Followers

Thursday, October 16, 2008

Vendetta 5

Anabella meramas-ramas stereng kereta sekuat hati. Bibirnya diketapkan. Geram. Dia tak sudah-sudah memintas kereta di hadapannya satu-persatu. Meter kereta sudah mencecah kelajuan 110 km/jam sedangkan pada hari biasa, dia hanya membawa keretanya sekitar kelajuan 60km/jam sahaja. Entah mengapa sakit hatinya terasa membahang dengan panggilan yang diterimanya sebentar tadi.
Mira! Nama teman itu dicanang berkali-kali. Tak disangka-sangkanya panggilan yang diterimanya sebentar tadi datangnya dari perempuan itu. Sejak mereka berpisah selepas SPM dulu, dia langsung tidak mendengar apa-apa khabar dari Mira. Khabar yang didengarnya kononnya Mira berjaya melanjutkan pelajaran ke seberang laut, sama seperti Iqbal.
Mira Edora.. Begitulah perkataan yang sering ditulis oleh Mira di atas buku tulisnya. Tak cukup dengan itu, dia akan menambahkan skil penulisannya di atas meja, di kerusi kayu serta di meja guru sendiri. Maklumlah ketika itu novel Mira Edora bukan main popular di kalangan anak-anak sekolah seperti mereka. Kerana itu Mira tidak segan silu menggunakan nama pena yang sama, padahal nama sebenar Mira ialah Tumirah Binti Kuncup. Nama Tumirah diberikan oleh ayahnya yang mempunyai separuh darah Jawa dan Orang Asli. Menurut Mira dahulu, ayahnya anak orang asli pertama yang berjaya melanjutkan pelajaran dan berjaya pula memikat hati ibunya yang mempunyai darah melayu tulen. Tapi rupa Mira cantik dengan kulit putih melepak. Cuma kalau sesekali angin gadis itu datang, satu kelas akan diamuknya dan muka yang cantik itu akan cepat bertukar menjadi raksasa bertanduk dua dalam Ultraman Mobius yang sering ditontonnya jika berkelapangan.
Tapi bukan soal keperibadian Mira yang mahu dicanangkannya. Dia peduli apa jika Mira cantik atau Mira garang seperti singa semasa zaman sekolah mereka dulu. Yang dikisahkannya cuma Iqbal. Apatah lagi panggilan Mira terhadapnya tadi ada kena mengena dengan Iqbal.
“Iqbal ada call kau baru-baru ni?”
“Ada, kenapa?”
“Dia call dari Cherating kan?”
“Eh mana kau tahu?”
“Aku tahulah, sebab aku yang suruh dia call kau.”
“Hah?” Dia terlopong tanpa disedari. Ketawa Mira singgah di gegendang telinganya. Dia melarikan gagang buat seketika sambil mengerutkan dahi. Ketawa gadis itu tetap sama macam dulu. Mengekek halus dan nyaring seperti langsuir.
“Maksud kau Mira?”
“Laa Iqbal tak beritahu kau apa-apa?”
“Apa?” Dia mula tidak sedap hati dengan gaya Mira berbicara. Mengada-ngada! Nak cakap tu cakap ajelah, rungut Anabella.
“Aku dengan Iqbal ada kat Cherating. Kami bercuti sama-sama. Iqbal telefon kau sebab nak beritahu, kami nak bertunang tak lama lagi?”
Dum! Telefon bimbitnya tercampak ke lantai tanpa sedar. Dia terpaku seolah tidak percaya. Iqbal dan Mira akan bertunang? Biar betul! Tapi suara Mira membayangkan keyakinan. Bodohnya dia. Sepatutnya dia tahu Iqbal takkan memilih gadis sepertinya. Sudahlah miskin, bodoh pulak tu. Lagi-lagi dia banyak hutang keliling pinggang. Mahu ke Iqbal menanggung biawak hidup sepertinya?
Tanpa sedar airmata Anabella tumpah lagi. Memang dia benar-benar malang. Dalam satu hari sahaja dia menerima dua tamparan hebat. Itu belum ditambah soal hutangnya yang masih belum selesai. Tidak! Aku tak boleh biarkan Iqbal dirampas Mira. Biar aku dipecat sekalipun atau kereta aku ditarik bank, aku tak peduli. Tapi untuk membiarkan Iqbal dan Mira berpasangan, itu tak mungkin berlaku.
Anabella tiba-tiba memulas stereng keretanya. Haluan keretanya ditukar arah. Dia tidak jadi balik ke rumah. Sebaliknya dia memecut keretanya ke arah berlawanan. Dia sudah nekad. Apa nak jadi pun jadilah. Dia akan mencari Iqbal di Cherating. Di sana nanti dia akan meluahkan perasaan hatinya. Dia akan pastikan Iqbal mencintainya dan bukannya si Tumirah Kuncup tu.
* * * *
Sudah hampir sejam dia memandu keluar dari Kuala Lumpur. Jam sudah menunjukkan pukul 7 petang. Hari semakin gelap. Dia kini memandu di sepanjang lebuhraya Karak-Bentong. Melihat jam di tangannya hampir masuk maghrib, Anabella mengambil keputusan mahu berhenti solat di hentian Genting Sempah.
Dia memandang papan tanda yang menunjukkan jarak ke Genting Sempah yang semakin hampir. Radio yang tadi asyik mendendangkan lagu-lagu popular tanahair diganti siaran dengan suara qariah mendendangkan ayat-ayat suci al’ Quran. Lembut tenang telinganya mendengarkan paduan suara merdu si qariah itu. Tiba-tiba dia teringatkan ibunya. Wanita itu memang amat mementingkan pendidikan agama pada anak-anaknya. Kata ibunya walau setinggi manapun pendidikan seseorang atau semoden mana pun dia, pelajaran agama tetap tidak boleh diabaikan. Dan dia sendiri meskipun bukanlah baik sangat tapi sekurang-kurangnya dia tamat mengaji lebih awal dari adik-adiknya yang agak culas.
Habis sahaja suara qariah mengaji, azan Maghrib mula berkumandang menerusi corong radio. Anabella sengaja menguatkan volume. Signboard Hentian Genting Sempah 500 m baru sahaja dilepasinya.
“Dah maghrib ke?”
“Ahah, dah..” Jawab Anabella pantas. Tiba-tiba dia terkedu. Dadanya berombak kencang. Matanya membuntang bulat. Oh tuhan! Suara apakah itu? Suara itu bertanya dari arah belakang.
Perlahan-lahan Anabella memberanikan diri memandang ke arah cermin di hadapan. Melihat seorang lelaki sedang menggosok-gosok matanya, Anabella tersentak. Mulutnya terlopong. Wajah itu turut memandangnya dari arah belakang dengan rambut panjang hampir menutup mata. Anabella sudah tidak dapat menahan perasaan.
“Makkkkkk…tolong….!!” Jerit Anabella sekuat hati seraya menekan pedal brek sehingga tubuh itu terdorong ke hadapan. Wajah itu mencerlung tajam ke arahnya. Anabella turut menoleh. Dahinya berkerut.
“Kau?”
Belum sempat lelaki itu bersuara. Bunyi hon kuat dari arah hadapan, membuatkan kedua-duanya berpaling. Sebuah treler panjang besar yang baru memotong kenderaan dari arah hadapan kini meluncur laju ke arah mereka. Anabella dan Kojie tergaman. Baru kedua-duanya sedar yang mereka berada di tengah-tengah jalan. Serentak kedua-duanya menjerit seperti histeria melihat treler panjang itu menuju tepat ke arah mereka.
* * * *
Kedua-duanya saling bertatapan dengan raut wajah tidak senang. Anabella mengetapkan bibirnya, manakala Kojie pula mencerlung tajam. Lagak kedua-duanya bagaikan musuh di arena perang.
“Nak minum apa?” Seorang lelaki tua menegur mereka yang statik sejak tadi sehingga sekarang. Anabella tidak menjawab. Kojie juga begitu. Orang tua itu sudah menggaru kepala tidak gatal. Apa kena gamaknya dua orang ni?
“Nak oii, dengar tak ni?” Herdik lelaki tua itu membuatkan Anabella dan Kojie tersentak. Hilang sebentar semangat yang menggunung tinggi di dada dek sergahan orang tua itu. Kedua-duanya berpaling.
“Pakcik tanya ni nak minum apa. Kome dah duduk sini dekat sejam, tapi langsung tak order minuman. Orang makin ramai nak datang minum.” Ujar lelaki tua itu mula berlembut.
“Err..bagi saya air teh o panas pakcik. Lagi panas lagi bagus.” Pesan Anabella sambil menjeling Kojie.
“Saya pula bagi air limau. Lagi masam lagi bagus.” Seru Kojie pula bagaikan sengaja meniru Anabella. Gadis itu membeliakkan matanya. Kojie acuh tak acuh memandang. Lelaki itu menatap kedua-duanya kiri dan kanan. Sebentar kemudian dia berlalu dengan mulut mengomel yang entah apa-apa.
Sebaik lelaki tua tadi beredar, Anabella memandang kembali ke arah Kojie yang turut memandangnya. Bibir Anabella diketapkan rapat-rapat. Satu kemestian yang menjadi tabiat jika dia dalam keadaan marah.
“Kenapa kau boleh ada dalam kereta aku? Sebab kau kita nyaris-nyaris mati tadi tau” Rungut Anabella tidak senang hati. Hatinya masih gerun sebaik teringatkan treler panjang yang hampir merempuh mereka tadi. Mujurlah treler itu sempat mengelak, dan dia cepat-cepat melarikan keretanya ke bahu jalan.
Kojie tidak terus menjawab. Dia serba salah mahu menerangkannya. Bimbang gadis itu akan menyangka yang bukan-bukan. Tapi sememangnya apa yang sebenarnya terjadi memang susah mahu diterima oleh akal logiknya. Tapi itulah yang sebetulnya. Ah lebih baik berkata benar, dari aku sibuk-sibuk nak berbohong.
“Siapa suruh kau brek mendadak kat tengah-tengah jalan tu? Telinga aku ni masih belum hilang gema dengar kau menjerit tau tak.” Balas Kojie selamba.
“Habis kalau aku nampak orang gila dalam kereta aku, takkan aku tak terkejut. Takkan aku tak menjerit.” Cebik Anabella.
“Cakap tu berlapik sikit ya cik adik. Siapa yang gila? Dah tiga hari berturut-turut aku tunggu kau kat kereta kau tu. Dahlah tempoh hari kau gunakan anak mamak tu tipu aku. Kau ingat aku nak biarkan saja?”
Anabella hampir nak ketawa. Dia masih ingat peristiwa lelaki itu dengan Boboi. Siapa suruh kau tu bodoh sangat? Dia menekup mulutnya menghalang dari tawanya meletus.
“Semasa aku tunggu kau tengahari tadi, hujan tiba-tiba turun lebat. Aku cuba nak berlindung dari hujan tapi tiba-tiba aku nyaris tergelincir. Mujur aku terpegangkan pemegang kereta. Terkejut juga aku tengok kereta kau tak berkunci rupanya. Apalagi, aku tak ada pilihan lain terus aku masuk ke dalam.” Ujar Kojie.
Anabella terus merenung raut wajah lelaki itu dalam-dalam. Entah boleh percaya atau tidak kata-kata mamat ni, bisik Anabella. Jangan-jangan dia sengaja nak larikan kereta aku tanpa pengetahuan aku.
“Aku cakap betul ni.” Tegas Kojie apabila dilihatnya bibir Anabella mencebik memandang ke arahnya.
“Betul atau tidak, tentu kau saja yang tahu.” Sahut Anabella sinis. Kojie membulatkan matanya. Entah kenapa dia tidak senang mendengar kata-kata gadis itu.
“Cik Anabella, sepanjang hidup aku tak pernah tipu tau. Hujan lebat sangat, aku letih menunggu kau sampai aku tertidur kat belakang. Lagipun kalau aku nak larikan kereta kau, kenapa aku tak terus pergi saja. Kenapa kena menunggu sampai sekarang?” Getus Kojie geram.
Giliran Anabella pula terdiam. Ada betul juga cakap lelaki itu. Dia mengeluh panjang. Macamanalah aku boleh bawa dia sekali sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur tadi tanpa aku menyedarinya?
“By the way, kau nak ke mana ni? Kenapa kita boleh ada kat sini?” Giliran Kojie pula bertanya. Anabella terkedu. Alamak!
“Jangan-jangan, kau yang nak larikan kereta ni dari pihak bank kan?” Tuduh Kojie pula. Melihat airmuka Anabella, syak wasangkanya makin bertambah.
“Kat mana kau nak sembunyikan kereta ni? Kat Pantai Timur?” Kojie tersengih. Hahaha..nekad betul dia ni sampai macam ni sekali. Nasib baik aku tertidur kat dalam kereta dia!
“Kalau kau nak sangat kereta ni, ambillah. Tapi buat masa ni aku tak boleh pulangkan kereta ni. Aku nak pergi ke satu tempat. Selepas semuanya selesai, aku pulangkan kereta ni pada pihak bank.” Ujar Anabella dengan wajah kelat.
“Kau ingat aku akan percaya cakap kau ni?” Sanggah Kojie.
“Nak percaya atau tak terpulanglah. Tapi aku takkan benarkan kau halang rancangan aku. Kejap lagi aku nak bertolak ke Kuantan. Kau carilah iktiar sendiri balik ke Kuala Lumpur semula.” Anabella acuh tak acuh memandang lelaki itu. Kojie tergelak kecil.
“Jangan nak mengada-ngada. Kalau kau ingat aku akan benarkan kau bawa kereta ni keluar dari Kuala Lumpur, kau silap besar. Aku tak nak dibuang kerja Cik Anabella.”
Anabella terdiam. Dia merenung Kojie dengan mata bersinar-sinar. Lelaki itu tersengih selamba memandangnya.
“Kau ikut aku balik ke Kuala Lumpur lepas ni atau kau serahkan saja kunci kereta tu. Senang cerita. Aku boleh bawa kereta tu pulang dan kau boleh ke Kuantan tanpa halangan. Macamana?” Usul Kojie.
No way! Habis aku nak ke Cherating naik apa? Jalan kaki? Bijak betul idea mamat ni, getus Anabella bengang. Namun belum sempat dia membalas kata-kata Kojie, pakcik pemilik restoran muncul tiba-tiba sambil menatang sedulang minuman yang mereka pesan.
“Nah nak air teh panas dengan limau masam yang anak-anak ni order tadi. Kalau tak cukup panas dengan masam, bagitahu yek. Ada sebalang besar air panas kat dapur tu. Limau nipis, limau kasturi pun sekotak besar lagi ada kat dalam tu.” Ujar pakcik itu seraya tersengih.
Anabella memandang lelaki itu. Hissh ini ada yang nak makan kasut aku ni. Dia panas hati kerana dirasakan lelaki itu seperti sengaja memerlinya. Dia mengalihkan pandangan ke arah Kojie, namun lelaki kerek itu turut tertawa mendengar kata-kata orang tua itu. Telinga Anabella sudah berasap, bersedia mahu melontarkan lahar panas.
Selepas minum Anabella bingkas bangun dari tempat duduknya. Kojie terpinga-pinga melihat gerak geri Anabella. Dia memerhati anak gadis itu dengan mata curiga.
“Nak ke mana ni?”
“Nak pergi solat lah, nak buat apa lagi? Kalau kau takut aku lari, kau tunggu aje kat kereta tu.” Bidas Anabella selamba. Kojie menggaru kepala tidak gatal melihat Anabella beredar ke arah tangga menuju ke mussola di tingkat bawah. Habis aku ni macamana? Takkan nak tunggu kat sini aje macam pak pandir. Waktu maghrib hampir habis.
“Kojie, ingat pesan Mak Wan..jangan sesekali tinggalkan solat. Berdosa besar tau.” Bisikan Mak Wan meletus halus di tepi telinganya. Dia mengangguk-anggukkan kepala bagaikan mampu mendengar suara Mak Wan ketika itu. Ah gasaklah, aku pun nak pergi solat dulu…lagipun lelaki dengan perempuan solat, lelaki lebih awal siap. Takkan dia berani ke mana-mana tanpa aku! Bisik Kojie cuba meredakan hati sendiri.

4 comments:

Itminaan said...

Serious kelakar gile cite ni! hahahha....dah lah bc tgh makan mase tu,nasib baik tak tersembur roti..ehm..laki habis solat lebih cepat dr pompuan ..betul 100%! kalau gi solat ngan ayah,tak sah kalau tak keluar 15-20 minit lepas ayah ku keluar....heheh

Mazni Aznita said...

hahahha perbezaan lelaki ngan perempuan keluar lepas bersolat adalah 30 minit paling awal (wlpun perempuan tu tak mmbetulkan make up)....hahhaha dah buat kajian dah. kakakka

Hany Nafisya said...

pompuan kan nak kene bukak tudung pakai tudung lg.. sbb tu la lmbt.. pastu nak btul²kn tudung.. pantang jumpe cermin.. hehe..

bidadari cinta said...

betul tu..pompuan biaselah lambat bersiap..dh pompuan tu hiasan tuk lelaki kenalah cantik kan???

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!