Followers

Thursday, September 23, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 25

BAHAROM mengetuk pintu bilik di hadapannya bertalu-talu, namun tidak ada balasan. Dahi Baharom segera berkerut. Masih tidurkah anak gadisnya?

“Suria, bangun sayang. Dah lewat ni, kenapa tak turun-turun lagi?” Baharom memanggil. Namun seperti tadi dia seolah bercakap dengan patung. Mahu tak mahu dia segera memulas tombol pintu di hadapannya. Kepalanya menjenguk ke dalam. Melihat Suria tidak ada di biliknya, Baharom tergaman.

Dia ingin beredar. Namun ada sesuatu yang menghalangnya dari meneruskan hasratnya untuk meninggalkan bilik anak gadisnya. Laptop Suria yang terpasang di atas meja tulis, membuatkan matanya terpaku pada halaman desktop. Sesuatu yang terpapar pada skrin laptop milik anak gadisnya membuatkan dia terpaku. Tanpa sedar kakinya mengundur ke belakang. Dadanya bergetar. Tak mungkin!

* * * *

Lelaki berjanggut sejemput di bawah dagu serta berambut panjang sehingga paras bahu itu merenung gambar dan kertas yang diberikannya sebentar tadi. Wajah itu jelas berubah sebaik meneliti gambar tersebut. Sejurus dia mendongak memandang Baharom yang menanti dengan wajah berkerut.

“Kat mana kau jumpa gambar ni?” Soalan itu singgah dari bibirnya.

Baharom mengeluh panjang. “Dalam laptop Suria. Dia sedang follow kes ni sejak seminggu yang lalu.” Ujar Baharom.

“Lakaran ni?”

“Aku jumpa di bilik Suria. Dia yang lukis. Aku sendiri terkejut bila lihat simbol ni dalam bilik dia. Lagi-lagi kes yang Suria sedang siasat ada kaitan dengan simbol tu Pache.” Ujar Baharom resah.

“Kalau betul simbol ni muncul di tempat pembunuhan seperti yang kau katakan, ini bermakna dia sudah muncul Baharom.” Bisik Apache sambil merenung tajam ke arah lelaki di hadapannya.

Baharom tersentak.

“Simbol itu adalah simbol Bulan Merah yang digunakan oleh pemburu ragau. Dan kau pasti lebih tahu apa yang mereka buru bukan?” Mata Apache mencerlung tajam ke arahnya. Dia naik gugup menentang panahan mata Apache.

“Tapi kenapa dia menunggu selama ini untuk muncul kembali?” Soal Baharom. Dahinya berkerut. Ada rasa aneh menerpa di tangkai hatinya. Kenapa baru sekarang?

Apache terdiam.

“Kau rasa dia akan datang cari Suria?” Soal Baharom lagi.

Apache mengerling ke arah lelaki itu. “Dia akan menuntut apa yang menjadi haknya, Baharom. Apakah Suria pernah bercerita apa-apa yang aneh pada kau?”

Baharom menggelengkan kepala dengan wajah resah. “Tak ada. Aku bimbangkan Suria.Dia nampaknya terlalu taksub dengan kes ni. Aku takut Apache. Aku takut Suria tahu tentang semua kebenaran ini.” Keluh Baharom rungsing.

Apache tersenyum tenang. “Kau sebenarnya bukan takut Suria tahu semua kebenaran tentang dirinya. Tapi kau hanya takut Suria akan jadi seperti ibunya bukan?” Teka Apache.

Baharom tergaman. Itu salah satu sebabnya. Dia tidak mampu berbohong pada dirinya sendiri. Sememangnya dia menyimpan kerisauan itu. Bimbang apa yang benar-benar ditakutinya suatu hari nanti, akan dilalui oleh Suria pula.

“Kalau nasib Suria sudah ditakdirkan begitu, kita tak mampu menghalangnya Baharom. Kau kena redha. Pak Guru dah amanahkan Suria pada kau. Kau kena pilih samaada mahu melindungi Suria atau biar dia melalui takdirnya sendiri.” Ujar Apache tenang.

Baharom terduduk lemah. Dua puluh empat tahun yang lalu, dia pernah membuat pilihan itu. Tapi apa yang diperolehinya adalah berita duka. Kerana memilih untuk melindungi anak itu, dia terpaksa mengorbankan isterinya Fatihah. Dan keputusan itu adalah yang paling pahit pernah dilaluinya sepanjang hidupnya.

* * * *

Sesekali matanya memandang ke arah pergelangan tangannya. Hampir pukul 9.00 malam. Ketika dia bergerak keluar dari pejabatnya sebentar tadi, kereta Suria sudah tidak ada di tempat parkir. Hajat hatinya mahu bertemu Suria terbantut jadinya dengan pelbagai halangan demi halangan. Kerana itu dia mengambil keputusan mahu ke rumah gadis itu untuk mencari Suria.

Petang tadi ketika bertembung dengan Suria di pejabat, dia hanya mampu mengukir senyuman dari jauh. Tapi Suria berlagak acuh tak acuh dengannya. Nazrul sedar semuanya berpunca dari arahannya agar Suria dikeluarkan dari kes baru itu. Sejak kali terakhir dia bercakap dengan Suria di pejabat, belum sekalipun gadis itu mahu menegurnya. Belum reda lagikah marah gadis itu?

Perasaan hatinya yang dihimpit rasa tidak senang, membuatkan dia tidak menyedari bahawa kereta yang dibawanya sudah menghala ke rumah dua tingkat di Taman Dato’ Keramat. Entah kenapa, ingatannya terhadap Suria semakin membara. Kalau sehari dia tidak melihat gadis itu, dia akan jadi kemaruk rindu. Dia melemparkan pandangan ke arah petak garaj di rumah dua tingkat itu. Kereta Baharom tersadai di situ. Dia tahu lelaki itu tentunya sedang berada di dalam rumah ketika ini.

Nazrul melepaskan keluhan berat. Dia menyandarkan tubuhnya ke arah seat kereta. Matanya diluruskan ke hadapan. Sejurus apabila kepalanya diangkat, sesusuk tubuh dengan rambut panjang mengurai terpamer di retina matanya. Sedang mengintainya dari jendela sebuah kamar di tingkat atas rumah itu.

Siapa itu? Suriakah? Tapi tak mungkin itu Suria kerana gadis itu belum pulang lagi. Lagipun rambut Suria pendek separas bahu, tidak panjang seperti rambut lembaga itu. Apabila matanya dialih sekali lagi ke arah jendela, tubuh lembaga itu sudah bergerak ke dalam. Nazrul tercengang.

* * * *

Izwan yang mahu menuju ke keretanya tidak jadi meneruskan langkah tatkala matanya terpandang kelibat seorang gadis, duduk di kerusi panjang di lobi pejabat PDRM di Bukit Aman. Melihat kelopak mata gadis itu terpejam rapat sambil bersandar pada dinding, dia mengeluh panjang. Perlahan-lahan dia merapati seorang pegawai polis berseragam yang bertugas di kaunter.

“Dah lama perempuan tu kat sini?” Tanya Izwan sambil menjuihkan mulutnya ke arah Suria. Pegawai polis itu menoleh. Beberapa saat kemudian, lelaki itu tersenyum simpul.

“Dah dekat dua jam jugak, tuan. Sejak petang tadi dia menanti Tuan Izwan.”

“Menanti saya?” Izwan terkesima.

“Saya ada minta Cik Suria naik ke atas berjumpa tuan sendiri, tapi dia berkeras nak tunggu di bawah.” Jelas pegawai polis itu.

Izwan mengangguk. Dia segera melangkah ke arah Suria. Wajah gadis yang sedang lena itu direnung berserta keluhan. Dia tahu kehadiran Suria ke pejabat PDRM bersebab. Pasti semata-mata kerana mahu terus mengorek cerita darinya. Tiba-tiba matanya terpandang pada helaian kertas di tangan gadis itu. Dahi Izwan berkerut menatap imej pada helaian kertas yang dilakar dengan pensil. Apa pulak ni? Imej dua tangan yang sedang memeluk sebuah sfera diperhatikan dengan teliti.

Dia mengalihkan pandangan. Wajah Suria ditatap dalam-dalam. Entah mengapa, matanya terpaku di wajah itu sejenak. Bebola matanya ralit memerhatikan alur pada wajah gadis itu. Entah kenapa, semua itu membuatkan dia terkenangkan arwah isterinya Rauda.

Bunyi yang singgah dari saku seluarnya membuatkan Izwan tiba-tiba tersentak. Dia cepat-cepat melarikan anak matanya. Pada masa yang sama kelopak mata Suria mula bergerak-gerak sebelum perlahan-lahan terbuka. Suria tergaman sebaik terpandang Izwan sedang bercakap-cakap menggunakan telefon bimbit.

“Dah sampai? Aku jumpa kau kat sana sekejap lagi.” Ujar Izwan seraya menamatkan perbualan serba ringkas itu. Matanya kembali mengecil mencari wajah Suria. Dia perasan, anak mata Suria membulat ke arah kertas yang masih berada di genggamannya. Menyedari keadaan itu, Izwan segera menyerahkan kembali helaian kertas yang diambilnya dari tangan gadis itu.

“Kau tunggu aku di sini sebab nak tanya tentang kes tu ke?” Soal Izwan dengan nada serius. Suria mengangguk lesu. Punyalah lama dia menunggu sehingga tertidur!

“Kau sangka aku akan bekerjasama dengan wartawan?” Nada suara Izwan seolah memperlekeh. Suria menelan liur.

“Aku tak pasti tentang itu, tapi aku akan terus berusaha.” Balasnya tegas.

Izwan terdiam. Dia memandang kawasan lobi di balai polis itu. Kebanyakan anggota polis yang bertukar shift semakin ramai yang keluar masuk dari pintu utama.

“Kau simpan kereta kau kat mana? Kita berjalan ke sana.” Arah Izwan seraya melangkah keluar. Terkejut dengan saranan Izwan, Suria segera berdiri. Hatinya mula berharap. Apakah lelaki itu sudi memberinya maklumat? Dia berlari-lari anak cuba menyaingi langkah Izwan yang agak laju.

“Kat mana kereta kau?” Soal Izwan dengan wajah serius.

Suria menunjukkan ke arah tempat parkir untuk pelawat. Langkah Izwan terus menghala ke arah kereta gadis itu. Suria tiada pilihan lain, terpaksa mengekori sedaya upayanya. Tiba-tiba Izwan berhenti mendadak, membuatkan Suria tidak sempat mengelak. Dia tersembam di bahagian belakang lelaki itu. Jantungnya berdenyut kencang. Darahnya berderau sehingga ke muka. Menyedari di mana posisi tubuhnya, Suria cepat-cepat menghindar.

Izwan berpaling. Matanya merenung tepat ke wajah yang mulai merona merah di hadapannya. Dia hendak ketawa, tapi sedaya upaya dia cuba menahan diri. Kadangkala dia rasa lucu dengan perangai Suria yang agak kelam kabut.

“Kenapa kau berminat sangat dengan kes ni?” Tiba-tiba soalan itu singgah dari mulut Izwan. Suria terkedu.

“Dan jangan beritahu aku ini kerana tugas dan tanggungjawab kau sebagai wartawan. Aku tak nak dengar semua alasan mengarut tu.” Sambung Izwan lagi sambil bersandar pada badan kenderaan milik Suria.

“Aku memang berminat dengan kes-kes macam ni.” Akui Suria. Sememangnya itulah alasan terbaiknya. Sejak kecil dia sudah didedahkan dengan pelbagai misteri bersama ayahnya Baharom. Baharom juga mendidiknya agar pandai meneliti dan memanipulasikan setiap benda di sekelilingnya.

“Minat?” Izwan ketawa sinis. Lucu mendengar kata-kata gadis itu.“Minat saja tidak cukup untuk kau ke hulu ke hilir mencari maklumat yang sepatutnya dilakukan oleh pihak polis.” Bidas Izwan.

“Tapi aku boleh puji kau satu perkara.” Sambung Izwan lagi.

Suria memandang lelaki itu. Dahinya berkerut.

“Aku akui sebagai wartawan, kau memang cekap cari berita walaupun adakalanya sikap kau ni menyakitkan hati. Buat aku sebal.” Suara Izwan seakan menyindir. Suria tercengang.

“Itu pujian ke sindiran Tuan Izwan? Kalau kau nak alihkan perhatian aku pada kes ni, kau silap.” Pintas Suria. Izwan tergelak besar.

“Semuanya perfect kecuali sikap yang kurang penyabar tu.” Komen Izwan lagi. Suria menggumam geram. Bulat matanya memandang Izwan yang kelihatan selamba menuturkan kata-kata tak bermata.

“Can we just go straight to the point?” Suara Suria sedikit meninggi.

Izwan menatap gadis itu sambil tersengih. Mata Suria bersinar-sinar memandangnya. Dia tahu gadis itu semakin berang berhadapan dengannya.

“Pendapat kami, Masyitah memang mati dibunuh. Kemungkinan besar mangsa mati kerana kecederaan parah di leher. Dia kehilangan darah yang banyak. Tapi kami masih belum menemui sebarang bukti yang boleh menunjukkan siapa pelakunya. Itu saja yang aku boleh beritahu setakat ini.” Ujar Izwan kembali serius.

Suria terpempan. Dia masih ragu-ragu apakah kata-kata Izwan itu benar atau lelaki itu sengaja mereka cerita. “Langsung tak ada sebarang bukti?” Dahinya berkerut.

“Tak ada.” Ulas Izwan.

“Macamana dengan teori kanibal kau tu?” Suria melemparkan pertanyaan. Izwan tergelak besar.

“Kau kan berjaya mematahkan teori aku. Dah lupa ke? So kami terpaksa bermula dengan zero semula.” Jawab Izwan selamba.

“Bagaimana dengan pembunuh bersiri? Apa ia mungkin dilakukan oleh pembunuh bersiri? Aku dengar ada beberapa kes yang serupa beberapa bulan kebelakangan ini, tapi tak dihebahkan pada umum.”

Izwan tersenyum. “Kami tak pernah dengar pun tentang pembunuh bersiri tu. Aku rasa kau dah salah dapat maklumat.”

“Bagaimana dengan sesuatu kultus atau kumpulan ajaran sesat?” Tanya Suria lagi.

“Sekarang masih wujud kumpulan sebegitu?” Dahi Izwan berkerut.

“Di luar negara banyak kejadian macam ni berlaku kerana manusia terlalu taksub pada upacara pemujaan atau ritual agama. Kalau dulu binatang-binatang dikorbankan dan ditadah darahnya untuk dijamu pada jin-jin. Mungkin kes Masyitah ni pun sama.” Suria melahirkan pendapatnya.

“Look who’s talking right now.” Izwan mengeluh panjang. “Dengar sini Cik Suria Baharom. Jangan laporkan sebarang hasil yang kau sendiri tidak pasti kesahihannya. Ini bukan kes homisid yang biasa, kau faham tak? Dan jangan buat kesimpulan meluru dengan ritual atau sebarang upacara pemujaan yang kau katakan tu. Lagipun keluarga Masyitah sedang dalam proses untuk menuntut mayat dia. Selagi prosedur tu belum selesai, kita masih ada peluang untuk siasat apa sebenarnya yang berlaku.” Tegas Izwan.

“Kita?” Suria merenung lelaki itu dengan wajah keliru. Izwan terpegun. Menyedari dia tersalah sebut, dia segera mengalihkan matanya ke arah lain.

“Maksud aku pihak polis.” Dia membetulkan kata-katanya. Suria terdiam. Dia memandang jam di pergelangan tangannya. Hampir pukul sebelas malam. Dia memandang Izwan yang turut memandang ke arahnya.

“Dah lewat ni. Aku rasa kau patut balik sekarang.” Ujar Izwan.

Suria mengangguk lemah. Dia segera masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan. Sebelum kereta itu meninggalkan perkarangan kawasan PDRM itu, kepala Suria sempat menjengah ke arah Izwan.

“Wan, thanks for your cooperation.” Ucapan gadis itu membuatkan Izwan tergaman. Dia terpegun bukan kerana ucapan terima kasih itu, tapi kerana panggilan Suria terhadapnya. Selama ini hanya orang-orang terdekat dengannya sahaja yang memanggilnya dengan panggilan Wan. Dia memandang Suria. Gadis itu tersenyum memandangnya. Tak lama kemudian, kereta Suria mula bergerak meninggalkan perkarangan kawasan PDRM.

Izwan menarik nafas panjang. Entah apakah tindakannya berkongsi maklumat dengan gadis itu benar-benar langkah yang bijak atau sebaliknya? Dia termenung agak lama. Seketika kemudian bibirnya melemparkan senyuman. Entah kenapa tiba-tiba dia berasa senang dengan panggilan yang diucapkan dari bibir Suria. Wan? Dia ketawa kecil.

* * * *

Dia menarik keluar jaket yang dipakainya, lalu dicampakkan ke atas sofa. Destinasi utamanya ketika ini adalah peti ais. Sebotol air mineral dikeluarkan dari ruang simpanan peti ais lalu diteguk rakus. Hilang rasa dahaganya buat seketika. Dia menghempaskan tubuhnya yang keletihan di dada sofa. Remote control dicapai lalu dihalakan ke arah televisyen. Namun tiada siaran televisyen yang benar-benar menarik perhatiannya untuk ditonton.

Izwan bingkas bangun lalu menuju ke sebuah bilik kosong. Apabila lampu dipasang menerangi sebahagian besar bilik tersebut, matanya segera menatap ke arah berpuluh-puluh keratan akhbar dan gambar-gambar yang tertampal di dinding bilik itu. Sebahagian besarnya adalah keratan-keratan akhbar berkenaan beberapa orang gadis yang dilaporkan hilang sejak dua bulan yang lalu.

Izwan menarik keluar sekeping gambar bersaiz 4R lalu ditatap agak lama. Wajah Masyitah Kassim yang sedang tersenyum terpapar di hadapan matanya.Wajah manis itu kini pucat lesi tak berdarah dan sukar dikenalpasti. Dia teringat perbualan singkatnya dengan Doktor Ibrahim kelmarin ketika dia mengunjungi doktor itu di biliknya. Suara doktor itu terus-terusan melahirkan rasa terkejut. Dia pura-pura tidak mengerti, sedangkan semua ini sudah lama termaktub dalam pengetahuannya sejak mula-mula ditugaskan menyiasat beberapa buah kes berasingan dua bulan yang lalu.

“Keadaan ini memang tak pernah berlaku sepanjang saya menguruskan kes-kes seperti ini.” Akui Doktor Ibrahim. Dia terdiam mendengar bicara doktor forensik berusia dalam lingkungan 40an itu.

“Ini benar-benar pelik. Tenaga manusia biasa tak mungkin mampu menghasilkan kecederaan seperti ini. Kalau tuan tanya, saya benar-benar tak boleh memberi jawapan pasti tentang semua ini. Ditinjau dari aspek kekuatan, kesan koyakan ini biasanya hanya mampu dilakukan oleh binatang buas. Anehnya tidak ada DNA atau kesan air liur binatang buas ditemui pada mayat.” Keluh Doktor Ibrahim.

Izwan ralit membelek beberapa fail gadis-gadis yang dilaporkan hilang sejak beberapa bulan yang lalu. Kesemuanya berusia 20an dan masih muda. Dua gadis sebelumnya didapati meninggal di Kluang. Seorang lagi pula meninggal di Batu Pahat. Meskipun berbeza tempat, namun cara kematian semua mangsa adalah sama. Tubuh kesemua mangsa dirobek dan dicarik-carik sehingga sukar dikenalpasti. Dan mangsa kes ini sudah mencecah 4 orang sejak dua bulan yang lalu. Hanya yang berbeza, kali ini pembunuh itu mensasarkan mangsanya di Kuala Lumpur pula.

“Itu sebabnya saya tugaskan kamu untuk mengetuai siasatan, Izwan. Kamu adalah orang yang bertanggungjawab membuat penyiasatan terhadap kes kematian di Johor sejak dua bulan yang lalu. Modus Operandi pada setiap kes belum dapat dipastikan, tapi kes ni dianggap kes misteri. Sudah tiga orang meninggal dunia dalam keadaan yang aneh, namun kita masih belum dapat mengenalpasti punca utamanya. Orang atasan pun dah menekan saya agar kita cepat-cepat selesaikan kes ini.” Ujar pihak atasannya.

Izwan mengeluh. Hampir dua bulan lamanya dia cuba menjejak sebarang bukti baru yang boleh membawa kepada penyelesaian kes kematian gadis-gadis ini. Sudah hampir buntu kepalanya memikirkannya, namun sehingga sekarang dia masih samar-samar. Namun dia tahu, ada sesuatu yang aneh tentang kematian yang menimpa gadis-gadis itu. Selama menjalankan siasatan, mereka kekurangan bahan bukti kecuali kes yang terbaru ini seolah-olah memancarkan harapan baru padanya. Dengan adanya gambar-gambar yang dihantar kepada Suria, dia mula yakin ada seseorang menjadi dalang dalam kes ini atau lebih tepat lagi, seseorang yang paling tahu apa sebenarnya yang telah berlaku pada gadis-gadis itu. Tapi siapakah dia sebenarnya? Apakah dia pembunuh bersiri yang sedang mereka cari?

Izwan berjalan menuju ke biliknya. Jarum jam sudah menginjak pukul satu pagi. Dia mahu langsung tidur kerana keesokkan harinya dia perlu mengunjungi seseorang. Namun belum sempat dia mahu naik ke katilnya, dia terdengar satu bunyi keras menghentam ke arah tingkap biliknya

Bunyi hentaman di luar beranda biliknya membuatkan Izwan tergaman. Serentak dia mengambil pistolnya yang tersimpan di bawah bantal. Perlahan-lahan kakinya melangkah ke luar beranda. Tirai beranda yang menghalang pandangannya diselak. Dia menjenguk ke luar penuh berhati-hati. Namun dia tidak nampak sesiapa atau apa-apa yang mencurigakan di luar. Mungkin tikus agaknya! Fikir Izwan. Sebaik dia mahu beredar, matanya tiba-tiba terpandang satu bungkusan yang terdampar di atas lantai di balkoni bilik tidurnya.

Izwan tunduk lalu mengutip kertas yang dibalut pada sebiji batu. Dahinya berkerut. Dia pantas menuju ke tray beranda lalu menjenguk ke bawah. Malam yang gelap menyukarkan penglihatannya. Setelah yakin tidak ada sesiapa pun di situ, dia kembali memandang gumpalan kertas yang hampir terperonyok. Sebaik isi kertas dibuka dan dibaca, nafas Izwan berdegup lebih pantas. LUPAKAN KES INI ATAU KAU AKAN MENERIMA NASIB YANG LEBIH MALANG DARI GADIS-GADIS ITU.

Begitulah bunyi amaran yang tertera pada gumpalan kertas yang ditemuinya. Izwan menyandarkan tubuhnya pada dinding beranda. Dia kebingungan. Kenapa baru sekarang dia diberi amaran sedangkan kes-kes yang serupa sudah hampir dua bulan cuba dijejakinya? Dan apakah sebabnya pembunuh itu mahu menunjukkan dirinya sekarang, sedangkan selama ini setiap kes yang dijejakinya di daerah Kluang dan Batu Pahat di Johor sering menemui jalan buntu?

link

2 comments:

pipvz devil said...

wow..dah lme xbce cite mcm ni..Skali skale pe slhnye,1 cite y menarik..I like~mncabar,trcabar,dcabar..Fuuhhh..U mng da boom..

pipvz devil said...

wow..dah lme xbce cite mcm ni..Skali skale pe slhnye,1 cite y menarik..I like~mncabar,trcabar,dcabar..Fuuhhh..U mng da boom..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!