Followers

Tuesday, October 30, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 15


            MATANYA leka memerhatikan susun atur rumahnya yang sedikit berlainan berbanding dua tahun yang lalu ketika dia pulang bercuti.. Hiasan bunga di anjung tangga sudah berganti dengan ukiran kayu. Beberapa bingkai gambar yang tak pernah dilihatnya selama ini bertambah dan tersusun sebaris di atas pelantar almari panjang di ruang tamu.

Mata Aliff berhenti pada bingkai yang memaparkan wajah Melia yang sedang tersenyum riang sambil memakai topi kecil. Cute! Aliff tersenyum.

            “Gambar ni abang Filman ambil masa kita orang pergi berkelah kat Port Dickson dua bulan lepas kalau tak silap.” Komen Najla ketika menjengah sama bingkai gambar yang dipegang Aliff.

            “Dah besar ya Melly ni. Sekejap saja.” Balas Aliff. Gambar Melia diletakkan kembali ke tempatnya. Dia memandang pula wajah-wajah ahli keluarga mereka yang diambil pada hari raya dua tahun yang lepas. Dia dan Filman berdiri di belakang Tengku Amar dan Tengku Saida yang duduk di atas kerusi sambil meriba Melia yang masih kecil. Najla ketika itu duduk bertimpuh di hadapan ibunya. Antara banyak-banyak gambar, inilah potret keluarga yang paling digemarinya.

            “Kenapa asyik tengok gambar tu? Hah Naj tahu, Aliff mesti rindukan kami semua kan?” Teka Najla. Aliff hanya tersenyum.

            “Takkan tak rindu. Ini kan keluarga Aliff.” Jawab lelaki itu.

             “Naj macamana? Aliff tak rindukan Naj?” Soalan itu terpacul dari bibir Najla tanpa disedari. Wajah Najla sedikit merah. Namun apakan daya, ia terkeluar di luar kawalannya.

Aliff tidak terus menjawab. Dia merenung wajah itu dalam-dalam. Apa yang terkandung dalam hati gadis itu sudah lama difahaminya. Cuma selama ini, dia sengaja tidak mahu melayan perasaan Najla yang adakala sengaja mahu menduganya.

            “Aliff rindukan semua orang Naj.” Jawabnya tenang.

            Najla terkedu. Dia tidak mahu Aliff terus-terusan menyebut begitu setiap kali dia bertanya. Dia hanya mahu Aliff mengaku bahawa lelaki itu rindu dan sayangkannya. Tapi sikap Aliff sejak dulu sehingga kini sentiasa berteka-teki dengannya. Sukar benar dia mahu menyelami hati lelaki itu.

            “Aliff!” Nama lelaki itu tiba-tiba dilaung lantang. Jeritan itu terus membantutkan hasrat Najla untuk berkata-kata. Dia berpaling. Aliff sudah pun beredar ke arah ibunya Tengku Saida yang kelihatan gembira menyambut kepulangannya.

            Tangan Tengku Saida dikucup lembut. Tengku Saida terus merangkul tubuh anak muda itu. Dia gembira tak terkata apabila terpandang kelibat anak muda itu di ruang tamu.

            “Kenapa balik tak beritahu ma?” Tanya Tengku Saida.

            “Saja nak surprisekan ma. Aliff rindu sangat dengan ma.” Kepalanya segera  dilentokkan ke bahu wanita itu. Tengku Saida terus tersenyum.

            “Ma pun rindukan Aliff. Dah lama Aliff tak balik, ma cadang nak ajak ayah ke London bulan depan.” Beritahu Tengku Saida.

            Patutlah hati Aliff ni meronta-ronta nak balik. Rupa-rupanya ma Aliff ni rindukan Aliff. Hmm..baru Aliff tahu ma betul-betul sayangkan Aliff.” Usik anak muda itu.

            Tengku Saida ketawa besar mendengar kata-kata Aliff. Sikap suka bergurau anak muda itu tidak pernah luntur. Selama ini, kehadiran Aliff benar-benar menyerikan keluarga besar mereka. Dia benar-benar menyenangi anak itu. Sayangnya pada Aliff tidak pernah dibeza-bezakan meskipun Aliff bukan anak kandungnya.

            “Aliff kan anak ma, tentulah ma sayangkan Aliff macam yang lain-lain.” Balas Tengku Saida. Aliff merenung wajah wanita itu dengan penuh kasih sayang. Sememangnya Tengku Saida sudah lama menjadi ibu kesayangannya. Sikap wanita itu yang penyayang, membuatkan dirinya langsung tidak merasa terasing. Tidak rasa terpinggir.

            “Dahlah tu, bila Aliff balik dari London? Hari tu kata minggu depan baru nak balik.” Soal Tengku Saida ingin tahu.

            “Aliff sampai kelmarin ma. Peperiksaan Aliff dah habis, sebab tu Aliff balik awal.” Ujar Aliff.

            “Hmm..senyap-senyap aje balik tak bagitahu. Kalau tak, boleh ma masakkan lauk special untuk Aliff malam ni.” Getus Tengku Saida sambil menggelengkan kepalanya.

            “Tak apalah ma, jangan susah-susah. Ma kan tahu Aliff bukannya cerewet sangat fasal makan ni.” Tukas Aliff.

            Najla hanya memerhatikan perbualan antara Aliff dan ibunya dengan senyap. Melihat kedua-duanya begitu asyik berbual-bual tanpa mempedulikannya, Najla mula makan hati. Dirinya seakan-akan tidak dipedulikan. Aliff memang begini! Jika sudah bertembung dengan ibunya, perbualan sejengkal boleh jadi sedepa. Diam-diam dia membawa diri ke dapur.

            Mak Mah, pembantu rumahnya yang sedang mengoreng ubi kentang langsung tidak ditegur. Dia terus menuju ke arah peti ais lalu dibukanya. Sebotol jus oren dikeluarkan dari dalam peti ais lalu dibawa ke meja bulat di suatu sudut. Sebelum melabuhkan punggung, dia sempat mencapai gelas kosong di atas rak pinggan berhampiran peti ais.

            Najla menuang jus oren sambil mengguman-gumam sesuatu. Ada sesuatu yang membuatkan dia tidak puas hati sebenarnya.

            “Apa Naj?” Mak Mah berpaling lalu memandangnya. Najla tidak jadi meneguk minuman di tangannya. Sebaliknya dia memandang ke arah Mak Mah dengan wajah bingung.

            “Apa Mak Mah?” Tanya Najla pula. Hairan kerana ditegur Mak Mah secara tiba-tiba.

            “Mak Mah tanya Naj cakap apa tadi?”

            “Cakap apa?”

            “Mak Mah dengar Naj macam ada cakap sesuatu tadi.”

            Najla terdiam. Mak Mah dengarkah apa yang dirungutkannya sebentar tadi? Alamak, janganlah Mak Mah dengar! Najla mula keresahan.

            “Kak Mah, malam nanti masak special sikit.” Tengku Saida tiba-tiba menjengah masuk. Najla dan Mak Mah serentak berpaling.

            “Ikan terubuk yang saya beli kelmarin ada lagi?” Tanya Tengku Saida.

            “Ada Mak Engku, saya ingat nak bakar aje.” Balas Mak Mah.

            “Bagus…memang saya cadang nak suruh Kak Mah bakar aje ikan tu. Lagipun Aliff suka makan ikan terubuk bakar cecah dengan air asam.” Tengku Saida tersenyum. Najla segera menarik muka masam. Asyik-asyik Aliff! Semuanya Aliff!

            “Hah, yang Naj buat muka macam tu tunjuk depan ma ni kenapa pulak?” Tak disangka-sangka Tengku Saida menegur. Najla tergaman. Tajam juga pengamatan  ibunya sehingga sempat jua memperhatikan ke arahnya.

            “Ma tu…kalau Aliff balik aje, terus lupakan Naj yang tercegat kat sini macam tunggul.” Rungut Najla seraya mencebik. Tengku Saida merenung wajah anak gadisnya.

            “Takkan dengan Aliff pun Naj nak cemburu? Naj kan tahu ma dah lama tak jumpa Aliff, mestilah ma rindu. Naj tu ma jumpa hari-hari. Bagilah can sikit.” Tengku Saida beralasan.

            “Lagipun Naj tu kalau tak ada Aliff, jangan harap nak balik awal ke rumah. Asyik-asyik nak keluar jumpa kawanlah, nak pergi perpustakaan dengan kawanlah, nak makan dengan kawanlah…orang tua macam ma ni mana laku dah.” Sambung wanita itu dengan suara merajuk. Terasa hati!

            Najla terpegun mendengar kata-kata ibunya. Dia menoleh ke arah Mak Mah yang terkelip-kelip memerhatikan ke arahnya. “Kenapa ma cakap macam tu pulak? Naj sayangkan ma tahu! Cuma dua tiga menjak ni Naj sibuk dengan study. Itu aje.” Balas Najla.

            Tengku Saida hendak tergelak mendengar kata-kata Najla. Sekaligus lucu melihat wajah Najla yang gelisah. Lurus betul si Naj ni. Baru gertak sikit, dah ketar lutut!

            “Ma marahkan Naj ya? Ala sorrylah ma, lepas ni Naj janji Naj akan temankan ma lebih kerap kat rumah ni. Naj janji!” Dia mengangkat dua jari, tanda ikrar yang sudah terpateri di hati.

            Ketawa Tengku Saida tak mampu ditahan lagi. Dia ketawa terbahak-bahak sambil memegang perut. Najla terpegun menyaksikan telatah ibunya. Kenapa pula dengan ma aku ni? Apabila dia mengalihkan pandangan, Mak Mah juga ketawa besar dengan senduk masih di tangan. Dia menggaru kepala. Apa semua orang dalam rumah ni dah buang tebiat ke? Rungut Najla dengan wajah masam mencuka.

*  *  *  *

            Aliff menguak daun pintu di hadapannya lalu perlahan-lahan melangkah masuk. Bibirnya serta-merta mengorak senyuman. Masih bersih! Sama seperti kali terakhir dia pulang ke rumah itu dua tahun yang lalu untuk menyambut Aidilfitri.

            Ada banyak kenangan indah terkumpul di rumah itu sebenarnya. Kenangan yang mengamit seribu satu kemanisan yang sangat dihargainya. Dia benar-benar menghargai kesudian Tengku Amar menjaganya selama ini. Jasa lelaki itu mendidik dan menyekolahkannya takkan sesekali dilupakan. Kerana itu apabila Tengku Amar mencadangkan agar dia menyambung pengajiannya di London dalam bidang undang-undang, dia terus bersetuju tanpa membantah. Malah lelaki itu juga mahukan dia menjadi sebahagian dari legasi keluarga itu yang terdiri dari barisan peguam-peguam yang handal.

            “Abang boleh bagitahu ayah kalau Aliff tak setuju.” Dia tiba-tiba teringatkan kata-kata Filman beberapa tahun yang lalu selepas dia diterima memasuki jurusan undang-undang di School of Law di Warwick. Sebuah university yang terkenal dalam bidang undang-undang.

            “Tak payahlah bang. Aliff akan ikut cadangan ayah tu.” Dia menolak sambil tersenyum. Baginya kata-kata Tengku Amar adalah satu titah yang harus dijunjung. Lagipun ketika itu dia percaya, apa sahaja yang baik bagi ayahnya, juga baik bagi dirinya sendiri.

            Tapi betulkah begitu? Apakah sememangnya keputusan yang dibuatnya tiga tahun yang lalu adalah yang terbaik untuknya? Bagaimana dengan sekarang? Dia pulang bukan semata-mata kerana peperiksaan akhirnya telah selesai seperti yang dicanang pada Tengku Amar, Filman dan pada Tengku Saida sendiri. Sebaliknya ada  sesuatu yang membuatkan dia pulang ke mari. Sesuatu yang benar-benar ditakutinya. Sesuatu yang membuahkan derita di hatinya sejak sekian lama.

            Daun pintu biliknya tiba-tiba dikuak dari luar. Aliff menyedarinya lalu segera berpaling. Matanya terlihat kelibat Tengku Amar berdiri di hadapan pintu biliknya sambil tersenyum.

            “Ayah ingat Aliff tidur.” Tegur Tengku Amar.

            “Tak ayah. Bila ayah balik?”

            “Baru aje. Aliff dah solat Maghrib? Kalau dah, mari kita turun bawah. Ma kamu ajak makan malam. Ada terubuk bakar cecah air asam, ada gulai ikan kering pajeri nenas, ada kerabu taugeh, sambal belacan pun ada. Kesukaan Aliff tu kan.” Canang ayahnya satu persatu.

Aliff ketawa besar. Gelihati mendengar lelaki itu menyebut begitu. Macam chef tengah mencanang menu restoran pada pelanggan saja gayanya. Hanya topi lebar putih itu sahaja yang tidak tertenggek di atas kepala lelaki itu.

            Nak makan tak?” Tanya Tengku Amar lagi.

            Aliff mengangguk. “Mestilah nak, tapi Aliff nak mandi dan solat dulu. Ayah turun dulu, sekejap lagi Aliff turun.” Ujarnya pada Tengku Amar.

            “Okey, tapi jangan lama sangat. Perut ayah dah berkeroncong sangat ni.” Balas Tengku Amar sambil mengenyitkan matanya.

Aliff hanya mampu tersenyum. Sebaik kelibat lelaki itu menghilang, dia kembali termenung. Hatinya gelisah. Fikirannya kembali bungkam. Maafkan Aliff ayah. Aliff telah menipu ayah. Menipu semua orang!

3 comments:

Unknown said...

ape kes yang benar nye sampai aliff ngaku jer tipu sume orang tu..oh lah hati tak sabar nye nak tau...

Anonymous said...

cter yg pnh ngan suspen teman rasa heheh

Anonymous said...

Aliff tu Adik heroin ek?
Nur

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!