Followers

Wednesday, November 20, 2013

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 11

WAJAHNYA direnung lesu di hadapan cermin. Pandangannya terasa kosong dan hambar. Meskipun dia sudah siap berpakaian dan bermekap, namun hatinya masih terasa berat untuk mengikut keluarganya makan malam di rumah Datuk Herman. Namun dia tahu dia tidak ada alasan lain untuk menolak. Ayahnya pasti tidak akan membenarkan dia merosakkan majlis makan malam itu.
            Bunyi ketukan bertalu-talu singgah di pintu biliknya. Sejenak kemudian daun pintu ditolak dari luar. Kepala Zuraini terjenguk masuk dari celah pintu yang sedikit renggang.
            “Dina dah siap sayang?” Tanya Zuraini lembut.
            “Mama, kalau Dina tak pergi tak boleh ke? Dina malas sangat nak pergi.” Keluh Dina Azura separuh merengek.
Zuraini memandang wajah anak itu. Riak mendung di wajah Dina Azura melempiaskan rasa kekesalan di hatinya. Dia tahu perasaan Dina Azura. Dia juga tahu hati Dina Azura sering terluka dengan kedegilan suaminya selama ini.
            “Dina, mama tahu Dina tak mahu pergi dinner tu. Bukan mama tak mahu tolong Dina, tapi mama sendiri tak berani bantah cakap ayah. Dina tahu kan selama ini keadaan mama macamana?” Bisik Zuraini, tidak mahu suaminya terdengar kata-katanya.
            Dina Azura mengeluh. Dia tahu selama ini ibunya sering patuh pada cakap-cakap ayahnya. Mahu tak mahu, dia tersenyum memandang ke arah Zuraini.
“Tak apalah mama, Dina pun dah siap. Kita pergi ya?”
 Zuraini memeluk Dina Azura, erat-erat. Hatinya bertambah sedih melihat sikap Dina Azura yang sering beralah.
“Maafkan mama sayang.” Ujar Zuraini simpati. Entah kenapa, dia sering merasa bersalah terhadap Dina Azura. Kerana dirinya, Dina Azura terpaksa menelan semua suruhan-suruhan suaminya tanpa dapat membantah. Meski tidak rela melakukan seperti apa yang disuruh, tapi gadis itu tidak akan ingkar sekiranya dia campur tangan dan memujuk anak itu.
Sewaktu kedua-duanya beriringan turun dari tangga, Hisyam sudah menunggu di ruang tamu dengan wajah keruh.
            “You ni kenapa?” Tegur Zuraini yang hairan melihat perubahan pada wajah suaminya.
Dina Azura turut berpaling ke arah ayahnya. Wajah itu bagaikan membendung masalah yang amat berat. Apa agaknya yang berlaku sehingga wajah ayahnya semacam sahaja? Dina Azura tertanya-tanya.
            “Zue, ingat lagi PI yang I upah untuk mencari Diaz?”
            “Ya kenapa? You dah dapat berita Diaz?” Zuraini kelihatan teruja mendengarnya.
            “Dia ada kat sini Zue. Diaz ada di Malaysia.”
            Kata-kata Hisyam mengejutkan Zuraini. Dina Azura juga ikut tergaman mendengar berita yang disampaikan oleh ayahnya. Jantungnya berdebar-debar. Sudahkah ayahnya tahu di mana Diaz tinggal selama ini?
*  *  *  *
SEBAIK mereka semua tiba di rumah Datuk Herman, kedatangan mereka disambut meriah oleh Datuk Herman dan isterinya Datin Marini. Mata Dina Azura asyik menatap Datin Marini yang terliuk-liuk manja di sisi Datuk Herman. Melihat pada wajah Datin Marini, dia mengagak umur wanita itu dalam lingkungan awal 30an. Isteri mudanya barangkali, fikir Dina Azura.
“I sangka you tak dapat datang malam ni Hisyam,” tegur Datuk Herman ramah.
“Takkan I tak datang kalau Datuk sendiri yang jemput. Lagipun kami lewat sebab ada hal sikit di rumah tadi. Datin apa khabar?” Mata Hisyam mengarah ke wajah Datin Marini yang bermekap agak tebal.
Datin Marini sekadar tersenyum. Dia menoleh ke arah Zuraini dan Dina Azura. Tangannya dihulurkan ke arah kedua-duanya.
            “Puan Zuraini apa khabar?” Tegur Datin Marini.
            “Baik Datin. Ini anak saya Dina Azura.” Zuraini memperkenalkan Dina Azura di sampingnya.
            “Oh, jadi inilah Dina Azura yang namanya kerap I dengar dari Datuk? Hmm.. manis orangnya.” Balas Datin Marini seraya memandang Dina Azura dari atas ke bawah.
Dina Azura memandang ibunya. Dia langsung tidak mengerti maksud kata-kata Datin Marini.
            “Mana anak-anak you Datuk?” Soal Hisyam.
            “Sefiya bermalam di rumah kawannya. Johan pula masih belum balik. You tahulah anak-anak zaman sekarang, sibuk dengan urusan masing-masing. Apa pun kita makan dulu.” Ujar Datuk Herman seraya mempersilakan tetamu-tetamunya ke meja makan di mana makanan sudah terhidang di situ.
            Selesai menjamah hidangan makan malam, Dina Azura meminta izin Datin Marini untuk meninjau-ninjau sekitar rumah itu. Lagipun dia agak bosan berada di tengah-tengah perbincangan antara ibu bapanya dengan Datuk Herman yang gagal difahami.
“Pergilah, kalau perlukan apa-apa jangan malu-malu minta dengan pembantu rumah,” ujar Datin Marini. Datuk Herman sekadar mengiyakan.
            Berjalan-jalan sambil menghirup udara segar malam di perkarangan halaman belakang villa mewah itu sedikit sebanyak membuatkan dia selesa. Sengaja dia meminta izin untuk beredar, kerana bosan menghadap isi perbualan yang dia sendiri tidak faham. Perbualan ayahnya dengan Datuk Herman banyak berkisar tentang perniagaan yang mereka sedang lakukan secara joint-venture.  Dia sendiri tidak tahu Datuk Herman sebenarnya terlibat dalam perniagaan apa, tapi dia malas mahu mengambil tahu. Tak ada kena mengena dengannya!
            Sesekali dia cuba menghubungi nombor Haril, tetapi tidak ada jawapan balas diterima. Dina Azura mengeluh. Mana Haril ni pergi agaknya? Berulangkali dia mencuba namun telefon bimbit Haril kerap enggaged.
            Mulut Dina Azura mula membebel yang bukan-bukan. Sakit hatinya kerana tidak dapat menghubungi Haril. Sebenarnya dia mahu mencari Diaz. Dan saat ini hanya Haril sahaja satu-satunya harapannya untuk dia mencari abangnya itu.
            Suara riuh rendah sedang ketawa girang, menjemput rasa hairan di hati Dina Azura. Dia menoleh ke belakang. Dua pemuda  sedang melangkah masuk sambil berbual-bual rancak. Apabila melihat Dina Azura berada di situ, kedua-duanya kelihatan tergaman seketika.
            “Awak siapa?” Tanya salah seorang pemuda itu. Dia berpakaian agak kemas dan berkaca mata hitam. Teman di sebelahnya pula hanya menatap Dina Azura tidak berkelip.
            Dina Azura bungkam. Sebelum sempat dia mahu membuka mulutnya, muncul bunyi tapak kaki di belakangnya. Dia segera berpaling. Kelibat Datuk Herman dan ayahnya tiba-tiba muncul di situ.
            “Johan? Bila kamu balik? Ayah tak dengar pun bunyi kereta kamu?” Tegur Datuk Herman pada lelaki muda berkaca mata hitam itu.
            Dina Azura memandang lelaki muda itu. Anak Datuk Herman barangkali, detik hati kecilnya. Sedikit sebanyak hatinya menggerutu melihat lelaki itu. Malam-malam macam ni, nak pakai cermin mata hitam jugakah?
            “Kereta saya masuk bengkel tadi ayah. Nasib baik ada Fadhli tolong hantarkan. Maaf kalau saya ganggu ayah dan uncle.” Ujar lelaki itu sambil tersenyum memandang ke arah Hisyam. Sesekali matanya menjeling Dina Azura yang hanya berdiam diri.
            “Oh ya, kamu masih ingat lagi dengan Encik Hisyam?”
            “Ingat. Apa khabar uncle?” Johan menghulurkan tangannya lalu bersalam dengan lelaki itu.
            “Baik. Tak sangka Johan dah besar panjang. Waktu uncle jumpa Johan dulu, Johan masih kecil.” Hisyam tersenyum menatap anak muda itu.
            “Zaman dah berlalu, tentulah orangnya juga semakin dewasa. Johan, ini Dina Azura, anak uncle Hisyam kamu.” Datuk Herman memperkenalkan kedua-duanya.
            Johan berpaling. Wajah yang kelihatan muram itu ditatap lama. Seakan-akan ada  satu tarikan pada wajah itu. Tangannya segera dihulurkan ke arah gadis itu.
            “Johan.”
            Lambat-lambat Dina Azura menyambut huluran tangan lelaki itu. Tangan itu terasa hangat. Namun apabila sepasang matanya bertaut dengan sepasang mata milik lelaki itu, Dina Azura serta-merta jadi resah. Pegangan tangan Johan cepat sahaja dileraikannya. Johan tergaman tetapi hanya membiarkan.
            “Err.. Dina nak masuk ke dalam dulu ayah, uncle.” Dina Azura meminta izin sebelum mula beredar pergi.
Johan mengiringi pemergian gadis itu dengan ekor matanya. Dia sendiri tidak tahu kenapa matanya begitu asyik memerhatikan Dina Azura.  Apa yang menariknya tentang gadis itu? Apabila dia berpaling ke arah temannya, lelaki itu hanya tersengih seraya menjungkitkan bahunya. Johan hanya mampu ketawa kecil. Memahami maksud Fadhli yang sedang mengusiknya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!