Followers

Wednesday, December 25, 2013

Lelaki Itu..Syurgaku - Bab 2


EMPAT belas jam menaiki penerbangan MAS dari Kuala Lumpur ke Milan, memang perjalanan yang memenatkan. Ditambah pula kapal terbang yang dinaikinya singgah di Thailand. Dari Thailand, barulah dia meneruskan perjalanan ke Milan menaiki pesawat Thai Airways.

Dalam perut Thai Airways, lelaki yang duduk disampingnya tidak lagi kelihatan. Dan dia pula sengaja menahan diri dari mencari lelaki itu, meskipun separuh dari hatinya menghendaki dia berbuat demikian. Apa gunanya Orked? Dia bukan orang yang kau cari. Hanya wajah mereka yang mirip tapi lelaki itu bukan Idlan. Sepanjang penerbangan dia asyik berbisik begitu.

             Dia seperti seorang buta yang berjalan tanpa tongkat di tengah-tengah keributan manusia yang tersadai di Milan Malpensa International Airport. Dia tidak tahu ke mana harus ditujuinya. Tidak ada sesiapa pun yang menantinya di situ, dan tidak ada sesiapa pun yang mengenalinya. Di tempat asing itu dia hanya bersendirian. Sengaja dia tidak menghubungi agensi pelancongan ketika di Kuala Lumpur. Malah ketika Arida bertanya, dia hanya mengatakan dirinya akan dijemput orang dari agensi pelancongan. Ketika itu dia sendiri tidak tahu kenapa dia berbohong dengan kawan baiknya sendiri.

            Dia melabuh diri di salah sebuah bangku di kawasan lapangan terbang. Matanya ralit memerhatikan ragam-ragam manusia pelbagai bangsa di hadapannya. Kadang-kala dia juga terserempak dengan beberapa pelancong dari Malaysia. Ketika rombongan itu melewatinya, dia hanya mampu tersenyum. Seusai itu dia kembali termenung. Tidak pasti apa yang harus dilakukannya atau ke mana hala tujuannya.

            Adik…” suatu suara menyapa dari arah belakang. Orked berpaling. Melihat orang yang menegurnya ialah perempuan yang ditolongnya di dalam kapal terbang tadi, dia tergaman.

            “Ya kak?” Tanya Orked lembut. Sangkanya perempuan itu perlukan bantuan.

            “Adik datang sini sorang-sorang ke?” Tanya perempuan itu. Anak kecil yang dikendongnya merengek-rengek di pangkuan.

            Orked terpanar. Tidak tahu jawapan bagaimana harus diberikan pada wanita itu. Tapi memandangkan orang yang bertanya kelihatan ikhlas dengannya, hendak tak hendak dia mengangguk. Sekadar mengiyakan apa yang benar.

            Dahi wanita itu berkerut mendengar jawapannya.

            “Datang ke mari untuk apa? Berjalan-jalan? Bisnes?” Tanya wanita itu bertalu-talu.

            Sekali lagi Orked terkedu. Pertanyaan demi pertanyaan yang dilontarkan wanita itu membuatkan dia langsung bungkam. Melihat perubahan pada riak wajah Orked, wanita itu tiba-tiba tersenyum.

            “Maaf, kakak cuma hairan tengok adik ni duduk sorang-sorang kat situ. Dah dekat sejam lepas flight kita landing. Kakak ingatkan adik ni ikut trip tour dari Malaysia.” Jelas wanita itu beserta senyuman ramah yang tidak lekang-lekang dari bibirnya.

            “Kenalkan nama kakak Sarah.” Wanita itu menghulurkan tangan.

            Orked teragak-agak mahu menyambutnya. “Orked. Orked Harlina.” Ujarnya perlahan. Matanya merayap pada anak kecil di pangkuan Sarah.

            Oh ya, ini pula anak kakak. Iman Rayyan.”

            “Berapa tahun ni kak?”

            “Dah nak masuk dua tahun, buasnya Tuhan saja tahu.” Sarah ketawa kecil.

            Orked turut ketawa. Dia asyik menyentuh-yentuh pipi Iman yang agak tembam dan bulat. Comel sekali anak Sarah. Kulitnya putih mulus. Sekali pandang anak itu bukan seperti anak melayu lain. Kacukan barangkali!

            “Boleh kakak tahu Orked nak ke mana?” Tanya Sarah semula. Kembali pada pokok persoalan pertama yang belum terungkap.

            Err..saya nak cari hotel dulu untuk bermalam.”

            “Lepas tu?”

            “Hmm.. mungkin jalan-jalan di sini.” Lancar Orked menjawab. Dia tidak mahu gerak-gerinya menimbulkan rasa curiga di hati Sarah.

            “Macam ni lah, apa kata kalau Orked ikut kakak balik. Lepas ni kakak nak naik Malpensa Express Train ke Cadorna Staziorne Nor di pusat bandar. Kalau Orked tak kisah, kakak boleh tumpangkan Orked kat rumah kakak sepanjang Orked ada di Milan.” Usul Sarah.

            Orked memandang wanita di hadapannya agak lama. Dia sebenarnya berasa serba-salah. Dia tidak ingin menyusahkan Sarah sebenarnya. Lagipun tujuannya ke Milan kerana tidak mahu membazirkan tiket yang diserahkan oleh Arida tempohari. Jika bukan kerana kemunculan tiket itu dan wang sebanyak RM20,000 yang diserahkan Idlan padanya, tak mungkin dia akan memberanikan diri menjejakkan kakinya ke tempat yang digelar New Paris oleh setiap pelusuk dunia itu.

            “Saya tak nak susahkan kakak.” Dia berterus-terang.

            Sarah ketawa kecil mendengar kata-katanya. “Susah apa pulak. Kalau Orked nak tahu, kakak tinggal berdua aje dengan anak dekat Bizzore. Suami kakak orang Itali, selalu sibuk dengan urusan kerja. Kakak nak bekerja dia tak bagi. Terpaksa duduk di rumah sahaja jaga si Iman ni. Kalau Orked sudi, kakak boleh bawa Orked jalan-jalan di Milan ni. Free of charge je, kakak tak kenakan bayaran.” Ujar Sarah separuh bergurau.

            Orked tersenyum kecil. Pujukan Sarah sedikit sebanyak termakan jua di fikirannya. Akhirnya dia mengangguk tanda setuju.

            Dia segera mengikut Sarah ke stesyen keretapi laju Malpensa Express Train yang terletak di dalam bangunan lapangan terbang itu. Sementara menanti Sarah membeli tiket, Orked mendukung Iman Rayyan yang sudah tertidur. Bibirnya menguntum senyuman ketka asyik menatap Iman Rayyan yang sedang terlentok di bahunya. Comelnya Iman, bila besar nanti tentu handsome dan ramai peminat, Orked tersenyum sendiri.

            Bila Sarah kembali, mata wanita itu terkelip-kelip melihat Iman Rayyan yang sudah tertidur.

            La tidur pulak budak ni. Selalunya kalau dengan orang lain, dia susah sikit nak tidur. Agaknya dia suka kat kakak Orked dia yang comel ni agaknya.” Sarah mengusik seraya mengambil anaknya dari Orked. Sebelah tangannya menghulurkan sekeping tiket pada Orked.

            “Berapa harga tiket ni kak?” Tanya Orked seraya mengambil dompetnya, mahu membayar duit tiket keretapi yang dibeli oleh Sarah.

            Alah tak payahlah, simpan aje duit Orked tu. Bukan mahal pun, 9 Euro aje.” Ujar Sarah sambil tersenyum.

Orked tidak jadi membayar. Di dalam hati dia rasa bersyukur dipertemukan dengan Sarah yang baik hati.

            Tidak sampai sepuluh minit menanti, keretapi ekspress itu tiba di hentiannya. Sarah melompat naik sambil dibantu oleh Orked. Dia turut membantu memindahkan bagasi-bagasi Sarah dari troli. Seorang lelaki berbangsa Itali mahu menawarkan bantuan, namun Orked menolak.

            Usai mengangkat bagasi-bagasi wanita itu, Orked turun pula untuk mendapatkan bagasinya sendiri yang masih tertinggal di dalam troli. Namun ketika dia mahu mencapai bagasinya, telinganya tiba-tiba menangkap bunyi kanak-kanak menangis. Dia segera berpaling. Seorang kanak-kanak berbangsa Inggeris sedang menangis di sisi ibunya yang sedang berbual-bual menggunakan telefon. Namun perhatian Orked bukan tertumpu pada kanak-kanak itu. Sebaliknya matanya terpaku pada seraut wajah yang berteleku di hadapan kanak-kanak itu sambil menunjukkan mimik wajah lucu untuk memujuk anak kecil itu. Lelaki itu lagi!

            Orked terpanar. Dadanya berdebar kencang. Ya ALLAH! Kenapa wajahnya terlalu mirip dengan Idlan? Kenapa dia mesti muncul di hadapanku pada saat-saat begini?

            “Orked.” suara Sarah terdengar melaung. Orked segera mencapai bagasinya. Namun matanya masih mencuri pandang ke arah lelaki itu. Si lelaki tiba-tiba menoleh. Bangun dan memandang tepat ke arahnya.

            “Orked, cepatlah. Kejap lagi keretapi ni dah nak gerak.” Sarah tiba-tiba muncul di sampingnya lalu menarik tangannya. Dan seperti orang bodoh, dia hanya menurut. Tapi ketika dia menoleh sekali lagi ke arah lelaki itu, mata si lelaki masih meratah wajahnya.

Orked terpaku. Idlan! Renungan itu milik Idlan. Renungan dan pandangan yang masih sama seperti dulu.

            Gerabak keretapi mula bergerak. Menyedari keretapi itu sedang meninggalkan stesyen, Orked seperti hilang akal segera berlari ke arah salah sebuah jendela. Entah kenapa ada sesuatu yang menyuruhnya agar terus mencari lelaki itu. Melihat kelibat lelaki  itu di luar sana, Orked sudah tidak mampu menahan getar perasaannya.

            “Idlan!!!” Jeritannya bergema kuat. Nyaring dan mengejutkan hampir sebilangan besar penumpang-penumpang keretapi express itu. Termasuklah Sarah yang tergaman sambil mendukung Iman Rayyan yang sudah terjaga dari tidurnya.

*  *  *  *

COME ERA?” Tanya seorang lelaki berwajah asing pada Sarah yang baru keluar dari sebuah bilik. Wanita itu memandang suaminya lalu tersenyum. Iman Rayyan yang berada di pangkuan lelaki itu diacah-acah menyebabkan anak kecil itu ketawa. Daud Callisto Abdullah turut ketawa kecil melihat telatah anak kesayangannya.

            Dorme.” Jawab Sarah sepatah. Merujuk kepada gadis yang sedang tidur di bilik tetamu keluarganya di Corvetto Height yang terletak 1.8 batu dari pusat bandar Milan. Sejak mereka sampai ke rumah tadi, dia terus menyiapkan sebuah bilik untuk anak gadis itu.

            E giusta?” Daud bertanya lagi, ingin tahu.

            Sarah terdiam. Pertanyaan lelaki itu dibalas dengan keluhan. Dia tahu suaminya hanya turut sama mengambil berat.

            Dia turut hairan melihat sikap Orked sewaktu di dalam keretapi beberapa jam yang lalu. Orked menangis seperti kehilangan sesuatu. Tangisan gadis itu begitu sayu dan meruntun hati sesiapa sahaja yang memandangnya. Dia juga masih ingat nama yang dijerit oleh Orked berulangkali di atas keretapi tadi. Idlan! Hati Sarah tertanya-tanya. Agak risau dengan keadaan anak gadis yang baru dikenalinya itu.

            Mulanya dia mahu menyiapkan sedikit makanan untuk Orked, tapi Orked langsung tertidur sebaik ditunjukkan biliknya. Hendak mengejutkan gadis itu dia tidak sampai hati pula. Sudahnya Sarah hanya mampu melemparkan pandangan kosong ke arah suaminya yang sedang asyik melayan Iman Rayyan.

            Perche?” Daud menoleh. Dahinya berkerut sedikit.

            Niente.” Sarah menggelengkan kepalanya, lantas bergegas ke suatu arah, meninggalkan Daud Calisto yang asyik tertoleh-toleh ke arah isterinya. Hairan melihat Sarah yang serba tidak kena malam ini. Tak lama kemudian Sarah keluar dari arah wet kitchen sambil menatang dulang berisi bubur dan minuman. Manalah tahu malam nanti Orked terjaga dan berasa lapar, sekurang-kurangnya bubur tersebut boleh dijadikan alas perut.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!