Followers

Wednesday, July 16, 2014

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 18


DAUN pintu ditolak perlahan. Kepalanya terjengul masuk. Dia mengintai-intai kelibat suaminya. Lelaki itu dilihatnya sedang asyik menulis sesuatu di ruang kerjanya. Hisyam berpaling ke arah  Zuraini yang kelihatan ragu-ragu mahu memasuki kamar kerjanya.

            “You nak cakap sesuatu ke? Kalau fasal budak tu, lupakan saja. I dah malas nak bincang fasal dia,” ujar lelaki itu sambil menyambung kerjanya yang tergendala sebentar tadi.

You tak perlu terlalu berkeras dengan dia, Syam. Diaz bukan budak kecil lagi.” Zuraini bersuara tenang.

“Sebab dia bukan budak kecil, maka I cuba pastikan hidup dia lebih teratur. Tapi usaha I langsung dia tak hargai. Anak kesayangan you tu memang keras kepala.” Rungut Hisyam.

Zuraini terdiam. Dia ingin terus berbicara dengan suaminya, namun reaksi lelaki itu membuatkan dia sukar menyuarakan apa yang terbuku dalam hatinya.

“Syam, you pernah terfikir tak kenapa Diaz enggan pulang ke sisi kita selama ini?” Dia menyuarakan isi hatinya dengan berhati-hati.

Serta-merta Hisyam berhenti menulis. Pen di tangannya dicampakkan ke atas meja, sebelum dia bersandar memandang ke arah isterinya.

Why? Tell me now.”

Zuraini mengeluh. Dia sendiri tidak pasti, apakah dia patut berterus terang dengan lelaki itu atau membiarkan Hisyam terus dengan sikap keras kepalanya?

“Kenapa kita dah tak macam dulu Syam? You faham maksud I, you juga tahu kenapa Diaz begitu. I cuma mahukan keluarga kita kembali. I mahukan kasih sayang yang pernah memenuhi rumah kita dulu.” Ujar Zuraini penuh berharap.

“Yang you tamak sangat ni kenapa? Kasih sayang bagaimana lagi yang harus I humbankan di hadapan you? Selama ini tak cukup lagi kasih sayang yang I curahkan? I beri you segala-galanya, rumah ini, kemewahan, segala-galanya! Apa itu semua tidak cukup?” Nada suara Hisyam mula meninggi. Marah sungguh dia apabila mendengar kata-kata isterinya itu.

Rintik jernih gugur jua di cerun pipi Zuraini. Dia mengetap dua ulas bibirnya. Cuba mengumpul keberanian diri di hadapan Hisyam.

“You tahu apa maksud I, Syam. Selepas semua yang berlaku dulu, I selalu rasakan yang hidup kita dah banyak berubah. You bukan lagi seperti dulu, dan pada masa yang sama, I juga takut diri I bukan juga seperti dulu.” Luah Zuraini sebak.

“Kita memang takkan jadi seperti dulu lagi Zue. You tahu itu sejak awal-awal lagi. Kenapa you tak mahu terima perubahan itu?” Balas Hisyam meradang.

“Sebab I rasa berdosa. Kita telah berdosa pada ramai orang Syam. Dosa ini membawa beban yang amat berat dalam hati I. I takut kerana dosa ini, Diaz dan Dina yang jadi mangsanya.” Luah Zuraini.

“Cukup Zue! I tak mahu dengar you merepek lagi. Kalau dah tak ada apa-apa, you pergilah tidur. I masih banyak kerja nak diuruskan,’ ujar Hisyam dengan nada hambar. Dia sudah malas mahu melayan cakap-cakap isterinya lagi. Buat sakit hatinya sahaja!

Zuraini menyeka sisa-sisa airmata yang berjuraian di pipi diiringi rasa pilu. Kata-kata Hisyam membawa bekas luka yang amat besar di hatinya.

Menyedari bahawa lelaki itu bagaikan tidak berminat untuk meneruskan perbualan mereka, Zuraini perlahan-lahan beredar ke muka pintu. Namun dia terkejut apabila menyedari Dina Azura sedang tercegat di hadapan pintu bilik itu. Renungan anak gadis itu menikam wajahnya membuatkan dia gugup. Ya ALLAH! Jangan-jangan Dina sudah mendengar segala-galanya!

Err...bila Dina balik?” Sapa Zuraini sambil cepat-cepat mengelap airmata di pipinya yang masih berbekas.

Dina Azura tidak menjawab. Wajah ibunya direnung agak lama, namun dia tidak pula bersuara. Kakinya dihela mendaki tangga ke tingkat atas, sebelum sempat Zuraini bersuara. Zuraini hanya mampu memandang anak gadis itu dengan perasaan bingung. Apabila dia menoleh ke arah suaminya, wajah lelaki itu kelihatan keruh merenung ke arahnya.

Dina Azura menarik nafas panjang. Hatinya resah mendengar pertengkaran antara kedua ibu bapanya. Meskipun dia kurang jelas dengan butir-butir pertengkaran itu, namun dia tahu ayah dan ibunya seolah-olah seperti menyembunyikan sesuatu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia merasakan begitu. Sejak akhir-akhir ini, mama dan ayahnya memang kerap bertikam lidah. Dan bila kedua-duanya bertengkar, ada sahaja perkara yang diperkatakan kedua-duanya yang gagal difahaminya. Itulah yang sering membuahkan tanda tanyanya. Semacam ada rahsia yang cuba disorok oleh kedua ibu bapanya.

Langkah Dina Azura tiba-tiba terhenti. Dia menoleh ke arah bilik kosong yang sudah lama tidak berpenghuni. Telinganya seperti mendengar ada bunyi datangnya dari bilik tersebut. Dahinya berkerut seribu. Siapa pula yang berada di bilik itu pada waktu-waktu begini? Aneh!

Dia segera mendekati bilik di hadapannya. Bunyi yang didengarinya sayup-sayup kedengaran. Takkan Bibik pula! Untuk memuaskan perasaan ingin tahunya, dia memberanikan diri menolak daun pintu di hadapannya. Berkeriut bunyi pintu itu ketika dia menguaknya.

Tanpa berfikir panjang, Dina Azura segera menjenguk ke dalam. Namun alangkah terperanjatnya dia apabila melihat sesusuk tubuh sedang berpaling ke arahnya.

Serta merta dia jadi gugup. Renungan Diaz singgah di wajahnya. Dia berbalas pandang dengan lelaki itu, namun separuh hatinya bagai tidak mampu melawan renungan itu di wajahnya.

“Maaf, Dina tak tahu yang abang dah balik.” Ujarnya lalu cepat-cepat berundur pergi. Namun kehadiran Bibik dari arah belakang membuatkan Dina Azura tergaman. Bibik segera tersenyum melihat gadis itu.

“Lho kok Dina udah pulang? Ibu nyuruh bibik tukarin cadar yang baru untuk Deng Diaz. Boleh enggak Dina bantuin bibik? Bibik harus segera ke kamar dapur siapin minuman buat tetamu bapak yang baru datang.” Ujar Bibik seraya menyerahkan cadar baru berwarna biru lembut ke tangan Dina Azura sebelum sempat anak gadis itu berkata apa-apa.

Dina Azura terlongo. Hampir terjatuh cadar itu dari tangannya. Dia hanya mampu memandang lenggok tubuh Bibik yang berayun pergi. Apabila dia menoleh, pandangan lelaki itu masih menghala ke arahnya. Dia menelan liur. Gugup menguasai diri, namun dia berpura-pura tenang walhal hanya Tuhan sahaja yang boleh membaca isi hatinya saat ini.

Mahu tak mahu dia terpaksa kembali ke kamar lelaki itu. Tanpa memandang Diaz, dia segera menanggalkan cadar yang lama dan menggantikannya dengan cadar baru yang berwarna biru berbunga putih dan krim. Namun dia menyedari anak mata Diaz masih tertumpu ke arahnya. Tekun memerhatikan gerak gerinya dengan hujung mata. Terketar-ketar tangannya menukar sarung bantal, sehingga tidak sedar salah satu bantal tergolek ke bawah katil.

Melihat keadaan itu Diaz segera tunduk. Tangannya mengutip bantal yang jatuh sebelum dia mengalihkan pandangan ke arah Dina Azura yang kelihatan gugup. Gadis itu didekati perlahan-lahan. Berdebar-debar Dina Azura apabila menyedari sepasang mata itu meratah seluruh wajahnya. Dia berundur selangkah dua tanpa disedari. Seperti dahulu, dia sentiasa kalah setiap kali berhadapan dengan lelaki itu.

 Apabila tangan Diaz menuju ke arahnya, Dina Azura tidak dapat menyembunyikan resahnya. Dia tunduk sambil memejamkan matanya. Namun beberapa saat berlalu, dia merasakan cadar di tangannya  ditarik perlahan. Dia membuka matanya. Melihat cadar yang dipegangnya sudah beralih tangan, entah kenapa dia jadi kaget. Apatah lagi apabila melihat Diaz sedang menukar sarung bantalnya sendiri. Seperti biasa, Diaz kelihatan tidak banyak cakap.

Dina Azura hanya membiarkan Diaz melakukan kerja-kerja itu tanpa menawarkan bantuan. Beberapa kali dia mencuri pandang ke arah lelaki itu. Memerhatikan penampilan Diaz yang kelihatan segak. Gaya rambut Diaz yang kemas pendek itu, entah mengapa membuatkan dia terkenangkan rambut ala-ala spike lelaki itu dahulu yang seperti duri landak. Memang lelaki itu sering melanggar peraturan sekolah ketika itu. Masih kekal berambut spike meskipun sering ditegur guru disiplin di sekolah. Seperti kata ayahnya, Diaz memang degil dan keras kepala.

Tiba-tiba Diaz menoleh ke arahnya. Dia terkedu. Langsung tidak sempat mengalihkan anak matanya yang sedang merenung lelaki itu tanpa disedari.

“Dina tak perlu risau, abang tak lama di sini. Hanya malam ini saja, untuk memenuhi permintaan mama,” tiba-tiba lelaki itu bersuara.

Dina Azura terdiam seketika mendengar rentak bicara lelaki itu. Nafasnya dihela perlahan.

“Dina tak kisah abang balik. Ini rumah abang, bukan rumah Dina seorang,” jawabnya perlahan. Diaz tidak perlu melayan diri sendiri seperti orang asing. Lelaki itu bukan siapa-siapa baginya. Diaz adalah abangnya! Hakikat yang pahit untuk ditelan tetapi tidak akan pernah berubah.

Diaz terdiam. Setelah sepuluh tahun dia meninggalkan rumah ini, apakah masih ada tempat untuknya di sini?

Dina Azura memberanikan diri mengangkat wajahnya. Dan dua pasang mata saling bertaut. Renungan itu membuatkan Dina Azura tiba-tiba resah. Jantungnya berdenyut lebih kencang. Dan wajahnya mulai memerah bagaikan biji delima.

 Diaz ikut terpaku menatap sinar jernih di mata anak gadis di hadapannya. Dalam bening cahaya lampu, dia melihat susuk tubuh yang semakin meningkat dewasa. Wajah comel yang dilihatnya dahulu kini kekal di wajah ayu Dina Azura yang memukau dirinya. Naluri kelakiannya membangkitkan bahang di hati. Serta-merta Diaz teringatkan kisah silamnya. Dia segera beristighfar. Masya ALLAH! Dia tak boleh berfikiran begini. Ini salah! Apapun gadis itu tetap adiknya!

Cepat-cepat dia berpaling dari Dina Azura. Debaran yang muncul di dada cuba ditenangkan dengan cara banyak-banyak beristighfar. Dia sudah terlalu banyak melakukan kesilapan. Dan kesilapan lama telah memakan dirinya. Saat ini dia tidak ingin melakukan kesilapan itu sekali lagi.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, Dina keluarlah.” Pinta Diaz.

Dina Azura tergaman mendengar permintaan lelaki itu. Namun dia tahu itulah yang seharusnya dilakukannya. Dalam keadaan sekarang, dia tidak sepatutnya berdua-duaan lebih lama bersama Diaz di dalam satu bilik. Itu perkara yang tidak harus dilakukannya.

Perlahan-lahan dia mara ke muka pintu. Sebelum keluar dari bilik lelaki itu, dia sempat mengerling ke arah Diaz yang tidak berganjak dari membelakanginya. Lelaki itu seolah-olah tidak mahu memandangnya langsung. Namun dia tidak salahkan Diaz kali ini. Antara dia dan Diaz, mereka sebenarnya menyembunyikan satu rahsia yang cukup pahit untuk ditelan. Dan rahsia ini menikam seluruh jiwanya sehingga parah!

Sebaik mendengar pintu di belakangnya ditutup rapat, barulah Diaz berpaling. Dia menghempaskan tubuhnya di atas katil lalu berbaring. Namun desahan nafasnya kedengaran kasar menandakan hatinya sedang diulit kegelisahan.

Kelopak matanya terpejam rapat. Cuba menghindarkan dirinya dari berfikir yang bukan-bukan. Namun sekeras mana usahanya untuk melupakan semua peristiwa lama itu tapi dia tetap tewas. Sebaik dia menutup matanya, dia akan segera terbayangkan Dina Azura. Dia akan terkenang-kenang apa yang telah berlaku antara mereka suatu ketika dahulu.

Damn it! Gumam Diaz keras. Dia bangkit dari tidurnya lalu meraup wajahnya. Rumah ini merupakan satu sumpahan buatnya. Dia takkan mungkin dapat melupakan segala-galanya di rumah ini! Aku tak sepatutnya kembali! Bisik Diaz rungsing!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!