Followers

Monday, September 20, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 32

DIA sibuk menyiapkan maklumat-maklumat yang dikehendaki oleh Ikram apabila Salmi, salah seorang staff di situ memanggilnya.

“Aliya, Encik Ikram panggil kau kat bilik dia.” Beritahu Salmi.

Aliya mengeluh. Ligat kepalanya berfikir apa pula yang dikehendaki oleh lelaki itu sekarang. Sudahlah sejak petang kelmarin dia berhempas pulas mengumpul dan mengemaskini maklumat-maklumat yang dimahukan oleh Ikram. Kata lelaki itu, ada mesyuarat penting tepat pukul sepuluh pagi esok. Dan dia juga dikehendaki menyiapkan satu kertas cadangan pembaikpulihan projek Taman Alam mengikut draf yang telah pun dirangka oleh Ikram terlebih dahulu.

Sebaik sampai di hadapan pintu bilik Ikram, Aliya terus mengetuk pintu. Dia menunggu beberapa saat sebelum mula merenggangkan daun pintu. Melihat Ikram tidak berseorangan, Aliya mula diterpa perasaan bersalah. Dia tidak tahu lelaki itu ada tetamu.

“Maaf Encik Ikram, saya datang kemudian saja.” Ujar Aliya lalu membalikkan tubuh. Dia mahu segera angkat kaki dari situ.

“Tak mengapa Aliya. You may come in.” Ujar Ikram seraya tersenyum. Mahu tak mahu Aliya terpaksa melangkah masuk.

“Macamana dengan proposal tu, dah siap?” Tegur Ikram.

“Sudah. Tapi maklumat-maklumat tu perlu dikemaskinikan sedikit lagi.” Beritahu Aliya sejujurnya.

“Okay that’s good. Oh ya perkenalkan ini Cik Irina, Pengurus Besar Pelangi Raya. Irina, ini Aliya. Dia pembantu baru aku menggantikan Kelly.” Ikram memperkenalkan.

Gadis di dalam bilik Ikram itu tersenyum memandangnya. Aliya turut membalas. Dia kagum dengan kejelitaan gadis itu. Orangnya cantik bergaya.Tubuhnya tinggi lampai, tidak kurus dan tidak pula gemuk. Rambutnya panjang terurai hingga ke bahu. Tapi dia seolah-olah pernah melihat gadis itu dahulu. Tapi kat mana ya?

“Macam ni Aliya, Pelangi Raya nak adakan majlis perasmian majalah baru terbitan mereka tak lama lagi. Tapi mereka kekurangan tenaga kerja untuk menguruskan majlis tu. Jadi saya nak minta Aliya bantu Cik Irina sehingga majlis tu selesai boleh tak?” Pinta Ikram.

“Tak ada masalah tapi macamana dengan kerja saya kat sini?”

“Aiya siapkan kerja di sini dulu, selepas tu baru ke Pelangi Raya tengok apa-apa yang boleh dibantu. Is it okay with you Rina?” Cadang Ikram seraya berpaling ke arah gadis di sampingnya.

“Okey aje, aku tak kisah pun.” Balas Irina. Dia tersenyum memandang ke arah Aliya yang tidak berkelip-kelip memandangnya sedari tadi.

Ikram menghantar Irina sehingga ke muka pintu sebelum beralih memandang Aliya. Gadis itu seperti memikirkan sesuatu. Ikram tersengih.

“Tak menyusahkan ke?”

“Apa Encik Ikram?” Aliya terpinga-pinga.

“Saya cakap, tak menyusahkan ke Aliya terpaksa buat dua kerja dalam satu masa? Terpaksa ke hulu ke hilir berulang alik dari Perkasa Budi ke Pelangi Raya?”

“Tak mengapa, ini dah jadi tanggungjawab saya. Ada apa-apa lagi ke Encik Ikram? Kalau tak ada, saya nak sudahkan kerja kat meja saya,” Aliya bermohon diri.

“Oh ya satu lagi, lepas dokumen tu dah siap, boleh Aliya tolong hantarkan satu salinan ke bilik bos? Bos selalu semak fail-fail tu sebelum meeting esok.” Pinta Ikram.

Aliya mengangguk. Sempat dikerlingnya jam di dinding bilik Ikram. Sempat ke aku nak siapkan kerja sebelum tengahari ni?

* * * *

Sudah berjam-jam lamanya dia berteleku di mejanya menyudahkan kerja yang terbengkalai sebentar tadi. Sesekali dia membetulkan urat-uratnya yang dirasakan menegang, setelah agak lama tunduk menyiapkan kerja. Ruang pejabat hampir kosong menandakan waktu tengahari sudah singgah.

Patutlah perutnya berkeroncong, dah tengahari rupanya. Aliya melirik timbunan fail-fail di hadapannya. Sikit lagi! Cepat kau siapkan kerja ni, maka cepatlah kau boleh keluar makan tengahari, pujuk hati kecilnya.

Setengah jam kemudian, dia tersenyum puas. Kerja yang diamanahkan Ikram padanya berjaya jua dilaksanakan. Dia terus beredar ke bilik fotostat untuk membuat beberapa salinan dokumen-dokumen tadi. Selepas membuat salinan, dia menyusun helaian-helaian kertas itu ke dalam beberapa fail yang berlainan. Biar siap terus, tak payahlah esok dia terkejar-kejar hendak menyusun maklumat-maklumat itu lagi. Lagipun malang tak berbau. Silap-silap esok dia lambat ke pejabat atau tersekat dalam kesesakan, tak fasal-fasal mesyuarat penting jadi tergendala kerananya seorang. Jadi lebih baik bersedia dari awal.

Selepas meletakkan fail-fail itu di atas meja Ikram, Aliya menyimpan satu salinan untuk diserahkan kepada ketuanya. Sebenarnya dia jarang pergi ke sayap kanan, ruang di tingkat 13 itu. Kalau ada pun cuma sekali untuk menyerahkan satu dokumen penting kepada lelaki itu. Itupun melalui Hana, setiausaha ketuanya. Selain itu Aliya tidak pernah terfikir untuk sengaja lalu di situ.

Sejak berada di situ, sudah terlalu banyak cerita-cerita mengenai Ketua Eksekutif Perkasa Budi yang singgah ke telinganya. Semestinya cerita yang baik-baik belaka perihal lelaki hebat yang diberi pelbagai nama julukan yang manis-manis. Itupun Rehan yang beria-ria bercerita. Dia hanya menjadi pendengar tidak bergaji. Hendak disampuk cakap-cakap Rehan, dia rasa malas. Apatah lagi dia langsung tidak kenal siapa lelaki yang sibuk diperkatakan itu. Selebihnya dia malas mahu ambil tahu!

Ah! Cari Cik Hana tu lagi baik. Dia sibuk mencari-cari Hana yang tidak kelihatan di mejanya. Setiap ceruk di situ diredah, namun kelibat Hana yang berwajah hitam manis itu tidak jua ditemui. Dah keluar makan ke? Alamak macamana ni? Salinan laporan itu mesti diserahkan segera pada tuan yang empunya sebab selepas ini, dia harus ke Pelangi Raya pula..

Dia memandang muka pintu di hadapan meja Hana. Tertulis nama Syed Adam Hazril Bin Syed Radzi. Hatinya mula menjadi tidak keruan. Perlukah dia masuk dan meletakkannya sendiri? Ikram pun sudah berpesan agar dia memberi laporan ini terus ke tangan bos besar. Ah! Belasah ajelah! Kau beri fail tu cepat-cepat lepas tu keluar makan, habis cerita. Hati kecilnya memujuk berulangkali.

Perlahan-lahan dia mengetuk pintu bilik itu dan menunggu seketika. Aik diam aje? Pasti lelaki itu tidak ada di biliknya sekarang. Nak masuk ke tak nak ni? Ah nekad ajelah, nanti kalau tak diserahkan fail itu, dia juga yang dapat susah, fikir Aliya.

Perlahan-lahan tombol pintu di hadapannya dipulas. Aliya terjenguk-jenguk ke dalam. Ruang bilik itu nampak simple dan moden dengan warna berlatarkan hitam dan putih. Hendak tak hendak, dia sudah melangkah masuk. Niatnya hanya untuk meletakkan sahaja salinan laporan itu dan terus beredar keluar. Tapi sekeping bingkai gambar yang terletak di atas meja, menarik perhatiannya.

Bingkai gambar itu dicapai lalu diterbalikkan. Untuk sesaat Aliya terpegun. Lama dia menatap bingkai gambar di tangannya. Hatinya tersentuh melihat kemesraan seorang lelaki kacak yang sedang mendukung seorang kanak-kanak kecil. Di sampingnya ada seorang wanita ayu yang bertudung litup. Mereka nampak benar-benar sepadan. Tanpa disedari Aliya tersenyum. Indahnya kemesraan yang terpapar dalam gambar itu, sehinggakan dia sendiri dapat merasakannya. Hati kecilnya benar-benar tersentuh.

“Apa you buat kat sini?” Satu suara keras menerjah gegendang telinganya. Aliya tergaman. Dia menoleh ke muka pintu. Terlihat Julia sedang merenungnya sambil bercekak pinggang. Aliya pantas meletakkan kembali bingkai itu ke tempat asalnya.

“Err saya cuma nak hantarkan salinan laporan mesyuarat esok pada Encik Hazril.” Beritahu Aliya separuh resah. Dia benar-benar bimbang dimarahi gadis itu.

“Habis, tak boleh bagi pada Hana aje? Yang you memandai-mandai masuk bilik ni sesuka hati, siapa suruh?” Tengking Julia. Berbulu matanya melihat gadis itu, penangan rasa cemburunya pada kemesraan yang ditunjukkan oleh Ikram tempohari.

“Maafkan saya cik Julia, saya tak sengaja. Saya terpaksa serahkan laporan ni hari ni jugak. Lepas ni Encik Ikram suruh saya pergi ke Pelangi Raya. Saya nak serahkan pada Hana tapi dia dah keluar.” Aliya cuba memberi penjelasan.

“Memanglah semua orang dah keluar lunch time macam ni. Hanya you saja yang tunggu kat sini. Jangan ingat I tak tahu yang you sengaja cari peluang masuk bilik ni kan masa orang tak ada? Supaya senang you nak goda bos.” Tuduh Julia.

Aliya mulai panas telinga mendengar sindiran yang keluar dari mulut Julia. Ikutkan hatinya, mahu rasanya dia lempang pipi licin Julia itu. Kerana mengenangkan dirinya orang baru di pejabat itu, maka dia memaksa diri bersabar.

“Cik Julia, Encik Ikram yang suruh…”

“Asyik Ikram...Ikram, jangan you ingat kerana Ikram baik dengan you, I tak berani nak marah you. Sedarlah sikit diri you tu siapa.” Herdik Julia dengan wajah sombong.

“Julia!”Terdengar suatu suara keras menengking Julia. Pucat lesi muka gadis itu apabila menoleh ke belakang. Aliya yang tidak tahu apa-apa turut berpaling. Tapi melihat kelibat lelaki yang sedang berdiri di muka pintu, menghadap ke arahnya, membuatkan dia tersentak.

“Ril, dia yang memandai-mandai masuk bilik ni masa Ril tak ada. Ju cuma...”

“Sudah. Abang nak Ju minta maaf dengan dia sekarang juga.” Lelaki itu merenung Julia dengan wajah serius. Julia seperti tidak percaya. Wajah Hazril dan Aliya ditatap silih berganti. Bibirnya diketap rapat menahan getar rasa yang mula mencacak.

“Ju, minta maaf dengan dia.” Kali ini suara Hazril sengaja direndahkan.

“Ril nak Ju minta maaf dengan dia ni? Excuse me, Ju ni sepupu Ril. Dia pulak siapa?” Balas Julia lalu melangkah keluar dengan wajah berang.

Hazril mengeluh panjang melihat telatah Julia. Apabila dia menoleh, dilihatnya Aliya diam sahaja. Hazril jadi serba-salah mahu bersuara.

“Aliya, saya....” Dia cuba menyentuh bahu gadis itu tapi Aliya mengelak. Kelu lidahnya melihat birai mata gadis itu digenangi air.

“Saya minta maaf Encik Hazril, saya cuma nak serahkan salinan maklumat untuk mesyuarat besok. Kalau tak ada apa-apa, saya nak keluar dulu.” Pantas kakinya melangkah keluar dari situ.

Hazril terkedu ditinggalkan bersendirian. Dia mengerling, tapi kelibat gadis itu semakin jauh menghilang. Hazril hanya mampu menarik nafas panjang.

* * * *

Dia seperti mahu menjerit sekuat hatinya. Biar bergegar satu kawasan perumahan itu pun tak mengapa. Sekurang-kurangnya akan terlepas juga kekusutan hatinya saat ini. Bila difikirkan semula, dirinya dirasakan benar-benar bodoh. Sebab kau bodohlah, maka kau diperbodohkan orang Aliya! Dia menggerutu sendirian.

Sejak pulang petang tadi, dia terus mengunci diri dalam kamar. Berbaring di tempat tidur, meskipun mata belum mahu lelap. Jeritan Rehan yang mengajaknya makan langsung tidak diendahkan. Sakit hatinya belum reda, macamana dia mahu berselera. Sudahnya dia makan hati berulam jantung di bilik sendiri.

Rehan yang menonton televisyen di ruang tamu naik hairan melihat Aliya. Selalunya lepas balik, mereka akan menonton atau berbual bersama-sama. Tapi malam ini, gadis itu mematung di biliknya. Ada masalahkah dia? Atau sakitkah dia? Sejak pulang tadi Aliya dilihatnya lain macam sahaja. Wajahnya muram tidak seperti selalu. Bimbang juga Rehan memikirkannya.

Sunyi sepi jadinya rumah malam itu. Kalau ada Gina tidaklah terasa sangat. Tiba-tiba Rehan teringat pada seorang lagi teman serumahnya yang sering outsation. Maklumlah kerja stewardess dengan Penerbangan Malaysia Airline System, tentulah tak pernah lekat di rumah. Kadang-kala dalam sebulan, temannya itu hanya tidur di rumah seminggu sahaja. Itu pun boleh dikira dengan jari. Tapi Rehan taklah kisah sangat, lagipun dia sudah lali seorang diri di rumah.

* * * *

Aliya termenung panjang. Telefonnya rancak berbunyi namun dibiarkan sahaja. Lagipun dia sudah tahu siapa yang menghubunginya malam-malam begini. Sejak petang tadi berkali-kali lelaki itu cuba menghubunginya. Berpuluh-puluh sms telah dihantar, hanya dia yang berdegil tidak mahu melayan panggilan dan sms dari lelaki itu.

Dia tidak kisah Julia memarahinya dengan teruk. Tapi dia sukar mahu menerima dirinya dibohongi seperti ini. Lagi-lagi dia dibohongi seseorang yang dihormatinya. Seseorang yang amat dipercayainya.

Selama ini dia benar-benar tidak perasan, Adam dan Hazril itu orang yang sama. Patutlah nama Syed Adam Hazril itu seperti pernah didengarnya apabila kali pertama diberitahu oleh Ikram tempohari.

Telefonnya kembali berbunyi. Aliya hanya kaku memandang.

“Kenapa tak diangkat telefon tu?” Irina menegur apabila dilihatnya gadis itu hanya merenung handphone di tangannya. Dia cepat-cepat melemparkan senyuman, Segan dia pada Irina, takut dikatakan suka melamun tidak tentu fasal.

“Mana tahu panggilan tu penting ke, atau mungkin dari teman lelaki barangkali?” Duga Irina sambil tersenyum.

“Tak ada lah Cik Irina, macam saya ni mana ada teman lelaki, Lainlah macam Cik Irina, cantik.” Balasnya merendah diri. Gadis itu diihatnya tergelak kecil.

“Cantik pun kalau orang tak suka, pun payah jugak.” Sahut Irina dengan nada hambar.

“Maksud Cik Irina?” Matanya sudah mencerun ke arah Irina. Lain macam aje bunyinya! Takkan orang cantik macam gadis itu pun ada masalah nak cari peminat. Kalau macam dia lainlah, tak ada siapa yang nak terkejar-kejar!

Irina tidak terus menjawab. Gadis itu memandangnya sambil melemparkan senyuman yang memukau.

“Kalau ada seseorang yang mengambil berat tentang Aliya, sayangkan Aliya maka hargailah dia. Jangan berkira sangat. Sebab entah bila lagi akan ada orang yang sebegitu hadir dalam hidup kita.” Ujar Irina.

Dia terpempan mendengar kata-kata yang diluahkan oleh gadis itu. Irina begitu berbeza dari tanggapan pertamanya ketika bertemu dulu. Dia tidak sangka gadis yang dilimpahi kemewahan dan kerjaya yang berjaya seperti Irina juga tahu berfikir seperti itu. Tentu bahagia mana-mana lelaki yang mendampinginya.

Bunyi isyarat YMnya mengejutkan Aliya dari lamunan. Dia memandang skrin laptopnya dengan wajah tidak bermaya.

“Lia..daddy loves you so much.”

Bulat mata Aliya memandang setiap patah perkataan yang tertulis di hadapannya. Daddy? Sebelum sempat dia mahu membalas untaian kata titipan lelaki itu, isyarat ‘offline’ segera terpapar. Aliya tergaman. Tiba-tiba sahaja perasaan hampa dan kecewa menyelubungi dirinya. Dia segera menekup mukanya dengan kedua belah tangannya, lalu mula menangis teresak-esak.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!