Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 5


            Nashriq asyik memerhatikan Erman yang sedang menghirup kopi pekat tanpa gula di hadapannya. Dahinya berkerut. Namun wajah Erman biasa sahaja, seolah-olah dia langsung tidak berasa pahit.

            Apabila Erman mendongakkan wajah, matanya bertembung pandang dengan renungan Nashriq yang nampak aneh.

            “Kenapa kau pandang abang macam tu?” Soal Erman hairan.

            Nashriq tersengih. Lantas kepalanya digelengkan sambil dia mengacau tehnya sendiri yang telah bercampur karamel dan gula batu.

            “Kenapa? Kau masih hairan tengok abang minum kopi tanpa gula?”

            Nashriq memandang lelaki itu. Dia tersenyum.

            “Dah berbelas tahun, abang tetap suka kopi pahit tu. Sekalipun muka abang tak pernah berkerut ketika menghabiskannya. Apa rahsianya?” Soal Nashriq mengulang soalan yang selama ini tak pernah dijawab secara logiknya oleh Erman.

            Erman ketawa terkeheh-keheh. “Siapa kata kopi pahit tak pahit? Tapi yang pahit itulah yang sedap.” Jawab Erman seperti selalu.

            “Apa yang sedapnya?”

            “Banyak. Bau harum biji kopi takkan hilang, aromanya akan tetap kekal sampai bila-bila pun. Lagi satu, minum kopi pahit ni seolah seperti kita sedang mendefinisikan semula hidup kita. Memberi kekuatan dan kelebihan pada diri.” Terang Erman sambil tergelak besar.

            Nashriq tercengang. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini kata-kata Erman lebih pelik kedengaran berbanding dulu. Lebih baik dia hanya mendiamkan diri jika begini. Jawapan Erman tak pernah mudah.

            “Naz….,” panggil Erman tiba-tiba.

            Nashriq menatap lelaki itu. Wajah Erman tampak serius kali ini.

            “Kopi ni memang kopi yang paling pahit di Kuala Lumpur sejak kali terakhir kita bercuti di Venice dulu.” Ucap Erman perlahan.

            Nashriq terdiam. Dia tahu lelaki itu ingin terus berkata-kata.

            “Dalam dua belas tahun ni, tugas abang membuatkan abang semakin dekat dengan kau. Setiap perasaan dan emosi yang terpamer di wajah kau, abang akan pura-pura tidak tahu. Pura-pura tidak nampak kesedihan yang kau lalui Naz. Tapi berpura-pura tidak nampak dan tidak tahu itu sangat sukar untuk abang lakukan. Hanya dengan cara meminum kopi pahit ini saja abang boleh terus berpura-pura. Abang latih diri abang sejak dua belas tahun dulu semata-mata kerana mahu kau selesa.” Ujar Erman perlahan.

            Nashriq terpaku. Wajah Emran tak putus merenungnya. Dia jadi serba-salah. Rupa-rupanya segala yang Erman lakukan adalah untuknya. Malah pengorbanan yang dilakukan oleh Erman selama ini bukan sedikit. Dari usianya tiga belas tahun lagi, Erman sudah muncul dalam hidupnya. Lelaki itu asalnya adalah pembantu kanan ayahnya di Mega Timur Construction. Waktu itu Erman baru berusia 24 tahun. Masih muda dan berfikiran luas. Barangkali itulah yang menambat hati ayahnya untuk mengupah Erman sebagai pemandu peribadinya.

            Nashriq masih ingat lagi, saban minggu lelaki itu akan muncul di asramanya, menemaninya berbual-bual. Malah seingatnya Erman lebih kerap datang dari ayah dan uminya sendiri. Kerana itu diam-diam dia menganggap Erman sebagai  abangnya sendiri. Kini usia Erman sudah mencecah 38 tahun, tapi lelaki itu masih setia menemaninya. Malah Erman seakan-akan tidak mahu berbicara tentang hidup berkeluarga dengannya.

            “Apa yang kau fikirkan tu?” Soal Erman ingin tahu. Nashriq tersenyum, sambil menggelengkan kepala. Namun sebelum sempat dia membalas, tumpuannya terganggu ke meja sebelah. Erman turut menoleh.

            “Kau fikir kau boleh tipu aku? Perempuan bedebah! Kau belum kenal siapa aku!” Lelaki itu berwajah garang mengadap ke arah seorang gadis tinggi lampai.

            “Please Syahrul, you ni macam budak-budaklah. Setiap kata I, you salah anggapkan. Selama ini I tak pernah sukakan you.” Balas gadis itu berani.

            “Habis yang you ikut I ke mana saja tu apa dia? You hantar mesej sayang, rindu itu apa tandanya? Atau you ni memang betina murahan!” Lancang tutur kata lelaki itu.

            “Jaga mulut you Syah! Jangan nak cakap main ikut sedap mulut saja.”

            “Tak salah kata I kan? You ni memang sundal!”

            Nashriq dan Erman saling berpandangan. Nashriq tersengih. Bosan betul! Ada ke restoran macam ni nak dijadikan tempat bergaduh. Tak malu ke dengan orang sekeliling, rungut Nashriq di dalam hati. Dia mengambil cawan teh di hadapannya. Belum sempat minuman itu melalui anak tekaknya, wajahnya tiba-tiba disimbah dengan air. Nashriq tergaman. Erman juga turut terkejut melihat muka dan baju Nashriq basah lencun. Serentak kedua-duanya berpaling.

            Nashriq mengetapkan bibirnya. Entah mengapa dia naik geram. Matanya bertembung pandang dengan sepasang mata redup yang penuh rasa bersalah. Pantas gadis itu menghampiri mejanya.

            “Maaf encik, saya tak sengaja tadi. Saya tak sangka kena muka encik. Maaf!” Ucap gadis itu serba-salah.

            “Habis kenapa awak lakukannya? Awak ingat maaf awak tu boleh buat angin saya reda?” Balas Nashriq geram. Sakit betul hatinya dengan telatah pasangan itu. Apatah lagi kini dirinya pula menjadi tumpuan pengunjung restoran itu yang sedang menjamu selera.

            Gadis itu seakan terkejut mendengar herdikan Nashriq. Dia memandang lelaki itu tanpa sepatah suara.  Wajah Nashriq yang sedang ralit mengesat air yang terkena mukanya dengan saputangan, sedikit sebanyak membuatkan dadanya berdebar-debar.

            “Maaf, saya tak sengaja.” Balasnya lembut.

            Nashriq hanya diam. Dia memandang Erman yang hanya tersengih sambil mengangkat bahunya. Seketika pandangannya dialihkan ke wajah gadis itu. Gadis itu seperti ikhlas mahu meminta maaf. Nashriq mengeluh panjang. Tak fasal-fasal dia terkena tempias orang lain.

            “Abang, saya nak ke restroom sebentar. Lepas ni abang terus balik, jangan tunggu saya. Saya masih ada hal lain,” ujar Nashriq pada Erman. Tanpa mempedulikan gadis itu, dia segera berlalu pergi. Erman hanya mengangguk. Apabila matanya dialihkan ke arah gadis itu, bebola mata gadis itu dilihatnya begitu asyik mengekori langkah Nashriq. Erman tersenyum. Agaknya, malam ni budak ni akan termasuk jerat baru, bisik hati Erman nakal.

*  *  *  *

            Sebaik Nashriq selesai membersihkan diri di restroom, dia bergegas keluar. Namun langkahnya terhalang, apabila sesusuk tubuh dengan berani menghalang laluannya. Mata Nashriq segera mencerun ke arah wajah yang nampak selamba itu. Dia cuba melangkah, namun sekali lagi dia dihalang.

            Nashriq memandang gadis itu tidak berkelip. Bibir gadis itu melemparkan senyuman.

            You nak apa ni?” Soal Nashriq hairan.

            Gadis itu tidak terus menjawab. Hanya tangannya dihulur pantas ke arah lelaki itu. “I Suraya. Suraya Mustadza.” Ujar gadis tinggi lampai itu.

            Nashriq hanya memandang salam yang dihulurkan. Dia tersenyum. Melihat Nashriq seolah sudi membalas senyumannya, hati Suraya seperti di awang-awangan. Dia yakin lelaki itu akan menyambut tangannya.

            So what? Suraya ke siapa ke, do I really care?” Senyuman itu tiba-tiba bertukar dingin. Suraya tergaman. Mata Nashriq merenung tajam ke arahnya. Dia terpaku apabila lelaki itu tiba-tiba mendekatinya. Jarak tubuh lelaki itu dengannya begitu rapat. Entah mengapa dadanya berdebar kencang. Hisk, apa dia nak buat ni? Hati Suraya sudah bergelodak dilambung gelora, apatah lagi tangan Nashriq sudah naik ke bahunya.

            Perlahan-lahan dia memberanikan diri memandang lelaki itu dari jarak dekat. Entah kenapa hatinya terbuai dengan renungan Nashriq. Dia mula membayangkan saat-saat indah penuh impian. Suraya tersenyum tanpa sedar. Aneh! Bagaimana dia boleh berangan sejauh itu dengan seorang lelaki yang baru setengah jam tadi dikenali?

            Namun impian Suraya terkulai layu tatkala Nashriq menolak bahunya ke tepi. Wajah anak muda itu serius memandangnya. “I cuma nak beritahu you, yang I tak berminat dengan ex-girlfriend orang lain. So please jangan nak memalukan diri you macam ni. I’m really not interested!” Bisik Nashriq di tepi telinganya. Dia terpegun. Nashriq segera melangkah pergi tanpa menoleh, meninggalkan dirinya yang tiba-tiba rasa tersinggung.

            Not interested? Huh, suatu hari nanti aku pasti kau akan melutut juga di kaki aku ni.” Gumam Suraya dengan hati panas. Lelaki itu memang sombong! Berlagak! Kau belum kenal siapa Suraya Mustadza. Selagi aku tak jinakkan kau, jangan harap aku akan berputus asa, bisik Suraya di dalam hati.

*  *  *  *

            Sebaik terpandang kelibat gadis itu melangkah memasuki ruang lot parking, Syahrul tersengih. Keluar juga dia. Gadis itu harus diajar. Berani dia mempermain-mainkan aku! Syahrul mengenggam penumbuknya. Dia benar-benar tidak puas hati. Sikap Suraya benar-benar mencabar kesabarannya.

            Dia memandang ke arah teman-temannya. “Itu perempuan yang aku maksudkan. Sekarang, kau tahu apa yang patut kau buat kan? Aku nak dia rasa apa yang aku rasakan,” ujar Syahrul geram.

            Fendi dan Samad tergelak besar.

            “Kau nak aku main kasar ke?” Samad tersengih nakal.

            “Suka hati kauoranglah, janji dendam di hati aku ni terbalas. Perempuan macam tu harus diajar.” Bentak Syahrul. Dia memerhatikan dari dalam kereta, tatkala Fendi dan Samad perlahan-lahan merapati Suraya. Dia tersenyum senang. Padan muka dia! Dia ingat dia cantik sangat agaknya! Tapi sejurus kemudian, Syahrul terdiam. Memang cantik! Kalau tidak masakan dia terpikat pada gadis itu.

            Asalnya hubungan mereka baik-baik sahaja. Dia pula kerap membawa Suraya keluar. Beribu duitnya habis membeli hadiah yang mahal-mahal untuk gadis itu.  Malah dia sudah berangan-angan mahu membawa gadis itu berjumpa keluarganya di kampung. Hajatnya ikhlas untuk mempersuntingkan Suraya.

Namun harapannya punah di tengah jalan. Siapa yang tak hampa bila akhirnya pelaburan yang dibuat langsung tak mendatangkan keuntungan. Sejak seminggu yang lalu, Suraya mula dingin dengannya. Tambah dia bengang apabila terserempak Suraya berpegangan tangan dengan lelaki lain di pusat beli belah beberapa hari yang lalu. Apabila ditanya Suraya memberi alasan rakan sekerja. Rakan sekerja konon! Rakan sekerja apa sampai berpegangan tangan begitu. Syahrul mencebik. Mati-mati dia ditipu oleh perempuan selicik Suraya.

            Dari jauh dia melihat gadis itu dikelilingi oleh teman-temannya. Wajah Suraya nampak takut. Syahrul ketawa terbahak-bahak. Rasakan!

            You nak apa ni? Please jangan ganggu I, boleh tak?” Suraya meraba-raba tas tangannya. Namun entah apa malangnya, kunci kereta yang dicari gagal ditemui.

            “Kami bukan nak ganggu cik adik, kami cuma nak ajak cik adik ni temankan kami malam ni. Tentu boleh kan?” Fendi tersengih.

            You all jangan nak cari fasal. I jerit nanti.” Ugut Suraya.

            “Oh nak jerit. Ha tunggu apa lagi, jeritlah.” Fendi membakar emosi gadis itu. Samad di sebelahnya perlahan-lahan  merapati gadis itu. Suraya semakin gementar.

            “Hmm cantik juga perempuan ni Fendi. Patutlah member kita tu terbakar sangat.” Samad ketawa kecil. Tangannya naik ke wajah Suraya. Gadis itu menepis.

            “Jangan kurang ajar!”

            “Hui melawan nampaknya,” Samad semakin galak ketawa. Suraya menggigit bibir. Terasa geram sekaligus marah. Dia terus mencari kunci kereta, namun yang ditemuinya hanyalah botol ‘pepper stray’ yang sentiasa tersimpan di dalam tas tangannya. Dia menggenggam botol itu di belakangnya. Kalau lelaki itu cuba berbuat sesuatu yang tidak senonoh terhadapnya, dia akan menggunakan ‘pepper stray’ itu.

            “Abang nak cium sikit boleh tak sayang?” Samad menyakat. Mulutnya dimuncungkan ke arah Suraya.

            “Kalau abang tu dapat, abang yang ini pun nak.” Pintas Fendi pula galak. Dia melangkah menghampiri gadis itu. Suraya mengundur selangkah dua. Dia menarik nafas panjang. Namun belum sempat dia bertindak, tubuh Fendi seolah tertarik ke belakang. Pemuda itu jatuh terhempas. Suraya tercengang.

            Samad yang juga tergaman segera menoleh. Seorang lelaki tinggi lampai berwajah serius, menatap tajam ke arahnya. Samad mengetapkan bibirnya. Geram. Dia memandang Fendi yang terkiai-kiai cuba bangun.

            “Bedebah! Kau ni siapa pulak?” Bentak Samad.

            Pemuda itu tidak menjawab. Suraya tersenyum senang. Dia segera mengundur ke tepi. Entah kenapa dia betul-betul bertuah malam ini. Dia diselamatkan oleh lelaki itu, umpama puteri raja dalam cerita dongeng yang pernah dibacanya sedari zaman kecil.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!