DIA berpeluk tubuh. Jalannya mundar-mandir serba tidak kena.
Kegelisahan hatinya sudah tidak tertanggung menerima kunjungan dari Yasmin
siang tadi. Seringkali dia merasa tidak berupaya menanggung rasa sengsara ini
kerana wanita itu.
Apa yang Yasmin
perkatakan siang tadi benar-benar menganggu dirinya. Hakikat yang diperkatakan
wanita itu adalah benar. Sekalipun dia cuba menyembunyikan diri, tapi kenyataan
bahawa hidupnya nyaris-nyaris musnah dahulu adalah benar. Dia dijual oleh ayahnya
sendiri ke kancah pelacuran. Tapi ibunya merayu Yasmin menyelamatkannya.
Bertahun lamanya mereka melarikan diri dari ayahnya sendiri. Dia dan ibunya
sudah tidak sanggup menjadi karung tinju buat lelaki itu melepaskan perasaan setiap kali
kalah judi. Mujurlah Anas tinggal di asrama. Jika tidak, Anas akan turut sama
merasakan tempias kemarahan lelaki itu.
“Esok ikut aku..”
Lelaki itu memandangnya.
Dia berpaling.
Merenung wajah si ayah yang kelihatan serius.
“Ke mana ayah?”
“Jangan banyak
soal, ikut sahaja.” Getus lelaki itu.
“Abang nak bawa
Rian ke mana?”Ibunya pula menyoal.
Lelaki itu
memandang ibunya dengan wajah menyinga. “Ini bukan urusan kau Mimah. Aku ada
hal dengan Rian di bandar.” Ujar ayahnya.
“Hal Rian
urusan Mimah juga bang. Rian anak Mimah. Abang jangan nak buat benda yang
bukan-bukan dengan Rian. Ingat sikit dia anak kita.” Ibunya berkata sayu.
Kata-kata
ibunya membuatkan wajah itu semakin berang. Perlahan-lahan lelaki itu
menghampiri ibunya sebelum memaut tengkuk ibunya. Rambut wanita itu direnggut
kasar. Ibunya menjerit kesakitan. Dia sendiri terkejut melihat tindakan kasar ayahnya
terhadap ibunya.
“Kau memang
sengaja nak cari fasal dengan aku kan Mimah. Aku cuma nak carikan dia kerja kat
bandar tu supaya dia boleh bantu perbelanjaan keluarga kita. Nak harapkan kau?
Kau dah tua, tak larat lagi nak bekerja.” Getus lelaki itu.
“Mimah tahu
abang nak suruh Rian buat kerja yang bukan-bukan. Dia anak kita bang, tolonglah
kasihankan dia sedikit.” Rayu ibunya dengan airmata bercucuran. Sedih sekaligus
kesakitan diperlakukan begitu.
Pang! Tapak
tangan ayahnya sudah mendarat ke pipi wanita itu. Ibunya tersembam ke arah
lantai. Dia menjerit nyaring lalu menerkam ke arah ibunya. Walaupun bukan dia
yang dilempang, tapi hangat pijar dari telapak tangan itu menular ke pipinya.
Dia seolah dapat merasakan kesakitan yang sedang ditanggung ibunya.
“Ayah, tolong
jangan. Jangan pukul mak lagi. Rian akan buat apa sahaja, tapi jangan pukul mak
lagi.” Dia menangis merayu agar lelaki itu tidak mengapa-apakan ibunya.
“Rian!” Suara
ibunya berbisik lirih. Mereka sama-sama menangis sambil berpelukan. Dan itu
bukan kali pertama ibunya dipukul dengan teruk. Jika dia juga salah cakap atau
mempertahankan ibunya, tali pinggang ayahnya juga akan sampai ke tubuhnya.
Hidup mereka terseksa seperti di lubang neraka. Deraan demi deraan semakin
menjadi kebiasaan lelaki itu.
Kerana tidak
mahu ibunya terus dipukul, dia setuju bekerja di kelab malam. Pada mulanya
sebagai pelayan tetapi ada beberapa pelanggan di kelab malam itu tertarik
kepadanya, maka dia diminta menjadi GRO dengan bayaran lumayan. Tapi dia enggan
melakukannya. Berita keengganannya sampai ke pengetahuan ayahnya.
“Kau gila ke
apa? Mereka sanggup bayar berapa sahaja yang kau minta kalau kau sanggup temani
mereka.” Getus ayahnya dengan mata sengaja dibeliakkan besar-besar.
“Rian tak nak
jadi GRO ayah.” Dia menangis dalam kesedihan.
“Tak nak jadi
GRO? Apa yang hinanya dengan kerja GRO tu? Kau kena ingat sikit mak kau dulu
pun GRO.” Ujar lelaki itu sambil tergelak kecil.
“Rian tak nak
jadi macam mak. Rian akan belajar rajin-rajin supaya Rian boleh masuk
universiti. Lepas tu Rian akan cari kerja dan tanggung hidup kita. Rian akan
lakukan semua ini ayah. Jadi tolong jangan paksa Rian lagi.”
“Kau nak masuk
universiti? Anak GRO nak masuk universiti?” Ketawa lelaki itu sinis menyumbat
gegendang telinganya. Dia hanya tunduk dengan airmata bercucuran di pipi.
Sesiapapun takkan mengerti impiannya! Dia sudah lama mengimpikan sebuah
kehidupan yang sempurna, hidup yang tidak perlu risaukan hutang atau belanja
dapur. Hidup yang bebas seperti burung camar di tepian pantai. Dia mahu hidup
senang seperti sesetengah kawan-kawan sekolahnya. Tapi bukan dengan cara
menjual diri! Bukan dengan cara menggadai kehormatan dirinya!
“Kau dengar
sini baik-baik Rian. Kau tu cuma anak pelacur. Orang macam kau takkan ada masa
depan kecuali ikut jejak langkah mak kau. Untung-untung ada orang kaya yang
berminat dengan kau, kau boleh hidup senang lepas tu.” Pujuk ayahnya lagi.
“Rian tak mahu
ayah. Kalau ayah nak bunuh Rian pun bunuhlah, tapi Rian tak mahu jadi pelacur.”
Jeritnya nyaring.
Seperti yang
diduga dengan ayahnya tidak ada istilah penolakan. Malam itu dia dipukul
setengah mati oleh lelaki itu. Ibunya cuba menghalang, tapi turut menerima
nasib yang sama.
“Anak tak
mengenang budi. Kau berdegil juga ya, nak rasakan ini!” Tali pinggang ayahnya
bertubi-tubi singgah ke tubuhnya. Tak cukup dengan itu, lelaki itu menyepak
tubuhnya tanpa belas kasihan. Hasilnya matanya lebam teruk malam itu. Seluruh
tubuhnya berbirat dengan kesan-kesan tali pinggang yang ada di antaranya
mengalirkan darah.
“Maafkan mak
Rian. Mak tak mampu nak lindungi Rian.” Suara ibunya kedengaran sedih ketika
menyapu ubat ke tubuhnya. Dia mendesis kesakitan, cuba menahan rasa perit yang
menyeksakan.
“Bukan salah
mak.” Dia menggelengkan kepala.
“Semua ini
salah mak Rian. Mak tak patut jadi seorang ibu.” Bisik wanita itu.
“Mak!” Dia
segera memeluk ibunya. Airmatanya gugur jua di cerun pipi. Hatinya entah kenapa
tercalar mendengar kata-kata wanita itu.
“Mak tahu
selama ini Rian malu dengan mak, malu dengan ayah. Kami berdua tak layak jadi
ibu bapa kepada anak-anak sebaik Rian dan Anas. Maafkan mak Rian.” Bisik wanita
itu lagi lemah.
“Mak jangan
cakap macam tu. Rian tak pernah malu dengan mak. Sekalipun Rian boleh pilih siapa
mak Rian, Rian akan tetap pilih mak. Percayalah.” Ujarnya sebak.
“Suatu hari
nanti, Rian janji dengan mak yang kita akan ubah nasib keluarga kita. Kita akan
tinggalkan hidup seperti ini mak. Rian akan belajar bersungguh-sungguh dan jadi
anak yang boleh mak banggakan. Rian janji mak.” Ujarnya seraya mengucup dahi
ibunya. Wanita itu membalas dengan memeluknya sekuat hati. Dan malam itu mereka
tidur sambil berpelukan sehingga ke pagi.
“Kenapa muka
kau ni lebam-lebam Rian?” Soalan itu terpacul dari bibir wanita yang menjadi
Madam di kelab malam itu.
“Maaf Madam,
saya..saya terjatuh.” Ujarnya tergagap-gagap.
Madam Lee merenung
wajahnya agak lama. Dia tahu wanita itu takkan mempercayai kata-katanya. Jatuh
sampai lebam mata? Budak kecil pun takkan percaya alasannya itu.
“Bapak kau
pukul kau lagi? Hmm..apalah nak jadi dengan Dollah ni. Kalau muka lebam macam
ni, siapa yang nak kau layan mereka lagi? Sudahlah tu, pergi hantar minuman kat
bilik VIP kita.” Suruh Madam dengan suara tegas.
Dia mengangguk.
Dulang berisi minuman keras itu dibawa ke sebuah bilik VIP. Daun pintu diketuk.
Seorang lelaki muda membukakan pintu
untuknya. Orangnya boleh tahan kacak. Dia tunduk sedikit lalu membawa minuman
itu ke arah meja.
“Kau pelayan
baru ya? Tak pernah nampak pun selama ini.” Lelaki muda itu bertanya.
Dia hanya
mengangguk.
“Hmm..kenapa
dengan muka tu? Kena pukul?” Pertanyaan itu singgah diikuti bunyi derai ketawa.
Dia agak kurang
senang mendengar pertanyaan itu. Kebanyakan mereka masih muda berusia dalam
lingkungan awal 20an. Ada 5 lelaki di
dalam bilik itu dengan beberapa orang gadis GRO. Dia memberanikan diri
memandang mereka dan hampir mengucap panjang apabila mendapati ada di antaranya
sedang berkelakuan tidak sopan. Tanpa segan silu mengucup dan meraba gadis-gadis
itu. Dia mengalihkan pandangan, tidak sanggup melihat pemandangan seperti itu.
“Kenapa sayang?
Malu ke? Jangan nak berpura-puralah. Kau kerja kat sini, tentu kau pernah
tengok lebih dari ini kan?” Lelaki itu bersuara sambil ketawa besar.
Dia cepat-cepat
menghidangkan minuman lalu berpaling mahu beredar dari situ. Tapi lelaki itu
tiba-tiba menarik tangannya menyebabkan dia tersembam ke arah sofa di situ. Dia
mahu bangun tapi tangan lelaki itu sudah menekan tubuhnya.
“Jangan, tolong
jangan. Saya cuma pelayan kat sini, bukan GRO.” Ujarnya perlahan. Perasaan
takut mula menguasai dirinya.
“Pelayan ke GRO
ke, semuanya sama sahaja. Kau memilih kerja kat sini tentu kau tahu apa yang
patut dibuat kan?” Tak semena-mena tangan lelaki itu sudah menular ke arah
dadanya. Butang bajunya dibuka satu persatu. Dia berusaha keras menepis tangan
lelaki itu.
“Encik, saya
dah kata saya bukan GRO.”
“Tapi aku dah
berkenan tengok kau. Malam ni kau layan aku dan aku akan beri duit yang banyak
untuk kau.” Bisik lelaki itu ke telinganya.
Dia memejamkan
matanya. Terbayang-bayang wajah ibunya dan Anas. Dia takut, tapi ketakutan itu
memberinya kekuatan. Dia berfikir bagaimana mahu melepaskan diri dari lelaki
yang kelihatan sudah dikuasai air syaitan itu. Dengan sepenuh tenaga, kakinya
segera menendang pangkal kaki lelaki itu.
Si lelaki mengaduh
kesakitan sambil menjepit kedua belah kakinya. Peluang yang ada digunakan untuk
dia melarikan diri dari bilik itu. Dia dapat mendengar suara berteriak dan
cercaan datangnya dari bilik itu, namun dia sudah tidak peduli. Langkah kakinya
dihela pantas ke suatu arah. Dia hanya terfikir mahu pergi sahaja dari tempat
itu sebelum Madam Lee juga memarahinya kerana bertindak seperti itu pada
pelanggan. Mereka yang bekerja di situ memang sering diberitahu agar melayan
klien di situ seperti raja. Apa sahaja keinginan klien harus dipenuhi. Itu
pesan Madam Lee. Tapi itu tidak bermakna pesanan itu harus dituruti. Dia bukan
bodoh! Dia tidak mahu terjebak lebih jauh lagi,
Tiba-tiba
kakinya tersalah langkah. Dia terjelepuk jatuh mencium lantai. Dia mahu bangkit
tapi kesakitan di buku lalinya menyengat. Kakinya sudah terkehel.
Sepasang tangan
tiba-tiba memaut tubuhnya. Dia mengangkat wajahnya dan terkejut melihat seorang
wanita di hadapannya. Wajah wanita itu cantik, pakaiannya juga anggun sekali.
Senyuman wanita itu menular di bibirnya. Manis dan ramah kelihatan.
“Boleh bangun?”
Tanya wanita itu lembut.
Dia mengangguk.
Berdikit-dikit dia bangun sambil menahan sakit di kaki.
“Perempuan
bedebah! Berani kau ya.” Sepasang tangan kekar tiba-tiba mencengkam rambutnya
dari belakang sekuat hati. Dia terkejut lalu menjerit kesakitan. Apabila dia
berpaling, dia melihat lelaki-lelaki di bilik VIP tadi sudah berada di situ.
Dan lelaki yang paling berang itu ialah lelaki yang mendapat habuan istimewa
darinya sebentar tadi.
“Azrul! Lepaskan
dia. Berapa kali aku nak pesan dengan kau supaya hormat sikit dengan perempuan.
Kau semakin melampau sekarang.” Suara itu meletus dari bibir merah delima yang
ditemuinya sebentar tadi.
Lelaki yang
dipanggil Azrul itu menoleh ke arah wanita cantik itu. Melihat renungan tajam
wanita itu melata ke wajahnya, Azrul
tergaman. Dia segera melepaskan tangannya.
“Kak Yasmin.” Bisik
Azrul dihujani resah.
Diam-diam dia memerhatikan
wanita yang dipanggil Yasmin itu. Hatinya tertanya-tanya siapa gerangan wanita
itu. Hanya calang-calang orang sahaja yang mampu memberi arahan pada seorang
lelaki dan lelaki itu akur tanpa banyak soal.
“Kau nak aku
cakap dengan Barto yang kau buat kecoh kat sini?”
“Err…jangan Kak
Yas. Tolong jangan.”
“Aku nak kau
dan kawan-kawan kau berambus dari sini dan jangan kacau perempuan ni lagi. Dia
ni adik aku. Mengerti?”
Azrul terperanjat.
Bahkan bukan sahaja lelaki itu, dia turut terkedu melihat wanita itu mengakunya
sebagai adik. Tapi gertakan wanita itu sekurang-kurangnya berjaya membuatkan
lelaki itu menggeletar. Tanpa banyak soal, lelaki itu dan kawan-kawannya segera
beredar dari situ.
“Nama kakak
Yasmin. Panggil Kak Yas pun tak apa.” Ujar wanita itu mempekenalkan diri sebaik
kelibat lelaki-lelaki itu menghilang.
“Nama kau
siapa?”
“Err…Adriana.”
Jawabnya tergagap-gagap.
“Adriana?
Hmm..cantik nama tu. Adriana kerja di sini?” Mata wanita itu asyik memandangnya
dari atas ke bawah.
Dia mengangguk.
“Rian? Kenapa
kau kat sini lagi? Pergi buat kerja sekarang.” Madam Lee tiba-tiba muncul dari
suatu arah.
Dia terkedu.
Hatinya risau kalau-kalau wanita itu naik marah dengan apa yang telah berlaku
di bilik VIP sebentar tadi.
“Budak ni kacau
kau ke Yas? Maaflah, dia budak baru. Anak Dollah dengan Hamimah.” Madam Lee tersenyum
memandang wanita anggun itu.
“Anak Kak Mimah?”
Yasmin segera melontarkan pandangan ke arahnya. Seakan-akan terkejut mendengar
kata-kata Madam Lee sebentar tadi.
“Ya, inilah
anak diaorang.” Madam Lee mengangguk.
Mata Yasmin
semakin mengecil merenung ke arahnya. Sejurus anak mata wanita itu tertumpu
lama ke arah lebam di pelipis mata kirinya.
“Kenapa dengan
mata kau?” Tanya Yasmin lembut.
Dia hanya
tunduk, tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan cenderahati istimewa hadiah dari
ayahnya.
“Kerja Dollah.
Masih panas baran macam dulu.” Sampuk Madam Lee, menggantikan suaranya yang
berat mahu dilontar keluar.
Suara keluhan
meniti keluar dari bibir merah delima itu. Sepasang mata wanita itu seolah
bersimpati terhadapnya. Dan bodohnya dia kerana percaya wanita seperti Yasmin
akan menganggapnya manusia.
“Kak Rian?”
Adriana
tergaman. Hilang sudah lamunannya sebentar tadi disapa suara Anas. Dia sendiri
tidak menyedari bila masanya Anas datang mendekatinya.
“Anas tak tidur
lagi?” Tanya Adriana tersenyum.
“Anas tak
mengantuk.”
“Barang-barang
dah kemas? Esok nak balik asrama kan?”
Anas
mengangguk. Wajah adiknya itu muram lesu sahaja.
“Esok kakak
panggil teksi ke mari. Maaflah kakak tak boleh hantar Anas balik asrama. Nanti
bila kakak dah habis belajar, dah kerja. Kakak beli kereta, boleh hantar Anas
ke universiti pulak.” Ujar Adriana tersenyum. Entah bilalah dia mampu mengumpul
duit untuk membeli sebuah kereta terpakai. Hendak mengumpul duit belanja makan,
rawatan ibunya serta belanja sekolah Anas pun sudah sukar, inikan pula hendak
berangan membeli kereta untuk keperluan mereka.
Anas terdiam
mendengar kata-kata Adriana. Dia memandang wajah kakaknya dalam-dalam. Ada
sesuatu yang mahu dibicarakan dengan gadis itu sebenarnya.
“Anas nak
bincang sesuatu dengan kakak.” Ujar Anas lambat-lambat.
“Nak bincang
fasal apa?”
“Anas rasa,
Anas nak balik sekolah dekat-dekat sini sahaja. Anas nak tinggal dekat rumah.”
Ujar Anas. Kepalanya tunduk ke bawah, tidak berani bertentang mata dengan
Adriana kerana dia tahu kakaknya itu pasti tidak bersetuju.
Adriana
terpanar. Apa maksud adiknya itu?
“Anas nak
sekolah kat sini? Apa Anas merepek ni? Bersusah payah Anas dapat bersekolah di Sekolah
Berasrama Penuh tu. Dan sekarang Anas kata Anas tak nak sekolah di situ lagi?”
“Kak, Anas kasihankan kakak. Kakak kena kerja dan jaga
mak pada masa yang sama. Anas langsung tak membantu kakak. Kakak baharu sambung
belajar di kolej tu, lepas tu kakak kena kerja pulak untuk tampung belanja kita
dua beradik. Anas kasihan tengok mak sorang-sorang di rumah kalau kakak tak
ada.”Ujar Anas.
“Kan ada orang yang tolong jaga mak. Kak Mimi kana da, Anas
nak risaukan apa?”
“Itulah yang Anas maksudkan. Gaji kakak bukan tinggi
sangat, tapi kakak terpaksa bayar orang untuk jaga mak masa kakak tak ada.
Kalau Anas ada, Anas boleh tolong tengok-tengokkan
mak. Kita tak payah buang duit untuk upah orang jaga mak lagi.” Getus anak muda
itu lagi.
Adriana terdiam mendengar butir bicara Anas. Dalam usia
16 tahun, adiknya itu benar-benar matang orangnya. Dia benar-benar bangga
dengan Anas.
“Anas jangan risau, kakak mampu uruskan semua ini. Kakak
cuma nak Anas belajar di tempat yang baik, dapat masuk universiti dan lepas tu
kita tinggalkan hidup lama kita dan mulakan hidup baru. Itu janji kakak pada
mak dulu.”
“Tapi kak..”
“Jangan nak bertapi-tapi lagi, kakak serius ni. Demi
kakak dan demi mak, belajarlah rajin-rajin sampai Anas jadi orang yang berguna.
Susah kita ni hanya sementara. Kita kena bersabar, dan sampai masanya nanti
Allah akan ganti kesusahan itu dengan bahagia berpanjangan. Percayalah.” Pujuk
Adriana. Bahu anak muda itu ditepuk-tepuk perlahan.
Anas mengigit bibir. Dia sudah tidak mampu untuk memujuk
kakaknya.
“Kalaulah ayah ada…” seru Anas separuh mengeluh.
Adriana terkedu. Dia dapat mendengar dengan jelas sungutan
adiknya itu. Entah mengapa mendengar sahaja tentang ayahnya, darahnya menyerbu
naik ke muka.
“Jangan sebut fasal ayah lagi boleh tak? Dia dah lari
tinggalkan kita. Kita tak perlukan ayah macam tu.” Ujar Adriana keras.
“Anas tetap nak cari ayah kak. Dia tak tahu langsung
keadaan mak. Kalau ayah tahu, dia akan bantu kita.” Ujar Anas.
Adriana mengetap bibirnya. Wajahnya membahang.
“Anas, kan kakak dah cakap banyak kali pada Anas. Jangan
sebut fasal ayah lagi depan kakak. Dia dah tak ada apa-apa hubungan dengan kita
lagi. Faham tak?” Bentak Adriana sudah mula gagal mengawal perasaan.
Wajah Anas berubah. Dia tidak faham kenapa sampai begitu
sekali kemarahan Adriana terhadap ayah mereka. Sampai sekarang dia langsung
tidak mengerti apa-apa pun.
Sebaik Anas beredar ke dalam, Adriana menekup wajahnya.
Fikirannya bercelaru. Jiwanya keresahan. Dia tahu Anas sering tertanya-tanya ke
mana ayah mereka menghilang. Kalaulah anak muda itu tahu apa sebenarnya yang
berlaku dua tahun lalu. Lelaki itu sudah meninggalkan mereka buat
selama-lamanya tetapi dia tidak pernah menyesal langsung dengan apa yang telah
dilakukannya. Langsung tidak!
No comments:
Post a Comment