Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 19


            “Saya bukan datang untuk bercakap soal Suraya, umi. Tapi saya mahu berbicara dengan umi tentang Raihana.” Ujarnya tegas. Wanita itu hanya diam. Pandangan Engku Latifah singgah di luar jendela. Memandang kosong pada pemandangan bandaraya yang nampak megah terbentang di hadapan matanya.

            “Umi tak boleh tipu saya. Saya bukan lagi budak kecil seperti dulu. Saya cuma nak tahu di mana Hana dan ibunya. Itu saja.”

            Perlahan-lahan Engku Latifah memusingkan tubuhnya. Wajah Nashriq dipandang tajam. “Selepas itu apa? Naz nak bawa mereka balik semula ke rumah kita? Naz cuba nak lukakan hati umi?”

            “Umi tak boleh menghukum Hana dan ibunya atas kesalahan yang ayahnya lakukan. Hana tak bersalah, umi. Dia hanya mangsa keadaan.”

            “Senang Naz cakap. Naz tahu tak kalau bukan sebab Munif bunuh suami umi, ayah Naz…tentu hidup kita akan bahagia seperti dulu. Naz mungkin boleh maafkan mereka, tapi selagi umi masih hidup, jangan Naz harap umi akan pandang wajah mereka. Umi benci mereka.” Herdik Engku Latifah, geram.

            “Sebab tu umi halau Hana dan makcik Sara selepas saya ke US?”

            “Habis? Naz nak suruh umi tinggal serumah dengan mereka? Naz nak umi pandang wajah mereka tiap-tiap hari, begitu?”

            Nashriq terdiam. Pilu hatinya mendengar kata-kata ibunya yang penuh dengan dendam. Kebencian ibunya tak pernah surut biarpun selepas 12 tahun.

            “Umi, peristiwa itu dah lama berlalu. Sampai bila umi nak berdendam begini?” Bisik Nashriq mula berlembut.

            Engku Latifah menoleh. Matanya kelihatan sembab. Wajah anak lelakinya itu direnung sayu. Kalaulah Naz tahu betapa hati umi ini begitu sakit, begitu menderita. Sudahlah suami umi tiada, satu-satunya anak yang umi sayang, pergi meninggalkan umi sekian lama. Dua belas tahun umi keseorangan Naz. Semuanya kerana keluarga itu. Merekalah penyebab keluarga kita berpecah belah, bisik Engku Latifah sendu.

            “Umi tahu kan yang saya dan Hana macam adik beradik. Kami membesar bersama-sama di rumah itu. Selain ayah dan umi, saya cuma ada Hana. Saya rayu pada umi, tolong jangan rampas Hana dari saya. Tolong beritahu saya di mana Hana dan ibunya tinggal, umi.” Pinta Nashriq.

            Engku Latifah memejamkan matanya. Kata-kata yang terlontar dari bibir Nashriq meremukkan hatinya. Dia tahu selama ini, Nashriq separuh gila menjejaki Raihana. Itulah sebabnya dia sengaja mahu menyatukan Nashriq dengan Suraya. Dia mahu Nashriq melupakan gadis itu. Dia mahu Nashriq memulakan hidup baru.

            Tapi harapannya hanya impian kosong. Nama Raihana tak pernah lekang dari bibir mahupun ingatan Nashriq.

            “Kalaupun umi tahu, umi takkan beritahu Naz. Kenapa Naz tak boleh lupakan dia? Apa anak orang gaji tu dah buat pada Naz sampai Naz sanggup lukakan hati umi?” Soal Engku Latifah separuh kecewa.

            Nashriq terdiam. Betulkah ibunya tak tahu di mana Raihana berada sekarang, atau wanita itu berpura-pura tidak tahu?

            “Sejauh mana umi tahu tentang syarikat A&K Corporation?” Tanya Nashriq, tiba-tiba mengalih topik perbualan. Tajam matanya merenung ke wajah ibunya yang seakan terkejut.

            “Mereka pernah bekerjasama dengan kita dalam beberapa projek. Kenapa Naz tiba-tiba tanya tentang A&K Corporation?” Engku Latifah hairan.

            “Sebab saya nak tahu apa umi dah buat dengan tanah tapak Vila Kecil yang ayah serahkan pada pakcik Munif dulu?” Dia bertanya lagi.

            Engku Latifah terdiam. Serta-merta dia jadi resah. Dia benar-benar tidak menyangka, Nashriq akan bertanya tentang vila itu.

            “Sampai hati umi buat macam tu pada Hana dan Makcik Sara. Sudahlah umi halau mereka dari rumah kita. Tak cukup dengan itu, umi halau pula mereka dari Vila Kecil milik mereka sendiri. Naz tak sangka umi sanggup berlaku kejam seperti ini.” Tuduh Nashriq agak kesal.

            “Rumah tu bukan milik mereka Naz.”

            “Ya, Vila Kecil memang milik ayah. Tapi ayah berikan rumah tu pada pakcik Munif sekeluarga, cuma nama sahaja yang belum sempat ditukar. Semua orang tahu hal itu. Tapi umi pula sanggup merampas tanah itu dan menjualnya pada orang lain. Kenapa umi boleh jadi macam ni? Saya dah tak kenal siapa umi lagi.” Bisik Nashriq sebak.

            Engku Latifah terpaku. Kata-kata Nashriq meresahkan hatinya. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakan pada anak itu. Melihat renungan tajam pada wajah Nashriq, lidah Engku Latifah bagaikan kelu untuk berkata-kata.

*  *  *  *

            Dia memandang wajah dua beranak itu dengan pandangan benci. Mata Maisara kian basah. Berjujuran airmata wanita itu mengalir di pipi. Namun entah kenapa sedikit pun perasaan simpatinya tidak ada untuk wanita itu. Matanya turut mencerlung ke arah gadis kecil belasan tahun yang tunduk diam di sisi ibunya.

            “Aku nak kau kemas kain baju kau dan berambus dari rumah ni. Aku tak perlukan khidmat kau lagi.” Keras nada suaranya bertutur. Wanita di hadapannya terkejut. Bulat mata itu memandangnya.

            “Puan, tolong jangan halau kami pergi. Hanya keluarga puan sahaja yang kami ada sekarang. Saya dah tak tahu hendak ke mana. Kalau sebab abang Munif, percayalah cakap saya puan, abang Munif tak bunuh Tuan Zainal. Selama ini kami terlalu hormatkan Tuan Zainal.” Rayu wanita itu dengan airmata bercucuran.

            “Kau nak aku percaya yang suami kau tak bakar rumah itu dan menyebabkan kematian suami aku? Dasar perempuan kampung. Kalau diikutkan hati aku, aku cincang lumat kau dan anak kau hidup-hidup. Mulai hari ini jangan pernah kamu dua beranak berani muncul di hadapan aku lagi. Aku tak mahu tengok muka kau sampai bila-bila pun.” Bentaknya benar-benar meradang. Sakit hatinya hanya tuhan  yang tahu.

            Maisara memandang sayu ke arahnya. Namun wajahnya dipanggung ke arah lain. Enggan memandang wajah keduanya. Seperti memahami dirinya tidak lagi diperlukan, Maisara memimpin tangan Raihana lalu keluar. Namun belum sempat jauh kaki itu melangkah, Engku Latifah sekali lagi memanggilnya.

            “Jangan kau harap kau boleh balik ke Vila Kecil. Rumah tu milik suami aku, lagipun tak ada bukti yang mengatakan yang tanah tu hak kau. Kau berambuslah ke mana sahaja yang kau suka, kecuali ke rumah ini dan Vila Kecil. Kalau aku nampak barang-barang kau masih ada di Vila Kecil menjelang malam esok, aku tak akan teragak-agak bertindak.” Ugut Engku Latifah.

            Maisara terkedu. Dia menoleh memandang Raihana yang kelihatan sedih. Anak gadis itu seolah memahami setiap perkara yang berlaku dalam hidup mereka. Entah bagaimana dengan nasib mereka, masa depan mereka.

            “Abang ambillah geran ni. Vila Kecil akan jadi hak abang, kalau abang buat sesuatu untuk Tif.” Ujar Engku Latifah sambil menunjukkan geran rumah kepada lelaki itu. Engku Iskandar memandangnya tidak berkelip. Namun tangannya segera mencapai dokumen-dokumen itu. Matanya membulat.

            “Ini geran tanah Vila Kecil, bukan keluarga Munif memiliki rumah itu?”

            “Itu dulu, tapi saya dah ambil semula rumah tu. Saya tak mahu keluarga pembunuh suami saya tinggal di situ, di rumah hasil titik peluh Zainal.”

            Mata Engku Latifah merenung abangnya.

            “Abang, saya nak abang pastikan Maisara dan Raihana pergi jauh dari hidup kita semua. Saya nak mereka pergi sejauh yang boleh. Saya tak mahu mereka kembali semula ke sini. Sampai bila-bila pun saya tak mahu tengok muka mereka.” Ujar Engku Latifah. Engku Iskandar tersentak. Namun wajah Engku Latifah bagaikan sudah nekad.

*  *  *  *

            Nashriq memandu tanpa arah haluan. Meredahi malam yang kian muram, sama seperti hatinya ketika itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa saat itu, kekecewaan yang dialaminya begitu menyakitkannya.

            Kata-kata ibunya seperti menambahkan sakit pada lukanya yang sedia ada. Jauh di sudut hati, dia rasa benar-benar bersalah. Bersalah pada Raihana. Bersalah pada makcik Maisaranya yang bagaikan ibu baginya selama ini. Kalau bukan sebab dia melarikan diri dulu, tentu dia dan Raihana takkan berpisah. Gadis itu akan sentiasa berada di hadapan matanya. Dan janjinya untuk melindungi Raihana akan mampu ditunaikannya.

            Nashriq menekan brek kereta sekuat hati. Dia terpaku. Bangunan besar di hadapannya dipandang berkali-kali. Dia buntu. Keretanya dihala sesuka hati sehingga sedar tak sedar sudah mendarat di parking hadapan Blue Ocean, kelab kemegahan warga kota yang inginkan keseronokan.

            Nashriq termenung seketika. Apa yang aku buat ni? Kenapa aku boleh berada di sini? Dia memandang ke arah pintu masuk Blue Ocean yang dijaga rapi dua orang bouncer yang pernah dilihatnya dulu. Beberapa orang berpusu-pusu memasuki pintu kecil di bawah lampu neon berwarna warni.

            Tergerak hati Nashriq untuk memasuki tempat itu semula. Perlahan-lahan dia keluar dari keretanya lalu segera melangkah ke arah kelab itu. Dua bouncer itu hanya memerhatikannya tapi tidak pula menahan.

            Suasana hinggar binggar di dalam tiba-tiba terhenti apabila bunyi muzik menutup segala bunyi bising yang timbul. Nashriq bergerak ke tengah ruang. Matanya sibuk mencari-cari kelibat Duha Maisara. Namun bayang gadis itu tidak kelihatan.

            “Sekarang dipersembahkan untuk anda, penyanyi utama Blue Ocean akan mempersembahkan sebuah lagu untuk hiburan anda semua.” Suara seorang wanita bergema di hujung telinganya. Tiba-tiba seorang wanita muda muncul di hadapannya sambil tersenyum manja.

            “Hai sayang, you perlukan apa-apa malam ni?” Gemersik suara wanita itu cuba menggoda. Nashriq hanya tersenyum. Kepalanya digelengkan. Wajah wanita itu kelihatan hampa. Nashriq segera menjauh.

            Tapi sebaik rangkap puitis suara lunak menyentuh gegendang telinganya, Nashriq berpaling ke ruang pentas. Pandangannya singgah pada suatu wajah bermekap tebal di tengah pentas, sedang menyanyikan sebuah lagu Inggeris. Serta-merta dia tergaman. Bulat matanya memerhatikan Duha Maisara di pentas. Jadi betullah dia seorang penyanyi. Timbul rasa bersalahnya kerana meragui kata-kata gadis itu sebelum ini. Beberapa kuntum ros dilemparkan ke tengah pentas oleh pelanggan-pelanggan Blue Ocean.

            Gadis itu mengalunkan lagu itu dengan cukup baik. Diam-diam Nashriq akui, suara gadis itu boleh tahan merdunya. Dia ingin beredar ke hadapan, namun terhalang oleh beberapa lelaki nakal yang menghala ke arah Duha Maisara di pentas. Sesekali Nashriq memerhatikan wajah Duha Maisara yang kelihatan resah apabila lelaki-lelaki di bawah bagaikan hilang pertimbangan. Mujurlah beberapa bouncer kelab itu sibuk mengawal keadaan.

*  *  *  *

            “Duha, ada orang nak jumpa Duha.” Ujar Zarina kepada gadis itu setelah Duha Maisara selesai mempersembahkan lagu keduanya. Dia tercengang. Matanya menjunam ke arah Zarina.

            “Siapa kak Ina?”

            “Entahlah, kakak pun tak tahu. Tapi Mimi yang suruh kak Ina cakap dekat Duha. Kata Mimi, dia tunggu Duha di bilik VIP.”

            Wajah Duha Maisara pucat lesi. Siapa yang nak bertemu dengannya. Seingatnya, tak ada sesiapa pun yang kenal dia, tahu yang dia bekerja di situ kecuali ayahnya. Mungkinkah ayah? Tapi kalau ayah, takkan Mimi tidak kenal.

Duha Maisara serba-salah. Harap-harap bukan salah seorang dari lelaki-lelaki pelanggan kelab itu yang sering menagih dirinya. Dia sudah serik. Walau sekuat manapun dia menjaga dirinya, namun setiap malam ada saja dugaan yang harus ditempuhinya. Beberapa malam yang lalu, seorang lelaki mabuk marah-marah apabila dia tidak mahu melayan lelaki itu. Mujurlah ada Mami Jun yang masuk campur. Kali ini apa pula?

“Apa yang Duha fikirkan tu?” Tanya Zarina agak hairan.

“Kak, Duha takutlah…”

“Takut? Takut apa?” Zarina mengerutkan dahinya. Kata-kata gadis itu membuatkan fikirannya disinggahi tanda tanya. Apa yang ditakutkan oleh gadis itu?

“Bagaimana kalau lelaki yang nak jumpa Duha tu berniat buruk? Duha dah serik diganggu kak.” Ujar Duha Maisara.

Zarina terdiam. Betul juga. Lagipun siapa lagi yang mahu bertemu dengan Duha Maisara kalau bukan lelaki-lelaki miang di kelab itu.

“Kenapa ni?” Tiba-tiba Mami Jun muncul.

“Ada lelaki nak jumpa Duha di bilik VIP kita, mami,” beritahu Zarina sebelum sempat Duha Maisara mahu membuka mulut.

Mami Jun terdiam. Setiap minggu ada saja lelaki yang berminat dengan Duha Maisara. Pelbagai masalah terpaksa dihadapinya, mujurlah setiap masalah tidak berpanjangan ke luar.

“You dah beritahu lelaki tu yang Duha bukan pelayan kelab ni?” Tanya Mami Jun kepada Zarina. Wanita itu menggeleng. Dia sendiri tidak pasti.

Mami Jun mengeluh berat. Terpaksalah dia masuk campur. Lagipun dia tidak sampai hati membiarkan Duha Maisara dalam masalah. Malah dia kadang-kala kasihan dengan gadis itu  yang terpaksa bertungkus lumus bekerja di situ demi sesuap nasi.

“Tak apalah Duha, nanti mami pergi jumpa lelaki tu.” Ujar Mami Jun akhirnya. Wajah Duha Maisara lega dengan jaminan Mami Jun.

Sementara menanti Mami Jun bercakap dengan lelaki di bilik VIP, Duha Maisara dan Zarina berbual-bual seketika. Sepuluh minit kemudian, Mami Jun melangkah keluar dari bilik itu seraya menuju ke arah Duha Maisara. Wajah Mami Jun muram.

“Apa kata dia mami?” Tanya Duha Maisara sudah tidak sabar.

“Dia kata dia hanya mahu bercakap dengan Duha. Mami rasa baik Duha masuk jumpa dia sekejap.” Saran Mami Jun.

“Tapi mami…”

“Duha, please. Mami tak pernah minta apa-apa dengan Duha sejak Duha bekerja di sini. Malah mami juga tak pernah paksa Duha jadi pelayan di sini. Cuma kali ni saja mami nak Duha jumpa dengan lelaki tu.” Ujar Mami Jun serius.

Duha Maisara terpaku. Bingung. Wajah Zarina juga seolah terkejut. Hairan dengan permintaan Mami Jun yang kelihatan pucat. Entah apa yang merasuk wanita itu kali ini, sehingga dia mengikut saja cakap lelaki itu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!