Followers

Wednesday, November 13, 2013

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 4


KAKINYA melangkah laju menaiki tangga bangunan besar itu. Asalnya dia mahu menggunakan lift, tetapi mengenangkan orang ramai yang bersesak di hadapan pintu lift, dia membatalkan hasratnya. Lebih mudah menaiki tangga, apatah lagi tempat yang ingin ditujunya hanya di aras 4 bangunan itu.

            Diaz Hafizi, saya ada temujanji dengan Encik Roslan.” Beritahu Diaz di kaunter pertanyaan. Sempat dia berbalas senyuman dengan gadis manis yang bertugas di kaunter tersebut.

            “Encik Diaz,” seru satu suara dari suatu arah.

 Diaz berpaling. Seorang lelaki berbadan gempal sedang menuju ke arahnya.

            “Encik Roslan. Apa khabar?” Diaz tersenyum seraya menghulurkan tangannya. Lelaki itu menyambutnya sambil ketawa besar.

            “Sudi juga you terima offer kami. I ingatkan you tak sudi datang.”

            “Takkan tawaran yang baik, I nak tolak. I pun tahu menilai,” Ujar Diaz selamba. Roslan tertawa kecil.

            Well, kami dah sediakan meja untuk you. Soal jawatan you, itu luar bidang kuasa I. Bos besar yang uruskan semua. You kena jumpa dia dululah.” Ujar lelaki itu.

            “Hai, takkan sampai nak berahsia dengan I pulak Encik Roslan.”

            “Bos dah cakap macam tu, kenalah ikut. Kenapa? Tak mahu ke?” Bisik Roslan sambil tersenyum.

Diaz ketawa kecil. Mengerti yang lelaki itu hanya mengusiknya.

            “Malam ni you free tak Diaz?” Mata lelaki gempal itu menatapnya teliti.

            “Malam ni? Kenapa?” Dahi Diaz berkerut.

            “Bos kita ajak you dinner bersama pegawai-pegawai kanan. Barangkali ini majlis untuk memperkenalkan you pada meeting board. Dia benar-benar berharap you boleh hadir malam ini.”

            “I tak ada hal. Nanti I datang.” Janji Diaz.

            “Kalau macam tu, mari I bawakan you ke bilik you. I harap you suka kerja kat sini. Kami di sini sentiasa mengalu-alukan tenaga muda macam you yang proaktif.” Ujar Roslan.

Diaz tanpa banyak soal terus mengekori langkah lelaki itu.

*  *  *  *

SEPERTI yang dijanjikan, Diaz sampai awal ke majlis makan malam syarikat yang diadakan di Dewan Hotel Istana. Walaupun dia sudah melaporkan diri di Bumi Emas, namun kelibat CEO syarikat itu masih belum sempat diintai bayangnya. Kata Roslan, ketua syarikatnya itu sering tidak masuk pejabat sejak akhir-akhir ini. Kerana itu dia memaksa dirinya untuk turut serta dalam majlis makan malam itu.

            Dia memandang wajah-wajah yang tidak dikenalinya. Wajah Roslan juga dicari, namun batang hidung lelaki itu tidak kunjung tiba. Bosan kerana tidak kenal sesiapa di majlis itu, dia segera melangkah ke meja panjang di suatu sudut. Makanan yang terhidang ala buffet di meja tersebut sekadar dipandang tanpa ada niat mahu mengambilnya.

            Dah kenyang?” Satu suara gemersik halus menegurnya. Diaz menoleh. Seraut wajah ayu sedang tersenyum memandangnya. Lama dia memerhatikan ke arah  wajah itu. Dahinya berkerut, cuba mengecam gadis itu.

            Gadis itu ketawa kecil sebaik menyedari dirinya dipandang sebegitu rupa.

            “Kenapa? Dah tak cam I lagi?” Si gadis melemparkan pertanyaan. Renungan Diaz dibalas berani.

            “I rasa macam pernah nampak you, tapi di mana ya?” Diaz cuba mengingati wajah itu.

            Colorado?” Gadis itu memberi hint kepadanya lalu tersenyum.

Diaz termenung panjang. Colorado? Sejurus kemudian dia menepuk kepalanya. Bibirnya segera mengorak senyuman.

            “Azira kan?”

            Gadis itu tergelak besar. Ingat pun! Tangannya dihulurkan ke arah Diaz. Senyumannya manis dan menawan.

Diaz menyambut huluran perkenalan itu tanpa banyak soal. Sekurang-kurangnya dia sudah bertemu dengan seseorang yang dikenali dan boleh diajak berbual. Tidaklah dia terlalu bosan bersendirian menghadapi majlis malam ini.

            Bos dah beritahu I fasal you. Jadi apa yang menyebabkan you berubah fikiran? Dulu you pernah kata you dah tak ada sesiapa lagi di sini.” Ujar gadis itu, cuba mengingatkan kata-kata yang pernah diucapkan lelaki itu suatu ketika dahulu.

Diaz tersenyum. Itukah yang dikatakannya dahulu?

            “Mungkin sebab I dah puas berada di rantau orang. I rindu pada udara Malaysia, pada ketenangan yang ada di setiap inci negara ini.” Jawab Diaz selamba.

            “Kelakar you ni.  You bercakap seolah-olah you dah tinggalkan banyak benda di sini. Boleh I tahu apa dia?” Azira bertanya seraya tersenyum.

            Diaz terdiam. Ya, banyak benda yang telah ditinggalkannya sejak sepuluh tahun yang lalu. Kerana satu kesilapan, banyak benda yang disayanginya terpaksa dilepaskan. Dia sendiri tidak tahu, apakah keputusannya meninggalkan tanahair suatu ketika dahulu, merupakan keputusan yang tepat atau sebaliknya.

            Nampaknya you macam tak sudi bercerita. Tak apalah, mungkin lain kali bila you dah bersedia, I akan menjadi pendengar yang baik.” Getus Azira tenang. Matanya tak putus-putus menatap wajah lelaki itu tanpa jemu. Entah mengapa, sejak pertemuan di Colorado dua bulan yang lalu, wajah lelaki itu sering bermain di ingatannya. Bukan sahaja kerana ketampanan Diaz yang menarik perhatiannya, tapi sikap lelaki itu juga meninggalkan kesan di hatinya.

            Bila ketuanya menawarkan pekerjaan pada lelaki itu beberapa bulan yang lalu, diam-diam dia berharap lelaki itu sudi menerima agar pertemuan mereka tidak terhenti begitu sahaja. Mujurlah hasrat hatinya dipenuhi jua. Dan melihat Diaz malam ini, Tuhan sahaja yang tahu betapa bersyukurnya dirinya

            “Nampaknya bos dah pandang you tu. You patut ke sana jumpa dia.” Usul Azira sambil memandang ke suatu arah. Diaz turut mengekori arah pandangan Azira. Dari jauh matanya bertembung pandang dengan seraut wajah yang sedang melemparkan senyuman ke arahnya.

*  *  *  *

“HARAP you suka bekerja dengan Bumi Emas, Diaz. I benar-benar perlukan orang macam you. Kami dah ada perancangan projek terbaru dalam senarai menunggu. I harap buat sementara ini you boleh uruskan bahagian rekaan.” Wanita itu bersuara tenang.

            “I will try my best. I akan cuba untuk tidak menghampakan you Puan Alma.” Balas Diaz. Namun perkataan ‘sementara’ yang digunakan oleh wanita itu membuatkan dia tertanya-tanya.

            “I tahu I tak silap pilih orang Diaz. Waktu kita berjumpa di Colorado dulu, I tahu you orang yang paling sesuai untuk menggantikan tempat I suatu hari nanti. Lagi pun you tahu kan yang I tak ada anak? I perlukan orang yang sesuai untuk uruskan Bumi Emas.” Ujar wanita itu.

            Darah Diaz menyirap. Kata-kata Alma Katherine membuatkan dia tergaman.

            “Maksud puan?”

            I nak you gantikan tempat I suatu hari nanti Diaz.” Ulang Alma Katherine tenang.

            You must be joking, right!” Diaz ketawa kecil. Aku salah dengarkah? Mana ada orang yang mahu menyerahkan syarikatnya untuk seseorang yang baharu dikenalinya. Ini kerja gila!

            “I serius Diaz.” Ujar Alma Katherina.

Ketawa Diaz tiba-tiba terhenti. Wajah wanita itu memang serius kelihatan.

“Tapi bukanlah sekarang. I akan latih you untuk satu tempoh yang agak lama. Tapi you harus bersedia.” Alma Katherine tersenyum.

 “Tapi kenapa I, Puan Alma? Banyak lagi orang yang berkelayakan dari I. Lagipun pertolongan I pada you dulu ikhlas. You tak perlu buat begini. I tak boleh terima apa-apa dari you selain kerja ini dan gaji yang patut I dapat.” Bantah Diaz.

Meskipun dia seorang yang praktikal dan tidak pernah menolak peluang, tapi kali ini permintaan wanita itu benar-benar membuatkan dia berat hati. Atas dasar apa dia mahu dilantik mengantikan tempat wanita itu? Nonsense!

            “Diaz, you mengingatkan I pada seseorang. My late husband. Sewaktu I bertemu dia dulu, dia tak ubah seperti you. Sendirian di bumi asing, tak ada famili tapi dia berusaha keras dan sangat kuat bekerja. Dan I juga kagumi you atas sebab itu.” Bisik Alma Katherine.

            Diaz mengeluh panjang. Kata-kata wanita itu bermain kembali di kotak fikirannya. Bagaimana dia harus bersetuju terhadap permintaan wanita itu? Permintaan itu menyimpan harapan yang cukup besar, sedangkan dia tidak pasti apakah dia mampu menjadi orang yang boleh diharapkan oleh Alma Katherine.

            Entah mengapa, hatinya kuat mengatakan bahawa permintaan wanita itu lebih kerana terpengaruh atas pertolongan yang diberikannya ketika dia bercuti bersama temannya Vincent di Colorado beberapa bulan yang lalu. Jika hendak dikatakan itu adalah sebab kenapa Alma Katherine mahu menjadikan dirinya pengganti untuk menerajui Bumi Emas Holdings, agak mustahil bila difikirkan kembali. Apatah lagi pertolongannya terhadap wanita itu hanya pertolongan kecil sahaja. Dia hanya sekadar menyelamatkan wanita itu dari diragut beberapa orang pemuda berbangsa America-African. Meskipun dia turut tercedera dalam kejadian itu, namun dia hanya cedera ringan. Sedikit pun tidak berbaloi dengan urusan Bumi Emas yang mahu dipertanggungjawabkan kepadanya oleh wanita itu.

            “Apa lagi kau fikirkan tu? Dah orang nak bagi, kau rembat sajalah.” Celah Haril sambil menatang dulang berisi coklat panas dan biskut kering. Dulang itu diletakkan di atas meja makan di hadapan Diaz.

            “Aku boleh bekerja untuknya, namun untuk terima sesuatu yang bukan dari titik peluh aku sendiri, rasanya tak mungkin.” Keluh Diaz.

            Haril terpegun mendengar kata-kata Diaz. Sejurus kemudian, sekilas senyuman tersungging di bibirnya.

“Aku peliklah kau ni. Sejak bila kau jadi macam ni? Bukankah dulu kau pernah kata, jangan lepaskan peluang baik di hadapan mata. Lagipun peluang baik takkan selalu bergolek. Sekarang dah senang-senang orang bagi peluang, rembat ajelah.“ Nasihat Haril.

            “Aku ada pendirian aku sendiri Haril. Lagipun Puan Alma tu dah macam ibu aku sendiri. Aku tak boleh ambil kesempatan di atas kebaikan dia.” Sangkal Diaz.

            “Atau kau takut orang mengata kau anak ikan dia? Bukan begitu?” Haril menjeling nakal.

Diaz tercengang. Anak ikan? Biar betul! Seketika kemudian dia ketawa terbahak-bahak. Kata-kata Haril memang gila kedengaran.

            “Ril, Puan Alma tu sebaya dengan mama aku. Lagipun dia sendiri anggap aku macam anaknya sendiri. Kau jangan nak buat sangkaan melulu pulak.” Getus Diaz sambil menggelengkan kepalanya. Hendak tergelak dia mendengar kata-kata Haril. Semberono sahaja!

            “Yalah, aku pun bergurau aje. Minta dijauhkan benda-benda itu semua. Oh ya, kau dah pergi jumpa Dina?” Tanya Haril tiba-tiba.

Diaz tidak terus menjawab. Dia memandang wajah Haril seperti keliru.

            “Kenapa? Apa yang tak kena dengan dia?”

            “Diaz..Diaz..boleh kau tanya aku apa yang tak kena dengan dia. Kau dengan Dina ni kenapa sebenarnya? Sepuluh tahun kau tak jumpa dia. At least jumpalah dia sekali, biar dia tahu kau dah balik ke mari. Aku rasa dia tentu rindukan abangnya.” Usul Haril.

            Diaz terdiam. Rindu? Apakah Dina Azura akan merindui orang yang terlalu banyak menyakiti hatinya? Tak mungkin! Gadis itu membencinya!

            “Dina benci abang. Dina tak mahu jumpa abang sampai bila-bila pun!” Jeritan gadis itu berkumandang ke setiap inci ruang rumah besar itu.

            Kau sangka aku suka kau sangat? Aku pun benci tengok muka kau. Kalau kau tak keluar dari rumah ni, biar aku saja yang keluar.” Balasnya garang.

            Diaz memejamkan matanya. Kasar sekali tutur katanya pada Dina Azura ketika itu. Namun kata-kata itu bukan lahir dari lubuk hatinya yang sebenar. Dia tidak pernah membenci gadis itu seperti yang diucapkannya. Anehnya dia tidak dapat lari dari terus menyakiti hati gadis itu dari hari ke sehari.

            Wajah pilu Dina Azura ketika menghantarnya berlepas di lapangan terbang 10 tahun dahulu masih segar dalam ingatannya. Mana mungkin dia lupa pada raut wajah gadis itu yang muram, tatkala dia memeluk mamanya. Sewaktu dia memasuki balai berlepas, sekali lagi wajah Dina Azura dipandangnya. Dan itulah kali terakhir dia melihat gadis itu.

            “Dina selalu tanya aku kalau-kalau kau pernah menulis surat atau kita pernah berutus email. Bila aku bercerita tentang kau, dia nampak sedih. Aku memang dah lama nak tanya kau perkara ini Diaz. Apa sebenarnya yang berlaku antara kau dan Dina?” Mata Haril seolah menyelidik. Ingin sekali mengetahui apa yang tak kena dengan hubungan dua beradik itu selama ini.

            “Tak ada apa-apa. Aku dan dia macam biasa. Lagipun dia kan adik aku.” Balas Diaz acuh tak acuh.

            “Habis yang kau tak nak balik ke mari selama ini kenapa? Kenapa kau tak mahu jumpa Dina? Tak mahu jumpa ibubapa kau? Aku tahu bila kau seolah-olah nak berkampung di sana tu, mesti ada yang tak kena kan? Tapi kalau nak tunggu kau bercerita, berjanggutlah jawabnya aku nak menunggu.” Rungut Haril.

            Diaz senyap sahaja mendengar kata-kata Haril. Dia tahu lelaki itu bukan sengaja mahu mengambil tahu. Persahabatan mereka menjadikan Haril peka pada apa yang berlaku di sekeliling mereka. Lebih-lebih lagi Haril juga rapat dengan Dina Azura. Pastilah sedikit sebanyak, lelaki itu juga dapat merasakan sesuatu.

*  *  *  *

DIA berbaring di atas katilnya dengan belakang tapak tangan di atas dahi. Matanya berkelip-kelip merenung siling di kamarnya. Kamarnya sengaja dibiarkan bergelap. Sengaja dia mahu menenangkan diri dalam suasana sunyi dan suram begini.

            Kata-kata Haril sebentar tadi meskipun dilayan acuh tak acuh, tapi sebenarnya banyak masuk ke dalam kepalanya. Dia sebenarnya mengakui kata-kata Haril ada benarnya. Sampai bila dia mahu bersembunyi di rumah ini tanpa memaklumkan kepada ibubapanya tentang kepulangannya? Tak mungkin dia mampu menutup jejaknya buat selama-lamanya dari ayahnya walau sedaya mana pun dia mencuba. Ayahnya bukan seorang yang bodoh, lambat laun dia akan berjaya dijejaki lelaki itu.

            Diaz menarik nafas panjang. Keluhannya bercampur resah. Perlukah aku pulang ke rumah? Haruskah aku bersemuka dengan ayah? Bagaimana dengan Dina Azura pula? Sanggupkah aku berhadapan dengannya semula?

Diaz meraup wajah. Hatinya benar-benar sarat dengan seribu penyesalan. Kalaulah dia tidak melakukan kesilapan itu sepuluh tahun yang lalu, kemungkinan besar dia tidak akan meninggalkan tempat ini. Dia takkan berada jauh dari ayah dan mamanya sendiri. Ya ALLAH! Bantulah aku untuk berani berhadapan dengan semua kenyataan ini! Bisik hati kecil Diaz.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!