mengusap-usap kepala Melia yang sedang enak menikmati aiskrim. Wajah itu tidak jelas, tapi dia pasti perempuan itu bukan Umaira atau Lynn yang memang sudah dikenalinya. Bukan juga Kak Siti atau Kamila sendiri.

            Apabila gadis itu menoleh, dia terpempan. Dia! Perempuan yang ditemuinya bersama Kamila kelmarin!

            “Papa!” Jerit Melia sebaik menyedari kehadiran Filman di muka pintu. Filman yang terkejut disergah begitu segera ketawa apabila anak gadisnya menerpa ke arahnya secara tiba-tiba. Dia merangkul tubuh kecil itu ke pangkuannya.

            “Maaf sayang, papa lambat sikit.”

Danira yang tercegat di situ, memerhatikan perbualan kedua-duanya dengan senyap. Tapi sebaik matanya memerhatikan lelaki itu dengan lebih teliti, wajahnya segera berubah. Alamak! Lelaki yang dijumpainya di pusat beli belah kelmarin! Apakah lelaki itu ayah Melly?

            “Papa selalu macam ni. Selalu lambat.” Suara anak kecil itu berubah nada. Wajah itu sengaja dicebikkan, pura-pura merajuk. Filman sempat mencuit hidung si kecil di hadapannya.

            “Papa ada meeting dengan datuk. Sebab tu lambat habis. Lagipun anak papa ni, papa tengok seronok aje makan aiskrim sampai tak sedar papa datang.” Filman mengusik sambil mengerling ke arah gadis yang berdiri di belakang Melia. Gadis itu diam sahaja. Filman sempat meraut wajah itu dalam-dalam. Manis! Hatinya berbisik tidak sengaja.

            “Siapa tu?” Bisik Filman pada Melia meskipun dia sedar suaranya mampu didengari gadis itu, kerana jarak mereka bukanlah jauh mana pun. Melia memandang sebentar ke arah Danira sambil tersenyum. Seketika matanya kembali mencari wajah Filman.

            “Itu Kak Nira. Dia temankan Melly tadi. Seronok pa….kami makan aiskrim strawberry.” Cerita Melia bersungguh-sungguh. Filman tersenyum kecil.

            “Habis, aiskrim papa mana? Kenapa tak simpan untuk papa sekali?” Soal Filman, sengaja mahu mengumpan anak kecilnya.

            “Untuk papa mana ada sebab papa lambat.” Jawab Melia keletah. Tergelak besar Filman mendengar kata-kata Melia yang adakala nakal tapi menghiburkan. Dia memandang ke arah Danira yang sejak tadi membisu seribu bahasa.

            “Hai, kita jumpa lagi.” Filman menyapa seraya tersenyum.

            Danira turut tersenyum lalu mengangguk. “Saya tak sangka Melly ni anak Encik Filman.”

            “Dia anak kesayangan saya. Terima kasih sebab tolong tengok-tengokkan dia. Kak Mila tak beritahu pulak yang Cik Danira kerja kat sini.”

            “Err..sebenarnya saya baru datang dari kampung. Saya cuma membantu-bantu apa yang patut.” Ujar Danira merendah diri.

Filman meraut wajah anak gadis itu dengan penuh minat. Entah kenapa semakin lama dia memandang wajah Danira, semakin comel pula gadis bertudung itu kelihatan di matanya.

Danira tidak jadi meneruskan kata-kata apabila tatapan mata Filman seakan tidak mahu beredar dari wajahnya. Dia mula lemas direnung begitu. Tiba-tiba dia merasa tidak senang dengan sikap lelaki itu. Kalau dah kahwin tu buatlah cara dah kahwin! Ini pandang aku macam tu sekali buat apa? Dia melarikan wajahnya ke arah Melia di sisi Filman.

Menyedari gadis itu kelihatan tidak selesa, Filman seolah tersedar. Dia turut melarikan matanya ke arah Melia di sampingnya.

            “Okey sayang, masa untuk balik. Jom, datuk dengan nenek dah lama tunggu kat rumah tu. Ucap selamat tinggal pada kakak.” Suruh Filman.

“Selamat tinggal Kak Nira!” Ujar Melia. Secara tiba-tiba gadis kecil itu meluru ke arah Danira lalu mencium tangannya. Danira tergaman. Tidak menyangka dirinya akan diperlakukan begitu oleh anak seusia Melia.

“Dia dah biasa buat begitu.” Ujar Filman bagaikan tahu apa yang bersarang di fikiran Danira. Danira menoleh ke arah Filman yang sudahpun mengendong tubuh kerdil Melia. Terkeheh-keheh gadis kecil itu ketawa apabila diagah-agah. Matanya tidak mahu lepas memerhatikan gerak-geri Filman melayan anaknya. Dadanya berdebar-debar sedikit. Tiba-tiba dia merasa bersalah. Kalaulah Filman masih bujang, tentu tidak ada salah dia merasakan sesuatu pada lelaki itu. Tapi sayang, lelaki sekacak itu sudah berpunya!

Filman tiba-tiba berpaling ke arahnya. Danira terpanar. Dia tidak sempat melarikan anak matanya. Wajahnya merah padam menahan malu. Apakah lelaki itu menyedari perbuatannya?

 Thanks again.” Ucap Filman lalu beredar bersama Melia.

Danira hanya memerhatikan kedua-duanya beredar ke arah kereta yang diparkir di bahu jalan di luar pagar. Entah kenapa, matanya seakan-akan tidak mampu dilarikan dari susukFilman. Ada sesuatu pada lelaki itu yang membuatkan hatinya berdebar-debar tidak keruan apabila bercakap-cakap dengan lelaki itu.

Sekali lagi Filman menoleh memandangnya. Danira terkedu. Tiba-tiba dia rasa segan kerana berdiri di hadapan muka pintu dan memerhatikan kedua beranak itu. Aku dah gila agaknya! Dia cepat-cepat menutup pintu di hadapannya, meskipun Filman belum beredar dari situ.

1 comment:

Unknown said...

alahai!hati dah terpanah ke???hehe sape tau,dalam ati filman ade taman...n kot nye filman papa single!!!!!agar kabahgian milik danira satu ketika nanti.....

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!