Followers

Monday, July 12, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 17

Nazrul hanya berdiam diri ketika dalam perjalanan menghantar Suria pulang. Melihat gadis itu lebih senang membisu, dia turut mengikut rentak yang sama. Tapi sebaik keretanya sudah menapak di hadapan rumah gadis itu, dia mula bersuara.

“Kalau saya takutkan Suria dengan kata-kata saya tadi, saya minta maaf. Saya tak bermaksud nak susahkan hati Suria.” Ujar Nazrul perlahan.

Suria melirik lelaki itu dari sisinya. Kata-kata Nazrul membuatkan dia berasa serba-salah.

“Saya bukan terkejut sebab apa, tapi semua ni berlaku terlalu pantas. Awak baru jumpa saya beberapa kali, tapi tiba-tiba aje awak cakap yang awak sukakan saya. Rasanya mana-mana perempuan yang normal pun akan terkejut kalau diberitahu begitu.” Selar Suria dengan nada gementar.

“Janggal ke kalau saya cakap yang saya sukakan Suria? Lagipun, tak ada istilah manusia itu harus jatuh cinta setelah seratus kali bertemu atau seribu kali keluar bersama. Saya lelaki yang praktikal, Suria. Kalau baru satu jam saya jumpa dengan Suria pun, saya mungkin akan berkata hal yang sama.” Nazrul cuba mempertahankan pendapatnya.

Suria terdiam seketika. “Itu awak, tapi saya lain Nazrul. Mungkin didikan dan cara hidup kita tak sama. Saya diajar ayah agar tak cepat membuat keputusan. Setiap jalan yang saya lalui, harus difikirkan baik atau buruk. Itu kan rencah kehidupan.” Balas Suria tidak bersetuju.

“Bagi saya, cinta adalah satu getaran perasaan yang boleh dihantar ke dalam hati hanya dalam masa sesaat saja. Kerana itu saya percaya pada cinta pandang pertama. Dan entah kenapa, hanya wajah Suria yang terpahat di hati saya ketika ini.” Bisik Nazrul telus.

Suria terkesima. Aduh! Dia dah mula balik dah! Jiwang karat betul mamat ni. Suria cepat-cepat membuka pintu kereta di sampingnya. Dia sudah bersedia mahu melangkah turun. Lagi lama dia di situ bersama Nazrul, jiwanya yang brutal akan bertambah lemas dengan ledakan perasaan.

“Selagi Suria tak setuju jadi teman wanita saya, selagi itu saya akan terus pikat Suria sampai dapat.” Jerit Nazrul sebaik anak gadis turun dari perut kereta.

Suria terbeliak mendengar jeritan Nazrul yang pasti bergema di kawasan perumahan itu. Aduh Malunya! Cepat-cepat dia beredar ke dalam rumah tanpa berpaling ke arah lelaki itu lagi.

Melihat tubuh gadis itu semakin menghilang, Nazrul mengeluh panjang. Namun sesaat dua, keluhan itu berganti dengan senyuman yang tak lekang dari bibirnya. Terasa lucu sebaik teringatkan wajah malu-malu kucing Suria yang memikat hatinya.

* * * *

“Baru balik?” Tegur Baharom yang sedang membaca akhbar di ruang tamu. Suria yang baru melangkah masuk, terkejut melihat Baharom yang masih menantinya di situ. Dia mendongak ke arah jam di ruang tamu.

“Suria ingatkan ayah dah tidur.” Dia melepas lelah di sisi ayahnya. Baharom mengerling anak gadisnya dengan penjuru mata.

“Macamana ayah nak lena kalau anak gadis ayah masih belum pulang. Sudahlah tu keluar dengan lelaki yang ayah tak berapa kenal pulak.” Tempelak Baharom. Suria tersenyum kecil.

“Habis tu kenapa ayah benarkan Suria keluar dengan dia?” Dia tersengih memandang Baharom. Sengaja mahu mengusik ayahnya. Baharom ketawa besar. Kali ini dia dikenakan anak sendiri!

“Siapa lelaki tu?” Soal Baharom ingin tahu.

“Dia bos Suria dekat pejabat.” Jawab Suria selamba.

“Bos? Maksud Suria kat stesyen TV tu?”

“Yup, dia Ketua Operasi kami yang baru gantikan tempat Encik Kamaruddin yang dah bersara. Baru balik dari London. Suria pun tak berapa kenal sangat dengan dia ayah.” Ujar Suria. Baharom mengerutkan dahinya.

“Kalau tak kenal, kenapa Suria setuju keluar dengan dia? Suria nak ayah siasat fasal dia? Suria bagi nama penuh dia, nanti ayah check details dia dengan kawan-kawan ayah di ibupejabat.” Wajah Baharom semakin serius.

Suria terpaku. Seketika kemudian dia ketawa terkeheh-keheh. Entah kenapa kata-kata lelaki itu melucukannya. Perlukah sampai begitu?

“Tak payahlah ayah. Maksud Suria, Encik Nazrul tu baru pindah kat stesyen TV kami. Dia anak Dato’ Hamdan, CEO stesyen tu. Tapi Suria rasa dia tu baik orangnya. Yang ayah sampai nak siasat dia ni kenapa? Suria bukannya nak kahwin dengan dia pun.” Gelak Suria tak henti-henti.

“Ayah cuma bimbangkan Suria.” Suara Baharom mendatar.

Suria tersenyum. “Suria dah besar panjang, ayah. Insya Allah, Suria boleh jaga diri sendiri. Suria nak naik atas dulu. Penat sangat badan Suria hari ni ayah.” Ujar anak gadis itu lalu segera mendaki tangga ke tingkat atas. Baharom hanya mampu memerhatikan gerak geri anak gadisnya dengan keluhan fikiran kusut.

“Suria boleh jaga diri sendiri, ayah.” Kata-kata Suria sebentar tadi bermain semula di fikirannya. Dia menarik nafas. Terasa berat dan terasa semakin menyeksanya.

“Sebenarnya… itulah yang paling merisaukan hati ayah, Suria.” Bisik Baharom dengan wajah rungsing.

* * * *

Nazrul membuka pintu apartmentnya dengan lagak malas. Sebaik daun pintu rumahnya dikuak, tiba-tiba sekilas udara sejuk menerjah ke wajahnya. Dia tergaman. Serta-merta gerakan matanya memusat ke suatu arah. Pandangannya tajam. Sekujur tubuh yang berdiri di hadapan jendela dan membelakanginya, diawasi dengan ketat.

Nazrul menutup pintu di belakangnya perlahan-lahan. Matanya tak sudah-sudah memandang lembaga itu. Seolah menyedari kehadirannya, lembaga itu menoleh lalu menampakkan seraut wajah dingin.

“Ibu.” Sebut Nazrul perlahan.

Wanita berusia dalam lingkungan 50an yang masih nampak menarik itu, memandangnya dengan tatapan mata yang tajam dan dingin.

“Dari mana ni?” Pertanyaan itu menyusuri cuping telinga Nazrul.

“Ibu tidak perlu tahu.” Jawab Nazrul. Langkah kakinya diatur menuju ke arah ruang tamu. Remote control di atas meja dicapai sebelum dia mula memasang televisyen. Kehadiran wanita itu dibuat endah tak endah.

“Jangan nak bersikap kurang ajar Naz. I’m your mother and I’m still.” Herdik wanita itu. Nazrul mendongak memandang wanita di hadapannya. Telinganya menangkap setiap perkataan yang meniti keluar dari bibir yang merah menyala itu.

“Since when you are my mother?” Sindir Nazrul, sinis. Wajah Yong Habibah berubah.

“Jangan jadi macam budak-budak Naz. Kamu masih ada tanggungjawab kamu pada keluarga kita.” Sahut Yong Habibah keras.

Tanggungjawab? Nazrul seperti mahu ketawa. Tanggungjawab apakah yang dimaksudkan oleh wanita itu? Sejak kecil dia telah dibebankan dengan tanggungjawab gila yang kononnya diamanahkan kepadanya.

“Go to hell with that word.” Herdik Nazrul tiba-tiba.

Yong Habibah tergaman mendengar nada bicara Nazrul yang keras. Dia mengemaskan posisi tubuhnya. Renungannya dilontar tajam ke arah Nazrul. Anak muda itu sudah lari dari norma-norma yang diterapkannya sedari kecil. Mungkin kerana terlalu lama menghirup udara di bumi asing sehingga lelaki itu semakin lupa pada sebuah realiti yang harus mereka pertahankan bersama. Tidak! Nazrul tidak harus dibiarkan begitu. Anak itu harus disedarkan. Dia harus mengembalikan Nazrul agar bersiap sedia seperti yang dilakukannya sejak lelaki itu masih kecil.

“Kita bukan orang biasa Na. Keturunan kita bukan keturunan biasa. Sejak kecil ibu dah berulangkali mengingatkan Naz. Kita ada tugas penting. Dan tugas ini harus dilaksanakan untuk kepentingan semua pihak.” Pujuk Yong Habibah, mulai berlembut dengan Nazrul.

“Kita hanya orang biasa ibu. Sekurang-kurangnya dulu sewaktu ayah dan Najmi masih hidup. Tapi ibu yang mengubah hidup kami semua menjadi seperti yang ibu mahukan. Ibu yang merampas hidup kami. Hidup Naz dan hidup Najmi jadi begini kerana ibu.” Ungkap Nazrul dengan perasaan marah yang beramuk di dada.

Yong Habibah tergaman. Nama Najmi meniti dari bibir Nazrul. Perlahan-lahan dia menghindar diri dari sisi Nazrul. Kesabarannya teruji. Dia melangkah pantas ke arah jendela. Renungan matanya tumpah ke luar jendela.

“Najmi juga anak ibu..but how could you!” Suara Nazrul menahan sebak. Lelaki itu segara beredar ke biliknya. Daun pintu dihempas agak kuat.

Yong Habibah memejamkan matanya. Setitis airmata gugur jua tanpa disedari. Rupa-rupanya selama ini Nazrul menyalahkannya atas apa yang berlaku pada Najmi. Naz, maafkan ibu. Naz takkan faham semua yang telah ibu lakukan. Tak mungkin ibu tidak mengasihi Najmi, sedangkan dia adalah darah daging ibu sendiri. Tapi semua ini harus dilakukan atau kita semua akan menerima bencana!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!