Followers

Wednesday, September 1, 2010

Hujan Rindu : Bab 12

Taufik memberhentikan keretanya apabila terpandang kelibat seorang gadis berjalan sendirian di tepi jalan. Dia membunyikan hon agak kuat, menyebabkan gadis itu berpaling.

Terkejut Anum Dahlia melihat kehadiran Taufik di jalanan. Tapi dia cepat tersenyum seraya melangkah ke arah kereta lelaki itu. “Pakcik Taufik,” sapa Anum Dahlia.

“Anum nak ke mana ni?” Tanya Taufik.

“Saja jalan-jalan. Bosan juga duduk di rumah. Nak ajak Zurin keluar, Zurin pula ada kelas tambahan petang ni.” Ujar Anum Dahlia.

“Kalau bosan, nak ikut pakcik jalan-jalan ke pekan? Pakcik nak beli barang sikit,” pelawa Taufik.

Anum Dahlia terdiam. Dia serba-salah sebenarnya. Namun melihat keikhlasan pada wajah lelaki sebaya ayahnya itu, dia lekas mengangguk.

Sepanjang perjalanan, Anum Dahlia kelihatan ceria menikmati pemandangan dari luar tingkap. Sesekali dia memandang ke arah Taufik yang memandu tenang. Lelaki itu masih nampak kacak meskipun sudah menjangkau usia 50an. Siapa sangka dia duduk satu kereta dengan lelaki yang pernah menjadi tunangan mamanya suatu ketika dulu. Entah kenapa agaknya mama tidak berkenan pada pakcik Taufik? Dia ada segala-galanya yang diidami oleh wanita. Kalau dia berada di tempat mama suatu ketika dulu, tentu dia akan jatuh cinta pada lelaki seperti pakcik Taufik. Aduh! Kenapalah aku boleh berfikir yang bukan-bukan pula. Jawapan untuk persoalan itu cukup mudah sebenarnya. Mama tidak cintakan pakcik Taufik. Tapi mama cintakan baba. Lelaki Inggeris yang bersifat penyayang dan bapa yang baik untuknya..

“Kenapa Anum tengok pakcik macam tu?” Soal Taufik tiba-tiba. Meskipun begitu, matanya tetap lurus memandang ke arah jalan.

Anum Dahlia tergaman. Dia jadi gugup tiba-tiba. Alamak, pakcik Taufik perasankah aku sedang memandangnya? “Eh tak adalah pakcik, Anum tengah pilih CD lagu ni,” dalih Anum Dahlia sambil pura-pura membelek cd dalam kereta Taufik. Taufik menjeling Anum Dahlia yang nampak cemas. Bibirnya mengorak senyuman. Dia tahu gadis itu sengaja berdalih.

“Anum gembira tinggal kat kampung ni?” Soal Taufik tiba-tiba.

“Suka, kalau boleh Anum nak tinggal di sini selama-lamanya.” Dia tersenyum. Itulah jawapan yang lahir sejujurnya dalam hatinya.

“Selama-lamanya?” Taufik terpegun.

Gadis itu mengangguk.

“Habis keluarga Anum macamana? Tak marahkah mereka kalau anak kesayangan mereka tinggal lama di sini?” Taufik cuba menduga.

Anum Dahlia terdiam. Pertanyaan Taufik tidak dijawab. Dia memandang Taufik yang turut menoleh. “Tok Anjang dan Nek Jah baik dengan Anum. Alangkah baiknya kalau Anum boleh tinggal dengan datuk dan nenek kat Paya Mengkuang.” Ucap Anum Dahlia sayu.

Giliran Taufik terdiam. Kata-kata Anum Dahlia kelihatan janggal di telinganya.

“Keluarga Anum bagaimana orangnya?” Soal Taufik lagi. Dia benar-benar ingin tahu asal usul Anum Dahlia. Entah mengapa kehadiran gadis itu di rumah Tok Anjang dan Nek Jah menimbulkan curiga di hatinya. Apatah lagi wajah Anum Dahlia mengingatkan dia pada kisah lalunya.

“Emm..Anum anak tunggal, tak ada adik beradik. Kami tinggal di Detroit berhampiran dengan Jalan Westbay.” Cerita gadis itu.

“Mak ayah Anum?”

Anum Dahlia terdiam. Dia memandang Taufik yang banyak bertanya hari itu. Hatinya mula dihimpit kehairanan. Kenapa lelaki itu beria-ria ingin tahu? Apakah lelaki itu mengesyaki sesuatu?

“Mama Anum orang Sungai Petani. Namanya Rubiah. Ayah pula Sufian Patrick Abdullah, seorang akauntan.” Ujar Anum Dahlia, berbohong. Maafkan Anum mama, Anum terpaksa membohongi nama mama.

Anum Dahlia perasan wajah Taufik sedikit berubah apabila dia menyebut nama ibunya. Lelaki itu dilihatnya termenung panjang.

“Kenapa pakcik?”

Taufik tersenyum seraya menggelengkan kepalanya. “Tak ada apa-apa, kita dah dekat nak sampai. Kat depan tu ada kedai yang pakcik nak pergi. Anum temankan pakcik sekejap. Bila urusan pakcik dah selesai, pakcik belanja Anum makan tengahari.” Ujar Taufik sambil memberhentikan keretanya di satu petak parking yang kebetulan kosong.

Sebaik lelaki itu bergegas pergi, Anum Dahlia mengeluh panjang. Maafkan Anum pakcik. Anum bukan sengaja nak membohongi pakcik, tapi Anum terpaksa! Anum tahu perasaan pakcik. Tentu sampai sekarang, pakcik tak boleh melupakan mama. Sebanyak mana mama pernah menyakiti hati pakcik dulu, sebanyak itulah Anum mahu meminta maaf pada pakcik., keluhnya dengan nafas sarat.

* * * *

Hampir terjojol biji matanya melihat lauk pauk yang terhidang di hadapan matanya. Taufik nampak selamba memandangnya apabila pelayan restoran itu membawa masuk hidangan itu ke meja mereka. Ada lima jenis lauk pauk semuanya terdiri dari ikan masak steam, udang goreng, ayam dan sayur-sayuran.

“Banyaknya pakcik..” tegur Anum Dahlia dengan wajah tidak percaya. Siapa nak habiskan semua lauk-pauk ni? Mustahil kalau nak harapkan aku. Temboloknya sendiri tidak cukup besar untuk dipenuhkan dengan makanan yang dipesan lelaki itu.

“Kenapa Anum tengok pakcik macam tu?” Taufik ketawa. “Dah ada orang nak belanja, makan sajalah.” Sambung lelaki itu lagi.

“Tak membazir ke pakcik order banyak macam ni?” Suara Anum Dahlia lagi. Dia jadi ragu-ragu mahu memulakan suapan. Rasa aneh tiba-tiba singgah kerana lelaki itu memesan begitu banyak makanan.

“Anum jangan risau, bukan kita berdua saja yang nak habiskan makanan ni.” Taufik tersenyum bagaikan mengerti apa yang bermain di fikiran anak gadis itu.

“Siapa lagi?” Anum Dahlia bertanya separuh tergaman.

“Tu hah.” Taufik melarikan matanya ke satu arah. Anum Dahlia berpaling. Melihat kehadiran Yuzer di muka pintu restoran, Anum Dahlia tercengang. Laa, apa dia buat kat sini?

“Anum tak kisahkan Yuzer ada sekali? Kebetulan kami berdua ada hal di pekan ni tadi, jadi Yuzer ajak pakcik makan tengahari bersama. Kata Zurin, Anum dah pernah jumpa dengan Yuzer kan.” Ujar Taufik. Anum Dahlia hanya mampu mengangguk meskipun ada rasa tidak senang singgah di hatinya.

“Sorry ayah, Yuz lambat.” Sapa Yuzer sebaik sampai. Dia mengerling ke arah Anum Dahlia dengan wajah tertanya-tanya. Hairan melihat gadis itu berada di situ bersama ayahnya.

“Ayah saja bawa Anum jalan-jalan kat pekan kita.” Jelas Taufik sebelum sempat anak muda itu bertanya lebih lanjut. Yuzer hanya mengangguk. Dia tidak pula berniat mahu bertanya lebih-lebih.

“Wah, dah siap order dah..banyak pulak tu.” Yuzer kaget dengan hidangan di hadapan matanya.

“Hai bukan kamu kata tadi nak belanja ayah kan? Kenapa, tak sanggup? Takkan kontrak berjuta-juta, makan sekadar seratus dua ni pun dah tak sanggup.” Taufik tersenyum sinis. Yuzer ketawa kecil. Dia tahu lelaki itu sengaja mahu menduganya.

Anum Dahlia hanya mengikuti perbualan kedua-dua lelaki itu dengan senyap. Hendak menyampuk dia tidak faham pokok pangkal. Sudahnya dia hanya diam sahaja. Hanya sesekali Taufik menumpukan perhatian terhadap Anum Dahlia. Yuzer pula bersikap acuh tak acuh terhadap gadis itu. Tapi dalam diam, mata Yuzer sempat mencuri pandang wajah gadis itu.

* * * *

Sebaik dihantar pulang oleh Taufik petang itu, Anum Dahlia terlihat sebuah Mercedez Benz tersadai di halaman rumah Tok Anjang dan Nek Jah. Dia memandang ke arah Taufik yang hanya diam. Siapa agaknya tetamu datuk dan nenek?

Apabila dia mengekori Taufik ke dalam rumah, dia terlihat seorang lelaki berkumis nipis yang mirip dengan Tok Anjang berdiri di penjuru tangga.

“Taufik, dari mana ni?”

Taufik tersenyum. Tangannya dihulurkan ke arah lelaki itu, tapi sepantas kilat lelaki itu meraih tubuhnya dalam dakapan. “Kau terkejut aku balik?”

“Pak Anjang dah beritahu aku, kau nak balik. Lagipun kenduri arwah ni penting. Bila kau sampai?” Soal Taufik.

“Baru sekejap tadi.” Jawab lelaki berkumis itu. Apabila matanya dialihkan ke arah Anum Dahlia yang tercegat macam patung, dahinya berkerut seribu. Anum Dahlia kelihatan serba salah. Taufik yang menyedari keadaan itu segera menepuk bahu temannya.

“Takkan mak dan ayah kau tak beritahu kau siapa dia. Ini Anum Dahlia, pelajar dari US yang datang untuk buat research kat kampung ni.” Beritahu Taufik.

“Aku tahu. Cuma aku tak sangka…” Kata-katanya terhenti. Dia memandang Taufik yang kelihatan tidak senang dengan kata-kata yang mahu diucapkannya. “Maaf Fik, aku tak sengaja.” Ucapnya serba-salah.

Taufik tersenyum hambar. Dia memandang Anum Dahlia yang tidak tahu hujung pangkal. “Anum kenalkan, ini pakcik Imran. Anak lelaki Tok Anjang dan Nek Jah, sepupu pakcik.” Ujar Taufik.

Anum Dahlia terpegun. Pakcik Imran? Abang mama? Dia memandang lelaki yang asyik tersenyum itu. Perlahan-lahan tangannya dihulurkan. Imran menyambut huluran tangannya, namun matanya masih memandang gadis di hadapannya tidak berkelip. Betulkah sekadar pelanduk dua serupa? Bisik hati kecil Imran, sukar mahu percaya.

* * * *

Malam itu rumah Tok Anjang dan Nek Jah jadi meriah dengan kehadiran anak menantu mereka. Dari siang sehingga ke malam, pakcik Imran tak putus-putus bercakap, mengundang ketawa ramai. Lelaki itu pandai menghiburkan orang dan bersikap peramah.

Anum Dahlia juga berkenalan dengan isteri pakcik Imran yang dipanggil Jasmin. Tapi dengannya, wanita itu menyuruh dia memanggilnya auntie Jas. Tapi melihatkan sikap auntie Jas, entah kenapa Anum Dahlia seakan tidak berkenan. Penampilan auntie Jas dengan rambut perang kerinting serta kuku yang berwarna membuatkan dia hendak ketawa sendiri.

Kasihan pula dia melihat nenek yang asyik menjeling auntie Jas dari atas ke bawah. Datuk juga sama, tak putus-putus menggeleng kepala dengan penampilan menantunya itu.

“Minumlah pakcik, auntie Jas,”pelawa Anum Dahlia yang keluar menatang sedulang minuman dan sepiring kek coklat yang sempat dibuatnya semalam bersama Nek Jah. Dia melihat Taufik tersenyum memandangnya.

“Apa tunggu lagi, minumlah,” jemput Nek Jah pula sambil menjeling suaminya yang kelihatan senyap.

“Hmm chocolate cake. Nampak sedap,” puji Jasmin sambil mencapai sepotong lalu segera disuap ke mulutnya. Terkemut-kemut mulutnya mengunyah chocolate cake.

“Lina tak balik, Im?” Soal Nek Jah.

“Tak mak, dia sibuk dengan kerja. Lagipun dia dah start kerja minggu lepas dekat Golden Globe.” Ujar Imran.

“Huh alasan sama saja. Sejak dulu sampai sekarang, anak kamu tu memang tak sudi menjenguk datuk dan neneknya di sini. Maklumlah kami ni orang tua, duduk pula rumah buruk yang hampir nak roboh ni. Mana nak sama dengan rumah banglo kamu di Kuala Lumpur tu kan.” Rungut Tok Anjang.

“Ayah, Melly tu budak yang ada wawasan. Dia sibuk kerja dari pagi hingga ke malam. Lagipun inikan cuma kenduri biasa, tak payahlah kita nak libatkan Melly sekali,” sampuk Jasmin. Panas telinganya apabila ayah mertuanya itu sering merungut tentang anaknya Melina.

“Kenduri arwah ni kamu kata kenduri biasa? Kamu tahu tak apa tujuannya kita nak buat kenduri arwah? Semoga ahli keluarga kita yang dah meninggal selamat di alam sana dan pada masa yang sama memperingatkan kita yang masih hidup ni.” Leter Tok Anjang. Jasmin terdiam. Dia melirik suaminya yang turut senyap. Entah kenapa setiap kali pulang, ada saja yang tak kena di mata orang tua itu. Kadangkala sampai naik bosan dia dibuatnya.

“Ayah, betul cakap Jas tu. Melly sibuk dengan urusannya.” Imran cuba mempertahankan cakap-cakap isterinya.

“Entahlah Im. Aku ni ada anak macam tak ada anak. Ada cucu pun macam tak ada cucu. Nampaknya aku dengan mak kamu ni cuma boleh menumpang kasih dengan orang lain saja.” Tok Anjang bersuara lirih. Dia melirik ke arah isterinya yang kelihatan sebak.

Anum Dahlia yang tumpang mendengar terasa dadanya berbahang. Entah kenapa dia rasa simpati dengan datuk dan neneknya. Sedikit sebanyak dia bagaikan dapat merasai kekosongan yang ada di dalam hati sepasang suami isteri itu.

* * * *

Malam itu Anum Dahlia membantu Nek Jah menyiapkan makan malam. Beras yang selalunya dimasak secupak kini bertambah secupak lagi. Petang tadi, Tok Anjang sempat menyembelih seekor ayam peliharaannya untuk dijadikan lauk malam itu. Tak cukup dengan itu, dia menebang jantung pisang untuk dicelur dan dicicah dengan sambal belacan. Imran memang gemar makan nasi berulamkan jantung pisang celur.

“Sedapnya bau mak..” Tiba-tiba Imran muncul di dapur sambil menjenguk isi periuk yang sedang dikacau oleh Nek Jah.

“Wah best ni, ada asam pedas ikan merah. Favourite Im ni mak.”

“Baguslah kalau Im masih sukakan masakan orang tua macam mak ni.” Suara Nek Jah mendatar. Imran terdiam. Lama dia memerhatikan ke arah ibunya. Bahu wanita itu dipeluk erat.

“Maaf kalau Im menyakitkan hati mak dengan ayah. Bukan Im tak nak balik selalu, tapi Im sibuk sangat dengan urusan di Golden Globe tu.” Ujarnya memberi alasan.

“Mak ni ada anak macam tak ada.” Suara Nek Jah seperti berjauh hati. Imran terus merangkul ibunya lebih erat. Kata-kata wanita itu membuatkan hatinya terasa.

“Jangan cakap macam tu mak, Im tetap anak mak dengan ayah. Tak ada yang akan berubah.” Ucap Imran.

Anum Dahlia yang menjadi pemerhati turut merasa sebak dengan adegan di hadapan matanya. Dia pura-pura tidak melihat dengan menyibukkan diri dengan tugasnya memotong sayur.

“Dah lah tu, nanti apa kata Anum kalau tengok kita macam ni.” Sanggah Nek Jah akhirnya. Bahu anaknya Imran ditepuk-tepuk perlahan. Imran melonggarkan pelukannya seraya melirik ke arah Anum Dahlia yang kelihatan diam.

“Isteri kamu mana Im?” Tanya Nek Jah.

“Kat dalam bilik, tengah berehat.” Jawab Imran serba salah.

“Sesekali nasihatlah dia suruh ubah penampilan dia tu. Malu mak tengok. Si Anum ni pun walau datang dari negara luar, tapi masih nampak sopan. Ini isteri kamu yang asal juga dari kampung tapi nampak sangat kebaratan.” Tegur Nek Jah.

Imran terdiam. Dia tahu penampilan isterinya itu sering sahaja menjadi rungutan ibu dan ayahnya. Tapi apa boleh buat, bukan dia tidak pernah menasihati Jasmin, tapi wanita itu yang tidak mahu mendengar nasihat. Bila dinasihati, dikatakan dia pula yang kolot. Tidak pandai mengikut peredaran zaman. Buta fasal fesyen!

“Jas tu sebenarnya nampak je macam tu, tapi hatinya baik mak.” Ujar Imran perlahan.

“Baik itu kata kamu sebab dia isteri kamu. Tapi mata mak dengan ayah kamu ni yang sakit tengok dia dari muda sampai ke tua tak pernah berubah langsung. Ingat sikit Im, kita ni hala ke tua, bukannya muda setiap masa.” Leter Nek Jah.

“Auntie Jas tu kerja apa pakcik?” Tak disangka-sangka Anum Dahlia bertanya.

“Dia ada butik kat Kuala Lumpur.” Jawab Imran teragak-agak.

“Oh patutlah Auntie Jas tu bergaya orangnya. Anum suka tengok pakaian auntie tu, up top date. Pandai auntie pilih fesyen. Nanti Anum nak minta nasihat auntie fasal fesyen-fesyen ni.” Sahut Anum Dahlia.

Imran terkedu. Melihat senyuman gadis itu terukir di bibir, Imran mula menyedari sesuatu. Dia tahu Anum Dahlia sengaja berkata begitu semata-mata mahu menghentikan leteran ibunya. Dan tindakan Anum Dahlia benar-benar berkesan, apabila Nek Jah tidak lagi berleter panjang.

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!