Followers

Wednesday, May 5, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 8

Panas hatinya dibawa sehingga ke pejabat. Izwan merengus keras sebaik memasuki pintu biliknya, menyebabkan beberapa staff bawahannya menoleh. Hairan melihat wajah baran yang terpamer di wajah ketua mereka.

Tubuhnya disandar ke dada kerusi. Ingatannya kembali menerjah pada wajah manis yang agak sinis mengeluarkan kata-kata. Siapa perempuan itu sebenarnya? Orangnya kecil molek, tapi agak berani menentangnya. Izwan menarik nafas. Kalau bukan kerana kata-kata gadis itu, sudah pasti dia akan dapat apa yang dimahukannya. Dia benar-benar pasti gadis itu menyorok sesuatu dari pengetahuannya.

“Tuan, ini laporan penuh situasi tempat kejadian kelmarin.” Seorang lelaki menjenguk masuk ke dalam pintu biliknya yang sedikit renggang. Dia menoleh. Wajahnya mencuka.

“Kurt, berapa kali saya nak pesan? Kalau nak masuk, ketuk pintu dulu.” Keluh Izwan. Kordi tersengih seraya melangkah masuk.

“Sorry tuan, tak sengaja.”

“Laporan forensik dah keluar?” Soal Izwan.

“Belum tuan. Kata mereka, paling lewat tengahari esok baru kita boleh dapat laporan tu. Tak ada rekod apa-apa tentang perempuan tu. Identitinya pun kita tak tahu siapa.” Keluh Kordi.

“That’s why we need DNA profile. Cuba dapatkan laporan pergigian mayat tu dan cuba bandingkan dengan data pengkalan untuk orang hilang.” Arah Izwan.

Kordi mengangguk. “Dah diuruskan, tuan.” Kordi berpaling mahu pergi. Tapi sebelum sempat lelaki itu menghilang, nama Kordi diseru semula. Lelaki itu mengerutkan dahinya.

“Hmm Kurt, awak ada kenal seorang wartawan tak? Namanya kalau tak salah…Su…Su…Suria agaknya.” Izwan cuba mengingatkan.

“Suria Baharom?” Kordi memintas pantas.

Izwan terperanjat. Nama yang baru meluncur dari bibir Kordi membuatnya tergaman seketika. Kordi pun tahu?

“Kenapa tuan tiba-tiba tanya fasal Cik Suria?” Kordi tersenyum-senyum sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

“Saja saya nak tahu. Siapa dia tu?”

“Tuan tak kenal siapa dia? Peliknya. Satu Malaysia kenal dia, takkan tuan tak kenal.” Kordi menggaru kepala tidak gatal.

“Kurt, saya baru balik ke Malaysia dua bulan yang lalu. Macamana saya nak kenal dengan dia. Lagipun popular sangat ke dia tu?” Izwan mencebik.

“Hehe, betul juga. Cik Suria tu wartawan jenayah stesyen KZM. Dia selalu bantu pihak polis selesaikan beberapa kes, kadang-kadang dia ikut sekali bila ada operasi tangkapan atau serbuan dibuat. Ayah dia Baharom Amin dulu bekas CID, sekarang dia buka agensi penyiasatan yang mewakili badan-badan guaman. Mereka pernah bekerjasama dengan polis, selesaikan satu kes pembunuhan yang melibatkan seorang ahli perniagaan berpangkat Tan Sri dua tahun lalu.” Cerita Kordi bersungguh-sungguh.

“Pendek kata Cik Suria ni memang wartawan hebat. Dia tak kisah ikut pihak polis berjam-jam lamanya buat tangkapan, semata-mata nak dokumentasikan kerja polis. Sebab tu kebanyakan pegawai polis memang kenal rapat dengan dia. Lagipun dia ada sokongan yang kuat dari ASP Razlan dari Homisid Department.” Sambung Kordi lagi.

Izwan terdiam. Betulkah dia begitu hebat sehingga dapat menjalin hubungan baik dengan polis, atau Kordi sengaja melebih-lebih? Namun Izwan tidak memberi sebarang komen.

“Tak apalah Kurt, awak boleh keluar dulu.” Suruh Izwan. Kordi mengangguk lalu segera melangkah keluar.

Sepeninggalan Kordi, Izwan termenung panjang. Mengingatkan kata-kata gadis itu, entah mengapa dia tersenyum sendiri. Padanlah aku kalah juang. Rupa-rupanya lawan aku tu anak bekas polis. Dan tentulah anak seorang bekas polis yang kini berkhidmat dengan badan undang-undang, wartawan jenayah pula, lebih mahir dengan sistem undang-undang berbanding orang biasa. Izwan ketawa kecil tanpa disedari.

* * * *

Dia mengusik cawan kopi yang masih berbaki. Lelaki yang duduk berhadapan dengannya terus merenungnya tidak mahu lepas. Izwan mengalihkan matanya. Dahinya berkerut menyedari pandangan mata lelaki yang hampir beruban di kepala itu masih di wajahnya.

“Ada sesuatu yang tuan nak beritahu saya?”

Lelaki itu ketawa lalu menggeleng. Cawan kopinya diambil lalu diteguk. “Dah dua bulan Wan kat sini. Macamana, dah rasa biasa sikit kat sini?”

“Maksud tuan?” Dia semakin keliru.

“Well you know, keadaan kat sini. Dah berapa tahun Wan tak balik ke mari?”

Izwan terdiam. Dia menarik nafas panjang lalu cuba menghitung. “Lebih kurang lima tahun rasanya.” Jawab Izwan lambat-lambat. Dia sendiri tidak pernah mahu mengira waktu yang ditinggalkannya dulu.

“Semuanya dah berubah bila Wan ambil keputusan tinggalkan kami dulu. Mama kamu sedih sangat ketika itu. Rumah kami dah jadi muram bila Wan tak ada,” keluh Dato’ Rafar.

“Maaf tuan, saya serba salah.” Sahut Izwan berterus-terang.

“Semua orang tahu Wan. Dan semua orang mengerti keadaan Wan. Tapi kita tak boleh ubah keadaan. Kami cuma ada dua anak. Bila seorang dah pergi, kami juga tak mahu kehilangan anak kami yang lain.”

Izwan memandang Dato’ Rafar.

“Kami masih anggap Wan menantu kami.” Sambung Dato’ Rafar berterus-terang. Izwan terdiam. Sukarnya dia mahu berbicara, meluahkan perasaan. Sepanjang hidupnya selama di rantau orang, dia sentiasa cuba untuk tidak membicarakan perasaan hatinya, kisah hidupnya.

“Tuan, kalau boleh saya minta izin untuk teruskan perbincangan kita tentang kes baru tu.” Ujar Izwan perlahan. Cuba mengalihkan topik perbualan yang berat hati mahu diteruskan.

Dato’ Rafar terdiam. Dia memandang lelaki itu agak lama. Wajah Izwan kelihatan serius. Dato’ Rafar tahu, sejak dulu Izwan sentiasa cuba mengelak diri. Kesedihan yang terpancar di mata lelaki itu tidak pernah mahu dikongsi bersama.

“Kenapa dengan kes baru tu?” Dia kembali melayan kata-kata Izwan.

“Profail kes ni agak sama dengan beberapa kes sebelum ini yang berlaku di Johor. Cara kematian, luka pada badan mangsa…segalanya ada persamaan.” Ujar Izwan. Dia menghulurkan selembar fail sederhana tebal ke arah Dato’ Rafar. Lelaki itu menyambutnya lalu membelek-belek sejenak. Sejurus mata lelaki itu sudah membuntang ke arahnya.

“Do you think that..?” Dato’ Rafar seakan terkejut.

Izwan mengangguk. “Kalau kes ni benar-benar ada kaitan dengan kes-kes sebelum ni, jadi kita kena ambil tindakan segera tuan.”

Dato’ Rafar termenung panjang. “Macamana dengan unit forensik?”

“Ini yang jadi masalah. Pakar forensik tu orang baru. Doktor Ibrahim, salah seorang pegawai perubatan dari Unit Patologi HKL. Actually the body should be refer to us immediately, but I don’t think it will cost any major problem. Saya akan berbincang dengan Doktor Ibrahim.” Ujar Izwan bersahaja.

“Apa cadangan Wan?”

“Pertama kita tunggu laporan forensik keluar dulu. Dan kalau tanggapan saya benar, tuan kena maklumkan perkara ni segera pada KPN dan pegawai-pegawai operasi yang lain.” Sambung Izwan.

Dato’ Rafar mengangguk. Dia faham. Sejak kes pertama dikesan di Johor, Izwan sudah ditugaskan untuk membentuk pasukan sendiri. Malah Ketua Polis dan Bahagian Risikan juga mengambil berat tentang kes ini. Kes yang mencetuskan kegemparan di kalangan penduduk-penduduk di sebuah daerah di Johor beberapa bulan yang lalu.

“Berapa peratus keyakinan kamu yang kes ni sama seperti kes beberapa bulan yang lalu?” Dato’ Rafar memandang lelaki itu. Dia mahukan jaminan sebelum dia membawa kes itu kepada penglibatan peringkat atasan.

“Saya yakin tuan.” Tegas Izwan. Dato’ Rafar menarik nafas panjang.

“Ayah akan terangkan perkara ni pada KPN dan E6 dulu.” Ujar Dato’ Rafar.

“Terima kasih tuan. Kalau tak ada apa-apa, saya nak minta diri tuan.” Izwan bingkas bangun sambil mengangkat tabik hormat pada lelaki itu.

“Izwan, join kami makan malam hujung minggu ni? Mama kamu minta ayah tempah restoran, katanya dia rindukan kamu. Care to join us?” Pinta Dato’ Rafar. Kembali kepada perbualan yang tidak sempat habis sebentar tadi.

Izwan terdiam. Tidak tahu apakah jawapan yang harus diberikannya.

“Please Izwan, mama kamu berharap sangat.” Pujuk Dato’ Rafar lagi. Melihat wajah lelaki itu begitu bersungguh-sungguh, Izwan tidak sampai hati. Akhirnya dia mengangguk. Wajah Dato’ Rafar bertukar ceria. Tak sia-sia dia bertemu lelaki itu hari ini. Izwan masih sudi makan bersama mereka sekeluarga.

“Di mana?” Soal Izwan.

“Nanti malam esok, ayah hubungi kamu lagi.” Balas Dato’ Rafar gembira. Izwan sekali lagi mengangguk. Dia tunduk hormat seketika, lalu mula melangkah keluar dari pejabat itu. Sampainya di hadapan pintu, matanya mengerling ke arah namatag yang tertulis di dada pintu. SAC 2, Dato’ Rafar Maarof.

Dato’ Rafar masih di kerusinya, tidak bergerak. Dia termenung panjang seolah memikirkan sesuatu. Entah kenapa, kemunculan Izwan selepas lima tahun memang menyukarkan keadaan rumahnya. Isterinya orang yang paling gembira. Tapi dia sendiri pula bagaimana? Gembirakah aku kerana lelaki itu sudi pulang jua akhirnya. Bertahun aku memujuknya, kini dia pulang hanya demi tugas. Tidakkah dia ingin pulang semata-mata kerana Rauda? Fikiran Dato’ Rafar membekam.

Dia mengerling ke arah meja kerjanya. Sebingkai potret sederhana besar sentiasa terletak di atas meja. Wajah seorang gadis manis di dada potret sering menjadi penyeri dan hiasan mejanya. Menjadi penghibur dan pengubat sebuah kerinduan yang selalu datang tanpa diundang. Rauda, ayah terlalu rindukan kamu! Dan sekarang suami kamu juga sudah pulang ke sini! Kita sekeluarga sudah berkumpul kembali! Bisik Dato’ Rafar dalam kesedihan.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!