Followers

Sunday, February 6, 2011

Sayangku Casper : Bab 40

            TUBUHNYA yang keletihan dihempas di atas katil bilik hotelnya. Sengaja dia menginap di situ dan bukannya balik ke istana Seri Gemilang, istana hinggap ayahnya Tengku Adrian. Lagipun dia tidak mahu terserempak dengan seseorang di situ. Kata-kata Monique tempohari masih segar dalam ingatannya. Dia tahu Helena sentiasa mengikut ke mana sahaja ayahnya pergi.
            Sudah dua tahun lamanya mereka tidak bertegur sapa. Meskipun Helena cuba berbaik-baik dengannya selama ini, tapi hatinya sudah tawar. Kekecewaan ini masih belum mampu dilupakan. Hakikat bahawa wanita yang dicintainya mengahwini ayahnya sendiri adalah kekecewaan terbesar dalam hidupnya. Ternyata dia kalah mahu merebut hati wanita itu. Lupakan dia Rafique! Dia sudah tidak bererti apa-apa lagi dalam hidup kau! Suara hatinya berbisik sendiri.
             Matanya terkelip-kelip merenung sudut siling di bilik hotel itu yang agak unik. Taburan bintang hiasan di atas siling biliknya membuatkan dia terbayangkan granny. Wanita itu amat menyukai bintang-bintang di dada langit. Malah setiap malam, dia akan sering menemani wanita itu menyaksikan keajaiban alam menerusi teleskop yang tersedia di atas bumbung Vila Casper.
            Di bumbung itulah tempat dia berkongsi cerita dengan wanita tua itu. Cerita-cerita mereka selalunya berkisar tentang banyak perkara, terutama tentang nama-nama bintang yang berjaya mereka temui dari corong teleskop. Ralit menyelongkar khazanah langit, mereka akan melepas penat sambil menghirup kopi panas dari termos yang dibawa naik oleh pelayan-pelayan Vila Casper.
            Sesekali dia akan membelek-belek teleskop besar yang kelihatan serupa dengan teleskop yang terdapat di Observatoire de Nice. Ada cerita sebenarnya di sebalik teleskop yang terdapat di atas anjung bumbung di vila itu.
            Sewaktu berusia 15 tahun, dia pernah mengikuti rombongan rakan-rakan sekolahnya ke Observatoire de Nice, sebuah fasiliti pencerapan bintang yang terkenal  di Nice dan terletak di antara Nice la Turbie. Ketika itu guru kelasnya membawanya melihat teleskop besar berwarna putih dan perak yang terletak di sebuah ruangan besar yang agak cantik. Ketika melihat teleskop bersaiz corong 50mm itu, dia seolah-olah terpukau. Kekagumannya mengatasi minatnya pada benda-benda lain yang turut dipamerkan di situ.
            Ketika rakan-rakan sekelasnya yang lain bergerak ke ruangan lain observorium itu, dia pula curi-curi masuk kembali ke tempat teleskop itu diletakkan. Ketika dia sedang sibuk meneliti permukaan badan teleskop itu, dia dikejutkan dengan kehadiran Gaston dan Frederic, dua teman sekelasnya yang agak nakal dan suka membulinya. Kerana geram dengan sindiran kedua budak itu maka tercetuslah pergaduhan antara mereka. Entah bagaimana ketika mereka tolak-menolak, Gaston tertendang kaki penyokong teleskop itu, membuatkan permukaan teleskop itu melayang jatuh dan nyaris-nyaris menghempapnya dan Frederic. Ketika itu muka mereka bertiga benar-benar pucat.
            Kerana merosakkan teleskop yang berada di Observatoire de Nice itu, mereka didenda pihak sekolah tidak boleh pulang bercuti sewaktu cuti penggal. Mereka harus berada di sekolah dan mengecat bangunan lama yang akan dijadikan bilik bacaan tambahan bagi pelajar-pelajar di sekolah asrama penuh itu.
            Dia cuba sedaya upaya merahsiakan perkara ini dari pengetahuan ayahnya serta Madame Marianne. Tapi ketika dia pulang bercuti beberapa bulan kemudiannya, teleskop itu sudah berada di Vila Casper. Melihat rupa teleskop itu sama seperti yang dirosakkannya, fikirannya diterpa perasaan hairan.
            Madame Marianne hanya tersenyum dan mengatakan, mungkin matanya tidak silap. Mungkin teleskop itu benar-benar serupa seperti yang pernah dilihatnya di Observatoire de Nice.
            “Tak mungkin Granny. Rafique dan kawan-kawan Rafique dah rosakkan teleskop tu.” Ujarnya membantah. Seketika dia jadi kaku. Apa yang terluah di mulutnya benar-benar dikesali. Saat wanita itu melontarkan pandangan ke arahnya, tubuhnya sudah jadi lemah tak berdaya. Dia benar-benar bimbang Madame Marianne akan naik marah mendengar pengakuan yang dibangkitkannya secara tidak sengaja di hadapan wanita itu. Tapi anehnya, wanita itu hanya ketawa. Dia terpinga-pinga.
            “Kalau granny tak kenakan kamu begini, apa kamu akan terus sembunyikan hal di observatorium itu dari pengetahuan granny?” Soal Madame Marianne.
            Dia terkedu mendengar kata-kata wanita itu. “Macamana granny tahu?”
            Madame Marianne tersenyum lebar. “Pihak sekolah yang bagitahu. Granny terpaksa hantar Louis ke Nice untuk selesaikan masalah yang kamu dan kawan kamu buat di sana. Granny dah bayar gantirugi yang banyak untuk teleskop itu, dan granny minta pihak observatorium serahkan teleskop yang rosak itu pada granny.” Ujar Madame Mariane.
            “Tapi kenapa granny?” Dia tergaman. Terkejut mendengar kata-kata wanita itu.
            “Sebab granny tak sangka yang cucu granny ni suka pada teleskop. Itu sebabnya kamu curi-curi melihat teleskop ini tanpa pengetahuan guru kamu bukan?” Soal Madame Marianne.
            Dia hanya mampu tunduk. Tidak berani meningkah kata-kata wanita itu. Apatah lagi dia sendiri kesal dengan kebodohan yang dilakukannya sehingga menyusahkan orang lain.
            “Granny tidak marah kamu Rafique. Sebaliknya granny gembira dengan hobi kamu. Kamu tak ubah seperti suami granny, Pierre. Dia juga menggemari teleskop dan astronomi.” Wanita itu tersenyum.
            “Tapi kenapa granny beli teleskop yang dah rosak ni? Buang duit aje.” Keluhnya. Kesal memandang ke arah benda yang sudah tidak berguna lagi.
            “Siapa kata benda ni rosak? Granny dah suruh Louis hantar teleskop ini untuk diperbaiki. Jadi mulai hari ini teleskop ini akan jadi milik kamu asalkan kamu sudi temani granny melihat bintang.” Ujar Madame Marianne.
            Dia terkesima. Terkejut besar mendengar kata-kata wanita itu. Wajah yang keruh dan muram dengan cepat berganti riang. Cepat-cepat dia berlari ke arah wanita itu lalu merangkul tubuh di hadapannya erat.
            “Rafique janji akan sentiasa temani granny melihat bintang-bintang di langit sana. Rafique sayangkan granny.” Bisiknya dengan curahan airmata.
            Madame Marianne hanya tersenyum lalu mengelus-gelus lembut kepalanya. “Granny juga sayangkan kamu, Rafique.” Bisik wanita itu telus.
            Sejak itu dia semakin rapat dengan Madame Marianne. Mereka akan menghabiskan banyak masa di atas serambi bumbung untuk berkongsi minat terhadap ilmu bintang. Kadangkala dia akan bercerita dengan wanita itu tentang bintang-bintang tak bernama yang ditemuinya. Sehingga kini, rutin itu masih kekal antaranya dengan Madame Marianne.
            Rafique membalikkan tubuh. Tersenyum dalam hiba. Kenangannya bersama Madame Marianne sedikit sebanyak memudarkan rasa kecewanya pada ayahnya sendiri. Dahulu ketika dia mula-mula tinggal di Vila Casper selepas kematian ibunya, dia seorang kanak-kanak yang pemurung dan penyendiri. Madame Marianne juga tidak menunjukkan sikap mesra padanya. Ketika itu dia tidak faham kenapa dia mesti berpindah ke vila besar itu dan tinggal bersama-sama orang asing. Dia merayu ayahnya mahu pulang ke rumah lama mereka, tapi ayahnya langsung tidak mahu mengendahkan kata-katanya.
            Hanya selepas beberapa bulan, barulah dia dapat menyesuaikan diri. Madame Marianne juga semakin mendekatinya tapi masih dengan susuk tegas seorang wanita yang garang airmukanya. Dia memang takut dengan wanita itu. Malah kalau berhadapan dengan wanita itu, serta-merta lututnya akan bergetar. Tubuhnya akan lemah longlai. Tapi itu sebelum dia benar-benar mengenali hati budi Madame Marianne, wanita dari keturunan bangsawan di Perancis.
            Rafique mengeluh panjang. Dia masih dihujani kebuntuan yang terus menyelubungi diri. Wajah Madame Marianne bertebaran di ruang fikirannya. Dia langsung tak dapat membayangkan reaksi wanita itu yang menanti dalam debaran untuk menemui cucunya. Tuhan! Apa yang patut aku lakukan? Granny pasti akan kecewa dan sedih kalau tahu keadaan sebenarnya.
            Malam esok dia akan pulang ke Vila Casper, tapi bukan dengan berita gembira yang diharapkan wanita itu. Tapi dia pulang dengan cerita sedih. Granny! Maafkan Rafique. Rafique gagal bawa cucu granny pulang!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!