Followers

Monday, April 12, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 4

Hutan Simpan Air Hitam, Selangor-2008

Dia cuba mencelah di tengah-tengah keributan orang ramai yang berada di situ. Zaman yang mengikutnya dari belakang ditarik lebih dekat. Lelaki itu hanya mengekorinya tanpa banyak soal.

“Maaf, tepi sikit dik.” Pintanya pada halangan yang menanti seraya maju ke depan. Namun seorang lelaki berpakaian seragam menghalang.

“Maaf, ini kawasan larangan. Reporter tak boleh masuk.” Larang lelaki itu.

Suria memandang Zaman yang hanya menjongketkan bahu. Sejurus matanya berkalih menuju ke arah lelaki itu semula.

“Actually, do you know who I am?” Dia bertanya dengan nada sinis. Lelaki itu menatapnya tidak berkelip.

“Maaf Cik Suria, ini arahan orang atasan. Pegawai forensik tengah buat kerja mereka. Kami tak boleh benarkan orang luar menganggu.” Sahut lelaki itu. Suria mengeluh panjang. Entah bagaimana lagi dia mahu memujuk lelaki itu membenarkan dia mendekati kawasan itu.

Tiba-tiba matanya terpandang kelibat seseorang yang dikenalinya. Suria tersenyum simpul. Selesai satu masalah! Dia menjerit-jerit memanggil lelaki itu. Lelaki itu menoleh. Serentak lelaki itu menghalakan jari telunjuknya ke bibir, meminta gadis itu berdiam diri. Suria hanya tersengih.

“Suria, kau ni selalu buat aku serba salah, kau tahu tak?” Rungut lelaki itu sebaik gadis itu menyatakan hasratnya. Suria tertawa sambil menepuk bahu Haqimi.

“Itulah gunanya kawan Qimi. Kau tolong aku, aku tolong kau semula.”

“Hai sudahlah kes yang lepas, masak aku kena leter dengan ketua aku. Semuanya gara-gara kau siarkan berita fasal anak menteri tu sebelum sempat kami buat press conference.” Haqimi merungut.

“Itu aku tak sengajalah. Manalah aku tahu pihak polis nak buat statement fasal kes tu. Kau pun tak nak beritahu aku apa-apa. So, macamana dengan mayat tu? Siapa agaknya dia?” Soal Suria sambil mengerling ke arah Zaman.

Bagaikan mengerti apa yang dimahukan oleh Suria, Zaman segera bersedia dengan kameranya. Mereka ditugaskan untuk membuat liputan kawasan penemuan mayat yang ditemui tidak jauh dari kawasan hutan simpan Air Hitam di kawasan Puchong pada awal pagi itu.

Haqimi tidak terus menjawab. Dia memandang sekelilingnya seolah-olah mengawasi jika ada telinga-telinga yang menadah secara rahsia. “Kau dah lambat setengah jam. Mayat tu dah dibawa ke Unit Patologi Forensik HKL untuk bedah siasat.” Jawab Haqimi. Suria mengeluh panjang. Aduh! Tak sempatlah pulak, ini semua fasal van syarikat punya fasallah ni, keluh Suria.

“Siapa yang jumpa?”

“Ada sekumpulan renjer hutan buat latihan kat sini malam semalam. Kemudian mereka dengar satu jeritan. Sejam selepas itu, mereka terjumpa mayat tu terbujur berhampiran dengan sebatang pokok sena.”

“Pukul berapa mereka jumpa mayat tu?”

“Lebih kurang pukul 4.30 pagi tadi.” Jawab Haqimi. Lelaki itu tiba-tiba tersengih. “Kalau kau tengok keadaan mayat tu tadi, tentu kau takkan percaya.” Haqimi memandang Suria tidak berkelip.

Suria tergaman. “Maksud kau?”

“Yalah, wajah dia hancur berkecai. Susah pihak polis nak cam. Dan ada kesan luka yang besar dekat tengkuk dia seperti dirabak sesuatu. Mungkin juga kerja binatang buas.”

Suria terdiam. Dia memandang ke suatu arah. Beberapa pegawai penyiasat sedang mencari bukti-bukti fizikal di tempat kejadian. “Identiti mayat macamana?”

“Walaupun mukanya rosak teruk, tapi kami percaya mangsa tu perempuan dari pakaian yang dia pakai. Apapun kita kena tunggu pihak forensik buat post-mortem dulu.”

“Berapa lama?”

“Macam biasa. Paling cepat pun, sehari dua lagi baru kita tahu result.”

“Maksud kau, aku tak ada apa-apa isi untuk dilaporkan?”

Haqimi tersenyum. “Sorry Suria, aku tak boleh bagi maklumat dalaman selagi belum dipastikan. Tapi kalau report tu dah keluar nanti, insya allah..kau yang aku akan maklumkan dulu.” Sahut Haqimi. Suria hanya mengangguk.

“Pokok mana yang kau maksudkan tu? Boleh aku tengok?” Pinta Suria. Haqimi mengeluh. Mahu tak mahu dia menunjukkan ke suatu arah. Suria berpaling. Sebatang pohon besar yang agak rendang dan batangnya kelihatan membongkok, berdiri gagah menghadap ke arahnya.

“Mayat tu dihumban betul-betul di bawah pokok besar tu.” Ujar Haqimi separuh berbisik. Suria terdiam. Matanya masih menatap ke arah pokok yang dimaksudkan Haqimi. Haqimi tiba-tiba membalikkan tubuhnya, membuatkan Suria mengerutkan dahinya.

“Kenapa Qimi?”

“Kau nampak tak lelaki pakai jaket hitam tu?” Bisik Haqimi. Suria tercengang. Lelaki berjaket hitam? Perlahan-lahan dia memusingkan tubuhnya. Seorang lelaki sedang tercegat sambil memandang ke arah pokok yang sama. Namun dia tidak nampak wajah lelaki itu.

“Kenapa? Siapa dia?”

“Itu Chief Inspector Izwan dari Unit Siasatan Khas. Dia yang bertanggungjawab terhadap kes ni. Dan aku dengar dia baru ditukarkan ke mari dua bulan lepas. Dulu dia pernah berkhidmat dengan Interpol sebelum lanjutkan pelajaran. Rekodnya cemerlang.” Canang Haqimi.

Mata Suria bercahaya. Dia memusingkan badannya sedikit. Wajah lelaki itu masih tidak jelas. Namun dia sempat melihat kumis tidak kemas di wajah lelaki itu dari tepi. “He looks young. Berapa umurnya sampai dah naik pangkat jadi Chief Inspector?” Soal Suria ingin tahu. Matanya masih mengintai gerak geri lelaki itu dari jauh.

Haqimi menggeleng. “Entahlah. Tapi aku dengar dia baru tamat sarjana dalam bidang Pentadbiran Sistem Keadilan Jenayah di US. Sekarang ni dia jadi pensyarah sambilan di Maktab Diraja Polis di Kuala Kubu Baru.”

“Hmm. Brilliant man. I like that.” Suria tersenyum acuh tak acuh. Haqimi membeliakkan matanya besar-besar memandang ke arah Suria.

“Dengar sini Suria, kalau kau bertembung dengan lelaki tu, aku nak kau mengelak dari dia.” Sambung Haqimi pantas.

Suria tercengang. Serentak ketawanya meletus.

“Aku serius ni. Lelaki tu panas baran, dan dia bertanggungjawab mengetuai kes ni. Dan aku dengar dia paling tak suka dengan wartawan. So please, stay away from him.” Haqimi memberi amaran.

“So what kalau dia tak suka wartawan sekalipun. Aku pun macam dia, hanya menjalankan tugas.” Sahut Suria lalu menoleh. Tapi darahnya berderau sebaik terpandang sepasang mata mencerlung tajam ke arahnya. Dia segera membalikkan tubuhnya lalu memandang Haqimi.

“Qimi, dia dah pandang aku tu. Aku rasa baik aku dengan Zaman cabut dulu. Malam nanti aku call kau semula.” Ujar Suria lalu mengamit Zaman yang masih ralit memfokuskan lensa kameranya. Haqimi sekadar tersengih melihat gerak-geri Suria yang berlalu pergi dari situ. Tahu juga takut!

* * * *

“Penemuan satu mayat berhampiran Hutan Simpan Air Hitam di kawasan Puchong menimbulkan panik kepada sekumpulan renjer hutan dari Unit Rehabilitasi, Renjer Negeri yang sedang membuat latihan rekreasi di kawasan hutan terbabit malam semalam. Mayat yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah itu ditemui sekitar jam empat pagi tadi masa tempatan. Setakat ini identiti mayat masih belum diketahui. Pihak polis sendiri masih belum membuat apa-apa kenyataan rasmi tentang kes ini. Saya Suria Baharom melaporkan dari KZM News.” Dia tersenyum sesaat dua pada kamera Zaman, sebelum mula menjatuhkan mikrofon yang dipegangnya.

“Dapat?” Matanya dialihkan pada Zaman. Lelaki itu tersengih seraya mengangkat ibu jarinya. Kamera yang dipegangnya dibawa masuk ke dalam van.

“Tapi tak puas hatilah sebab tak sempat capture gambar mayat tu.” Keluh Zaman. Suria terdiam. Betul juga. Kalau dapat ambil gambar mayat tu, tentu Encik Akhbar lagi puas hati. Tidaklah dia asyik dileter bermacam-macam oleh ketuanya itu.

“Tak apalah Zaman, kita balik pejabat dulu. Nanti aku explain kat Encik Akhbar fasal tayar van kita yang pancit ni. Harap-harap dia percaya.” Suria mengeluh seraya memandang ke arah tayar van yang mereka naiki tadi. Entah kenapa, tayar itu tiba-tiba saja meletup di tengah jalan dalam perjalanan mereka ke mari. Mujurlah ada tayar ganti, kalau tidak sampai ke petanglah baru mereka sampai ke kawasan kejadian itu.

Sampai di pejabat, Suria terus melangkah ke unit berita. Beberapa teman-teman sekerjanya ditegur ramah. Melihat kehadiran Suria, Nora yang bekerja sebagai kerani di situ lekas-lekas bangun.

“Suria, Encik Akhbar suruh kau ke bilik meeting, ada mesyuarat tergempar kat sana.” Ujar Nora. Suria mengangguk lalu terus menukar haluan. Tapi terdetik juga rasa hairan di hatinya. Kenapa tiba-tiba saja nak bermesyuarat pada waktu begini?

Dia menguak daun pintu seluasnya. Bunyi keriutan pintu mengalih tumpuan wartawan-wartawan lain yang sudah pun menduduki sebahagian besar kerusi-kerusi di situ. Suria tersengih lalu dengan selamba melangkah masuk. Dia sempat mengerling ke arah Akhbar yang sedang memandangnya. Kerusi di sebelah Rohan ditarik keluar perlahan-lahan. Tubuh kecilnya dilempiaskan di samping Rohan.

“Baru balik Suria?” Suara Akhbar mencelah sebelum dia sempat duduk. Suria tergaman. Dia memandang Akhbar yang kelihatan serius memerhatikannya.

“Emm…baru balik Encik Akhbar.” Jawab Suria mengangguk.

“Tak mahu jelaskan pada saya kenapa berita terkini kita hari ni cuma ada gambar tempat kejadian? Kenapa tak ada gambar mayat yang dikatakan tu, sedangkan stesyen kita antara yang paling awal mendapat maklumat?” Soal lelaki itu. Suria mula terkedu. Aduh! Inilah yang dia paling malas bila berhadapan dengan lelaki berperut gendut dan hampir botak itu.

“Salah saya Encik Akhbar.” Jawab Suria sambil menjeling Rohan, Alan dan teman-temannya yang lain. Mata Akhbar membulat mendengar kata-katanya.

“Kenapa pula begitu?”

“Sebab saya tak sepatutnya pakai van stesyen TV kita yang dah buruk tu. Kalau saya tahu tayar van tu dah nak pancit, takkan saya nak bawa van tu ke hulu ke hilir lagi lepas ni.” Ujar Suria menyebabkan teman-temannya yang berada di dalam bilik mesyuarat itu tersenyum-senyum. Hendak melepaskan tawa secara terang-terangan, mereka semua tidak berani.

“Awak ni macam-macam hal Suria. Ada saja alasan.” Akhbar menggelengkan kepala. Kadang-kadang dia bingung dengan sikap Suria yang sering ambil mudah setiap perkara. Namun diam-diam diakui, meskipun sikap gadis itu bagaikan acuh tak acuh, tapi Suria antara wartawan lokasi yang paling cekap. Gadis itu juga pandai menjalin hubungan dengan pihak polis sehingga mudah mendapat apa saja maklumat yang dikehendakinya. Sebab itu Suria disayangi oleh pihak atasan di stesyen KZM.

“Okay, back to our meeting, tujuan saya panggil kamu semua bermesyuarat hari ni sebab saya nak maklumkan satu perkara. Kamu semua tentu dah tahu tentang Encik Kamaruddin yang akan bersara minggu depan kan? Jadi stesyen ini akan menerima pengganti baru Encik Kamaruddin untuk menduduki posisi Ketua Operasi Stesyen kita ni, selewat-lewatnya sehingga hari Rabu ini. Jadi saya harap semua staf-staf boleh menunjukkan dedikasi dan kerjasama anda pada ketua baru kita nanti.” Ucap Akhbar.

Suria menelan liur. Ketua operasi yang baru? Harap-haraplah sebaik Encik Kamaruddin yang sangat ramah dan mudah tersenyum itu. Jika dapat yang garang, dah tentu dia yang akan menerima bahana nanti.

“Siapa yang akan datang nanti Encik Akhbar?” Soal Umaira sebelum sempat Suria membuka mulut.

“Saya sendiri tak pasti, tapi setahu saya beliau anak Dato’ Hamdan yang baru balik dari luar negara. Mungkin dia orang baru bagi kita semua di sini, tapi dia pernah berkhidmat dengan BBC selama tiga tahun.” Ujar Akhbar.

BBC? Wah hebat tu! Suria tersengih sendirian. Namun senyumannya mati sebaik terasa kakinya ditendang. Samdol betul! Siapa punya kerja ni? Dia menoleh. Alan tersengih memandangnya.

“Suria, kita keluar dinner malam ni nak?” Bisik Alan, pemuda Tionghua yang sememangnya fasih berbahasa melayu. Suria sekadar menjeling lelaki itu. Rohan di sebelah kirinya tertawa kecil. Lucu mendengar pelawaan Alan yang tidak pernah serik memikat Suria sejak lelaki itu bertukar ke Unit Berita setahun yang lalu.

“Bolehlah ya Suria?” Pinta Alan lagi seolah mengharap. Suria tergelak kecil.

“Alan sayang, maaf banyak-banyaklah. Tugas macam aku ni yang selalu cari berita kat sana sini, cuma sesuai makan burger dalam kereta saja. Dinner-dinner ni semua aku tak main. Tak ada masa.” Usik Suria. Rohan tergelak kecil.

“Apalah kau ni Suria, sian apek kita ni. Eloo kawan, asyik nak pasang jerat saja? Habis amoi-amoi yang kat luar tu mana perginya?” Bisik Rohan. Alan segera memasamkan mukanya. Suria tergelak kecil. Terasa lucu dengan telatah teman-teman pejabatnya.

pic source : link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!