Followers

Sunday, October 3, 2010

Hujan Rindu : Bab 17

Taufik meletakkan gagang telefon dengan berhati-hati. Sambil itu dia termenung panjang. Permintaan Yuzer membuatkan dia serba-salah. Bukan dia tidak mahu membantu Yuzer, masalahnya dia terlalu sibuk dengan urusan kilang perabotnya di pekan. Sebuah syarikat di Kuala Lumpur baru saja memesan hampir 100 set perabot kelengkapan isi rumah. Dia masih ada dua minggu untuk menyediakan tempahan itu. Mana sempat dia hendak berkejar ke Kuala Lumpur membantu urusan Grand Suri.

“Jadi abang nak ke Kuala Lumpur berjumpa Yuz?” Soal Zulaika sambil menyenduk nasi ke pinggan suaminya. Taufik tidak terus menjawab. Dia menyenduk sedikit sambal sotong kegemarannya ke dalam pinggan.

“Tak tahulah Zue. Kalau diikutkan jadual saya minggu ni terlalu padat. Tak sempat rasanya nak ke Kuala Lumpur bertemu Yuzer.” Jawab Taufik.

“Ala ayah pergilah. Kalau ayah pergi, Zurin pun nak ikut. Lagipun Zurin dah habis exam, boringlah asyik memerap kat kampung ni. Zurin nak jalan-jalan kat Kuala Lumpur.” Pujuk Zurin.

Zulaika memandang suaminya yang kelihatan muram. Dia tahu Taufik masih cuba menyiapkan tempahan pelanggan mereka dari Kuala Lumpur. Seingatnya, Taufik pernah bercerita dengannya bahawa klien kali ini cukup penting. Malah mereka telah membayar wang pendahuluan kepada kilang perabot milik suaminya.

“Yuzer nak minta pertolongan saya carikan kayu nyatoh. Setahu saya, kayu tu banyak terdapat di hutan Sabah. Susah nak dapat, tapi tak mustahil. Saya ada kenalan di Sabah yang mungkin boleh bantu dia.” Ujar Taufik tanpa mempedulikan permintaan Zurin.

“Dia nak buat apa dengan kayu nyatoh tu?” Zulaika mengerutkan dahinya. Jarang dia mendengar orang menyebut kayu nyatoh lagi di zaman sekarang. Selalunya pelanggan lebih suka membeli kayu cengal, sena atau meranti. Untuk apa Yuzer memerlukan kayu sebegitu?

“Awak tahulah anak awak tu? Ada saja ideanya. Katanya ada klien dia yang berminat dengan perabot dari kayu nyatoh. Dia minta saya tolong carikan.”

“Habis kerja abang di sini?”

“Tak apalah Zue, saya akan carikan maklumat tentang kayu tu dari kawan-kawan saya. Dalam dua tiga hari lagi, Insya Allah, kita akan sempat kumpulkan maklumat tu. Harap-harap Yuzer mampu mencarinya. Tapi bagaimana kita nak hantar maklumat tu ke tangan Yuzer nanti?”

“Zurin boleh hantarkan ayah.” Sampuk Zurin sambil tersengih. Taufik memandang isterinya. Zulaika hanya mengangkat bahu. Dia tahu sudah lama anak gadis itu merengek-rengek hendak ke Kuala Lumpur.

“Zurin ingat ayah akan benarkan Zurin ke sana seorang diri?”

“Ayah sepatutnya percayakan Zurin. Zurin dah besar panjang, lagipun Zurin bukannya bodoh sangat sampai tak kenal selok belok Kuala Lumpur tu. Kalau ayah tak percaya juga, ayah suruh abang ambil Zurin di stesyen bas.” Saran Zurin. Dia benar-benar berharap lelaki di hadapannya itu akan bersetuju.

Taufik diam sahaja. Bimbang hatinya mahu melepaskan Zurin pergi ke Kuala Lumpur seorang diri. Lagipun sudah banyak cerita-cerita yang tidak enak didengarinya tentang kejadian-kejadian yang tak diingini. Bagaimana kalau sesuatu yang buruk terjadi pada anak gadis itu? Tentu dia akan menyesal tak sudah. Lagipun baginya Zurin masih kecil. Masih terlalu muda untuk dilepaskannya sendirian.

“Kalau ayah tak percaya juga, biar Zurin ajak kak Anum temankan Zurin. Lagipun kasihan kak Anum, dah sebulan dia tinggal kat sini, tapi tak pernah ke mana-mana. Kalau dia ada, boleh juga dia temankan Zurin berjalan-jalan habiskan cuti.” Usul Zurin.

Zulaika tersenyum mendengar kata-kata Zurin. Ada-ada saja alasan anak itu. Apabila dia menoleh ke arah suaminya, Taufik kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu.

* * * *

“Tolonglah kak Anum, Zurin rayu pada kak Anum. Kalau kak Anum tak ikut, ayah tak bagi Zurin pergi,” rayu Zurin bertalu-talu. Anum Dahlia yang sibuk membantu Nek Jah mengupas bawang merah mengerling ke arah wanita itu yang hanya tersenyum.

“Tak mahulah Zurin, kakak malaslah nak pergi sana. Kakak nak temankan nenek kat sini.” Anum Dahlia menggelengkan kepala.

“Sampai hati kak Anum tak mahu temankan Zurin,” wajah gadis itu kelihatan sedih. Anum Dahlia berhenti mengupas bawang. Dia memandang gadis itu. Kasihan pula dia melihat Zurin yang asyik memujuknya ke Kuala Lumpur.

Bukan dia tidak mahu menemani gadis itu. Tapi bila difikirkan yang Zurin mahu bertemu dengan Yuzer, entah kenapa hatinya jadi berat tiba-tiba. Sejak kenduri doa selamat tempohari, dia masih belum bersedia mahu menemui lelaki itu. Bimbang hatinya bergolak semula seperti sebelumnya.

“Nek, pujuklah kak Anum temankan Zurin. Nenek pun tak kasihankan Zurin?” Rengek Zurin sambil memeluk bahu Nek Jah yang sibuk mengacau gulai yang tertenggek di atas dapur.

“Ala kasihan cucu nenek ni. Anum, pergilah temankan Zurin ke Kuala Lumpur tu. Boleh juga Anum pergi berjalan-jalan kat sana. Taklah bosan sangat macam di kampung ni,” ujar Nek Jah seraya memandang anak gadis itu.

“Siapa kata Anum bosan dekat sini nek, seronok apa. Kat kampung ni, walaupun kecil tapi meriah. Semua orang kampung baik, ramah tamah, mesra dengan orang luar macam Anum ni,” ujar Anum Dahlia.

“Itu nenek tahu tapi Anum kena juga tengok dunia luar selain dari kampung ni. Pergilah Anum, lagipun bukannya nenek nak suruh Anum duduk kat sana lama-lama. Dah puas berjalan nanti, baliklah ke sini semula.”

Anum Dahlia terdiam. Berat hatinya mahu meninggalkan Nek Jah dan Tok Anjang berdua sahaja di rumah.

“Nanti apa pula kata datuk, nek?”

“Soal datuk, Anum jangan risau. Nanti nenek beritahu dia. Nenek yakin dia pasti takkan membantah Anum ke Kuala Lumpur.” Balas Nek Jah.

Anum Dahlia mengerling ke arah Zurin yang nampak gembira. Meskipun dia berat hati, namun dia tidak sampai hati ingin merosakkan kegembiraan gadis itu. Mahu tak mahu Anum Dahlia mengangguk akur. Zurin terjerit ceria sambil memeluk tubuhnya. Anum Dahlia tergaman tapi dia kemudiannya tertawa dengan tingkah laku Zurin. Dia memandang Nek Jah yang turut sama tertawa. Entah kenapa dari hari ke sehari dia semakin jatuh sayang pada wanita itu.

* * * *

“Zurin dah tak sabar-sabar nak pergi Kuala Lumpur tu kak Anum. Bestnya boleh jalan-jalan kat sana. Kalau tak Zurin ni asyik terperuk aje kat kampung ni.” Cerita Zurin bersungguh-sungguh ketika dia dan Anum Dahlia sedang asyik berbual-bual di buaian gantung di halaman rumah. Zurin duduk di pelantar buai dan Anum Dahlia secara sukarela membuaikan gadis itu.

“Selama ni Zurin tak pernah pergi ke?” Anum Dahlia tersenyum.

“Pernah tapi Zurin selalu pergi dengan mak dan ayah. Itupun kalau ayah ada kerja kat Kuala Lumpur. Bosanlah kak kalau jalan-jalan dengan ayah tu. Itu tak boleh, ini tak boleh. Banyak sangat yang tak boleh dari boleh.” Rungut Zurin.

“Itu sebab kerana pakcik sayangkan Zurin.”

“Sayang apa kalau semuanya tak boleh. Kalau Zurin semua tak boleh, kalau abang Yuzer dengan Kak Zaza…semua pun takpe.” Cebik anak gadis itu bagaikan tidak puas hati dengan sikap ayahnya Taufik. Anum Dahlia hanya mampu tersenyum. Dia faham, Zaza hanya cuba meluahkan perasaan yang selama ini terpendam. Sebagai remaja tentu jiwa gadis itu sedikit sebanyak memberontak kalau keinginannya disekat.

“Ayah kak Anum tentu tak macam ayah Zurin kan?” Tiba-tiba Zurin menyoalnya. Anum Dahlia terkedu. Lidahnya entah kenapa jadi kelu. Lama kemudian barulah dia tersenyum. Wajah manis Zurin dipandang agak lama.

“Mana-mana ayah sama saja kat dunia ni. Semuanya akan sayang dan mengambil berat pada anak masing-masing. Kakak tak rasa ayah Zurin dengan ayah kakak berbeza.” Ujar Anum Dahlia lembut. Zurin tergaman. Kata-kata Anum Dahlia menyusup perlahan dari telinga terus ke hatinya. Entah kenapa dia rasa terbuai dengan kata-kata Anum Dahlia.

“Kak Anum rapat dengan ayah kak Anum?’ Tanya Zurin lagi.

Anum Dahlia mengangguk. “Kakak sayangkan ayah kakak. Dia lelaki yang baik. Sangat baik bagi kakak. Ayah dengan ibu kakak adalah segala-galanya bagi kakak, Zurin.” Ujar Anum Dahlia.

“Zurin teringin nak jumpa ayah dan mak kak Anum suatu hari nanti. Tapi Zurin tak fasih berbahasa Inggeris,” rungut Zurin tiba-tiba. Anum Dahlia sekadar ketawa kecil.

“Tak payah cakap orang putih dengan ayah kakak. Kalau Zurin nak tahu, ayah kakak tu fasih berbahasa melayu tahu. Cuma adalah sikit-sikit pelat, faham-faham ajelah. Lidah orang putih!” Gelak Anum Dahlia. Zurin turut ketawa.

“Hihihihi tak sabar Zurin nak ke Kuala Lumpur. Entah apa reaksi abang Yuzer kalau tahu Zurin nak datang. Mahu panjang muncung dia kalau tengok Zurin nanti.” Anak gadis itu tersengih. Dia sibuk membayangkan reaksi Yuzer sehingga tidak perasan wajah Anum Dahlia mula berubah.

“Kalau kita pergi sana nanti, kita nak tidur kat mana Zurin?” Anum Dahlia bertanya. Tiba-tiba dia teringat tentang soal itu.

“Kat mana lagi, kat apartment abang Yuzer lah.” Jawab gadis itu mudah.

Anum Dahlia tercengang. Biar betul! Takkan aku kena tinggal serumah dengan Yuzer, ini memang sengaja cari nahas, bisik hati kecil Anum Dahlia.

“Kita bertiga aje?” Soal Anum Dahlia lagi.

“Agaknya berempat kut. Final exam kak Zaza dah nak habis. Mungkin Kak Zaza pun ada sekali sebab lepas tu dia nak ikut kita balik kampung. Zurin ada borak dengan Kak Zaza semalam. Bila dia tahu kak Anum nak datang, terus dia excited. Dia dah tak sabar nak jumpa kak Anum.” Canang Zurin.

“Mana Zaza kenal dengan kakak?”

“Siapa lagi yang cerita? Tentulah Zurin, kak.” Tukas Zurin seraya ketawa terkeheh-keheh. Hendak tak hendak, akhirnya Anum Dahlia turut sama ketawa. Keriangan dan wajah ceria Zurin benar-benar menjadi penghibur hatinya di kampung itu.

* * * *

Perlahan-lahan Nek Jah menghampiri Tok Anjang yang begitu asyik menghisap rokok daun di anjung rumah. Lelaki itu baru pulang dari gelanggang silat kerana pakaiannya masih belum bertukar.

Sedulang kopi panas dan kuih tepung talam baki minum petang yang dibuatnya diletakkan di hadapan lelaki itu. Nek Jah duduk bersimpuh di hadapan suaminya. Tok Anjang acuh tak acuh dengan kehadiran isterinya. Baki rokok daun segera dihenyak ke dalam bekas abu rokok. Dia mencapai sepotong kuih tepung talam lalu disua ke mulutnya.

“Kalau ya pun, cucilah dulu tangan tu bang aji.” Tegur Nek Jah tidak berkenan dengan gerak geri Tok Anjang yang sedikit cuai dengan soal kebersihan. Tok Anjang tidak berkata apa-apa. Kunyahan di mulutnya semakin laju. Nek Jah hanya mampu menggelengkan kepala melihat telatah suaminya.

“Anum nak ke Kuala Lumpur esok, bang aji.” Beritahu Nek Jah seraya memandang suaminya. Mata Tok Anjang beralih ke arahnya.

“Aku dah tahu. Taufik ada beritahu aku di gelanggang tadi.” Jawab Tok Anjang.

“Abang aji izinkan?”

“Pergilah, lagipun dia pergi sebab nak temankan si Zurin. Aku tak kisah.” Balas lelaki itu lagi selamba. Seketul kuih tepung talam sekali lagi dicapai dan disua ke mulutnya. Dia memang menggemari kuih tersebut, lagi-lagi yang dibuat sendiri oleh Nek Jah.

“Berapa hari dia kat sana?” Giliran Tok Anjang pula bertanya.

“Kata Zurin, dalam tiga empat hari juga.” Sahut Nek Jah.

“Awak tu macamana Jah?”

Mata Nek Jah berlari ke wajah suaminya. Kata-kata lelaki itu membuatkan dia tercengang. Macamana apa pula ni?

“Maksud bang aji?”

“Yalah, awak tu tahan ke berpisah lama-lama dengan Anum?” Usik Tok Anjang. Wajahnya tersenyum-senyum sumbing memandang isterinya.

Nek Jah terkedu. Ke situ pulak orang tua ni, bisik hati kecil Nek Jah. Walaupun dia tahu suaminya hanya berseloroh, namun sedikit sebanyak kata-kata lelaki itu menyusup jua ke ke hatinya.

Melihat isterinya berdiam diri, Tok Anjang turut terdiam. Tiba-tiba dia teringat kata-kata Lebai Dollah tempohari. Sejak dia bertemu dengan Lebai Dollah, dia memang mencari-cari peluang berbincang dengan isterinya mengenai Anum Dahlia. Tapi sehingga ke hari ini, lidahnya seakan kelu setiap kali berhadapan dengan isterinya. Ah! Mungkin lebih baik kalau aku menunggu sehingga Anum Dahlia ke Kuala Lumpur saja! Begitulah fikiran Tok Anjang ketika itu.

* * * *

Anum Dahlia mengemaskan beberapa helaian pakaian yang akan di bawanya esok. Mereka akan menaiki bas ke Kuala Lumpur. Begitulah perancangan Zurin sejak mula. Dia hanya mengikut tanpa banyak soal. Lagipun dia sendiri tidak tahu ke mana arah tuju mereka selepas itu. Dibiarkan sahaja Zurin merancang segala-galanya.

Tidak banyak baju yang dibawanya kerana mereka hanya akan menginap tiga empat malam saja di sana. Selesai menghantar dokumen yang diperlukan oleh Yuzer dan selesai menemani Zurin jalan-jalan di Kuala Lumpur, dia akan terus pulang ke sisi Nek Jah dan Tok Anjang semula.

Mengenangkan dirinya bakal bertemu semula dengan Yuzer, entah kenapa perasaan Anum Dahlia bercelaru semula. Dia sendiri tidak tahu kenapa perasaan gementarnya muncul di saat-saat seperti ini. Yang nyata dan pastinya, dia benar-benar bimbang bertemu lelaki itu meskipun pada masa yang sama hati kecilnya bagaikan mengharap-harapkan pertemuan seperti ini.

Entah bagaimana reaksi lelaki itu jika melihatnya tiba-tiba muncul bersama Zurin? Terkejut? Itu sudah pasti! Marah? Ya, itu pun kemungkinan juga. Jika Zurin pun dia boleh marah, tak mustahil aku yang tidak ada kena mengena dengannya pun menerima nasib yang sama, canda hati kecil Anum Dahlia. Ah! Pedulikan saja lelaki itu! Jika dia mahu marah atau menengking sekalipun, itu bukan soal aku. Yang pasti kehadiranku atas restu Pakcik Taufik dan Makcik Zulaika yang mahukan aku menemani anak gadis kesayangan mereka!

“Abang tentu gembira tengok Kak Anum ada sama.” Canang Zurin siang tadi menerpa semula dalam ingatan.

Dia memandang gadis itu. Bibirnya mencebik. Zurin ketawa sehingga pecah perut melihat reaksinya sebaik mendengar tentang Yuzer.

“Alhamdullilah kalau betullah apa yang Zurin cakap tu. Tapi rasanya entah-entah dia balun kakak dengan tongkat bambu kalau nampak kakak datang.” Guraunya pula seraya terkeheh-keheh ketawa. Meskipun ketawanya nampak polos, tapi hakikatnya hatinya bergetar sebaik mendengar kata-kata Zurin. Apakah Yuzer akan benar-benar gembira melihat kehadiranku?

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!