Followers

Wednesday, June 16, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 13

Baharom merenjis-renjiskan air ke wajah Suria dengan kerut cemas. Tak lama kemudian, bebola mata anak gadis itu terbuka perlahan-lahan. Suria terpisat-pisat memandang ayahnya yang duduk di birai katil.

“Ayah? Kenapa dengan Suria ayah?” Dia bingkas bangun. Wajahnya yang basah dengan air dilap dengan tapak tangan. Dia melontarkan pandangan penuh tanda tanya ke arah Baharom yang kelihatan lega. Mangkuk berisi air di tangan Baharom direnung dengan wajah hairan.

“Kenapa ayah renjis Suria dengan air?” Dia bertanya.

Baharom menarik nafas panjang. “Ayah yang sepatutnya tanya Suria. Kenapa Suria boleh tertidur kat lantai tu?” Soal Baharom. Suria terpempan.

“Apa maksud ayah?”

“Ayah nak ajak Suria turun sarapan, tapi lepas tu ayah nampak Suria kat atas lantai tu tengah mengerekot. Takkan tidur atas katil sampai tergolek ke bawah. Dah tu tidur mati pulak tu.” Rungut Baharom seraya menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Ye ke Suria jatuh katil ayah?” Wajah Suria berkerut. Tiba-tiba dia teringat bagaimana kepalanya tiba-tiba pusing malam semalam. Selepas itu dia tidak ingat apa-apa lagi. Mungkin ketika itulah dia jatuh pengsan agaknya, fikir Suria. Tapi kenapa dia sampai boleh jatuh pengsan?

Tiba-tiba sahaja ketawanya meletus. Baharom terpinga-pinga tidak mengerti.

“Alamak malulah, ayah tangkap Suria masa Suria tengah jatuh tergolek dari katil.” Dia ketawa terkeheh-keheh. Baharom turut sama ketawa. Ingatkan apalah tadi! Keletah Suria benar-benar menghiburkannya. Nakal dan sering bercanda dengannya!

“Dah, cepat siap. Pukul berapa dah ni? Nanti lewat ke pejabat, kena leter lagi dengan si Akhbar tu baru Suria tahu.” Gesa Baharom dengan menjual nama Akhbar. Dia kenal lelaki itu pun kerana Suria terlalu kerap bercerita tentang ketua di tempatnya bekerja.

Suria terkedu. Dia menoleh memandang ke arah jam di dinding biliknya. Alamak dah lewat! Dia terburu-buru bangun lalu segera mencapai tuala yang tersangkut di hadapan almarinya. Sebentar kemudian, Baharom mendengar bunyi air mencurah dari dalam bilik air. Dia hanya mampu tersenyum melihat telatah Suria kali ini. Macam budak-budak! Langsung tak berubah sejak dulu sehingga kini. Kalaulah isterinya Fatihah masih hidup, pasti wanita itu akan sayangkan Suria sepertimana dirinya.

* * * *

Sebaik menjejakkan kaki ke ibupejabat polis Bukit Aman, dia diberitahu bahawa Haqimi sudah keluar menjalankan operasi. Suria mengeluh. Dia baru bercadang hendak meminta tolong Haqimi, tapi lelaki itu tidak ada pula. Macamana ni? Nak cari ASP Razlan, tentu lelaki itu sibuk seperti selalu.

Tiba-tiba dia teringat lelaki yang ditemuinya kelmarin. Langkahnya tidak jadi diatur. Dia memandang lelaki berpakaian seragam di hadapannya. “Sarjan, boleh saya tahu nama pegawai yang bertanggungjawab terhadap kes penemuan mayat di Puchong tempohari?” Tanya Suria. Lelaki bermisai lebat di hadapannya itu memandangnya agak lama.

“Maksud Cik Suria, kes yang dekat Hutan Simpan Air Hitam tu?” Lelaki itu menyoalnya semula. Suria mengangguk.

“Kalau tak salah, Tuan Izwan yang bertanggungjawab sepenuhnya pada kes ni. Dia Chief Inspektor untuk unit cawangan jenayah khas.” Jawab anggota polis itu.

“Tuan Izwan? Boleh saya tahu pejabat dia dekat mana?”

“Pejabat dia kat hujung sana.” Tunjuk pegawai polis di hadapan kaunter. Tanpa berlengah, Suria segera berlalu pergi setelah mengucapkan terima kasih. Mujurlah anggota polis itu tidak banyak soal. Jika tidak, mahu jenuh juga dia cuba memujuk. Memang kebanyakan anggota polis di situ sudah kenal biasa dengannya. Mungkin kerana itu tidak timbul banyak masalah untuk dia menyoal tentang pegawai-pegawai kanan polis di situ.

Dia menyusuri deretan bilik-bilik di situ dengan langkah perlahan. Sebenarnya dia bukanlah berniat mahu menunjuk muka pada lelaki itu. Tapi sudah terlanjur dia datang, apa salahnmya dia melawat ke pejabat unit cawangan khas. Manalah tahu ada muka-muka pegawai di situ yang dia kenal. Sekurang-kurangnya tidaklah susah untuk dia mendapatkan maklumat, setelah Haqimi tidak lagi terikat dengan kes itu.

“Eh Suria, buat apa kat sini?” Tiba-tiba namanya diseru seseorang. Suria berpaling. Seorang lelaki yang baru keluar dari salah sebuah bilik di situ dipandang agak lama. Siapa ni?

“Tuan ni?” Dia terkeliru.

Lelaki itu tergelak besar. “Kamu ni cepat sangat lupa pada Pak Tam. Pak Tam ni dulu kan kawan ayah kamu. Selalu juga Pak Tam datang ke rumah kamu masa kamu kecil dulu. Dah lupa?” Lelaki itu tergelak lagi.

“Pak Tam?” Suria menggaru kepala tidak gatal.

“Pak Tam. Rustam Ali.” Lelaki itu terus menyambung. Suria tiba-tiba menepuk dahinya. “Masya Allah Pak Tam, maaflah. Suria lupa tadi. Pak Tam kan yang selalu datang rumah Suria, ajak ayah pergi memancing dulu?” Dia sudah ingat lelaki itu. Rustam ketawa besar.

“Ayah kamu apa khabar? Dah lama sangat Pak Tam tak jumpa dia sejak dia berhenti kerja.”

“Ayah sihat. Dia sekarang tengah sibuk uruskan agensi PI dia kat Setapak.”

“Pak Tam ada dengar juga. Hmm..kalau polis tu polis jugaklah. Takkan ke mananya minat kita kalau tak ke situ juga.” Balas lelaki itu.

Suria sekadar tersenyum. Dia juga setuju dengan kata-kata lelaki itu. “Mana Pak Tam cam Suria ni? Pak Tam kata Pak Tam dah lama tak jumpa ayah.”

Lelaki itu tersengih. “Kali terakhir Pak Tam jumpa ayah kamu dua tahun lepas. Masa tu dia selalu cerita fasal Suria. Sebab tu Pak Tam kenal siapa Suria. Lagipun siapa tak kenal Suria Baharom, wartawan jenayah yang paling popular kat Malaysia ni.” Canang Rustam sengaja berlelucon.

Suria tergelak besar mendengar kata-kata lelaki itu.

“Sekejap aje masa berlalu. Suria pun dah besar panjang. Dulu masa Baharom bawa balik Suria, kami sangka Suria dah……” Kata-kata Rustam terhenti. Suria tergaman. Bulat matanya memandang ke arah Rustam yang tiba-tiba gelisah.

“Pak Tam cakap apa ni?”

Rustam memandang Suria dengan wajah aneh. Suria mula tidak sedap hati. Entah kenapa hatinya bagai meragui kata-kata lelaki itu sebentar tadi.

“Pak Tam!” Jerit satu suara di suatu sudut. Serentak Rustam dan Suria berpaling ke suatu arah. Seorang lelaki mengamit Rustam dari balik pintu yang sedikit renggang.

“Pak Tam, Tuan Izwan kata dia tak balik ke pejabat hari ni. Dia ada urusan di HKL.” Ujar lelaki itu. Rustam hanya mengangguk. Apabila dia mengalihkan matanya, wajah Suria dilihatnya bercahaya.

* * * *

Rustam mengeluarkan sebeban fail-fail besar berkulit tebal lalu diletakkannya di hadapan Suria. Mata Suria terkulat-kulat memandang fail di hadapannya. Banyaknya!

“Pak Tam, semua ni…” Dia bagaikan keliru.

“Ini semua senarai orang-orang hilang yang dilaporkan sepanjang dua tahun kebelakangan ini. Banyak kes-kes ini masih belum selesai sehingga sekarang. Ada juga yang dijumpai semula, ada yang mati dibunuh, dan ada yang lari kerana mengikut teman lelaki. Tapi kenapa Suria nak tengok fail-fail ni semua?” Rustam dihujani persoalan.

Suria tersenyum tenang. “Kami nak buat statistik orang-orang hilang untuk dimuatkan dalam jurnal ‘Crime Scene’ setiap hari Rabu. Pak Tam tak kisahkan kalau Suria tengok semua maklumat-maklumat ni?” Dia memandang lelaki itu. Harap-harap Rustam percaya dengan alasannya.

Rustam menggeleng. “Tak ada masalah, tapi Pak Tam ada kerja lagi ni.”

“Eh tak apalah, Pak Tam buat kerja Pak Tam. Bila dah selesai nanti, Suria beritahu.” Pintas Suria. Lagipun dia sendiri tidak selesa jika Rustam tahu yang dia mencari maklumat berkaitan dengan kes yang sedang disiasat oleh pihak polis sekarang ini.

Belum jauh Rustam melangkah, Suria memanggil lelaki itu semula. Rustam menoleh. “Kenapa Suria?”

“Pak Tam, tadi…Pak Tam nak cakap apa sebenarnya?” Soal Suria tiba-tiba teringatkan perbualan mereka yang tidak sempat habis sebentar tadi.

Rustam tergaman. Lidahnya terus kelu seribu bahasa. Apa yang patut diberitahu pada gadis itu sedangkan Baharom melarang sama sekali.

“Tak ada apa-apa Suria, Pak Tam pun dah lupa nak cakap apa dengan Suria.” Jawab Rustam serba salah. Suria terdiam. Dia tahu lelaki itu cuba menyorokkan sesuatu dari pengetahuannya. Melihat airmuka Rustam yang keruh, dia membatalkan hasratnya untuk terus menyoal.

Sebaik lelaki itu beredar, Suria terus membuka sebeban fail di hadapannya. Persoalan mengenai lelaki itu ditolak terus ke tepi. Dia tidak mahu memeningkan dirinya sendiri dalam satu persoalan yang dia sendiri tidak mengerti hujung pangkalnya. Tidak arif dengan jawapannya.

Wajah-wajah di dalam fail diperhatikan satu persatu dengan teliti. Sebolehnya dia tidak mahu terlepas pandang apa-apa jua yang penting. Lagipun bukan senang dia mahu keluar masuk ke dalam pejabat polis itu. Masa yang sedikit ini perlu digunakan sebaik mungkin. Matanya terus meneliti setiap isi kandungan fail tersebut.

Masa semakin berjalan. Lepas satu-satu fail itu dibelek dan ditolak ke tepi. Suria mulai bosan. Dia menatap muka jam di pergelangan tangannya. Sepatutnya dia sudah berada di pejabat pada waktu-waktu begini. Entah apa Akhbar akan fikir jika tahu sampai sekarang dia sibuk menyelongkar fail-fail orang hilang di pejabat PDRM.

“Dah selesai?” Rustam tiba-tiba menjengah. Suria tergaman.

“Hampir selesai, Pak Tam. Err Pak Tam, ada lagi tak fail-fail macam ni di bilik dokumentasi?” Entah mengapa dia bertanya begitu. Kekecewaan kerana gagal mendapat maklumat yang diinginkannya membuatkan dia jadi hampa.

Orang tua itu terdiam. Matanya merenung jauh bagaikan sedang memikirkan sesuatu. “Rasanya ada sebahagian lagi fail-fail macam ni dalam bilik Tuan Izwan. Orang-orang dia ada datang ambil fail-fail ni pagi tadi. Kalau tak salah, kandungan fail tu yang terbaru sekali.” Ujar Rustam.

Suria terdiam. Kata-kata Rustam membuatkan dahinya berkerut.

“Pak Tam, Tuan Izwan tu nak buat apa dengan fail-fail tu?”

“Rasanya dia sedang siasat fasal kes mayat yang dijumpai kat Puchong tu.”

“Polis dah tahu apa punca kematian mangsa tu? Dia mati dibaham binatang buas atau dibunuh?” Tanyanya cuba mencungkil rahsia dari orang tua itu.

“Entahlah Suria, Pak Tam memang sebahagian dari team Tuan Izwan, tapi bukanlah terlibat secara langsung dalam siasatan. Pak Tam hanya tolong kumpul maklumat-maklumat dalaman saja. Lagipun biasanya kami akan diberi briefing oleh Tuan Izwan tentang hasil siasatan ataupun tugasan.” Rustam mematikan pertanyaannya. Dia terdiam. Aduh! Apa ikhtiarnya mahu mendapatkan fail-fail di bilik lelaki itu?

“Tuan Izwan dah balik?” Suria bertanya lagi.

Rustam menggeleng. “Belum. Sejak pagi lagi dia tak masuk ke pejabat. Kalau tak salah dia ke HKL.” Jawab Rustam. Suria terdiam. Dia ada mendengar salah seorang anggota polis itu memberitahu Rustam sebentar tadi. Tiba-tiba dia terfikir sesuatu. Apakah lelaki itu ke sana kerana mahu mendapatkan hasil post-mortem mayat tempohari?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!