Followers

Saturday, September 11, 2010

Hujan Rindu : Bab 13

Sepanjang petang Anum Dahlia adalah antara orang yang paling sibuk membantu persiapan kenduri arwah di rumah itu. Sekejap-sekejap dia membantu mengupas bawang, selepas itu dia berkejar pula membantu mengasingkan antah dari beras. Setiap kerja dilakukan tanpa rasa kekok.

Sesekali kedengaran Anum Dahlia rancak berborak dengan Zurin yang dari pagi turut sama membantu. Nek Jah yang sesekali memerhatikan kedua gadis itu cuma tersenyum. Entah mengapa dia senang benar melihat antara Anum Dahlia dan Zurin, terjalin satu ikatan yang cukup mesra.

“Anum, boleh tolong makcik Zue kamu goreng ayam kat bawah tu,” laung Nek Jah dari luar rumah.

“Boleh nek, sekejap nanti Anum turun.” Balas Anum Dahlia. Dia memandang Zurin yang masih dengan beras.

“Zurin, kakak nak ke luar. Zurin siapkan kerja di sini ya.” Suruh Anum Dahlia. Anak gadis itu hanya mengangguk tanpa banyak soal.

Anum Dahlia segera mendapatkan Zulaika yang sedang asyik menggoreng ayam dalam kuali besar. Kasihan juga dia melihat Zulaika yang mula bermandi peluh di bawah panas kayu api.

“Dahlah makcik, biarlah Anum pula yang buat. Makcik pergilah masuk ke dalam berehat. Zurin pun ada kat dalam tu.” Ujar Anum Dahlia seraya mengambil senduk dari tangan Zulaika.

“Betul Anum boleh buat ni?” Zulaika tersenyum.

“Betul. Lagipun Anum dah biasa kerja-kerja menggoreng ni, bukannya susah pun. Celup ayam dalam minyak, lepas tu goreng sampai garing. Mudah aje.” Anum Dahlia tergelak kecil.

Sepeninggalan Zulaika, Anum Dahlia sendirian menggoreng ayam. Lepas satu-satu ayam yang telah diperap digoreng. Matanya leka memerhatikan ayam goreng yang nampak sedap di dalam bakul besar di atas kerusi. Terliur pula dia melihatnya. Dia memilih seketul ayam goreng, lalu disua ke mulutnya. Hmmm sedapnya. Mama selalu juga menggoreng ayam tapi tidaklah sesedap ini rasanya. Agaknya sebab diperap dengan kunyit bercampur sedikit bawang lumat dan serbuk kari. Sebab itu rasanya berbeza dengan ayam yang selalu digoreng oleh mama.

Anum Dahlia tidak tertahan, mencapai seketul lagi. Sambil menggoreng, sambil dia makan sehingga tidak sedar dirinya dihampiri seseorang.

“Kalau macam ni, apa yang tinggal untuk tetamu yang nak datang nanti?” Sapa suatu suara bagaikan menyindir. Anum Dahlia tergaman. Dia menoleh lalu terpandang kelibat Yuzer tercegat di belakangnya. Anak muda itu tersenyum memandangnya.

Anum Dahlia pura-pura acuh tak acuh dengan kehadiran Yuzer. Dia meneruskan kerjanya.

Melihat Anum Dahlia diam sahaja, Yuzer terus duduk di hadapan Anum Dahlia. Gerak-geri gadis itu dipandang serius. Anum Dahlia yang menyedari dirinya diperhatikan, sesekali merenung tajam ke arah Yuzer. Geram dengan sikap Yuzer yang suka menyakat.

“Jangan pandang saya, pandang kuali tu. Nanti kalau minyak tu memercik, siapa yang susah. Awak juga yang susah. Kulit tu berparut sana sini, siapa yang hendak nanti!” Sindir Yuzer lagi. Dia merenung ke arah bakul ayam goreng. Sepantas kilat Yuzer mencapai seketul ayam goreng lalu disua ke mulutnya. Selamba. Terpinga-pinga Anum Dahlia melihat adegan di hadapannya.

“Hmm sedap juga. Awak pasti awak tak letak racun dalam bahan perap ayam goreng ni?” Soal Yuzer.

“Tak. Tapi saya menyesal sebab tak letak racun untuk bagi awak makan.” Balas Anum Dahlia, benar-benar sakit hati. Yuzer tertawa besar dengan jawapan yang diberi gadis itu.

Dia merenung Anum Dahlia yang masam mencuka. Entah kenapa dia suka melihat wajah marah-marah gadis itu. Selama ini bukan tidak pernah ada gadis yang cuba mencuri hatinya. Tapi entah kenapa dengan Anum Dahlia, dia jadi Yuzer yang baru. Yuzer yang suka menyakat dan mengusik. Bukan lagi Yuzer yang sentiasa berwajah serius dan bersikap panas baran.

“Aduh!” Suara Anum Dahlia mendesis kesakitan menyedarkan Yuzer dari lamunannya. Dia terkejut bercampur cemas melihat Anum Dahlia menyeringai kesakitan sambil memegang tangannya. Pantas dia meluru ke arah gadis itu.

“Kenapa Anum?” Soalnya bimbang.

“Minyak. Saya terkena minyak panas.” Ucap Anum Dahlia tersekat-sekat menahan pedih di tangannya. Yuzer dengan secepat kilat, meraih tapak belakang tangan Anum Dahlia yang kelihatan merah. Dia mengosok-gosok tangan itu, sambil sesekali meniupnya.

“Sakit lagi?” Wajah gadis itu dipandang penuh simpati. Namun matanya bertaut dengan sepasang mata yang tergaman memandangnya. Anum Dahlia kelihatan kaget melihat reaksi yang ditunjukkan oleh Yuzer. Menyedari keadaan itu, Yuzer segera melepaskan tangannya. Entah kenapa tiba-tiba sahaja dia rasa kekok berhadapan dengan Anum Dahlia.

“Itulah, berapa kali saya cakap. Pandang kuali tu betul-betul sewaktu menggoreng. Ini tak, asyik pandang saya saja. Kan dah kena bala.” Ujar Yuzer, cuba kembali kepada sikap asalnya. Namun entah mengapa Anum Dahlia diam sahaja, tidak bersuara walaupun sepatah.

* * * *

Majlis tahlil arwah dan doa kenduri selamat malam itu berjalan lancar. Anum Dahlia yang kelihatan ayu berbaju kurung hijau pucuk pisang, rajin melayan tetamu yang hadir. Sejak mula sehingga habis majlis, dia tak berenggang langsung dari sisi Nek Jah.

“Amboi, manisnya cucu Nek Jah ni,” puji beberapa kenalan Nek Jah. Orang tua itu tak putus-putus tersenyum. Gembira kerana orang menyangkakan Anum Dahlia cucunya. Dalam diam-diam diakui, hatinya yang kosong selama ini semakin terisi dengan kehadiran Anum Dahlia. Gadis itu dianggap tak ubah seperti cucunya sendiri. Bila orang kampung menyebut Anum Dahlia cucunya, hatinya ceria bukan main. Tuhan saja yang tahu betapa bersyukurnya dia didatangi oleh Anum Dahlia.

“Cantik Anum malam ni, hampir tak kenal makcik dibuatnya,” tegur Makcik Senah pula yang datang bersama Lebai Dollah. Anum Dahlia sekadar tersenyum menerima pujian yang berulangkali.

Sesekali sewaktu menghantar lauk tambah ke arah ruang tamu, matanya mencari-cari kelibat Yuzer. Entah kenapa, dia bagai tidak senang duduk sejak petang tadi. Selepas bercakap dengan Yuzer di tempat menggoreng ayam siang tadi, dia sudah tidak ternampak kelibat anak muda itu di rumah Tok Anjang dan Nek Jah.

“Kak Anum ni cari siapa?” Tegur Zurin yang kelihatan hairan melihat gadis itu terintai-intai begitu.

“Kakak cari Yuzer.” Tanpa sedar Anum Dahlia terlepas kata. Menyedari kesilapannya, dia memandang Zurin dengan perasaan gugup. Alamak, kenapa dengan mulut aku ni, tiba-tiba menyebut nama Yuzer pula.

“Eh tak, sebenarnya kakak cari datuk, nak bagi nasi tambah ni,” Anum Dahlia membetulkan kata-katanya. Zurin tercengang. Nak cari siapa sebenarnya?

“Err tak apalah, Zurin saja pergi hantarkan nasi ni pada datuk,” ucap Anum Dahlia sambil menyerahkan mangkuk nasi ke arah Zurin. Dengan cepat dia menghilangkan diri ke dalam, meninggalkan Zurin terpinga-pinga sendirian.

* * * *

Ramai tetamu sudah berpusu-pusu balik. Yang tinggal hanyalah beberapa kenalan rapat Tok Anjang dan Nek Jah yang masih rancak berbual. Anum Dahlia tidak berminat untuk ikut campur perbualan antara orang-orang tua itu. Lantas dia turun mengambil angin di luar rumah. Hendak berbual dengan Zurin, gadis itu sudah pulang ke rumah menemani ibunya. Yang tinggal hanyalah pakcik Taufik yang masih rancak berbual dengan Tok Anjang. Yuzer pula sejak tadi tidak nampak batang hidungnya. Entah ke mana perginya anak muda itu.

Perlahan-lahan kakinya diatur menuju ke arah buaian gantung tidak jauh dari halaman rumah. Entah kenapa, dia selalu tertarik untuk ke buaian ini. Walaupun tali yang mengikatnya sudah nampak usang, tapi cukup dengan hanya duduk santai di pelapik buaian, Anum Dahlia bagaikan dapat merasakan suatu ketenangan wujud dalam dirinya. Dia memejamkan matanya. Wajah mama muncul, tersenyum memandangnya. Baba pula melambaikan tangannya. Dia tersenyum. Rindunya dia pada mama dan baba hanya tuhan yang tahu. Bila sendirian begini, wajah mama dan baba akan kerap terbayang di matanya.

“Anum nampak seronok aje duduk di buaian tu,” tegur suatu suara. Anum Dahlia tergaman. Hilang sudah memori indahnya bersama mama dan baba. Dia terkejut apabila melihat Imran tercegat memerhatikannya. Sudah lamakah lelaki itu di situ?

“Pakcik Imran dah lama ke kat sini? Maaf Anum tak perasan tadi.”

“Mana nak perasan kalau asyik berkhayal. Apa yang Anum fikirkan?” Imran tertawa kecil. Dengan selamba dia duduk tertenggek di atas tunggul kayu yang bertentangan dengan buaian yang diduduki gadis itu.

“Ishh mana ada berkhayal, ada-ada je lah pakcik ni.” Anum Dahlia tertawa dalam gugup. Aduh! Dia perasankah aku sedang melamun tadi. Malunya!

“Yalah tak berkhayal, cuma ingatkan buah hati saja kan?” Imran mengusik lagi. Dia memang mengintai-intai peluang untuk berbual dengan Anum Dahlia.

Gadis itu hanya tersenyum. Melihat senyuman Anum Dahlia yang manis, mata Imran terpaku memandang. Apakah hanya aku seorang yang perasan atau semua orang di rumah ni sudah buta? Jangan kata wajah, senyumannya juga mirip Sufiyah. Tapi kata Taufik tempohari, ibunya bernama Rubiah. Ah tak mungkin!

“Anum tahu tak, dulu buaian ni selalu menjadi tempat bermain adik pakcik. Datuk Anum sengaja buatkan buaian ini khas untuk Sufiyah. Dia memang sayangkan Sufiyah, kadangkala sampai pakcik pun naik cemburu.” Ucap Imran tertawa kecil. Matanya merenung jauh, teringatkan kisah semalam yang membuka lembaran duka dalam hidup mereka sekeluarga dulu.

Anum Dahlia memandang lelaki itu. Wajah Imran biarpun ditutup oleh ketawa, namun entah kenapa kedengaran hambar di telinga Anum Dahlia.

“Kami semua sayangkan Sufiyah. Sejak dulu, dia menjadi harapan dan kebanggaan kampung ni. Dia pelajar yang bijak, dan antara orang yang pertama waktu itu dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang kedoktoran.”

“Selepas beberapa bulan Sufiyah di oversea, ayah pakcik merancang nak menjodohkan Sufiyah. Dia bimbang melepaskan Sufiyah seorang diri di luar negara, bimbang takut berlaku sesuatu yang tak baik kat sana. Lelaki tu bukan orang lain dengan kami, saudara kami sendiri. Dia benar-benar yakin Sufiyah takkan membantah. Tapi dugaannya meleset. Ayah pakcik tersilap perkiraan.” Keluh Imran.

“Maksud pakcik?” Anum Dahlia sengaja bertanya, meskipun sedikit sebanyak dia sudah tahu cerita sebenar.

“Sufiyah larikan diri semasa majlis perkahwinannya, Anum.” Ujar Imran.

Anum Dahlia terdiam. Dia sudah jelas dengan semua perkara yang meniti dari bibir Imran. Namun dia masih mahu mendengar cerita lelaki itu tentang mamanya.

“Orang yang paling kecewa tentulah Taufik. Kami membesar dan berkawan sejak kecil. Sedikit sebanyak, pakcik tahu dia menyimpan perasaan pada Sufiyah. Tapi entah apa sebabnya Sufiyah menolak lelaki sebaik Taufik. Agaknya sebab rasa bersalah terhadap Taufik, ayah pakcik meminta gadis yang sepatutnya mengahwini pakcik, menikahi Taufik malam itu juga.” Ujar Imran sebak.

Anum Dahlia terpempan mendengar kata-kata Imran. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Jadi makcik Zulaika adalah bekas tunangan pakcik Imran? Tanpa sedar, tangannya meramas tali gantung buaian di sampingnya agak kuat.

“Anum pernah dengar cerita ni dari mak pakcik?” Soal Imran tiba-tiba. Anum Dahlia memandang lelaki itu. Mata Imran melirik tepat ke arahnya. Dia melarikan matanya. Risau kerana lelaki itu memandangnya satu macam. Lambat-laun dia menggelengkan kepalanya. Selama ini dia hanya tahu cerita dari versi mama. Dan malam ini, pakcik Imrannya telah melengkapkan versi tesebut.

“Belum Anum tak tahu?” Wajah Imran bagaikan kurang yakin. Anum Dahlia mengetapkan bibirnya. Sekali lagi dia menggelengkan kepala. Biarlah Imran terus dengan spekulasinya. Saat ini dia lebih tertarik dengan cerita lelaki itu.

Sepanjang malam dia tidak dapat melelapkan matanya. Puas dia cuba untuk tidur, namun keresahan hatinya bertukar menjadi beban berat yang terasa sesak menghempap dirinya.

Puas merenung siling bilik, dia bingkas bangun lalu menuju ke arah tingkap. Pekat malam direnung kosong. Hambar.

“Mama nak Anum cari mereka. Mama nak Anum kenal dengan keluarga mama.”

“Tapi untuk apa?”

“Supaya mereka tak keseorangan. Supaya mereka tahu yang mereka masih memiliki mama melalui Anum.”

Dia meraup wajahnya dengan kedua tapak tangan. Entah kenapa Anum Dahlia merasakan dadanya tiba-tiba sebak. Dia terasa ingin menangis di pangkuan seseorang.

“Disebabkan Sufiyah, hidup kami semua mula berubah!” Kata-kata Imran menjadi racun dalam hatinya kini. Selama ini dia sangkakan yang dirinya sudah cukup mengenali ibunya, bahawa selama ini wanita tidak pernah menyimpan apa-apa rahsia darinya dan baba. Tapi rupa-rupanya wanita yang bernama Syarifah Sufiyah itu telah membuat satu kesilapan besar yang mempengaruhi ramai orang.

Mama, bencana apakah yang mama telah taburkan dalam hidup keluarga mama sendiri? Dan kini mama meminta Anum melakukan tugas yang amat berat. Apakah mereka semua mampu memaafkan kesilapan mama? Semua orang menderita kerana mama. Hidup pakcik Taufik dan makcik Zulaika terjalin kerana mama. Kerana kedegilan mama mengejar cinta. Anehnya kenapa Anum merasakan yang mama lari dulu bukan kerana baba. Siapakah orangnya yang membuatkan mama memilih cinta melebihi keluarga mama sendiri?

Anum Dahlia mengesat airmata yang semakin lebat mengalir. Baru kini dia faham segala-galanya. Meskipun sukar untuk dia hadapi kenyataan ini, tapi dia harus bertahan. Kesilapan ibunya akan ditebus dengan darah dan keringatnya sendiri. Semoga suatu hari nanti, semua orang akan dapat menerima kehadirannya sebagai anak ibunya. Cucu kepada sepasang suami isteri dipanggil Tok Anjang dan Nek Jah. Dan sebelum hari itu hadir, Anum janji yang Anum takkan tinggalkan tempat ini mama! Anum akan pastikan nama mama terukir semula di hati mereka. Itu janji yang diucap penuh tekad di hatinya kini. Mampu atau tidak dia melakukannya, semuanya terserah kepada takdir.

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!