Followers

Sunday, August 9, 2009

Sayangku Casper : Bab 2

Usai mengemaskan meja makan, dia kembali ke biliknya bersama roti kosong yang sempat diambilnya dari kabinet dapur. Setiap malam begitulah rutin hidupnya. Terpaksa mencuri keluar makanan dari kabinet dapurnya sendiri. Jika tidak pasti leteran Halijah akan melemaskan nafasnya.

Sambil mencubit sedikit demi sedikit roti itu ke mulutnya, Tia mengeluh panjang. Hampir dua minggu berturut-turut dia mengalas perutnya dengan roti kosong. Kalau sesekali mahu makan sedap, dia akan makan kenyang-kenyang di kafeteria kampus. Itu sahaja peluangnya untuk makan selayaknya seperti manusia sebelum pulang ke rumah.

Bila agaknya ayah nak balik ni? Sekurang-kurangnya kalau ayahnya ada bersama, tidaklah dia dilayan seperti orang gaji di rumahnya sendiri. Dia juga tidak perlu menjamah roti untuk mengalas perut atau terpaksa memasak makan malam untuk santapan ibu tirinya serta Karin yang tidak pernah melayannya dengan baik. Ada sahaja yang tidak kena di mata Halijah padanya. Hampir saban hari dia dileter panjang hanya untuk kesilapan kecil yang dilakukannya.

Kalaulah dia tahu begini sikap Halijah dan Karin, tak ingin dia benarkan ayahnya berkahwin lagi selepas beberapa bulan arwah ibunya meninggal dunia. Memang sejak dari mula, hatinya ragu-ragu apabila ayahnya memberitahunya yang dia bakal mendapat ibu tiri. Kata ayahnya lagi, bakal ibu barunya itu baik hati dan pandai memasak seperti arwah ibunya Rosmah. Bukan main lagi ayahnya sibuk mencanang kelebihan wanita itu sehingga berjela-jela panjangnya. Kerana kesungguhan lelaki itu bercerita, dia jadi tidak sampai hati mahu menghalang.

Tapi itu cerita hampir sepuluh tahun yang lalu. Ketika itu dia baru sahaja berada di sekolah rendah. Masih kecil sebenarnya untuk mengerti rentak hidup seseorang. Apatah lagi mahu memahami situasi bahwa bukan semua orang akan baik hati dan ikhlas seperti arwah ibunya.

Setahun hidup bersama dalam satu rumah, taring Halijah mula kelihatan. Karin pula memang sejak awal tidak ramah dengannya. Selalu sahaja mengebas barang-barang miliknya. Malah tanpa segan silu, Karin akan memasuki biliknya setiap kali dia tidak ada dan akan mencuba hampir semua pakaian-pakaian miliknya di dalam almari. Kerana itulah, banyak baju-bajunya yang rosak ataupun tertetas zip. Maklumlah pakaian saiz S dipaksa muat ke tubuh gadis yang bersaiz XXL. Mana tak hancur! Tapi apa boleh buat. Setiap kerenah Halijah dan Karin terpaksa dihadapi dengan wajah manis, atau ayahnya akan tahu ada sesuatu yang tidak kena. Sudah sepuluh tahun lamanya. Dalam tempoh ini dia sentiasa bersabar! Sakit bagaimana pun hatinya, atau seteruk manapun dia dibalun ibu tirinya, dia akan tahan menghadapinya. Semuanya kerana ayahnya!

* * * *

Daun pintu bilik itu dikuak lebar-lebar. Seorang lelaki melangkah masuk lalu memandang sekujur tubuh yang diselubungi selimut tebal. Lama matanya tertumpu ke wajah anak gadis itu.

Sesekali apabila tubuh anak gadis itu berkalih arah, dia terkesima. Namun ternyata gadis itu sedang nyenyak tidur. Dia rapat ke arah katil. Selimut yang terlerai tadi dibetulkan. Ditarik ke atas sehingga ke pangkal leher. Rambut gadis itu dielus perlahan dengan jari-jarinya. Tubuhnya mampir ke arah gadis itu, mahu mengucup dahi itu, namun tindakannya tiba-tiba terhenti. Ada sekelumit perasaan bersalah menyerangnya.

Dia melarikan wajah. Enggan terus memandang wajah polos itu. Sebaliknya ekor matanya menangkap sekeping bingkai potret yang mempunyai kesan-kesan koyakan dan dicantum-cantumkan kembali. Di dada potret itu dia dan isterinya tersenyum sambil mengapit seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan 9 tahun. Gambar itu adalah gambar terakhir yang sempat dipotret sejurus sebelum isterinya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.

Faruk melepaskan keluhan. Tak sangka Tia masih menyimpan kepingan-kepingan gambar itu yang dikoyakkan Karin beberapa tahun yang lalu. Malah sanggup pula mencantumkannya satu persatu. Anak itu memang baik Ros! Dia benar-benar menyayangi kita berdua! Bisik Faruk kepada gambar arwah isterinya Rosmah yang tersenyum riang di dalam bingkai tersebut. Tapi sayang..abang tak mampu memberikan kebahagiaan padanya!

Matanya merenung sayu pada sekujur tubuh di hadapannya. Tia Adila! Gadis itu membesar bersendirian tanpa seorang ibu, jauh sekali seorang ayah. Halijah yang dikahwininya takkan mampu menggantikan tempat Rosmah di sisi Tia. Dia paling mengerti tentang itu semua.

Faruk bingkas bangun dengan perasaan berat. Dia merenung bungkusan hadiah sederhana besar yang diletakkan di atas meja study anak itu. Kotak hitam itu dihiasi reben berwarna pink muda. Itu hadiah ayah untuk Tia! Maafkan ayah kerana Tia terpaksa menanggung semua ini sendirian. Suatu hari nanti, ayah akan balas budi baik Tia, sayang! Bisik Faruk sayu.

Bunyi keriutan pada daun pintu membuatkan Faruk berpaling. Kehadiran Halijah di muka pintu membuatkan wajahnya kembali serius. Dia lekas-lekas bangun lalu melangkah keluar dari bilik Tia tanpa mempedulikan Halijah.

“Awak nak pergi lagi?” Soal Halijah ingin tahu.

“Khalida dah tunggu saya di luar. Kami ada urusan di Shenzen. Saya cuma balik sekejap untuk jenguk Tia.” Ujar Faruk acuh tak acuh.

“Cuma nak jenguk Tia? Jangan awak lupa Faruk, saya masih isteri awak.” Getus Halijah. Faruk berpaling dengan wajah selamba.

“Awak cuma isteri atas nama saja. Saya kahwin dengan awak untuk memenuhi permintaan awak, itu sahaja. Sekarang awak dah hidup mewah, jadi jangan ganggu urusan saya.”

Halijah tersentak. Kata-kata Faruk menyakitkan hatinya. “Sampai hati awak buat saya macam ni Faruk. Saya kahwin dengan awak sebab saya sukakan awak. Saya sayangkan awak.”

Faruk ketawa kecil. “Oh ya? Sukakan saya? Sayangkan saya? Awak ugut saya supaya kahwin dengan awak Halijah. Awak dah lupa semua itu?” Sindir Faruk.

Halijah mengetap bibir. Dia tidak mampu membela dirinya kerana itulah hakikatnya. Faruk mengeluh panjang lalu melangkah ke muka pintu. Halijah meramas kedua-dua tangannya. Dia semakin hilang sabar dengan layanan Faruk padanya.

“Jangan pergi Faruk. Kalau awak pergi, saya akan lepaskan marah saya pada Tia. Saya akan pukul dia. Saya akan sakitkan hatinya seperti yang awak buat pada saya.” Ugut Halijah berang.

Langkah Faruk terhenti. Tubuhnya dibalikkan. Wajah Halijah ditatap tajam. “Awak boleh marah dia, atau sakiti hatinya sesuka hati awak Halijah. Tapi jangan sesekali sentuh dia. Kalau Tia cedera sebab awak atau Karin, saya bersumpah saya akan pastikan awak dan anak awak hilang dalam dunia ni buat selama-lamanya.” Gertak Faruk. Dia meneruskan langkah lalu menghilang dari situ dalam sekelip mata.

Halijah tersentak. Ugutan Faruk membuatkan tubuhnya menggeletar ditenggelami kemarahan. Dia benar-benar tidak mampu berhadapan dengan lelaki sekental Faruk. Sangkanya selama ini dia akan hidup mewah di samping Faruk, namun ternyata dia silap. Hanya kemewahan sahaja yang dikecapinya, namun dia gagal mendapatkan kasih sayang lelaki itu.

* * * *

Faruk membuka pintu kereta Mercedez Benz berwarna hitam yang sudah lama menanti di hadapan rumahnya. Dia memasuki perut kereta lalu berpaling ke arah seorang wanita berusia dalam lingkungan 30an.

“Macamana? You dah jenguk Tia?” Tanya wanita itu.

Dia tersenyum lalu mengangguk. “Dia dah tidur. I tak nak kejutkan dia.”

Khalida memandang Faruk yang kelihatan bersahaja. Sepuluh minit hanya tempoh masa yang singkat. Apakah cukup sekadar melihat sahaja Tia tidur tanpa mencari peluang berbual-bual?

“Kenapa you pandang I macam tu?” Soal Faruk seraya mengerutkan dahinya. Dia perasan Khalida asyik memerhatikannya.

“Dah sepuluh tahun I jadi pembantu you Ahmad Faruk. Tapi sampai sekarang I langsung tak faham tindak-tanduk you.” Keluh Khalida.

“Kalau you mampu memahami hati I, nescaya tempat you bukannya di sini Lid. I takkan upah seorang wanita yang boleh membaca gerak hati ketuanya sendiri sebagai pembantu.” Faruk tersenyum dalam gurauan.

Khalida ketawa kecil. Dia memahami maksud pertuturan lelaki itu sekadar bercanda. Dia segera mengarahkan pemandu mereka beredar dari situ. Ada penerbangan yang harus mereka kejar lewat malam ini.

Sebelum kereta yang dinaikinya meninggalkan perkarangan rumah dua tingkat itu, Faruk melontarkan pandangan kali terakhir ke arah bilik Tia. Kenapa setiap kali dia pergi bagaikan seperti dia mengucap tinggal pada seseorang suatu ketika dahulu? Dan perasaan itu teramat perit.

2 comments:

anis said...

yeah firsy komen
wah ayah dia kasi dia tiket dan buku about paris??
mesti ayah dia ada makna buat semua tu
tapi nape ayah dia gi outstation lagi??
best best best
nak lagi
=)

Yeun Yie said...

wah...mkin best la citer ni..
best arr ayah tia.. bgi dye tiket ke paris tuh...wow..syok sngt..

rsenye, Salena Casper tu ade kna-mngna ngan tia la..mne tau tu ibu nye..hakhakhak..andaian je..

pape pon..cpt smbng tau..mnarik citer ni..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!