Tahun 2014 - Chantilly, France…
MATANYA
masih melekat pada objek paling bersinar di antara objek-objek lain di galeri
improsionis itu. Terlindung di dalam sebuah kotak kalis kaca di tengah-tengah
bilik. Tekun dia memerhatikan objek itu tidak berkelip.
“It’s
beautiful.” Suatu suara muncul di gegendang telinga.
Dia berpaling. Seorang
gadis berpakaian kasual, berambut tocang dan hanya memakai kasut Nike sedang
asyik menatap The Grand Conde di hadapannya. Wajah itu takjub sekali bagaikan
kagum. Namun yang dia tertarik ialah kerana wajah itu wajah Asia.
“Pink diamond with
pear shape and 9.01 carats. Not so lovely for woman. Every women will love Rose
of Dubai or Pink Star but not The Grand Conde,” ujarnya, tersenyum.
Si gadis menoleh. Mata
mereka bertentangan buat sejenak. Dan entah kenapa dia terpegun dengan wajah
bersih di hadapannya yang kelihatan polos tanpa sebarang mekap.
“Malaysian?” soal si
gadis seakan-akan keliru.
Dia mengangguk.
“You?” tanyanya.
Si gadis turut
mengangguk.
Mereka berbual sejenak
tentang berlian. Tetapi tidak ada sesi perkenalan lanjutan kerana kehadirannya
di Musee de Conde itu bersebab. Dan fokusnya tidak harus terganggu
semata-mata dia bertemu seorang gadis yang sama kewarganegaraan dengannya.
“Need to go now. Nice
to meet you.” Dia tersenyum lalu segera bergegas pergi dari situ.
Si gadis terkaku sejenak
melihat langkah pantas lelaki itu beredar.
“Suri!” Beberapa suara
melaung dari jauh.
Gadis itu berpaling lalu
ternampak kelibat teman-temannya. Dia melambaikan tangannya sambil tersengih.
“Kau ni asyik hilang aje.
Rupa-rupanya memerap kat sini. Minat sangat dengan berlian,” giat temannya,
tersengih-sengih.
“Aku saja nak
tengok-tengok cuci mata. Nak beli tak mampu.” Dia ketawa kecil separuh
menyeloroh.
“Nanti kalau kau kahwin
dengan jutawan, mampulah tu,” sahut temannya, galak menggiat.
“Dia bukan nak kahwin
jutawan, dia nak kahwin dengan doktor,” balas teman yang lain.
Dia hanya tersenyum
mendengarnya. Kahwin dengan doktor? Ya, itu perancangan utamanya selepas dia
habis belajar nanti. Tapi dengan panggilan telefon dari ayahnya semalam meminta
dia balik, dia berasa berat hati. Seboleh-bolehnya dia mahu menemani Farid
lebih lama di sini.
“Muzium dah nak tutup ni.
Jom kita baliklah, aku terasa nak makan croissont kat kafe di seberang
apartmen kita tu,” ujarnya bersedia untuk beredar.
Teman-temannya hanya
ketawa mendengarnya. Mereka berjalan beriringan ke luar sambil rancak
berbual-bual. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Lebih kurang
setengah jam lagi, muzium itu akan ditutup untuk orang ramai.
Tiba-tiba langkahnya
terhenti mendadak. Jari-jemarinya rancak meraba-raba leher. Wajahnya berkerut.
“Kenapa ni, Suri?” tanya
Hana, hairan.
Teman-teman mereka yang
lain ikut menoleh.
“Alamak! Rantai aku
tercicir kat muzium tu tadi,” keluh Suri. Aduh! Yang kau cuai sangat ni kenapa?
“Hmm… tak apalah. Kau orang semua balik dulu.
Aku nak ke muzium tu sekejap cari rantai aku. Nanti kita jumpa kat kafeteria tu,”
ujar Suri Imani lantas bergegas ke arah muzium yang sudah jauh ditinggalkan.
Hana hendak memanggil pun
tidak sempat. Dia mengeluh panjang memandang langkah sahabatnya yang kian jauh.
MUSEE De Conde semakin hening. Dari atas siling, dia mengawasi setiap
ceruk bangunan itu melalui skrin pengawasan. Dia hanya perlu menghubungkan
panel pelayan di bangunan itu terus ke rangkaian komputernya. Hanya beberapa
minit diperlukan dan dia boleh mengawasi segala-galanya melalui skrin
pengawasan di muzium itu.
Jarum jam diteliti.
Bingo! Lima minit berlalu dan dia yakin, kesemua berlian yang dipamerkan di
bilik pameran antarabangsa Musee de Conde itu sudah dimasukkan ke peti besi
utama yang terletak di salah sebuah bilik utama di sayap kiri Chateau de
Chantilly.
Pengawal akan mengawasi
bilik itu selang 15 minit dan akan bertukar setiap satu jam. Ini bermakna dia
hanya ada kurang dari 15 minit untuk menyelinap masuk tanpa dilihat dan
menyahkod bilik kebal di sayap kiri muzium itu, berdekatan dengan The Art of
Gallery yang menempatkan karya paling terkenal sepanjang zaman Tres Riches
Heures du Duc de Berry.
Seorang pengawal baru
melepasi sebuah ruangan. Dia menyelinap cukup berhati-hati. Sensor pengesan
haba diaktifkan di pergelangan tangannya
Seorang lagi pengawal
kelihatan. Datang dari arah hadapan. Dia tidak ada pilihan lain selain memasuki
bilik air tidak jauh dari situ. Suara si pengawal berbual-bual melalui telefon
semakin kuat kedengaran. Dia tidak tahu adakah lelaki itu akan memasuki bilik
air itu atau tidak. Dia mencari-cari sesuatu. Ruang udara di atas siling
diperhatikan. Jarum jam diperhatikan. Tinggal 12 minit lagi.
Seorang pengawal berbadan
gempal memasuki bilik air itu. Mulanya si pengawal mahu membuang air, tetapi
telinganya tiba-tiba menangkap suatu bunyi. Dia berpaling. Memerhatikan dengan
penuh waswas pintu-pintu tandas di situ yang tertutup rapat. Dia mengeluarkan
belantannya. Setiap satu pintu di situ ditolak dan diperiksa. Sehingga ke pintu
terakhir, si pengawal menarik nafas panjang.
Dengan penuh nekad, dia
menendang pintu bilik air terakhir. Wajah si pengawal berubah. Bilik air itu
kosong sahaja. Dia menggaru kepala kebingungan. Mula terfikir barangkali dia
hanya berkhayal yang bukan-bukan.
Tidak jauh dari situ, lelaki
berpakaian serba hitam itu merangkak perlahan-lahan dari siling menuju ke suatu
arah. Destinasinya ialah The Art of Gallery. Dari situ, dia terpaksa melangkah
100 meter lagi ke arah kanan sebelum sampai ke sebuah bilik. Ada lorong panjang
di situ. Satu tempat yang agak berisiko untuk dia melepaskan diri jika
dikepung.
Dia mengeluarkan sesuatu
dari beg sandang. Serbuk putih di telapak tangannya ditiup ke arah panel
kawalan. Dia memakai gogel, menekan butang pada sisi kiri gogal dan cahaya-cahaya
berwarna hijau terang mula kelihatan pada beberapa keypad. Dia membaca
beberapa kesan cahaya pada butang nombor. Angka-angka enam digit itu dimasukkan
ke dalam alat penyahkodan. Pintu di hadapannya mula terbuka.
Bibirnya tersenyum
tenang. Bahagian mudah sudah selesai. Tinggal yang paling sukar. Sejauh 50 meter
dia dapat melihat berlian The Grand Conde terletak di hadapannya. Selain The
Grande Conde, ada beberapa berlian lain. Tetapi dia tidak berniat mahu mengusik
berlian-berlian lain. Hanya The Grand Conde matlamat utamanya. Hanya itu yang
dimahukan oleh kliennya.
“The Grand Conde
dihadiahkan oleh Louis X111 kepada Louis de Bourbon, seorang panglima perang
semasa Perang Tiga Puluh Tahun Perancis. Selepas kematian Louis de Bourbon, The
Grand Conde hilang dan dipercayai berada di tangan salah seorang perempuan
simpanan Louis de Bourbon sehinggalah ditemui 200 tahun kemudian. Berlian ini
pernah dianggap memiliki sumpahan tersendiri dan dikaitkan dengan peristiwa
Revolusi Berdarah Perancis.”
“Cukuplah dengan sejarah.
Kita bincang fasal harga.”
Wanita berbaju ceongsam
merah itu ketawa besar mendengarnya.
“RM5 juta pendahuluan.
Baki RM5 juta lagi selepas ditolak komisyen untuk I akan diberikan setelah
berlian tu diperolehi. Bagaimana?”
“Deal!” Dia mengangguk tanpa banyak soal.
Dia mengeluarkan busur
silangnya lalu menembak ke arah siling. Berdesup bunyi tali dari busur. Tali
selebihnya diikat ke arah palang pintu dan dia menyusur tali itu, menuju ke
arah The Grand Conde yang sedang gah dipamerkan di dalam kotak kaca di
tengah-tengah bilik. Tuan Glock! Itu nama gelarannya. Lelaki yang punya
reputasi dengan fail setebal pembunuh bersiri di Interpol dan agensi-agensi
penguatkuasa di 17 buah negara.
BERBUIH mulut
Suri Imani mahu menerangkan pada pengawal di lobi tentang rantainya yang
tercicir di situ. Namun bahasa Inggeris yang digunakannya seakan-akan tidak
mampu difahami lelaki Perancis itu. Perancis memang terkenal sebagai sebuah
negara yang tidak mengagungkan bahasa Inggeris selain bahasa ibunda mereka. Tak
habis-habis lelaki itu cuba menghalaunya.
“Please, you have to
let me in. I just need a few minutes,” pujuk Suri Imani. Namun lelaki
berbadan besar itu tidak juga lembut hati terhadapnya.
“Go. Go,” ujar lelaki
itu. Tangan si lelaki asyik terawang-awang menyuruh dia pergi.
Tiba-tiba bunyi siren
amaran muncul dari dalam bangunan. Si pengawal terus meninggalkannya lalu
meluru ke dalam. Dia pula terkeliru seketika. Apa yang dah berlaku? Mendengar
bunyi tapak-tapak kaki bergegas di dalam, nalurinya mula mencongak ada perkara
tak baik sedang berlaku? Jangan-jangan ada rompakan! Dia mula teragak-agak.
Kakinya ringan hendak melangkah pergi, tetapi sejurus dia membatalkan hasrat
hati. Mula teringat-ingatkan rantai di lehernya yang lesap dan masih gagal ditemui.
Nak masuk ke tidak ni? Pintu di hadapannya sudah terbuka luas.
Okey Suri, masuk sekejap.
Cari rantai tu dan kau keluar. Hati kecilnya mula merangka rancangan. Hendak
tak hendak dia melangkah masuk. Kakinya meluru ke arah bilik pameran yang
menempatkan kotak pameran untuk The Grand Conde yang menjadi minatnya sebentar
tadi. Kotak-kotak di situ sudah kosong menandakan semua berlian yang dipamerkan
baru sebentar tadi sudah disimpan di tempat lain.
Dia tidak membuang masa lalu terus
mencari-cari rantai miliknya. Ketika itulah, muncul seorang lelaki berpakaian
serba hitam dari arah bertentangan. Wajah lelaki itu bersarung topeng muka.
Suri Imani terkejut.
Mulutnya ternganga. Dia hendak menjerit, tetapi lelaki itu tiba-tiba menerpa ke
arahnya lalu menekup mulutnya.
“Shut up!” bisik
lelaki itu.
Suri Imani mengangkat
wajah perlahan-lahan lalu mengamati sepasang mata di sebalik topeng itu. Anak
mata itu tidak tajam dan jauh sekali kelihatan ganas. Dia hanya melihat
kelembutan pada sepasang mata yang sedang meratah wajahnya.
“I’m not going to tell
anyone, please…don’t hurt me,” rayu Suri Imani berkali-kali.
“So sweet. What if I’m
not interested to spare your life?”
Tubuh Suri Imani kian
menggigil mendengar kata-kata lelaki itu. Jadi apakah lelaki itu akan membunuhnya?
Itukah maksud lelaki itu? Ya ALLAH!
Ketika itu muncul
beberapa pengawal bersenjata di ruangan itu. Serta-merta dia dilepaskan lelaki
bertopeng itu. Hatinya yang tadi kencang entah kenapa reda melihat kedatangan
lelaki-lelaki itu. Itu persepsi pertamanya. Tetapi melihat pertarungan bermula
antara lelaki berpakaian serba hitam itu dengan pengawal-pengawal Musee de
Conde, dia mulai tidak yakin.
Lima orang pengawal
bertubuh besar itu seakan-akan tidak setanding dengan ketangkasan lelaki itu.
Dia yang sedari tadi ketakutan, kini dicengkam perasaan kagum dan takjub. Macam
adegan dalam filem pulak! Hati kecilnya berbisik begitu.
Dari tempatnya berdiri,
matanya terpandang sesuatu yang bersinar di kaki salah seorang pengawal. Dia
mengamatinya agak lama. Rantainya! Cepat-cepat dia meluru ke arah pengawal itu,
tetapi laras senapang dari tangan salah seorang pengawal itu tiba-tiba menghala
tepat ke arahnya. Dia tersentak. Ya ALLAH! Mula menyedari dia sebenarnya berada
di tengah-tengah kemelut antara si pengawal dengan lelaki berpakaian serba
hitam itu.
No comments:
Post a Comment