“NIRA, kami semua nak balik ni.
Selalunya Kak Siti orang yang paling lambat balik. Tapi hari ni Kak Siti kena
balik awal sikit sebab mak Kak Siti tengah sakit. Boleh tak Nira tolong
temankan anak-anak kat sini sampai mak ayah diaorang datang ambil?” Pinta Siti
hari itu. Jarum jam sudah menginjak pukul 4.30 petang. Dia harus berkejar ke
hospital pula selepas ini.
“Mak
Kak Siti sakit apa?” Tanya Danira. Sengaja dia mahu memancing perbualannya dengan
Siti yang tidak sempat habis kelmarin.
“Ala sakit biasa je,
sakit orang tua. Darah tinggi,
buah pinggang, semua ada. Kita ni pun kalau dah tua nanti, macam nilah juga
agaknya.” Jawab Siti tersengih.
“Tak apalah, Kak Siti baliklah. Nira boleh tunggu
anak-anak ni. Lagipun Nira pun tak ke mana, kat sini aje.” Balas Danira. Bulat
matanya memerhatikan Siti yang bergegas pergi sebaik dijemput suaminya dengan
Perodua Kancil berwarna merah hati.
“Nira, kami balik dulu ya.” Laung Umaira pula seraya
melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Hanya
Lynn yang masih berat mahu menyedekahkan senyuman untuknya. Namun dia tidak
kisah. Sedikit pun tidak!
Sesekali dia menoleh ke arah beberapa orang
kanak-kanak yang masih tinggal. Yang lain-lain sudah dijemput ahli keluarga
masing-masing. Sambil menunggu, Nira rajin mengajak anak-anak kecil itu
berbual. Pelbagai pertanyaan dilemparkan dan mulut-mulut mungil itu keletah
menjawab. Kadangkala sehingga berebut-rebut mahu menjawab, sehingga dia ketawa
sendiri. Sedikit sebanyak hatinya tercuit dengan telatah si kecil di
hadapannya.
Di
kalangan kanak-kanak itu, mata Danira selalu mencuri pandang ke arah seorang
anak kecil yang berwajah muram. Jika kanak-kanak lain riang melayannya, berbeza
pula dengan si comel yang seakan tidak ambil pusing. Mata anak kecil itu asyik
menatap ke luar pagar, bagaikan menanti seseorang.
“Tunggu
siapa?” Tegur Danira seraya duduk di sisi si kecil itu. Wajah itu mendongak
memandangnya. Danira tersenyum.
“Kakak tanya ni,
adik tunggu siapa?” Soal Danira
lagi. Kasihan pula dia melihat anak itu tinggal berseorangan setelah
teman-temannya telah pun dijemput ibubapa masing-masing.
“Tunggu papa.”
Jawab bibir mungil itu.
“Nama
siapa?”
“Melia
Alina.”
“Hmm
Melia Alina, cantiknya nama. Kakak panggil Lia ya.” Danira tiba-tiba teringat
pada ibunya Zahlia yang juga dipanggil Lia.
“Papa selalu
panggil Melly aje.” Jawab Melia pantas.
Danira terkedu. Melly? Dia tersengih sendiri. Macam nama
penyanyi Melly Goeslow pula. Agaknya ayahnya peminat setia penyanyi dari
seberang itu, detik hati kecil Danira.
“Selalu
ke papa datang lewat macam ni?” Tanya Danira sekadar ingin berbual. Wajah itu
mengangguk muram. Danira tersenyum. Kasihan pula dia melihat wajah comel itu
diliputi mendung. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dia bergegas ke arah dapur
lalu membuka peti ais. Sekotak aiskrim dibawa keluar bersama dua mangkuk kecil.
“Melly
nak aiskrim tak? Sebelum papa datang, kita makan aiskrim dulu mahu?” Dia
mengumpan kanak-kanak itu dengan aiskrim di tangannya. Wajah si kecil itu terkelip-kelip
memandangnya. Danira tersenyum. Umpan yang dipasang mengena. Melia
menganggukkan kepala.
Sambil
menikmati aiskrim, dia asyik bercerita dengan Melia. Kanak-kanak itu sudah mahu
tertawa bila dia bercerita pelbagai kisah kisah lucu.
“Umur
Melly berapa tahun?”
“Lima tahun.” Jawab anak
itu.
“Suka
tak aiskrim ni?”
“Suka.”
Jawab Melia sambil tersenyum.
“Lain
kali kalau papa Melly datang lambat lagi. Melly cari kakak saja, nanti kita
sama-sama habiskan aiskrim ni. Setuju?”
Melia
mengangguk seraya tertawa girang.
* * * *
Seorang lelaki
baru saja melangkah keluar dari keretanya yang diparkir di hadapan pintu pagar taska
itu. Mendengar suara hilai tawa datangnya dari dalam rumah, dahinya segera
berkerut. Apatah lagi suara itu seakan dikenalinya. Dia segera menolak pintu
pagar, lalu melangkah perlahan ke arah rumah dua tingkat di taman perumahan
itu.
Baru
sahaja bibirnya hendak melafaz salam, dia terpandang kelibat Melia sedang duduk
bersama seorang perempuan tidak dikenali dari celah muka pintu yang sedikit
renggang. Melihat Melia ketawa terkeheh-keheh seperti ada sesuatu yang mengusik
hatinya, wajahnya tambah berkerut.
Pandangannya beralih ke arah perempuan
bertudung di samping Melia yang asyik mengusap-usap kepala Melia yang sedang
enak menikmati aiskrim. Wajah itu tidak jelas, tapi dia pasti perempuan itu
bukan Umaira atau Lynn
yang memang sudah dikenalinya. Bukan juga Kak Siti atau Kamila sendiri.
Apabila gadis itu menoleh, dia terpempan. Dia! Perempuan yang ditemuinya bersama Kamila kelmarin!
“Papa!”
Jerit Melia sebaik menyedari kehadiran Filman di muka pintu. Filman yang
terkejut disergah begitu segera ketawa apabila anak gadisnya menerpa ke arahnya
secara tiba-tiba. Dia merangkul tubuh kecil itu ke pangkuannya.
“Maaf
sayang, papa lambat sikit.”
Danira yang tercegat di situ, memerhatikan
perbualan kedua-duanya dengan senyap. Tapi sebaik matanya memerhatikan lelaki
itu dengan lebih teliti, wajahnya segera berubah. Alamak! Lelaki yang
dijumpainya di pusat beli belah kelmarin! Apakah lelaki itu ayah Melly?
“Papa selalu macam
ni. Selalu lambat.” Suara anak
kecil itu berubah nada. Wajah itu sengaja dicebikkan, pura-pura merajuk. Filman
sempat mencuit hidung si kecil di hadapannya.
“Papa
ada meeting dengan datuk. Sebab tu lambat
habis. Lagipun anak papa ni, papa tengok seronok aje makan aiskrim sampai tak
sedar papa datang.” Filman
mengusik sambil mengerling ke arah gadis yang berdiri di belakang Melia. Gadis
itu diam sahaja. Filman sempat meraut wajah itu dalam-dalam. Manis! Hatinya berbisik
tidak sengaja.
“Siapa
tu?” Bisik Filman pada Melia meskipun dia sedar suaranya mampu didengari gadis
itu, kerana jarak mereka bukanlah jauh mana pun. Melia memandang sebentar ke
arah Danira sambil tersenyum. Seketika matanya kembali mencari wajah Filman.
“Itu
Kak Nira. Dia temankan Melly tadi. Seronok pa….kami makan aiskrim strawberry.” Cerita Melia bersungguh-sungguh.
Filman tersenyum kecil.
“Habis,
aiskrim papa mana? Kenapa tak simpan untuk papa sekali?” Soal Filman, sengaja
mahu mengumpan anak kecilnya.
“Untuk
papa mana ada sebab papa lambat.” Jawab Melia keletah. Tergelak besar Filman
mendengar kata-kata Melia yang adakala nakal tapi menghiburkan. Dia memandang ke
arah Danira yang sejak tadi membisu seribu bahasa.
“Hai, kita jumpa lagi.” Filman menyapa seraya tersenyum.
Danira turut tersenyum lalu mengangguk. “Saya tak sangka Melly ni anak Encik Filman.”
“Dia
anak kesayangan saya. Terima kasih sebab tolong tengok-tengokkan dia. Kak Mila
tak beritahu pulak yang Cik Danira kerja kat sini.”
“Err..sebenarnya
saya baru datang dari kampung. Saya cuma membantu-bantu apa yang patut.” Ujar
Danira merendah diri.
Filman meraut wajah anak gadis itu dengan penuh
minat. Entah kenapa semakin lama dia memandang wajah Danira, semakin comel pula
gadis bertudung itu kelihatan di matanya.
Danira tidak jadi meneruskan kata-kata apabila
tatapan mata Filman seakan tidak mahu beredar dari wajahnya. Dia mula lemas
direnung begitu. Tiba-tiba dia merasa tidak senang dengan sikap lelaki itu. Kalau dah kahwin
tu buatlah cara dah kahwin! Ini pandang aku macam tu sekali buat apa? Dia
melarikan wajahnya ke arah Melia di sisi Filman.
Menyedari gadis
itu kelihatan tidak selesa, Filman seolah tersedar. Dia turut melarikan matanya ke arah Melia di
sampingnya.
“Okey
sayang, masa untuk balik. Jom, datuk dengan nenek dah lama tunggu kat rumah tu.
Ucap selamat tinggal pada kakak.” Suruh Filman.
“Selamat tinggal Kak Nira!” Ujar Melia. Secara
tiba-tiba gadis kecil itu meluru ke arah Danira lalu mencium tangannya. Danira
tergaman. Tidak menyangka dirinya akan diperlakukan begitu oleh anak seusia
Melia.
“Dia dah biasa buat begitu.” Ujar Filman
bagaikan tahu apa yang bersarang di fikiran Danira. Danira menoleh ke arah
Filman yang sudahpun mengendong tubuh kerdil Melia. Terkeheh-keheh gadis kecil
itu ketawa apabila diagah-agah. Matanya tidak mahu lepas memerhatikan
gerak-geri Filman melayan anaknya. Dadanya berdebar-debar sedikit. Tiba-tiba
dia merasa bersalah. Kalaulah Filman masih bujang, tentu tidak ada salah dia
merasakan sesuatu pada lelaki itu. Tapi sayang, lelaki sekacak itu sudah
berpunya!
Filman tiba-tiba berpaling ke arahnya. Danira terpanar.
Dia tidak sempat melarikan anak matanya. Wajahnya merah padam menahan malu.
Apakah lelaki itu menyedari perbuatannya?
“Thanks again.” Ucap Filman lalu beredar
bersama Melia.
Danira hanya memerhatikan kedua-duanya beredar
ke arah kereta yang diparkir di bahu jalan di luar pagar. Entah kenapa, matanya
seakan-akan tidak mampu dilarikan dari susukFilman. Ada sesuatu pada lelaki itu yang membuatkan
hatinya berdebar-debar tidak keruan apabila bercakap-cakap dengan lelaki itu.
Sekali lagi Filman menoleh memandangnya. Danira
terkedu. Tiba-tiba dia rasa segan kerana berdiri di hadapan muka pintu dan
memerhatikan kedua beranak itu. Aku dah gila agaknya! Dia cepat-cepat menutup
pintu di hadapannya, meskipun Filman belum beredar dari situ.
1 comment:
alahai!hati dah terpanah ke???hehe sape tau,dalam ati filman ade taman...n kot nye filman papa single!!!!!agar kabahgian milik danira satu ketika nanti.....
Post a Comment