Followers

Thursday, November 14, 2013

Alamak! Lagi-Lagi DIa : Bab 25


DIA keluar dari perut kereta Toyota Priusnya lalu segera membimbit karung-karung plastik berisi barang-barang dapur yang baharu dibeli di sebuah pasaraya. Ketika dia sampai ke rumah, jarum jam sudah menunjukkan pukul 8 malam. Dia cuba membuka pintu apartmennya, namun gagal. Dahinya berkerut seribu. Kenapa tak boleh?

            Dia mencuba lagi sekali namun tetap gagal membuka pintu tersebut. Kad kuncinya ditilik teliti. Apakah cip pada kad tersebut sudah rosak? Ketika dia mahu mencuba sekali lagi, telefon bimbitnya berdering. Nadim segera menyeluk saku seluar. Melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya, wajahnya berubah kelat. Lelaki itu lagi! Sepanjang hari ini dia asyik diganggu dengan panggilan-panggilan dari ayahnya.

            “Datang jumpa ayah sekarang dekat Tropicana. Kalau kamu tak nak merasa tidur di tepi jalan malam ini, datang sekarang juga.” Ujar lelaki itu.

            Nadim mendengus kasar. Rupa-rupanya ini kerja ayahnya. Damn it! Dia segera menuju ke arah keretanya yang diparkir di ruang parkir khas. Tapi belum sempat dia mahu mendekati keretanya, muncul dua orang lelaki bertubuh besar dan sasa.

            “Encik Nadim Ammar?” Tanya salah seorang dari lelaki-lelaki itu.

            Nadim mengangguk dengan wajah hairan. Dia tidak kenal kedua-dua lelaki itu. Siapa mereka?

            “Kami dihantar oleh Tuan Aaziz. Tuan Aaziz minta Encik Nadim serahkan kunci kereta ni dan ikut kami ke Tropicana. Dia menunggu di situ.” Ujar salah seorang lelaki berjambang tebal. Rupanya agak garang dan persis seperti wajah samseng-samseng dalam filem.

            Nadim ketawa kecil. Kalau inilah gaya terbaru ayahnya untuk mengugut, dia memang kagum. Selama ini ayahnya tidak pernah menggunakan cara kotor seperti ini. Menukar kad kunci rumahnya serta merampas keretanya bukan stail lelaki itu selama ini.

            “Maaf Encik Nadim, ini kehendak Tuan Aaziz.” Ujar lelaki itu.

            Nadim segera menyerahkan kunci keretanya tanpa banyak soal. Sebuah kereta Mercedez Benz berwarna hitam metalik tiba-tiba berhenti bersebelahan keretanya. Lelaki berjambang itu segera membuka pintu di bahagian belakang seraya mempersilakan dia naik.

            Nadim tahu dia sudah tidak ada pilihan lain. Suka atau tidak, dia harus menemui lelaki itu dan mendengar apa yang mahu diperkatakan ayahnya kali ini.

*  *  *  *

DI pintu masuk Tropicana, dia terlihat kelibat kakaknya Marseila sedang menunggu di hadapan Tropicana. Kakaknya berpakaian agak cantik dengan dress labuh berwarna biru terang. Wajah Nadim berkerut. Sebenarnya untuk apa ayahnya mahu bertemunya di Tropicana? Dan kenapa Marseila juga turut berada di sini?

            Melihat kemunculan Nadim, Marseila segera mendapatkan adiknya. Wajah Marseila kelihatan muram.

            “Kita naik atas, tukar pakaian. Kakak dah bawakan pakaian yang lebih sesuai. “Ujar Marseila. Dia menarik tangan Nadim, namun anak muda itu cepat-cepat menepis tangannya. Marseila terkedu dibuatnya.

            “Kenapa kakak ada kat sini?” Soal Nadim ingin tahu perkara sebenar. Entah mengapa dia merasa seperti ada yang tidak kena sedang berlaku. Tiba-tiba sahaja dia dijemput pekerja-pekerja ayahnya, dibawa ke Tropicana ini. Apa sebenarnya yang sedang berlaku?

            “Ayah ada kat restoran. Dia sedang menanti kita. Tapi takkan Nadim nak masuk dengan pakaian tu. Kita tukar pakaian dulu ya.” Pujuk Marseila dengan suara lembut tersusun.

            “Kakak, tolong jangan berpura-pura lagi boleh tak? Nadim dah bosan dengan semua permainan ayah dengan kakak. Cakap dengan Nadim apa sebenarnya kita buat kat sini? Untuk apa?” Desak Nadim dengan suara meninggi.

            Marseila terdiam. Keluhan kecil menerpa dari bibirnya. Dia merenung wajah si adik yang merah padam. Dia tahu Nadim sedang berang. Namun adik lelakinya itu pasti lebih berang jika dia memberitahu perkara sebenar.

            “Nadim, kakak tak tahu nak cakap macamana tapi..” Marseila terkiai-kiai mahu menjelaskannya. Nadim mengerutkan dahi. Tertanya-tanya apa sebenarnya yang mahu disampaikan gadis itu?

            “Nadim..” Satu suara tiba-tiba melaung dari suatu arah, sekaligus menganggu kata-kata Marseila. Kedua-dua beradik itu segera menoleh.

            Melihat Emilia sedang berdiri tidak jauh dari situ, Nadim terpanar. Serentak anak matanya dilarikan ke arah Marseila.

            “Apa dia buat kat sini?” Gesa Nadim inginkan penjelasan.

            “Ayah jemput keluarga Tan Sri Jabbar makan malam bersama kita malam ini. Mereka nak bincangkan majlis perkahwinan Nadim dengan Emy malam ini.” Ujar Marseila terpaksa berterus-terang.

            Wajah Nadim berubah. Renungannya semakin tajam menikam wajah Marseila dan Emilia silih berganti. Rupa-rupanya Emilia tidak berbohong padanya tempohari.

            “Nadim, please..jangan buat hal malam ni. Jangan malukan ayah depan Tan Sri Jabbar.” Bisik Marseila, cuba meredakan ketegangan yang mulai dirasakannya saat ini.

            Nadim menarik nafas panjang. Deruan nafasnya kencang. Dia tahu lambat atau cepat, semua ini pasti berlaku. Jika dia melarikan diri kali ini, semuanya takkan selesai dengan mudah. Dia harus berdepan dengan ayahnya kali ini.

            Melihat Nadim melangkah laju ke arah restoran, Marseila terpaksa mengejar si adik dari belakang. Emilia turut mengekori mereka. Kehadiran Nadim membuatkan seisi tetamu di meja besar itu menoleh. Nadim memang kenal dengan Tan Sri Jabbar, ayah Emilia yang merupakan seorang tokoh korporat yang amat disegani. Bekas peguam yang pernah menjadi mentor ayahnya sebelum lelaki itu membuka perniagaan sendiri. Tapi matanya kali ini lebih berminat mencari wajah ayahnya. Kehadiran Tan Sri Jabbar dan isteri langsung tidak dipedulikan.

            “Dah sampai pun dia.” Teguran Tan Sri Jabbar kedengaran.

            Tuan Aaziz menarik nafas panjang. Menyedari renungan tajam anak muda itu melata ke arahnya. Dia tahu Nadim sedang berperang dengan perasaan marah.

            “Kamu patut hormat majlis ini. Pakailah pakaian yang lebih sesuai dan lebih kemas.” Tegur Tuan Aaziz sambil memerhatikan penampilan Nadim yang serba ringkas dengan T-shirt dan jeans denim sahaja.

            “Marseila, bawa adik kamu naik tukar pakaian kat atas.” Suruh Tuan Aaziz seraya mengerling ke arah Marseila yang terperuk seperti patung di suatu sudut.

            “Tak payah. Pakai begini pun tak ada masalah, lagipun ayah nak bincangkan hal yang penting bukan? Kita straight to the point sahaja.” Ujar Nadim seraya menarik kerusi lalu duduk menghadap lelaki itu. Segelas air masak di hadapannya diraih lalu diteguk sehingga habis.

            Gerak geri Nadim mengundang perhatian semua yang ada di situ. Marseila sudah semakin kecut perut. Dia kenal benar dengan perangai Nadim yang tidak gemar dipaksa-paksa melakukan sesuatu yang tidak disukainya.

            Nadim, behave yourself.” Suara Tuan Aaziz meninggi. Berang melihat sikap Nadim yang selamba, langsung tidak menghormati tetamu mereka.

            Nadim ketawa sinis. Pandangan matanya dialih ke arah Tan Sri Jabbar dan Puan Sri Azizah yang terpisat-pisat memerhatikannya.

            “Tan Sri, Puan Sri..saya tak tahu apa yang sudah ayah saya janjikan dengan Tan Sri dan Puan Sri. Tapi perkahwinan ini tak mungkin akan berlaku.” Ujar Nadim selamba.

            Emilia terkaku. Tidak menyangka Nadim akan terang-terangan menolak dirinya di hadapan ibu dan ayahnya sendiri.

            “Nadim! Apa kamu merepek ni?” Marah Tuan Aaziz.

            Tan Sri Jabbar menarik nafas panjang. Dia mengerling isterinya Puan Sri Azizah yang turut terkesima. Kata-kata yang terkeluar dari mulut anak muda itu benar-benar di luar dugaan mereka.

            “Aaziz, apa semua ini?  You kata semua perkara dah selesai.  But this? What the hell is this?” Renungan Tan Sri Jabbar tajam menikam wajah Tuan Aaziz. Hatinya berang kerana merasa diperlekehkan dan maruahnya diinjak-injak malam ini. Dia sempat mengerling ke arah anak gadisnya Emilia yang sudah mengalirkan airmata sambil dipujuk isterinya.

            Tuan Aaziz tidak menjawab. Matanya hanya mampu merenung si anak yang telah merosakkan pertemuan malam ini dengan bicara pedas tak bermata itu.

            “Ayah tak peduli. Kamu harus ikut cakap ayah. Kamu mesti kahwin dengan Emilia dan selepas itu berangkat ke New York sambung pengajian kamu. Dah terlalu lama ayah biarkan kamu buat apa sahaja yang kamu suka. Sekarang kamu pula harus buat apa yang ayah inginkan.” Ujar Tuan Aaziz tegas.

            “Ayah tak boleh paksa Nadim. Nadim bukan budak kecil ayah.”

            Yes I will. Kamu belum kenal siapa ayah Nadim.” Bentak Tuan Aaziz.

            “Kalau tak ayah nak buat apa? Halau Nadim dari apartmen tu?”

            “Kalau perlu, ayah akan buat lebih dari itu.” Ugut Tuan Aaziz.

            Kedua-dua anak beranak itu saling menatap dengan wajah berang. Marseila  sudah terduduk lemah. Menyesal rasanya dia datang kalau inilah yang terpaksa dihadapinya. Dua lelaki yang paling keras kepala dalam keluarganya kini saling menentang.

            “Aaziz, kami tak perlu mendengar semua ini. You bincanglah apa sahaja dengan anak you. But we have to go. I dah tak boleh dengar lagi semua perkara mengarut ni” Ujar Tan Sri Jabbar lalu beredar dari situ bersama anak isterinya. Marah sungguh lelaki itu kali ini.

Tuan Aaziz hanya membiarkan keluarga itu berlalu pergi. Tan Sri Jabbar hanya perkara remeh baginya. Bila-bila masa dia boleh memujuk lelaki itu. Tapi Nadim berbeza. Anaknya itu keras kepala dan sukar diubah pendiriannya. Dan dia paling mengerti kenapa Nadim semakin ingkar mahu menurut cakap-cakapnya.

            “Kamu dah rosakkan semuanya Nadim. Are you happy now?” Sindir Tuan Aaziz. Dia duduk di kerusinya lalu mencapai gelas fresh orange lalu diteguk perlahan.

            “Bukan ayah yang sepatutnya kecewa. Nadim yang sepatutnya tanya ayah soalan itu. Ayah dah rosakkan hidup Nadim selama ini. Dah banyak kali Nadim bersabar, tapi sabar Nadim ada hadnya ayah. Tolong jangan cabar Nadim dengan perkahwinan merepek ni .” Getus Nadim dengan wajah merah padam.

            “Kamu dah bertunang dengan Emilia. Kamu harus ingat itu!” Tempik Tuan Aaziz. Marseila menarik nafas panjang. Masya ALLAH!

            “Pertunangan itu tidak ada maknanya bagi Nadim. Bila-bila masa sahaja ia boleh putus. Dan jangan harap Nadim akan kahwin dengan perempuan tu. Kalau ayah takut sangat dengan Tan Sri Jabbar, mungkin ayah boleh kahwin dengan Emilia.” Getus Nadim agak pedas, lalu beredar dari situ.

            Tuan Aaziz mengurut dada mendengar kata-kata Nadim yang agak biadap. Dia hanya mampu memerhatikan anak muda itu beredar dari situ. Keluhannya menerpa keluar. Tembok dalaman anak muda itu memang sukar diruntuhkan. Dia kenal dari mana datangnya sikap itu. Anak muda itu mewarisi sikapnya yang degil dan keras kepala.

Marseila yang memerhatikan gerak geri ayahnya hanya mampu membisu seribu bahasa. Hendak bersuara saat ini, dia sendiri tidak tahu pada siapa dia harus pergi untuk memujuk. Dia tahu, Nadim takkan mungkin menerima Emilia dalam hidupnya andai hati itu sudah terisi suatu nama lain. Naomi Lee Schubert.

 I love her kak.” Itu bicara Nadim beberapa tahun yang lalu. Ketika itu Nadim sedang mabuk cinta terhadap gadis itu. Tapi pegangan agama Naomi membuatkan cinta itu terhalang. Tuan Aaziz ayah mereka seorang yang sangat mementingkan semua itu. Sebaik lelaki itu tahu bahawa Naomi seorang ateis yang tidak mempercayai akan kewujudan tuhan, maka Naomi dilihat sebagai pengaruh yang tidak sihat untuk Nadim.

“Kenapa ayah musnahkan segala-galanya kak? Apa salah Naomi? Apa salah Nadim? Kami hanya mencintai antara satu sama lain. Tapi sebab ayah, Naomi dah tak ada dalam hidup Nadim lagi. Nadim tak tahu macamana nak hidup lagi.” Nadim benar-benar tertekan ketika itu.

 “Astaghfirullah Nadim, jangan cakap macam tu dik. Kakak tahu Nadim kecewa, tapi jangan sesekali bercakap begitu. Itu aturan ALLAH untuk kita hambaNYA. Naomi dijemput Ilahi kerana ALLAH sayangkan dia.”

“Nadim nak peristerikan dia kak. Nadim nak jaga Naomi, didik dia jadi isteri solehah, bentuk dia agar dia percayakan agama kita. Dia sendiri berminat dengan Islam. Tapi sikap ayah pada Naomi, seperti mengiakan Islam itu bersikap diskriminasi pada orang bukan Islam. Kalau bukan kerana ayah, Naomi takkan terima tawaran kerja tu. Dan dia takkan hilang tanpa jasad di tengah lautan.”

Tuduhan demi tuduhan yang Nadim lemparkan pada ayah mereka membuatkan dia hanya mampu berdiam diri. Tidak terkata! Ketika itu perang antara kedua-duanya semakin menular sedikit demi sedikit. Semuanya bermula selepas kematian Naomi, gadis kacukan Cina-Inggeris yang dicintai Nadim dengan sepenuh hati.

Marseila tahu, selama ini ayahnya bertungkus-lumus mahu memisahkan Nadim dan Naomi kerana mahu memaksa Nadim menyambung pelajaran di New York. Tapi tindakan ayahnya yang terlalu terburu-buru hanya memusnahkan segalanya. Hasilnya Nadim semakin jauh dari mereka semua. Di New York, adik lelakinya itu semakin menyendiri. Dan dua tahun di New York, khabar duka itu datang. Membawa berita kematian Naomi di Teluk Hope. Gadis itu dikhabarkan hilang semasa menyelam di kawasan laut dalam paling bahaya di dunia itu.

Kematian Naomi memberi tamparan besar pada Nadim. Tak disangka-sangka, Nadim menangguhkan pengajian dan pulang ke Malaysia. Berbulan-bulan lamanya Nadim tidak makan dan tidak minum seperti orang normal yang lain. Adiknya juga suka menyendiri, sehinggakan sampai satu tahap, Nadim berpindah ke apartmen milik arwah ibu mereka. Anak muda itu belajar hidup berdikari dengan membuang keluarga. Malah pengajiannya juga ditinggalkannya begitu sahaja. Keputusan Nadim hanya sekadar untuk memprovok marah ayah mereka.

Marseila kesal. Dia benar-benar kesal dengan apa yang telah terjadi pada keluarganya. Hanya kerana seorang gadis, dua beranak saling bercakaran sesama sendiri. Tetapi yang menanggung sengsaranya ialah dia! Keluh Marseila seraya menjeling si ayah yang termenung panjang di hadapannya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!