Followers

Friday, April 16, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 1

MATANYA liar mencari kelibat seseorang namun dia hampa. Setiap orang yang keluar masuk dari pintu DK itu diperhatikan tapi orang yang ditunggunya tidak juga muncul. Tempat duduk Dewan Kuliah Cempaka itu semakin dipenuhi pelajar. Seorang pelajar berbangsa Cina memandangnya, seolah-olah meminta izin untuk duduk di tempat kosong di sebelahnya.

“Sorry, dah ada orang,” dia tersenyum simpul. Pelajar berbangsa Cina itu hanya mengangguk sebelum beredar ke bahagian atas.

“Alamak mana minah ni, dah dekat pukul 10 dah ni. Takkan lupa hari ni ada tutorial.” Syazana menggaru kepala yang tidak gatal. Sekejap-sekejap dia menjengah telefon bimbitnya mengawasi sebarang panggilan atau pesanan dari orang yang dinanti-nantikannya. Tak ada pulak!

“Sorry, tempat ni dah ada orang duduk tak?” satu suara menegurnya dari belakang. Syazana yang keresahan acuh tak acuh melayan sambil menekan-nekan keypad di monitor telefon bimbitnya.

“Maaf, kawan saya….”

Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, tubuh itu segera duduk di sebelahnya. Syazana tergaman lalu menoleh. Melihat wajah orang di sebelah, dia tercengang.

“La..kau rupanya. Hantu betul!” Jerit Syazana, lupa sebentar di mana dia berada. Gadis di sebelahnya turut ketawa.

“Amboi sampai tak sedar aku datang, melamun apa?”

“Hmm…melamunkan tuan puteri yang tak kunjung tiba. Berjanggut aku tunggu kau. Nasib baik burung pungguk tu tak sampai lagi, kalau tak panjang berjela aku disoalnya.” Syazana pura-pura marah.

“Sorry, aku lambat sebab jumpa Prof. Halim, hantar assignment.” ujar Aliya ringkas. Dia segera membuka failnya lalu mengeluarkan nota-nota kuliah yang lalu. Kehadiran Doktor Aidit di muka pintu menggamit perhatian. Syazana di sebelahnya dijeling. Gadis itu melirik nakal.

“Kelas, sorry saya lambat. Cik Aliya Murni ada?” Mata lelaki itu kelihatan mencari-cari di sebalik ratusan pelajar yang sudah menempati dewan kuliah. Kata-kata Doktor Aidit, membuatkan seisi kelas tertumpu ke arah Aliya yang kelihatan gugup.

Syazana diam-diam cuba menahan tawa dari meletus keluar. “Kan aku dah kata tadi. Dia mesti cari kau punyalah.” Bisiknya perlahan. Aliya tidak mengendahkan kata-kata Syazana. Dengan segera dia mengangkat tangan dengan muka selamba. Pensyarah muda itu tersenyum memandangnya.

“Okey sebelum saya mulakan tutorial kita hari ini, saya ada sedikit pengumuman yang hendak dibuat. Dua minggu lagi saya terpaksa ke Vienna untuk menghadiri satu kursus, mungkin kali ini agak lama..” kata-kata Doktor Aidit terhenti apabila melihat gelagat beberapa orang pelajarnya yang kelihatan seronok mendengar isi berita yang baru disampaikannya.

“But, don’t be too excited. Walaupun saya tak ada, tapi kelas ini akan tetap berjalan seperti biasa. Ada pensyarah dari luar akan menggantikan tempat saya buat sementara.” Jelasnya.

Nada keluhan bertalu-talu singgah dari setiap penjuru DK. Dr. Aidit hampir tergelak memerhatikan gelagat pelajar-pelajarnya. Namun dia tidak menyalahkan sikap anak-anak muda itu, kerana alam universiti begitulah ragamnya. Dia sendiri pun begitu juga semasa menuntut dulu. Jika kelas dibatalkan, dialah orang pertama yang cukup seronok. Mulalah sibuk merancang ke sana ke mari bersama teman-temannya, menikmati dunia remaja yang penuh keseronokan.

“Lia, kau rasa lecturer baru kita nanti handsome tak?”

“Mana le aku tau, apasal kau tak tanya je Dr. Aidit tu...”

“Hish gila kau, satu dewan kuliah ni gelakkan aku nanti.”

“Tau pun kau, lagipun nak kira apa dia ‘handsome’ ke tak, takde bezanya pun. Dekat ‘U’ kita ni saja berlambak yang ‘handsome’, termasuklah abang kat kantin fakulti kita tu,” jawab Aliya acuh tak acuh.

“Yalah ‘handsome’ pun bukannya kau nak layan, si burung pungguk tu pun kau tak pandang. Asyik-asyik dengan bapak cyber kau tu aje. Kadang-kadang aku pun naik hairanlah dengan kau ni. Seram pun ada. Jumpa tak pernah, bercakap dalam telefon pun tak pernah. Tapi boleh syok semacam. Hai apalah nak jadi dengan member aku ni,” Keluh Syazana sambil menggelengkan kepalanya. Aliya sekadar tergelak kecil. Dia tahu Syazana hanya mengusik.

* * * *

“KAK ALIYA, ada orang nak jumpa kat bawah,” jengah Intan, budak tahun pertama Fakulti Undang-Undang yang duduk di hadapan biliknya. Aliya yang sedang membelek-belek buku rujukan di mejanya memandang Syazana dengan wajah bingung.

“Kau ada janji dengan siapa?” Tanya Syazana, turut hairan.

“Rasanya tak ada. Siapa Intan?” Aliya menyoal ingin tahu.

“Rahsia, mana boleh cakap…” gadis itu tersenyum lebar lalu terus beredar.

“Laa budak ni, main rahsia-rahsia pulak. Tak apalah, aku keluar kejap ye Sya.” Dia bingkas bangun lalu bersiap ala kadar. Rambutnya yang panjang disikat kemas dan diikat ekor kuda. Nasib baik t-shirt yang dikenakannya tidak terlalu lusuh, kalau tidak malu juga dia hendak turun ke bawah.

Apabila tiba di foyer kolej, kepalanya tertinjau-tinjau gerangan orang yang ingin bertemunya. Dari jauh, dia terpandang kelibat seorang lelaki tua sedang bercakap-cakap di kaunter foyer. Apabila lelaki itu berpaling, Aliya tidak dapat menahan gembira..

“Pak Kassim!” Dia menjerit girang. Terkejut orang tua itu apabila disergah Aliya begitu. “Lia ni...macam nak luruh jantung Pak Kassim ni dibuatnya.” Orang tua itu sempat merungut sambil mengurut-urut dadanya. .

“Maaf Pak Kassim, Lia seronok jumpa Pak Kassim sampai lupa pulak. Jom kita duduk kat kerusi depan tu.” Pelawanya. Orang tua itu hanya mengikut tanpa banyak soal.

“Macamana Lia tau Pak Kassim nak datang? Pak Kassim baru nak beritahu orang kat kaunter tu suruh panggil Lia.” Ujar lelaki itu seraya duduk di kawasan bangku kayu di perkarangan asrama.

“Panggil Lia? Tapi tadi kan...” Aliya tidak jadi meneruskan kata-katanya. Dia mula diterpa kehairanan. Ada orang lain ke yang nak jumpa aku? Dia memerhatikan di sekelilingnya, tapi tidak mengecam pula sesiapa yang dikenalinya di situ.

“Apahal Pak Kassim datang? Ada hal apa?”

“Pak Kassim nak jenguk Lia. Apa Lia sihat?”

“Alhamdulillah sihat Pak Kassim. Badan Lia ni kuat, Pak Kassim tak payahlah risau.” Gadis itu tersengih lebar.

“Alhamdulillah kalau begitu, senang hati Pak Kassim.” Orang tua itu turut tersenyum.

“Daddy sihat Pak Kassim?”

“Tuan sihat. Dia kirim salam pada Lia. Katanya dia dah masukkan tiga ribu dalam akaun Lia baru-baru ni. Dia suruh Lia gunakan duit tu kalau nak beli apa-apa.” Sahut Pak Kassim.

Aliya terdiam. Lagi-lagi berita fasal duit yang disampaikan oleh orang tua itu. Entah mengapa tercuit sedikit perasaan kecewa di hatinya.

“Duit Lia masih banyak lagi kat bank tu Pak Kassim. Tak terpakai pun. Pak Kassim tolong beritahu daddy, lain kali tak payahlah masukkan duit lagi. Duit biasiswa Lia pun masih belum terusik.”

“Hajat tuan Lia, terima sajalah.” Sahut Pak Kassim dengan suara mendatar.

Aliya terdiam. Dia tidak tahu hendak cakap apa lagi. Sudah terlalu banyak dia termakan budi. Tak terbalas rasanya!

* * * *

DIA mengusap perlahan-lahan komputer riba yang masih terpasang di meja studynya. Komputer lamanya sudah diserahkan pada adik-adiknya di rumah Seri Kenangan. Biarlah mereka merasa sama kemudahan yang dirasakannya.

Setelah dia mendapat surat tawaran universiti hampir tiga tahun lalu, dia dibelikan komputer riba baru berjenama ‘Acer’. Kata daddy, komputer riba itu sebagai hadiah atas kecemerlangannya dalam keputusan matrikulasi. Seperti biasa, Pak Kassim yang menghantarnya.

Bukan dia tidak pernah bersyukur mendapat segala kemudahan untuk belajar. Tidak semua orang bernasib baik sepertinya. Tapi dia juga manusia biasa. Punya hati dan perasaan. Keinginan untuk mengenali lelaki yang banyak berbudi kepadanya tidak mampu ditahan. Siapakah dia? Bagaimanakah rupanya? Semua itu sentiasa bermain di fikirannya saban waktu. Pernah dia cuba bertanyakan tentang ayah angkatnya dari Ibu Fatimah, tapi sia-sia sahaja. Sebaliknya Ibu Fatimah menyuruhnya bersabar dan bersyukur dengan apa yang dimilikinya.

Setahun dua tahun, mungkin dia mampu bersabar. Mungkin tahun-tahun seterusnya juga dia memaksa diri untuk bersabar. Tapi sampai bila?

Kadangkala dia sendiri keliru dengan identiti ayah angkatnya. Siapakah lelaki itu? Apakah namanya dan bagaimana rupanya? Semua persoalan itu sering berlegar di fikirannya sehingga adakala dia merasa seperti lelah. Penat mencari jawapan sedangkan jawapan itu tidak pernah ada!

Anehnya, dia hanya tahu lelaki itu seorang yang kaya raya. Jika tidak, masakan dia dibekalkan dengan pelbagai hadiah yang mahal-mahal serta wang perbelanjaan yang lebih dari mencukupi untuk digunakan.

Isyarat ‘buzz’ menganggu lamunannya. Dia segera menjengah ke arah skrin komputer ribanya. Bibirnya menguntum senyuman riang. Orang yang ditunggu-tunggu sudah menanti di ‘chatroom’.

“Lia buat apa tu? Daddy ganggu Lia study ke?”

Aliya tersenyum membacanya lantas mula menaip.

“Taklah, Lia belum tidur. Dah lama daddy tak contact Lia. Daddy pergi mana?”

“Sorry sayang, daddy ada ‘conference’ kat London seminggu. Pagi tadi baru sampai, penat masih ada ni.”

“Ingatkan daddy dah lupakan Lia.”

“Merajuklah tu.”

“Tak. Marah aje, sebab daddy macam tak sudi nak jumpa Lia.”

“Daddy bukan tak nak jumpa, belum masanya lagi.”

“Habis bila masa yang sesua?. Lia dah 22 tahun tau tak. Takkan nak tunggu sampai Lia dah kahwin nanti baru daddy sudi jumpa Lia.”

“Ada orang nak kahwin dengan Lia ke? Ha ha ha!”

Aliya juga tergelak membacanya.

“Sudahlah tu, jangan marah daddy lagi. So cerita sikit pasal pelajaran.”

“Okey tak lama lagi final exam. Lepas tu Lia kena bersedia untuk buat praktikal.”

“Hmm bagus tu. Dah ada tempat untuk praktikal?”

“Belum. Dr. Aidit cakap dia nak uruskan.”

“Si Aidit tu masih mengorat Lia lagi ke?”

“Daddy...seriuslah sikit. Asyik nak usik Lia aje.”

“Okay sorry, tapi kalau ya pun apa salahnya kan…”

“Malaslah nak layan daddy ni.”

“Lia ni suka merajuklah.. Nanti lama-lama daddy pun nak merajuk sama. Lia belum nampak daddy merajuk, habislah Lia nanti.”

“Macamana Lia nak nampak, daddy yang tak nak jumpa Lia.”

“Dah mula lagilah tu. Tadi Pak Kassim datang tak?”

“Ada dia datang.”

“ Oppss alamak ada orang call daddy ni, kita stop sini dulu ye sayang.”

Aliya menarik nafas. Jika diikutkan hati, dia masih mahu melanjutkan chatting mereka. Tapi apakan dayanya. Hendak tak hendak dia memaksa diri mengatur jari-jemarinya di atas papan kekunci.

“Okaylah, Lia pun nak sambung study. Bye daddy.”

“Bye sayang. Study baik-baik tau.”

Klik! Dia segera mematikan link YM dan laptopnya. Sudah lama laptopnya terpasang semata-mata mahu menunggu lelaki itu. Meskipun dia hanya dapat bersembang sebentar sahaja dengan lelaki itu, tapi dia sudah merasa puas. Tidur malamnya tidak lagi dalam keadaan sepi.

Daddy! Bisik Aliya berkali-kali. Ada keluhan kecil meniti dari bibirnya. Petanda bahawa dia masih mengharapkan lelaki itu memenuhi harapannya yang satu itu. Tapi lelaki itu sentiasa mengelak setiap kali dia mengungkit benda yang sama.

Kenapa daddy enggan jumpa Lia? Tahukah daddy betapa Lia teramatkan rindukan daddy. I missed you so much daddy! Bisiknya sambil merangkul bantal peluknya sendiri.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!