Followers

Thursday, October 14, 2010

Hujan Rindu : Bab 21

Yuzer tak putus-putus membelek jam tangannya. Sejak satu jam yang lalu, dia asyik berjalan mundar mandir di hadapan adik-adiknya. Perasaannya berkecamuk, tidak keruan. Perbagai persoalan menerpa serentak ke benaknya, tapi satupun gagal diungkap. Sesungguhnya dia teramat bimbangkan keselamatan Anum Dahlia yang tidak pulang-pulang sejak petang. Kata Zurin, Anum Dahlia keluar berjumpa kawan. Tapi kawan yang mana? Itulah yang membuatkan hati Yuzer jadi tidak tenang.

“Mana dia pergi ni?” Rungut Yuzer sambil mengerling ke arah jam di tangannya. Hampir pukul 9.30 malam. Takkan tak balik-balik lagi?

“Zurin, betul dia kata nak balik awal?” Soal Yuzer pada Zurin yang nampak gelisah. Anak gadis itu hanya mengangguk.

“Agaknya ada sesuatu berlaku tak?” Sampuk Zaza yang asyik memujuk Zurin yang hampir mahu menangis.

“Semua ni salah Zurin. Kalau Zurin ikut Kak Anum tadi, tentu tak ada apa-apa berlaku,” ujar Zurin menyalahkan dirimya sendiri. Airmatanya sudah jatuh berlinang di pipi. Dia benar-benar keresahan kerana kehilangan jejak Anum Dahlia yang entah ke mana perginya. Ya Allah! Janganlah apa-apa yang buruk menimpa kak Anum, doa Zurin tidak henti-henti.

Yuzer memandang adiknya. Keluhan demi keluhan yang keluar dari mulut Zurin tidak berguna, dibandingkan dengan resah di hatinya yang kian bertaut. Bagaimana kalau betul ada sesuatu yang buruk berlaku pada Anum? Apa yang mahu dijawabnya pada Tok Anjang dan Nek Jah? Lagi teruk, bagaimana dia mahu menjawab pada ibubapa Anum Dahlia di luar negara?

Sudahlah hajatnya terkubur begitu sahaja mahu mengajak gadis itu makan malam bersama adik-adiknya di luar. Malah sudah acapkali juga Emir menelefonnya dari luar. Memang dia sudah berjanji untuk mengajak Emir sekali, namun entah apa malang nasibnya hari ini, kelibat Anum Dahlia tak kunjung pulang sejak petang sehinggalah malam menjelma.

“Abang, kita report polis?” Rengek Zurin.

“Hish mengarutlah Zurin ni. Orang tu hilang tak sampai pun 24 jam, mana boleh report polis,” sanggah Zaza, tidak bersetuju dengan cadangan Zurin.

Yuzer hanya diam. Puas otaknya diperah untuk mencari jalan penyelesaian. Pening kepalanya memikirkan ke mana Anum Dahlia menghilangkan diri. Bukannya gadis itu kenal siapa-siapa di sini.

Yuzer mengetapkan bibir. Entah mengapa angin selatannya tiba-tiba memuncak. Dia jadi berang dengan kerenah Anum Dahlia yang dirasakannya menyusahkan mereka semua.

“Zurin, Anum tak ada telefon ke rumah?”

Zurin memandang abangnya. Sejurus kemudian dia menggelengkan kepala.

“Telefon bimbit?”

“Mana kak Anum ada abang. Selama ni Zurin tak pernah nampak pun Kak Anum pegang handset.” Balas Zurin.

“Hai kata datang dari US, dunia serba moden. Takkan handset pun tak ada,” rungut Yuzer entah pada siapa. Dia naik geram bila memikirkan soal Anum Dahlia. Zurin teresak-esak menangis.

Zaza pula hanya diam. Malas dia mahu ikut campur, apatah lagi menyedari Yuzer dalam keadaan marah. Biarpun begitu terselit juga rasa hampa di hatinya kerana tidak dapat keluar makan bersama Emir.

“Apa patut kita buat bang?” Tanya Zurin lagi.

“Hai nak buat apa lagi, tunggu ajelah sampai dia balik,” getus Yuzer geram.

“Kalau kak Anum tak balik juga?” Airmata gadis itu semakin merembes laju. Yuzer jadi terkedu dengan kata-kata Zurin. Fikirannya menerawang jauh. Bagaimana kalau benar-benar Anum Dahlia tidak balik malam ini? Apa patut aku buat?

Haruskah dia menelefon ke kampung memberitahu Tok Anjang dan Nek Jah perihal Anum Dahlia yang hampir sepuluh jam menghilangkan diri? Ah! Serentak Yuzer menggelengkan kepala. Tak sampai pula hatinya mahu membimbangkan kedua orang tua itu di kampung. Fikirannya masih waras. Dia tidak mahu membebankan fikiran kedua orang tua itu. Anum Dahlia pun satu, kalau dah tahu balik lambat..takkan tak reti-reti nak menelefon ke rumah memberitahu mereka sepatah dua kata, getus hati kecil Yuzer sedikit geram.

* * * *

Resah hati Anum Dahlia berpanjangan apabila melihat Hakimi bersusah payah menukar tayar kereta yang tiba-tiba pancit di tengah-tengah lebuhraya Kesas. Sudahlah kereta-kereta lain berderet di jalanan, tapi tidak ada satu pun yang sudi membantu mereka. Mulanya dia ingin menahan teksi, namun serba salah juga dia mahu meninggalkan Hakimi sendirian di situ. Mahu tak mahu Anum Dahlia bersabar menanti Hakimi selesai menukar tayar kereta.

“Kimi, lambat lagi ke?” Tanya Anum Dahlia.

“Sikit lagi Anum, sekejap lagi siaplah.” Ujar Hakimi sambil mengesat peluh. Entah apa malangnya nasib mereka hari itu, tiba-tiba sahaja tayar keretanya pancit di tengah-tengah kesibukan kenderaan yang lalu lalang.

Anum Dahlia memandang pergelangan tangannya. Sudah pukul 10.00 malam. Bermakna sudah hampir dua jam mereka berada di situ. Entah apa sudah jadi dengan makan malam yang sepatutnya dihadirinya bersama Yuzer dan Zurin. Teringatkan Yuzer, entah kenapa hati Anum Dahlia jadi kecut. Dia bagaikan boleh membayangkan raut wajah anak muda itu yang seperti singa lapar, sedang bersiap sedia menerkam ke arahnya. Tentu Yuzer naik marah jika sampai sekarang aku tidak muncul-muncul lagi di apartmentnya! Detik hati kecilnya.

Dia memandang Hakimi yang masih bersusah payah. Sepatutnya menukar tayar kereta tidaklah sampai selama ini. Dia pernah melihat sendiri babanya menukar tayar kereta yang pancit, tapi hanya memakan masa tidak sampai setengah jam. Namun melihat Hakimi yang berhempas pulas, dia yakin anak muda itu tidak berapa arif cara-cara menukar tayar ganti.

“Err Kimi, awak ada telefon bimbit tak?” Tanya Anum Dahlia.

“Ada kat dalam kereta. Anum nak telefon siapa?” Hakimi berpaling ke arahnya.

“Saya nak beritahu orang kat rumah yang saya lambat,” jawab Anum Dahlia jujur. Dia masuk ke dalam kereta sendirian. Sekejap saja dia menemui telefon bimbit Hakimi yang terperosok di celah-celah dashbox.

Dia mula menekan nombor satu persatu dalam keadaan berdebar-debar. Lantaklah kalau kena marah sekalipun, dia tetap akan menerima semua sumpah seranah dari Yuzer. Sememangnya dia salah. Salah kerana terlalu lama berada di rumah auntie Linda sehingga melalaikan masa. Lupa tentang janjinya dengan Zurin untuk balik awal.

“Hello!” Anum Dahlia sabar menanti, Seketika kemudian, dia terdengar suara Zurin berteriak.

“Kak Anum, kakak kat mana ni? Kami semua risau.”

Belum sempat Anum Dahlia mahu membalas, dia terdengar bunyi bising. Seketika kemudian suara Yuzer pula terdengar di talian.

“Hello Anum, awak di mana sekarang ni?” Suara itu kedengaran serius.

Anum Dahlia tergaman. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakannya pada lelaki itu.

“Anum, awak dengar tak ni?” Suara Yuzer mula bernada keras.

“Saya….saya dah dalam perjalanan balik,” entah mengapa dia berbohong pada lelaki itu. Tak tahu kenapa, gementar hatinya tiba-tiba singgah sebaik mendengar suara Yuzer.

“Awak kat mana ni? Saya datang ambil.” Seru lelaki itu. Anum Dahlia tergaman. Nak ambil aku? Biar betul ni…

“Tak..tak payahlah Yuzer. Saya dah nak balik,” Ucap Anum Dahlia, sedikit gugup. Tanpa disedari, dia mematikan talian. Entah mengapa dia bimbang mahu berbual lama-lama dengan Yuzer. Bimbang dia diasak dengan pelbagai pertanyaan dari lelaki itu

“Damn it!” Gagang telefon dihempas kasar oleh Yuzer. Dia merenung jarum jam yang sudah menunjukkan pukul 10.00 malam. Memanglah jika diikutkan malam masih muda, tapi bagi Anum Dahlia yang keluar entah dengan siapa, itulah perkara yang cukup merisaukan Yuzer.

“Macamana bang? Kak Anum kat mana?” Zurin yang masih setia di sisinya bertanya. Gadis itu sudah tidak sabar ingin tahu. Yuzer tidak menjawab, sebaliknya dia beredar ke arah sofa lalu menghempaskan tubunya di situ. Zurin terkebil-kebil memandang gelagat si abang. Hatinya menderam geram. Bingung kerana pertanyaannya dijawab dengan sikap sambil lewa lelaki itu.

“Abang, Zurin tanya ni. Kenapa abang diam aje ni?” Getus Zurin sedikit meradang. Pandangan Yuzer tiba-tiba menjunam ke wajah adiknya. Tajam.

“Boleh tak kalau Zurin duduk diam-diam kat situ. Abang dah cukup serabut ni. Janganlah Zurin nak tambahkan serabut dalam kepala abang ni.” Herdik Yuzer keras. Zurin terpegun. Serta merta lidahnya jadi kelu.

“Zurin…..Zurin cuma bimbangkan kak Anum.”

“Habis, Zurin ingat abang ni tak bimbang?” Jerkah Yuzer. Puas hatinya dapat melepaskan apa yang terbuku di hatinya pada Zurin. Gadis itu terdiam seribu bahasa. Tak disangka-sangka, Zurin angkat kaki lalu segera meninggalkan ruang tamu menuju ke biliknya. Tak lama kemudian berdentum bunyi pintu dihempas agak kuat. Yuzer memanjangkan lehernya. Bibirnya melepaskan keluhan berat. Huh, sikit-sikit nak merajuk. Keras kepala betul si Zurin ni, rungut Yuzer sedikit berang.

* * * *

“Maaf sebab menyusahkan Anum,” ucap Hakimi selepas menghantar anak gadis itu di hadapan pagar apartment 15 tingkat itu. Dia ingin menghantar Anum Dahlia sehingga ke atas, tapi gadis itu tidak mengizinkan.

“Tak apa-apa, malang tak berbau. Kat mana-mana pun boleh berlaku. Nasib baik awak tahu juga menukar tayar tu. Kalau nak harapkan saya, sampai pagi esok pun tak sudah-sudah lagi.” Balas Anum Dahlia.

Hakimi tertawa pulas. Bunyi cakap Anum Dahlia bagaikan menyindirnya. Dia tahu dia agak lemah dalam soal menukar tayar kereta. Kalau lelaki lain, tentu kata senang. Tapi bagi dia yang setiap sebulan sekali menghantar keretanya untuk ‘double-checked’ di bengkel, tugas itu tidak diambil berat sangat selama ini.

“Thanks Kimi sebab hantar saya balik,” ucap Anum Dahlia setelah turun dari kereta. Hakimi mengangguk lalu tersenyum. Tak lama kemudian, kereta lelaki itu mula bergerak meninggalkan perkarangan kawasan apartment itu.

Agak lama juga Anum Dahlia tercegat memerhatikan kereta Hakimi yang semakin hilang kelibatnya. Dia menarik nafas panjang. Selesai satu masalah, satu masalah lain pula menantinya di atas. Kepalanya didongakkan memandang ke arah apartment Yuzer yang terletak di tingkat 4. Melihat lampu di dalam apartment itu masih terpasang, serta-merta kepala Anum Dahlia terasa sedikit pusing.

Sebaik membuka pintu di hadapannya, Anum Dahlia terasa regangan pada dada pintu yang dikuaknya. Dia tergaman memandang kelibat Zurin yang sudah tercegat menantinya di situ. Melihat Anum Dahlia, Zurin segera menerpa lalu memeluk gadis itu. Anum Dahlia tercengang.

“Zurin, kenapa ni?” Tanya Anum Dahlia agak bimbang. Wajah Zurin kelihatan sembab dengan sisa-sisa airmata.

Anum Dahlia terpandang seorang gadis manis di sisi Zurin. Dia mengerutkan dahinya. Siapa dia? Sejurus kemudian dia baru teringatkan Zurin masih mempunyai seorang kakak bernama Zaza.

“Kak Anum kan?” Tegur Zaza.

Anum Dahlia mengangguk. “Zaza?”

Anak gadis itu turut mengangguk. Wajahnya kelihatan ceria mendengar Anum Dahlia menyebut namanya.

“Dah banyak kali Zurin cerita fasal kak Anum, baru sekarang boleh jumpa. Tak sangka kak Anum ni cantik orangnya. Patutlah ada orang marah sangat,” ucap Zaza sambil tersengih nakal. Anum Dahlia terpinga-pinga, tidak mengerti maksud gadis itu.

Mengingati Yuzer, tiba-tiba sahaja dia kecut perut. Liar matanya mengintai kelibat Yuzer, namun batang hidungnya langsung tidak kelihatan.

“Abang ada kat dalam bilik. Dari tadi dia tak keluar.” Bisik Zurin bagaikan tahu apa yang dicari oleh Anum Dahlia.

“Zurin rasa baik kak Anum masuk bilik sekarang. Angin abang tu tengah tak baik. Karang abang tu keluar, bukan dia kira siapa, semua dibantainya.” Sambung gadis itu lagi. Cepat sahaja tangannya menarik lengan Anum Dahlia menghelanya ke dalam bilik. Zaza turut mengekori kedua-duanya.

Tapi belum sempat mereka mahu melarikan diri ke dalam bilik, tiba-tiba pintu bilik Yuzer terkuak. Lelaki itu melangkah keluar.

Melihat Anum Dahlia, mata Yuzer singgah tajam ke arah gadis itu. Anum Dahlia sudah mula kecut perut. Dia memandang ke arah Zurin dan Zaza yang saling berpandangan.

“Baru sekarang jumpa jalan pulang?” Sindir Yuzer sinis. Anum Dahlia terdiam. Dia tahu dia salah. Dan dia tidak berniat mahu membela dirinya sendiri.

“Zaza…Zurin…pergi masuk dalam. Tidur. Abang nak bercakap dengan Cik Anum kita ni.” Arah Yuzer serius. Zurin mahu membantah, tapi Zaza lebih pantas bertindak. Dia segera mengheret tubuh Zurin lalu mendorongnya ke dalam bilik. Tinggal Anum Dahlia sendirian menghadapi Yuzer.

Melihat Anum Dahlia diam sahaja, perasaan Yuzer semakin terbakar. Hatinya semakin panas. Dia merenung gadis di hadapannya tidak berkelip. Perasaan bimbangnya sebentar tadi kini bertukar jadi berang dengan sikap Anum Dahlia yang seolah-olah enggan membela diri.

“Perlu saya tanya awak ke mana atau awak nak beritahu saya sendiri?” Soal Yuzer dingin. Anum Dahlia mendongakkan wajahnya. Matanya bersambung pandang dengan renungan Yuzer yang jelas menggetarkan hatinya.

“Saya ada hal.” Jawab Anum Dahlia ringkas.

“Hal yang penting barangkali sehingga dah lupa nak balik ke rumah.” Sindir lelaki itu lagi. Anum Dahlia menggumam geram. Dia rasa sakit hati, tapi sedaya upaya dia cuba bersabar.

“Saya memang betul-betul ada hal tadi. Tapi kalau awak tak percaya, terpulang. Saya tak fikir saya patut jelaskan segala-galanya pada awak. Lagipun saya bukan adik perempuan awak yang boleh awak kawal setiap masa.” Balas Anum Dahlia sedikit lancang. Hatinya bergetar hebat sewaktu menuturkan kata-kata itu. Sejurus dia rasa menyesal pula mengeluarkan kata-kata sebegitu, tapi apa boleh buat. Terlajak kata sukar mahu diundur kembali.

Wajah Yuzer jelas berubah sewaktu mendengar untaian kata-kata Anum Dahlia. Hatinya membekam. Perasaannya diserbu rasa marah. Wajah anak gadis itu dipandang tidak berkelip.

“Awak memang bukan adik perempuan saya. Dan saya bersyukur sebab awak bukan adik saya. Sebab jika awak adik saya, dah lama penampar saya ni naik ke pipi awak yang licin tu.” Sahut Yuzer keras. Anum Dahlia tersentak. Wajah merah padam Yuzer dipandang dengan hati mendidih. Dia benar-benar rasa dangkal dengan sikap Yuzer kali ini.

Tanpa sebarang bicara, Anum Dahlia segera meninggalkan lelaki itu lalu menghilang ke dalam bilik. Pintu bilik dikatup rapat-rapat. Dan kali ini airmatanya mengalir tanpa disedari. Entah mengapa dia rasa sedih mendengar kata-kata Yuzer yang melukakan hatinya. Zurin dan Zaza yang turut berada di dalam saling berpandangan sesama sendiri.

Perlahan-lahan Zurin menghampiri Anum Dahlia lalu memeluk gadis itu. “Maafkan Zurin kak Anum, Zurin yang salah. Sepatutnya Zurin temankan kak Anum, baru abang tak marah-marah.” Bisik gadis itu. Rangkulannya sengaja dieratkan. Anum Dahlia tidak bersuara. Kesedihan hatinya sedaya upaya cuba ditahan. Dia tidak mahu terlihat lemah di hadapan kedua-dua gadis itu. Dan yang paling penting dia tidak mahu jadi lemah di hadapan Yuzer sendiri. Tahan Anum! Bertahanlah untuk mama!

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!