Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga 12

Daniel menguis-guis ballpennya dengan hujung jari. Rasa bosan datang bertandang tiba-tiba. Beberapa hari yang lalu, dia sengaja singgah di hadapan Krafria Galeria. Cadangnya mahu menunggu Nurul Hijjaz untuk keluar makan bersama, tapi puas ditunggu, gadis itu tidak juga muncul.
Apabila melihat seorang pekerja Krafria keluar, dia sempat bertanyakan tentang Nurul Hijjaz. Tapi dia diberitahu Nurul Hijjaz tidak balik ke pejabat hari itu. Sudahnya dia pulang dengan tangan kosong.
Hampir seminggu dia tidak berjumpa Nurul Hijjaz. Entah kenapa dalam tempoh itu, hatinya merasa gelisah. Dia tidak dapat tidur, juga tidak dapat makan tanpa sesaat pun mengenang gadis itu. Apakah ini yang dinamakan cinta? Apakah aku sudah jatuh cinta?
“Bos, kenapa termenung aje ni?” Seorang gadis berketurunan Cina menjengah ke dalam pejabatnya. Daniel berpaling. Sebuah senyuman terukir di wajahnya.
“Apahal Susan?”
“Hmm..just nak confirmkan meeting you dengan rombongan dari New York.”
“Bila mereka sampai?”
“Hmm lusa.”
“Okey, you dah uruskan penthouse untuk mereka di hotel kita?”
“Sudah bos, you ada apa-apa nak pesan lagi?”
Err…ada apa-apa pesanan tak dari Krafria Galeria?”
“Krafria? Oh ya kelmarin Encik Syed Hambali dari Krafria ada call, kata nak jumpa you hari ni. But I arrangekan appointment tu lain hari sebab schedule you untuk hari ni penuh.” Ujar Susan.
Daniel terdiam. Memang dia sendiri ada merancang untuk bertemu Syed Hambali, hanya belum berkesempatan. Kesibukan kerja yang tidak pernah putus, membataskan masanya.
“Itu saja?”
“Oh ya you ada makan malam nanti dengan Dato’. Dah dua kali setiausaha Dato’ call nak confirmkan.” Ujar Susan sebelum beredar. Tapi sebelum sempat wanita itu menarik daun pintu, namanya diseru semula. Susan tidak jadi melangkah.
“Ya bos?’
“Susan, may I ask you something?” Dahi Daniel berkerut.
“Yes of course. What is it?” Susan menunggu dengan sabar.
“Actually apa sebenarnya seseorang gadis itu mahukan, jika hendak menjalinkan hubungan serius dengan seorang lelaki? I mean what was exactly in their mind?”
Susan terdiam. Bulat matanya memandang Daniel yang kelihatan serius. “Bos, are you in love with someone?” Susan tersenyum. Sinar di mata lelaki itu sudah menjelaskan apa yang tertera di lubuk hatinya.
“Am I?”
“Yes you are boss, I can see that. Siapa gadis bertuah tu?”
“You masih belum menjawab pertanyaan I Susan.”
Susan tersenyum. Dia merenung Daniel dalam-dalam.
“Bos, cuba you tanya diri you apa yang seorang lelaki mahu pada diri seorang wanita. Apa yang you mahukan?” Soal Susan. Soalan yang ditanya Daniel kembali semula kepada lelaki itu.
Daniel terdiam. Apa yang aku mahukan sebenarnya? Aku hanya memikirkan tentang dirinya.
“Ramai lelaki hanya mahu seorang wanita yang boleh dijadikan tempat pemuas nafsu. Habis manis sepah dibuang. Tapi wanita hanya mahu seorang lelaki yang boleh dipercayai dan dicintai. Seorang lelaki yang dapat melindungi dan menyayanginya. Itu sahaja.”
“I cuma mahukan seorang gadis yang I cintakan, seorang gadis yang boleh menemani I seumur hidup, menyayangi diri I sepenuh hati. Besarkah permintaan I ni Susan?”
Susan tersenyum mendengar kata-kata Daniel. Dia mengerti lelaki di hadapannya tidak sama seperti lelaki-lelaki lain. Daniel bukan sahaja ketua yang baik di pejabat, malah dia juga seorang lelaki yang baik.
“Then, it makes you a good lover boss. Dan I pasti, walau siapa pun dia, dia memang bertuah menerima cinta you.” Ucap Susan tenang. Daniel terdiam. Kata-kata Susan ditelan separuh. Alangkah baiknya kalau Nurul Hijjaz berfikiran seperti Susan. Daniel mengeluh panjang. Sukarnya dia mahu membuang wajah itu dari ingatannya!
* * * *
Riffki sangkakan dia adalah orang yang paling lewat sampai, kerana selalunya begitu. Tapi malam itu Daniel kalah dengannya. Dia mencium tangan ayah dan makciknya agak sopan. Wajah ayahnya Dato’ Amiruddin memandangnya acuh tak acuh. Apabila dia memandang wajah ibu tirinya, wanita itu menunjukkan airmuka tidak senang. Riffki faham, dari dulu lagi wanita itu tidak pernah menyenanginya.
“Awal kamu sampai hari ni?” Tegur Dato’ Amiruddin sepatah.
“Kebetulan Riff ada berdekatan sini, sebab tu awal. Makcik sihat?” Dia menoleh ke arah Datin Arfah, sengaja bertanya khabar. Meskipun wanita itu sering bersikap memusuhinya, namun tidak pernah terlintas walau sekalipun di hatinya untuk membuang rasa hormat itu dalam dirinya.
“Tentulah aku sihat, kalau tidak aku takkan menjenguk muka di sini,” balas Datin Arfah agak meninggi.
“Arfah…,” Suara Dato’ Amiruddin menegur, seolah-olah tidak senang dengan kata-kata isterinya. Datin Arfah melarikan matanya. Dia rasa gerun menatap muka suaminya yang merah padam.
“Dah buat keputusan fasal apa yang kita bincangkan tempohari?”
Riffki terdiam. Dia tahu lambat laun dia terpaksa memberikan keputusannya kepada orang tua itu. Pasti lelaki itu akan naik marah mendengar kata-katanya. Bagaimana harus diterangkan kepada lelaki itu bahawa dia tidak berminat mencampuri urusan perniagaan ayahnya.
Datin Arfah memasang telinga. Hatinya tertanya-tanya apa sebenarnya yang dibincangkan oleh suaminya itu bersama Riffki. Soal syarikatkah? Takkanlah suaminya itu hendak menyerahkan urusan syarikat pada Riffki. Apa anak muda itu tahu?
“Hotel kita yang baru tu akan dibuka tak lama lagi. Ayah perlukan ramai orang yang ayah boleh percayai di sisi ayah. Ayah harap kamu boleh bantu abang Daniel kamu menguruskan syarikat.”
“Saya tak jadi tutup studio tu ayah. Saya akan mengadakan pameran fotografi saya di studio tu beberapa minggu dari sekarang.” Suara Riffki tenang. Dia tunduk, tidak berani memandang pandangan ayahnya.
“Studio? Lagi-lagi studio itu yang kamu pentingkan. Macamana dengan ayah, macamana dengan syarikat kita?” Suara Dato’ Amiruddin meninggi.
“Daniel kan ada, dia lebih berhak menggantikan tempat ayah menguruskan syarikat. Maafkan Riff, ayah.”
“Kamu…kamu memang suka menyakitkan hati ayah Riff!” Dato’ Amiruddin berang. Dia mengetapkan bibirnya cuba menahan rasa marah. Kalau diikutkan hatinya, ringan tangannya mahu mendarat di pipi anak muda itu. Tapi mengenangkan mereka berada di tempat awam, sedaya upaya hatinya cuba dipujuk, cuba ditenangkan..
Riffki terdiam. Dia tahu dia telah melukakan hati ayahnya, tapi itulah saja cara untuk menyatakan apa yang tersirat di hatinya. Dia tidak minat berbisnes seperti Daniel. Dia terpaksa menyambung pelajaran dalam bidang ekonomi pun adalah atas desakan ayahnya, bukan atas kerelaannya sendiri. Apa yang diminatinya hanyalah memegang kamera dan mengambil gambar-gambar yang disukainya. Dia mahu rasa bebas membuat apa saja yang disukainya. Itulah cara hidup yang selama ini dipertahankan dari ayahnya.
“Minta maaf, dato’ mahu makanan dihidangkan sekarang?” Seorang lelaki berkot hitam menjengah di hadapan pintu bilik.
Dato’ Amiruddin tidak menjawab. Tangannya meramas geram kain alas meja di hadapannya. Datin Arfah tidak berkata apa-apa. Lagipun dia lebih suka jika Riffki tidak ada minat untuk menguruskan syarikat. Selama ini dia cukup bimbang jika suaminya mewariskan syarikat itu pada Riffki seorang. Namun nampaknya apa yang dibimbangkannya takkan mungkin menjadi kenyataan. Sekurang-kurangnya dia sudah boleh bernafas lega.
Riffki bangun dari kerusi yang didudukinya. Dia serba salah mahu memandang ayahnya. “Ayah, Riff minta maaf.” Ucapnya sebelum melangkah ke arah pintu.
“Riffki! Jika kamu keluar dari pintu tu, jangan harap walau satu sen pun dari ayah. Ayah akan hentikan semua bantuan kewangan yang disalurkan pada studio kamu. Kita lihat berapa lama lagi kamu akan berjaya dengan studio kecil tu.” Getus Dato’ Amiruddin keras.
Riffki terpaku tidak jadi melangkah. Dia memusingkan badannya. Wajah lelaki tua di hadapannya ditatap sambil tersenyum. Sudah terlalu acap kali dia diugut oleh lelaki itu. Terlalu kerap sehingga dia sudah kalih.
“Terserahlah pada ayah. Itu duit ayah, Riff tak pernah minta semua itu,” ujarnya sebelum berlalu pergi. Belum jauh dia beredar, dia mendengar bunyi kaca terhempas ke lantai. Langkah Riffki terhenti. Dia tahu ayahnya pasti mengamuk sakan mendengar kata-kata yang terucap dari bibirnya tadi. Sememangnya lelaki yang bernama Dato’ Amiruddn Bakri yang dikenalinya selama hampir 20 tahun itu, tetap seorang lelaki yang panas baran.
* * * *
“Riff, tengok ni apa ayah beli untuk Riff. Kereta mainan, sama macam abang Daniel. Cantik tak?” Lelaki itu membawanya ke riba.
Dia hanya memandang kereta mainan di tangan lelaki itu. Dia pernah melihat kereta mainan seperti itu di tangan Daniel. Hati kanak-kanaknya memang menginginkan mainan seperti itu tapi…..
“Awak nak main kereta ni? Ambillah.” Suatu hati Daniel datang di hadapannya. Kereta mainan yang agak besar itu dihulurkan padanya. Dia memandang wajah Daniel. Daniel hanya tersenyum sambil mengangguk.
“Ambillah Riff, saya tahu awak suka main ni,” desak Daniel.
Perlahan-lahan tangannya dihulurkan ke arah Daniel. Cuba mencapai kereta mainan itu, tapi tiba-tiba sahaja tangan kecilnya ditepis. Dia terkejut. Daniel juga dilihatnya terpaku tidak percaya. Wajah Datin Arfah menyinga memandangnya.
“Danny, berapa kali umi nak pesan, jangan bagi mainan Danny sesuka hati pada orang lain. Kan ayah yang beli, kalau rosak macamana?” Marah Datin Arfah. Mata wanita itu macam nak terkeluar merenungnya. Benci benar wanita itu padanya.
Tapi itu cerita 20 tahun yang lalu. Sejak hari itu dia sedar siapa dirinya. Meskipun waktu itu dia terlalu kecil untuk memahami apa-apa, namun dia sedar tempatnya bukan di rumah itu. Meskipun Dato’ Amiruddin dipanggil ayah, namun panggilan itu terasa sangat jauh jaraknya. Tiada kemesraan dan tiada satu ikatan yang cukup murni. Hanya satu panggilan biasa. Dia tidak tahu kenapa perasaannya terhadap ayahnya tidak seperti orang lain.
Kerana itu dia tidak pernah mengharapkan apa-apa dari lelaki itu. Kedudukan atau kemewahan bukanlah tujuan utamanya, apatah lagi untuk mengimpikan duduk sama tinggi bersama Daniel di syarikat itu.
“Ayah nak Riff pergi Amerika sambung belajar. Ayah dah suruh orang kita kat sana uruskan. Bulan depan bertolak,” kata-kata lelaki itu tak ubah seperti arahan. Dan sedari kecil, dia dan Daniel sudah diajar agar taat mengikut arahan. Empat tahun dia di Princeton mendalami selok belok ekonomi dan perniagaan, sedangkan hatinya langsung tidak tertumpu ke situ. Selepas mendapat segulung ijazah, diam-diam dia mempelajari tentang fotografi. Entah mengapa, cinta pertamanya tumpah pada bidang itu. Mengambil foto-foto yang indah, seolah-olah memberi ketenangan kepadanya. Sewaktu itu dia benar-benar gembira. Terasa dirinya bernyawa kembali.
Riffki memejamkan matanya. Keluhan berat keluar dari bibirnya. Kalaulah ayahnya faham apa sebenarnya yang diinginkannya. Kenapa ayah berkeras tidak mahu memahami?
Dentingan loceng menyapa gegendang telinga. Riffki menoleh ke arah jam di dinding. Sudah pukul 12.30 malam. Siapa agaknya yang datang mengacaunya malam-malam begini. Dengan malas, Riffki memaksa diri bangun lalu menuju ke arah pintu. Sampai di hadapan pintu, dia menekan butang kecil di tepi pintu.
“Siapa?”
“Riff, aku ni, Danny. We need to talk.” Suara Daniel bergema dari luar.
Riffki mengerutkan dahinya. Daniel? Apa mahunya lewat malam begini?
Sebaik pintu di hadapannya dikuak, terpapar wajah Daniel yang tercegat menunggu. Lelaki itu masuk tanpa disuruh. Matanya asyik meneliti ruang utama apartment Riffki yang kemas tersusun.
“Cantik apartment ni, perabot baru?” Matanya terlekat pada sofa yang kelihatan berbeza. Riffki sekadar mengangguk. Itu semua kerja Natasya yang menukar sofa baru di rumahnya biarpun tidak disuruh.
“Dari mana? Dah lewat ni..,” soalnya.
Daniel tertawa. “Hei this is KL Riff, pukul 1 atau 2 pagi tak ada bezanya. I heard about you and him. So you wanna tell me, what the hell is going on?”
Riffki sudah menggagak. Daniel datang bukan sekadar mahu memuji apartmentnya sahaja. Ada hal lain yang mahu diperkatakan lelaki itu. Pastinya bersangkut paut soal ayahnya.
“Danny, kau tahu ayah nak suruh aku join syarikat kan?”
“Ya, aku tahu.” Daniel mengangguk. Matanya membulat memandang ke arah Riffki yang kelihatan gusar.
“Kau patut tahu yang aku tak berminat kan? Lagipun aku dah tak mahu tutup studio tu. Betul cakap Kian, studio tu dah ibarat macam nyawa aku. Jika aku tutup studio tu, bermakna aku dah gadaikan nyawa aku. And this is not about Laila anymore.”
Daniel mengeluh. Dia faham benar kedegilan Riffki. Tapi harapan ayahnya terlalu tinggi hendak melihat mereka dua beradik, sama-sama berganding tenaga menguruskan Mutiara Global.
“Riff, think this way okay, ayah cuma ada 2 anak, kau dan aku. Jika bukan kita, siapa lagi nak uruskan bisnes ayah? Jika kau harapkan aku sorang, this is unfair Riff.” Pujuk Daniel.
“Aku tahu kau mampu uruskan syarikat tu. Lagipun kau lebih bijak fasal bisnes dari aku. Mutiara Global takkan goyah berada di tangan kau.”
“Susah cakap dengan kau ni Riff, cakap dengan tiang lampu lagi senang,” balas Daniel separuh mengeluh. Riffki hanya tergelak.
“Boleh aku tidur sini malam ni? Rasa malas pula nak drive balik,” pinta Daniel.
Riffki terdiam. Hairan mendengar permintaan Daniel. Inilah kali pertama lelaki itu meminta izin untuk bermalam di situ.
“Nanti aku ambilkan blanket.” Ujarnya lalu beredar ke dalam bilik. Daniel hanya memerhatikan langkah Riffki. Dia mengeluh. Sepatutnya dia tahu, Riffki bukan senang dipujuk. Kekerasan hati Riffki sama sahaja dengan ayahnya. Sama-sama keras kepala.
Namun Daniel juga tahu, sikap tidak ambil peduli Riffki terhadap perniagaan keluarga mereka, sedikit sebanyak kerana terpengaruh dengan sikap ibunya Datin Arfah. Daniel tahu adiknya itu tersinggung dengan cakap-cakap ibunya yang tidak pernah mengambil kira perasaan orang.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!