Followers

Monday, October 8, 2012

MENCARI KIBLAT CINTA : BAB 2


            SEBAIK bas yang dinaikinya berhenti di simpang jalan, Danira cepat-cepat turun dari perut bas yang agak sesak. Matanya terpaku sejenak pada sebuah kawasan perumahan yang cukup dikenalinya. Meski berat hatinya mahu menjejakkan kakinya ke perumahan itu lagi, namun kali ini dia terpaksa. Seperti yang sudah diduga, kedatangannya disambut dingin oleh sepasang suami isteri yang mendiami rumah tersebut.

            “Hah bila kamu keluar dari penjara?” Lelaki tua separuh umur itu menjelingnya dari atas ke bawah. Wanita di sisi lelaki itu juga begitu. Sekadar mencemik sinis ke arahnya bagaikan dia kucing kurap yang jijik mahu dipandang.

 Danira tertunduk. Separuh hatinya malu kerana disergah sebegitu rupa di hadapan pintu rumah itu. Apatah lagi jarak di antara rumah-rumah di kawasan kejiranan itu dekat sahaja. Namun mengenangkan apa yang dihajatinya dari sepasang suami isteri itu, dia memaksa dirinya bersabar.

            “Pagi tadi Pak Long. Err..Nira…Nira sebenarnya..” tergagap-gagap dia mahu bersuara. Hendak memulakan apa yang dimahukannya itu yang payah.

            “Kamu nak apa sebenarnya? Nak duit?” Kamal memintas.

            “Bukan Pak Long.” Dia menggeleng, pantas.

            “Habis?”

            “Nira nak cari Naufal. Pak Long dan Mak Long tahu Naufal di mana?” Akhirnya terluah juga pertanyaan itu dari bibirnya.

            “Hai adik kamu, takkan kami nak menyimpan dia dalam rumah ni.” Musliha mencebik. Pandangannya jelas sinis dan menghina. Benci sungguh dia pada gadis yang bertudung litup di hadapannya. Konon bertudung, nak tunjuk alim la tu, desis hati Musliha.

            “Tolonglah Mak Long, Pak Long. Nira nak sangat jumpa dengan Naufal. Pak Long tentu tahu di mana dia berada kan? Nira minta sangat dengan Pak Long, tolong beritahu Nira mana Naufal.” Rayu Danira. Kolam matanya sudah bertakung. Hanya menunggu masa untuk jatuh berderai.

            “Aku tak tahu kat mana adik kamu tu. Lepas kamu masuk penjara, dia hilang macam tu aje.” Getus Kamal acuh tak acuh.

            “Entah-entah budak tu dah mampus agaknya. Tak pun dah jadi kaki ganja atau masuk kumpulan samseng,” tuduh Musliha celupar.

Danira tersentak. Bulat biji matanya memandang ke arah Musliha. Entah kenapa dia tidak suka mendengar andaian yang melulu keluar dari mulut wanita itu.

            “Naufal bukan macam tu Mak Long.” Suara Danira mulai meninggi.

            “Hai yang kamu tenung aku ni kenapa pulak? Kamu dengan adik kamu tu sama saja Nira. Dua-dua menyusahkan orang aje!” Herdik Musliha berang Marah benar dia kerana gadis itu berani melawannya.

            “Kami berdua tak pernah menyusahkan orang. Hanya Pak Long dengan Mak Long saja yang selalu menyusahkan kami selama ini!” Balas Danira tiba-tiba. Hatinya tiba-tiba panas dek keceluparan mulut wanita itu bercakap sesedap rasa. Tanpa menghitung perasaan orang lain!

            “Apa kamu kata? Biadap kamu ni Nira!” Jerit Musliha baran. Kamal di sisinya tergaman. Bulat matanya menjegil gadis di hadapannya.

            “Tak betul apa Nira cakap? Kami jadi macam ni pun sebab Mak Long dengan Pak Long. Ayah dengan umi baik dengan Pak Long suami isteri selama ini, tapi anak saudara sendiri pun Pak Long sanggup tipu. Manusia jenis apa Pak Long dengan Mak Long ni?” Danira bagaikan mendapat keberanian baru. Segala isi hatinya yang terpendam selama ini diluahkan begitu sahaja.

            Kamal tersentak. Matanya melorot tajam ke wajah Danira, bagaikan hendak ditelannya gadis itu.

“Apa kamu merepek ni Nira? Amboi mulut kamu ni makin lancang sekarang. Makin kurang ajar!” Marah Kamal. Berang benar dia mendengar kata-kata gadis itu, apatah lagi kata-kata itu semuanya mengena atas batang hidungnya sendiri.

            “Halau dia pergi dari sini bang, menyusahkan kita aje,” rungut Musliha pula. Benci benar dia dengan gadis di hadapannya itu.

            Kamal tanpa diduga segera menolak tubuh kecil di hadapannya sekuat hati sehingga Danira terjelepuk jatuh. Melihat keadaan gadis itu, ketawa Musliha bergema.

            “Mulai hari ni, kamu jangan berani lagi datang ke mari. Banduan macam kamu hanya mengotorkan rumah kami. Sekali lagi aku nampak kamu melilau di sini Nira, mati kamu aku kerjakan nanti. Sekarang pergi!” Halau Kamal dengan suara meninggi. Pintu rumah itu dihempas sekuat hati.

Pelupuk mata Danira bergenang. Hatinya sebak diperlakukan seperti dia tidak punya harga diri. Perlahan-lahan dia bangkit. Lutut dan sikunya terasa pedih. Dia hanya mampu memandang ke arah pintu yang terkatup rapat di hadapannya. Hatinya dimamah sayu.

            “Naufal, mana Naufal pergi dik? Tahukah Naufal yang kakak amat merinduimu, dik!” Bisik Danira sebak. Sudah enam tahun mereka tidak bersua muka. Namun jarak masa itu langsung tidak mengurangkan rasa rindunya pada Naufal.

Apakah Naufal masih marahkan kakak? Apakah sebab itu Naufal menyembunyikan diri dari kakak? Demi Tuhan, kakak tidak pernah bermaksud untuk membuang Naufal dalam hidup kakak. Tidak sama sekali! Keluh Danira pilu.

“Jumpalah dia sekejap.” Pujuk Salmi ketika meminta dia menemui Naufal yang sudah berkali-kali datang mahu menemuinya. Namun dia hanya berbuat endah tak endah. Enggan menemui adiknya meskipun Naufal datang dan pergi dengan tangan kosong.

            “Kenapa Nira ni degil sangat? Kakak tahu Nira ambil berat fasal adik Nira tu. Kalau tidak masakan tiap-tiap malam Nira menangis sorang-sorang atas katil tu. Nira ingat kakak tak tahu yang selama ini Nira rindukan dia?” Tukas Salmi sedikit geram.

Dia hanya mampu diam. Wajah Salmi dipandang sayu.

            “Nira kecewa Kak Sal. Nira tak sangka hidup kami akan begini jadinya. Dulu kami bahagia, tapi sekarang tengoklah Nira. Nira tak sepatutnya berada di tempat ini Kak Sal.” Bisiknya sebak.

            “Semua orang tak sepatutnya ada di sini Nira. Kita di sini kerana keadaan yang memaksa. Tengoklah kakak sebagai contoh, dulu hidup kakak bahagia sangat.” Keluh Salmi sambil memandangnya.

            Dia memandang ke arah Salmi. Mata Salmi kelihatan merah memandang ke arahnya. Dia tahu hati wanita itu turut dihambat kesedihan. Nasib dia dan Salmi tidak jauh berbeza. Malah mereka menghadapi hukuman yang sama. Hukuman penjara atas kesalahan membunuh!

            “Siapa yang Kak Sal bunuh?” Dia pernah bertanya soalan itu pada Salmi suatu ketika dahulu. Entah mengapa dia teringin mahu tahu apakah sebab wanita sebaik Salmi dihukum penjara. Wanita itu dilihatnya sukar mahu mencerna pertanyaannya. Pelupuk mata Salmi begitu mudah digenangi air.

            “Suami kakak.” sebut wanita itu.

Dia tersentak. Suami? Mata Salmi tiba-tiba mencerun ke arahnya.

“Dia suami yang kakak kahwini selama 18 tahun. Kami bahagia Nira. Sangat bahagia sebenarnya. Kakak tak kisah mengikut dia ke mana sahaja bila dia ditukarkan kerja. Tapi suatu hari dia berubah. Dan tiba-tiba sahaja hidup kami porak peranda. Suami penyayang kakak berubah panas baran. Orang yang kakak paling percaya bertukar menjadi orang yang paling kakak takuti.” Cerita Salmi.

            “Apa yang jadi kak?” Tanyanya ingin tahu.

            “Sejak dia diberhentikan kerja, dia jadi panas baran. Dia pukul kakak, pukul anak-anak. Tiap-tiap malam dia pulang dalam keadaan mabuk. Bila dia mabuk, dia akan pukul kakak macamlah kakak ni punch bag. Kakak pernah beberapa kali masuk hospital angkara dia. Keluarga kakak minta kakak tinggalkan dia, tapi kerana anak-anak, kakak tak sampai hati. Kakak masih boleh tahan jika dipukul atau ditendang. Tapi bila kakak lihat dia belasah anak-anak, kakak jadi naik marah. Sampai suatu tahap, kakak sudah tidak tahan. Kakak ambil pisau dan tikam dia.” Suara Salmi sebak menahan rasa.

Dia terpegun. Tak menyangka sampai begitu sekali nasib Salmi selama ini. Perlahan-lahan dia merapati Salmi lalu memeluk bahu wanita itu. Rasa simpatinya mengalir terhadap wanita itu.

            “Sejak kakak dipenjarakan, mak mertua kakak ambil anak-anak kakak. Dia tak pernah bawa mereka melawat kakak di sini. Kakak tahu dia bencikan kakak sebab bunuh anak kesayangan dia.” Keluh Salmi lagi.

            “Sebab tu kakak tak mahu Nira jadi macam kakak. Hilang kasih sayang orang yang paling rapat dengan kita. Kalau Nira terus pulaukan adik Nira macam tu, cuba fikir apa pula perasaan dia.” Nasihat Salmi.

            Dia terus membisu pada kata-kata Salmi. Bukan begitu niat sebenarnya terhadap Naufal. Dia tidak bermaksud mahu memulaukan adiknya sendiri. Segala yang dilakukannya bersebab. Hanya dia seorang yang tahu betapa perit jiwanya menanggung sengsara apabila setiap kali dia terpaksa menghampakan Naufal.

Dia tahu Naufal sudah menyesal dengan perbuatannya. Malah melalui lewat kiriman surat-surat Naufal yang hadir di penjara wanita itu, isi hati Naufal berbaur penyesalan.


Kakak,

Naufal tahu kakak marahkan Naufal. Malah kakak juga bencikan Naufal. Memang Naufal berdosa dengan kakak. Naufal musnahkan hidup kakak. Kalau boleh, Naufal mahu sujud ampun di kaki kakak.

            Jika masa boleh diputar kembali, Naufal benar-benar berharap dapat jadi adik yang baik untuk kakak. Naufal benar-benar berharap kita dapat jadi seperti dulu. Tapi sampai kini, kakak tidak pernah memberikan Naufal peluang itu. Maafkan Naufal kak! Ampunkan salah Naufal pada kakak! Halalkan semua makan minum Naufal selama ini.

 

            Dia menangis membaca titipan surat itu. Hatinya dilanda perasaan bersalah pada anak muda itu. Berhari-hari lamanya dia menanti kunjungan Naufal. Tapi penantiannya menjadi berbulan-bulan dan bertahun-tahun lamanya. Malah surat-surat Naufal sudah tidak kunjung tiba lagi. Naufal seolah ghaib terus dari hidupnya.

Danira mengesat air mata yang mengalir lebat di penjuru pipinya. Tangisannya hadir tanpa disedari. Kenangan lama merantai jiwanya yang terasa kosong. Dia mendongak wajah ke dada langit yang hampir gelap dan berangin. Seketika bibirnya melepaskan keluhan. Hari sudah beransur senja, namun dia masih tidak tahu ke mana kakinya harus berlabuh. Ke mana destinasinya selepas ini?

Sejurus kemudian, gugus-gugus kilat mula terpancar. Dia mendongak sekali lagi. Langit yang tadi gelap semakin kelam. Tidak lama kemudian, titis-titis hujan mula turun. Danira berpeluk tubuh. Kedinginan malam bercampur dengan dingin hujan cukup membuatkan tubuhnya menggigil. Dia segera mencari perlindungan di sebuah bangunan usang.

 Tanpa disedari, gerak-gerinya diintip sepasang mata dari jauh. Dua orang lelaki yang berada di dalam sebuah kereta yang diparkir di seberang jalan, tidak pernah melepaskan pandangan ke arah gadis itu walaupun sesaat.

“Bagaimana kalau Mr. Kay tahu fasal dia?” Tanya salah seorang dari lelaki itu. Lelaki berambut putih pendek itu menoleh ke arah temannya. Dahinya berkerut seribu.

“Dia takkan tahu kalau tak ada sesiapa yang memberitahunya.”

“Kau rasa benda tu ada dengan budak perempuan tu?”

Dia menggeleng. “Entah, aku tak pasti. Tapi walau apa pun, rahsiakan fasal dia dari Mr. Kay buat sementara waktu.”

“Aku cuma risau fasal Faruk. Apa rancangan kau sebenarnya Cobe?” Selar temannya dengan wajah bingung.

Lelaki yang dipanggil Cobe tidak menjawab pertanyaan temannya. Sebaliknya matanya masih mencuri pandang ke arah gadis yang sedang berlindung dari hujan lebat. Pandangannya tertumpu lama ke wajah itu.

*  *  *  *

            Bunyi muzik disco remix yang membingitkan hanya perkara biasa bagi telinganya. Sejak dia menguruskan kelab malam yang diberi jolokan The Polka Dots itu, gegendang telinganya seperti sudah kalih. Arak dan perempuan sudah menjadi perkara biasa baginya.

            Luarannya, The Polka Dots hanya kelab malam biasa, yang dikunjungi ramai muda-mudi yang hendak bersuka ria. Tapi sebenarnya tempat itu lebih dari kelab malam biasa. The Polka Dots adalah titik pertemuan kumpulan-kumpulan penjenayah di ibu kota. Baik yang terlibat dalam rompakan, penyeludupan dadah mahupun pelacuran. Ia dimiliki oleh seorang taikun dunia jenayah yang dipanggil Mr. Kay. Dan dia hanyalah salah seorang dari kuda-kuda yang digerakkan oleh organisasi Mr. Kay.

            Wiski di tangannya diteguk sambil matanya ralit memerhatikan gelagat sekumpulan gadis yang terkinja-kinja menari. Bibirnya segera mengorak senyuman. Pakaian sendat dan singkat yang dipakai anak-anak gadis itu sering ditatap dengan pandangan nakal. Tumpuannya terhadap gadis-gadis itu terganggu apabila seorang lelaki bertubuh kurus runcing masuk ke ruangan itu. Dia mendengus keras.

            Lelaki kurus runcing itu tersenyum lebar. “Maaf bos, hal ni penting. Ini kerja yang bos suruh tempohari.” Ujar lelaki itu bagaikan tahu kehadirannya tidak disenangi. Tanpa disuruh dia meletakkan sesuatu di atas meja kopi di bilik itu.

Dahi Faruk berkerut menatap kepingan gambar yang terletak di atas meja itu. Dia segera melabuhkan punggungnya lalu mencapai gambar-gambar tersebut. Sebaik matanya tertancap pada kepingan gambar di tangannya, senyumannya mendadak muncul.

“Dia dah keluar dari penjara hari ni.” Ujar lelaki bertubuh kurus itu. Sekadar memaklumkan kenyataan yang pasti sudah diketahui ketuanya itu lebih awal. Jika tidak masakan dia disuruh mengintip dan mangambil gambar gadis itu.

            “Bos nak saya bawa dia ke mari?” Soal lelaki itu lagi sambil tersengih.

            Faruk memandang lelaki kurus di hadapannya dengan pandangan tajam. Entah kenapa, dia tidak menyenangi kata-kata lelaki kurus itu kali ini.

            “Sudah! Kau boleh keluar sekarang.” Arah Faruk. Lelaki bertubuh kurus itu tunduk akur lalu segera melangkah keluar dari bilik itu. Faruk mendengus keras. Gelas wiski yang diletakkan di atas meja kopi itu segera dicapai lalu diteguk lagi. Namun kelopak matanya sedang mengecil. Ternyata dia sedang memikirkan sesuatu.

            Bunyi derap kaki yang sedang melangkah masuk membuatkan Faruk tiba-tiba tersenyum. Tanpa menoleh ke arah tuan empunya badan yang berada bersama-samanya di bilik itu, dia mencampakkan gambar di tangannya ke hadapan meja.

            “Betul macam kau cakap. Budak perempuan tu dah keluar penjara hari ni. Thanks to Cobe, dia dah mudahkan kerja kita.”

            Kelibat yang baru muncul itu duduk di hadapan Faruk. Faruk mengangkat wajahnya lalu merenung wanita di hadapannya yang langsung tidak menyentuh gambar-gambar yang dicampakkannya sebentar tadi.

            “Apa kau nak aku buat? Bunuh dia?” Soal Faruk ingin tahu.

            Wanita itu menggeleng. “Jangan. Jangan apa-apakan dia buat masa sekarang. Pakailah otak kau sikit, Cobe bebaskan dia ada sebabnya. Takkan  kau nak benda tu jatuh ke tangan Cobe terlebih dahulu.” Selar wanita itu sinis.

            Faruk terdiam. Nama Cobe yang dicanang wanita itu entah kenapa membuahkan dendam di hatinya. Kalau bukan kerana lelaki itu, dia takkan berada di kelab malam itu. Hatinya benar-benar mencemburui kedudukan Cobe yang menjadi ketua di Kawasan Emas, kedudukan yang sepatutnya menjadi miliknya!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!