Followers

Tuesday, June 8, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 12

Suara bayi menangis mengejutkan dia dari tidurnya. Dia terpisat-pisat membuka mata. Biji matanya bergerak-gerak cuba mendengar dengan teliti. Siapa yang menangis? Anak jiran sebelah apartmentnyakah?

Hadif bingkas bangun lalu melontar selimut. Dia membuka pintu biliknya lalu keluar. Suara bayi menangis masih jelas kedengaran. Dia mencari-cari arah bunyi. Aneh! Setahunya, jiran di sebelah rumahnya tidak mempunyai bayi. Anak bongsu pasangan itu baru sahaja masuk darjah satu tahun ini. Habis dari mana datangnya bunyi bayi menangis itu? Apakah ini hanya perasan aku sahaja?

Hadif menjenguk melalui tingkap, namun dia tidak nampak apa-apa yang mencurigakan. Suara tangisan bayi itu semakin kuat membuatkan Hadif semakin gelisah. Dia memusingkan tubuhnya. Nafasnya terhenti seketika. Sesusuk tubuh berdiri di hadapannya dengan senyuman sinis. Hadif mengendurkan nafas.

“Ijok? Bila kau balik? Aku tak perasan pun.” Tegur Hadif dengan debaran yang tak kunjung padam. Ijok tidak menjawab. Langkahnya diatur ke arah Hadif. Wajah lelaki itu direnung tajam.

“Kau nampak gelisah. Kenapa?” Dia menyoal ingin tahu.

Hadif terdiam. Dia memicing telinga. Suara tangisan bayi itu sudah hilang. Matanya kembali terperosok ke wajah Ijok.

“Aku tak boleh tidur.” Balasnya ringkas. Dia tidak berniat mahu memberitahu Ijok tentang suara yang didengarinya, apatah lagi apabila dia melihat Ijok seperti tidak terjejas apa-apa dengan suara tersebut.

“Kau patut tidur bila ada peluang. Bila masa itu tiba, kita mungkin sudah tidak ada peluang untuk tidur lagi, atau mungkin juga kita akan tidur buat selama-lamanya.” Ijok tersengih menampakkan sederetan barisan gigi yang cantik tersusun.

Hadif terdiam. Kata-kata Ijok membuatkan dia kurang senang.

“Macamana dengan tugas kau?” Soalnya ingin tahu. Ijok berpaling.

“Kerja aku beres seperti yang diarahkan. Kau tak payah risaukan aku sebab aku tak terima arahan dari kau. Arahan aku datang terus dari ibu. Jadi semua kerja aku, aku tak perlu bincangkan dengan kau.” Jawab Ijok angkuh.

Hadif menarik nafas panjang. Sikap lelaki itu tidak pernah berubah sejak dari mula. Sentiasa sukar difahami dan sukar juga diajak bekerjasama. Padahal semenjak kecil mereka membesar bersama-sama. Menempuh susah dan senang bersama. Sikap Ijok benar-benar tidak ada bezanya dengan Nazrul sendiri.

“Kau ada pergi ke KZM tadi?” Soal Hadif tiba-tiba. Ijok memandangnya.

“Kenapa?”

“Nazrul nampak kau. Dia tak mahu nampak muka kau kat sana lagi.” Ujar Hadif sekadar menyampaikan keinginan Nazrul. Ijok ketawa besar. Dia menggelengkan kepala lalu merebahkan tubuhnya ke dada sofa dalam keadaan santai.

“Well macam aku kata tadi, aku hanya terima arahan dari ibu.” Balas Ijok mudah.

Mata Hadif terbuka luas mendengar kata-kata Ijok.

“Ibu suruh kau ekori Nazrul?” Soal Hadif ingin tahu.

Ijok ketawa lagi. Meskipun ketawanya benar-benar menjengkelkan Hadif, namun dia cuba bersabar. Kata-kata lelaki itu menjadi keutamaannya sekarang.

“Hadif, urusan kita berdua berbeza. Kita juga saling berbeza dalam menjalankan tugas. Kau fikir kenapa ibu hantar aku untuk mengesan perempuan tu?” Ijok memandang Hadif tidak berkelip. Dan seperti sangkaannya, Hadif sendiri tidak pasti apa sebabnya.

“Sebab untuk mendapatkan benda itu, aku terpaksa membunuh. Ibu paling tahu siapa di antara kita yang paling mampu melaksanakannya. Kau dan Nazrul sama sahaja. Sama-sama lembut hati.” Ujar Ijok dengan sorot mata tajam. Hadif terpempan.

* * * *

Ketika budak lelaki berusia belasan tahun itu dipaksa masuk ke gelanggang silat, dia hanya memerhatikan dari tepi. Dari dulu dia sudah tertarik dengan sikap budak lelaki itu. Sikap budak lelaki itu seakan tidak mahu bercampur dengan mereka semua. Malah tidak mahu ikut serta dengan latihan silat mereka setiap malam.

“Siapa nama kau?” Dia memberanikan diri menegur. Budak itu hanya membisu.

“Aku Hadif.” Dia menghulurkan tangannya. Pandangan mereka bertembung. Dia tersenyum. Namun senyumannya dibalas dengan cebikan. Dia sekadar ketawa. Perasaan tersinggung langsung tidak wujud dalam kamus hidupnya.

“Kau nak sebilik dengan aku?” Dia bertanya. Cuba memancing helah agar budak lelaki itu mahu bersuara. Lagipun usianya hampir sebaya dengan budak lelaki itu.

“Tak usah sibuk-sibuk pedulikan dia. Lagipun dia bukan setaraf dengan kita.” Sampuk seorang budak lelaki yang berkulit hitam legam. Mata budak lelaki itu beralih arah. Wajah Ijok yang tersengih-sengih dipandang dengan jelingan tajam. Sesaat kemudian dia bangun untuk beredar. Ketika itu jugalah Ijok menjulurkan kakinya menyebabkan budak lelaki itu terjatuh. Ijok ketawa besar. Gembira kerana dapat mempermainkan budak lelaki itu.

“Ijok!” Herdiknya secara tiba-tiba. Entah kenapa dia benci melihat sikap Ijok yang suka membuli budak-budak yang lebih muda darinya. Ijok memandangnya. Di bibir itu tersungging sebuah senyuman nipis.

“Ala sikit saja, takkan itu pun nak nangis.” Ijok mengejek lalu memandang ke arah budak yang jatuh itu. Wajah itu sedang merenungnya dengan pandangan tajam. Ijok terus mengusik tidak henti-henti.

Tiba-tiba tubuh Ijok diterkam pantas, menyebabkan dia jatuh terlentang di atas tanah. Matanya membuntang ke arah tubuh yang menolaknya. Sebaik dia melihat wajah budak lelaki itu, Ijok sudah tidak dapat menahan marah. Ijok segera meluru ke arah budak lelaki itu, menyebabkan mereka bergumpal di atas permukaan tanah.

Dia yang menjadi pemerhati pergaduhan antara Ijok dan Nazrul cuba meleraikan. Akibatnya dia turut sama ditumbuk sehingga lebam sebelah mata kirinya. Dan malam itu mereka bertiga didenda sama-sama, terpaksa berlutut dengan perut kosong sehingga ke malam.

* * * *

Hadif mengeluh. Rantai di lehernya disentuh perlahan. Sejak dulu hubungan mereka bertiga tidak pernah baik. Ijok dengan kesombongan dan keegoan yang tidak bertempat. Nazrul pula dengan sikap tertutup yang tidak pernah habis. Dan dia sendiri tetap dengan sikap taatnya. Taat pada ayah angkatnya Hadi serta taat pada wanita yang digelar ‘ibu’.

“Ayah, kenapa Hadif kena ikut perempuan tu?” Dia pernah bertanya begitu dulu.

“Sebab dari dulu, Hadif sudah ditakdirkan untuk berkhidmat demi agama dan keturunan kita. Melindungi orang-orang kita dari kejahatan adalah menjadi tugas kamu kini. Taatilah dia Hadif sepertimana kamu mentaati ayah selama ini.” Bisik ayah angkatnya.

“Tapi Hadif nak tinggal dengan ayah.” Dia merengek. Enggan mengikut wanita yang dimaksudkan ayahnya.

“Hadif, di mana sahaja Hadif tinggal atau dengan siapa Hadif tinggal, ayah akan tetap menyayangi Hadif. Ini tanggungjawab Hadif nak, jadi Hadif kena ikut ‘dia’ pergi. Kat sana nanti, Hadif akan diajar bermacam-macam benda. Hadif akan temui ramai kawan-kawan sebaya Hadif.” Pujuk lelaki itu.

Dan mahu tak mahu dia terpaksa akur. Wanita itu digelar ibu, meskipun dia tidak pernah kenal siapa ibunya yang sebenar. Dia dibawa ke sebuah tempat terpencil dengan menaiki sebuah lori besar bersama beberapa orang kanak-kanak yang tidak dikenali, mengharungi perjalanan yang cukup jauh. Apabila dia terjaga dari tidur, hari sudah mencelah subuh dan dia berada di sebuah vila besar yang mempunyai kawasan yang cukup luas, lengkap dengan sebuah gelanggang silat.

Hadif termenung jauh. Kenangan lamanya dahulu kembali satu persatu dalam ingatannya. Di sanalah dia mula mengenali Ijok dan Nazrul. Dan mulai saat itu mereka sering bersama-sama dalam tempoh yang cukup lama, meskipun tidak pernah sebulu.

Hadif bingkas bangun dari sofa yang didudukinya. Dia mahu keluar sebentar menemui seseorang. Namun belum sempat dia mahu mengatur langkah, tubuhnya tiba-tiba bergegar, seperti terkena renjatan elektrik. Serta-merta dia jatuh ke arah sofa semula.

Mukanya berkerut. Kesakitan di belakang bahunya tiba-tiba menerjah. Dia mengetapkan bibirnya cuba menahan sakit yang tak terperi. Peluh renek mula membasahi tubuhnya. Dia menoleh ke arah bahu kirinya. Parut panjang yang ada di kepala bahunya kini berbekas merah seperti dibakar. Sakitnya tuhan saja yang tahu. Dia menekup parut tersebut dengan tapak tangannya. Namun kesakitan yang dirasainya tidak juga mahu reda.

Saat itulah matanya terpandang sesusuk tubuh wanita berambut panjang di luar jendela. Menyorot ke arahnya dengan sepasang mata yang tajam dan dingin. Dan untuk seketika, nafas Hadif bagaikan terhenti. Matanya membulat ke arah wanita itu, yang melemparkan senyuman sinis dari rekahan bibir yang merah seperti biji saga.

* * * *

Dalam masa yang sama, Suria tiba-tiba terjaga dari tidurnya. Tubuhnya keras kejung. Matanya terbelalak sedikit, cuba mengutip nafas. Dia bermimpi rupanya. Di dalam mimpinya, dia berada di sebuah padang yang amat luas. Udara menghembus nyaman ke wajahnya. Dia memejamkan mata. Cuba merasai nyaman hembusan angin yang bertiup ke arahnya.

Sejurus kemudian dia merasakan desiran angin itu semakin kuat menyapa wajahnya. Dia segera membuka mata. Dan ketika itulah wajah seorang perempuan ayu berambut panjang mengurai, terpacul di hadapan matanya membuatkan dia terpegun.

Tiba-tiba perempuan itu membalikkan tubuh lalu menghilang di sebalik rimbunan rumput-rumput panjang di situ. Tapa disedari kakinya turut ringan melangkah. Dia mahu mengejar wanita itu. Anehnya meskipun wanita itu melangkah perlahan-lahan, tapi kudratnya seolah tidak berupaya mengejar langkah wanita itu. Semakin dia mengejar, kelibat wanita itu semakin jauh. Hingga akhirnya dia lelah sendiri.

“Suria……” Bisikan suatu suara bergema bersama hembusan angin dingin. Dia tergaman. Bisikan itu begitu meruntun hati. Membuatkan dirinya terpesona pada kelembutan suara yang singgah di telinganya.

“Kau siapa?” Dia memberanikan diri bertanya.

Suara itu diam.

“Macamana kau tahu nama aku?” Soalnya belum puas. Satu sentuhan lembut singgah di bahunya. Dia terkejut lalu pantas menoleh. Melihat kelibat wanita itu di belakangnya, dia tidak mampu menahan rasa terkejut. Wanita itu memandangnya sebentar sebelum mendongak ke arah langit. Jari telunjuk wanita itu menunjukkan sesuatu. Dia turut mendongak. Wajah bulan kelihatan cerah malam itu. Dia mengalihkan pandangan. Terasa hairan apabila wanita itu terus menghalakan jarinya ke arah bulan bagaikan ingin mengatakan sesuatu.

Sekali lagi dia mengalihkan matanya ke arah bulan di atas langit. Kali ini dia tergaman. Bulan yang cerah tadi kian bertukar warna. Suasana cerah tadi kian malap ditutupi cahaya bulan yang merah bersinar bagaikan warna darah.

Dia berasa gementar sehingga memaksa kakinya mengundur. Bentuk bulan yang berubah berar-benar menakutkannya. Ketika itulah dia jatuh ke atas hamparan rumput, dan sekaligus membawanya pulang ke alam realiti. Aneh! Mimpi yang berkunjung benar-benar membuatkan dia rasa tubuhnya tiba-tiba tidak sihat. Kepalanya terasa pusing.

Suria bingkas bangun dari pembaringan. Tekaknya terasa haus membuatkan dia mahu melegakannya dengan minuman. Namun baru dua tiga langkah bergerak, tubuhnya terjelepuk di atas lantai dalam keadaan tertiarap tidak sedarkan diri.

* * * *

Seorang wanita melangkah perlahan menyusuri tempat parkir kereta di Aras G, bangunan pejabat 12 tingkat di Tropicana. Dia baru selesai menyudahkan kerja-kerja pejabatnya sehingga pukul 6 petang. Dan kini dia bergegas mahu pulang setelah sehari suntuk menyiapkan kerja-kerja terbengkalai.

Sambil melangkah, dia mencari-cari kunci keretanya dari dalam tas tangan. Namun sebaik kunci yang dicari gagal ditemui, langkahnya berhenti mendadak. Matanya berkerut. Beg tangannya ralit diselongkar semula. Kali ini dengan teliti dan penuh perhatian.

Sejurus melihat kunci keretanya berada bersama-sama kunci rumah dan sebagainya, bibirnya mengorak senyum. Jumpa juga akhirnya. Dia segera mengeluarkan kunci kereta dari dalam tas tangannya. Namun belum sempat dia mahu mengatur langkah kembali, sisi matanya terpandang pintasan bayang-bayang hitam yang muncul di situ. Dia terkejut. Tindakan refleks mendorongnya menoleh. Namun tidak ada sesiapa pun di kawasan parkir itu.

Matanya meninjau di setiap sudut, namun ternyata hanya dia seorang yang berada di situ. Terdapat beberapa buah kereta yang masih terletak di kawasan parkir. Sedikit sebanyak hatinya jadi tenang. Sekurang-kurangnya dia tahu masih ada orang lain di kawasan bangunan itu.

Dia memusingkan tubuh lalu mula melangkah ke arah keretanya. Apabila kunci keretanya dipulas ke dalam lubang kunci, ketika itu muncul sepasang tangan lalu menekup mulutnya dengan sehelai saputangan. Dia meronta-ronta namun tekupan tangan itu semakin kemas. Bau kloroform begitu kuat menusuk. Lama kelamaan dia mula khayal. Matanya terpisat-pisat memandang. Dan pandangan itu semakin lama semakin kelam. Tubuhnya longlai sebelum disambut sepasang tangan yang kekar.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!