Followers

Monday, September 6, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 31

JULIA asyik berulang-alik di hadapan bilik mesyuarat sedari tadi. Dia sengaja berbuat begitu kerana hendak melihat gadis yang menjadi pembantu baru Ikram. Sejak dua tiga hari yang lalu, dia sering mendengar ramai staff-staff asyik memperkatakan tentang gadis itu. Kononnya gadis itu cekap melakukan sebarang kerja yang ditugaskan kepadanya.

Dia juga sering bertembung dengan Ikram bersama-sama gadis itu. Entah mengapa, melihat keakraban yang mula terjalin antara Ikram dan gadis itu, hati Julia sedikit sebanyak merasa tidak senang. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia merasakan begitu. Entah sejak bila dia mula merasa tidak senang hati melihat Ikram melayan gadis itu cukup mesra. Cemburukah dia? Irikah dia? Tapi kenapa dia harus merasakan perasaan itu sedangkan Ikram bukanlah sasaran utamanya. Mustahil dia akan menyukai seorang lelaki yang kerap menyakitkan hatinya, malah saban waktu asyik mencari salahnya.

“Yang kau berdiri kat sini kenapa? Dah tak ada kerja nak buat?” Terkulat-kulat dia jadinya apabila dijerkah oleh Ikram. Apabila dia meluruskan pandangan, matanya tertumpu pada gadis yang berada di belakang Ikram. Julia mengetap bibir rapat-rapat. Tiba-tiba sahaja hatinya terbakar dek api cemburu.

“Siapa tu Encik Ikram?” Soal Aliya sebaik sahaja gadis itu beredar dari situ.

“Syarifah Julia Wirda, eksekutif pemasaran kat sini. Sepupu bos kita.” Beritahu Ikram acuh tak acuh.

“Apahalnya tadi tu, macam marah aje? Girlfriend Encik Ikram ya?” Duga Aliya.

Tercetus ketawa lelaki itu apabila mendengar kata-kata Aliya. Simpang malaikat empat puluh empat. Kalau Julia jadi teman wanitanya, mahu menangis tak berlagulah mak ayahnya di kampung.

“Perempuan garang macam tu? Hiss minta dijauhkan tuhan. Tapi kalau macam Aliya, beruntunglah saya.” Gurau Ikram. Aliya tergelak besar. Lucu mendengar kiasan Ikram.

“Apa istimewanya saya? Tak ada apa-apa pun jika dibandingkan dengan Cik Julia yang cantik tu.” Aliya merendah diri.

“Bagi saya Aliya jauh lebih istimewa, lebih cantik. Kecantikan tu tak semestinya dipamer dari raut wajah. Tapi jika dalaman kita cantik, wajah pun akan naik serinya,” Ikram berkata lembut.

“Wah-wah tak sangka Encik Ikram ni pandai bercakap. Nampak macam serius saja rupanya pakar dalam soal mencairkan hati perempuan ya.” Puji Aliya cuba mengambil hati lelaki itu. Terkeheh-keheh Ikram ketawa ‘diangkat’ gadis itu.

Gelak ketawa mereka terdengar sehingga ke luar bilik, lalu sempat ditangkap oleh pendengaran Hazril yang kebetulan lalu di situ. Apa yang melucukan sangat tu? Dia menjengah ke arah bilik mesyuarat.

Dari luar jendela, dia nampak jelas raut wajah Aliya yang tersenyum girang melayan Ikram. Hazril bagaikan terpukau menatap senyuman indah gadis itu. Entah mengapa, hati lelakinya bergetar tanpa disedari.

Tiba-tiba mata Aliya merayap ke arah cermin kaca di bilik mesyuarat. Dia bagaikan terlihat sesusuk tubuh di luar. Melihatkan Aliya menoleh, Hazril segera menghindar. Dia berlalu pantas ke biliknya.

“Kenapa Aliya?” Tanya Ikram apabila dilihatnya Aliya seolah-olah terpaku menatap ke suatu arah. Tapi gadis itu hanya mengelengkan kepala. “Tak ada apa-apa,” ujarnya sebelum kembali meneruskan kerjanya. Sesekali dia berpaling sambil mengerutkan dahi. Entah kenapa dia yakin, sememangnya ada seseorang sedang memerhatikannya dari luar bilik. Siapakah orangnya?

*  *  *  *

KALI ini dia masih berdiri di tempat yang sama. Bezanya hanyalah jarak yang agak jauh berbanding jarak sebelum ini. Kali ini dia bagaikan hilang keberanian untuk mendekati bilik itu lagi. Bimbang kehadirannya menarik perhatian seperti sebelumnya. Akhirnya dia hanya mampu duduk di kawasan halaman hospital, memerhatikan orang ramai lalu lalang di hadapannya.

Dia merenung jauh, tapi setiap pandangan yang singgah di matanya kosong. Aliya sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang difikirkannya. Sudah banyak hari dia berfikiran gila begini. Hatinya kacau meskipun dia cuba ketawa di hadapan orang lain. Matanya dipejamkan, cuba untuk mengumpul kekuatan. Suara-suara yang bersimpang-siur di sekelilingnya bagai tenggelam diamuk fikirannya.

Dari jauh, sesusuk tubuh berdiri menghadap ke arahnya. Renungannya tertumpu pada garis wajah yang kelihatan gelisah. Sejak tadi lagi dia sudah mengekori gadis itu ke situ. Bukan niat hatinya untuk mengintip gerak geri Aliya. Bukan juga dia sibuk-sibuk mahu ambil tahu perihal gadis itu. Tapi kehadirannya hari ini bersebab. Semata-mata kerana dia begitu ingin tahu, apakah sebenarnya yang berada di fikiran gadis itu.

Seorang kanak-kanak kecil yang berlari-lari anak tiba-tiba terjatuh di hadapannya. Dia terperanjat. Pantas diangkatnya kanak-kanak itu yang mula merengek-rengek kesakitan.

“Fifi, kenapa ni sayang?” Muncul seorang wanita dalam usia 40an, mendukung seorang bayi kecil.

“Anak kakak ya?” Dia menegur ramah.

“Ya dik. Kenapa dengan Fifi ni?”

“Dia terjatuh tadi, mujurlah tak ada luka di mana-mana.”

“Terima kasih ya sebab tolong kakak. Si Fifi ni memang buas sikit, kalau dipegang asyik terlepas saja.” Rungut wanita tersebut.

“Biasalah kak, budak-budak tengah membesar. Kakak nak melawat siapa ni?” Tanyanya sekadar menunjukkan keprihatinan.

“Kakak nak melawat suami akak. Dia terkena jangkitan paru-paru. Tak apalah dik, akak pergi dulu ya.” Ujar wanita itu sambil bergegas pergi bersama dua anak yang masih kecil.

Dia hanya memandang sehingga kelibat tiga beranak itu menghilang dari pandangan. Bibirnya tiba-tiba mengukir senyuman. Comelnya anak-anak kecil itu. Alangkah indah dunianya jika dia juga memiliki anak-anak yang comel seperti itu. Terasa seperti sebahagian dari hidupnya telah lengkap. Sejurus dia ketawa kecil. Jauh benar angan-angannya itu. Sedangkan isteri pun belum ada, mana datangnya pula anak-anak?

Apabila dia menoleh, wajahnya segera berubah. Sejenak dia hampir terlupa pada Aliya. Liar matanya mengawasi kawasan di sekeliling hospital, namun bayang Aliya tidak kelihatan. Dia mula keresahan. Ke mana sahaja dia pergi? Tanpa disedari, langkahnya diatur separuh bergegas. Matanya menerawang ke setiap ceruk, mencari kelibat Aliya yang lesap tanpa kesan.

Ketika itulah dia melihat Aliya sedang berdiri di hadapan sebuah bilik. Wajah gadis itu kelihatan lesu. Dia hanya mampu mengeluh panjang sambil memerhatikan gadis itu.

“Kalau betul dia mencari pakcik, bermakna dia tahu siapa pakcik. Dan itu bermakna, Aliya semakin dekat dengan kebenaran. Kebenaran yang sudah sekian lama kita sembunyikan.” Kata-kata Doktor Badrul kembali bermain di fikirannya.

Dia mencari kebenaran, sedangkan aku mencari keberanian, hati kecilnya berbisik. Lirih!

“Encik Adam?” Gadis itu menegur. Terkejut melihat kehadirannya di situ ketika ini. Dia tidak bersuara. Hanya senyuman sahaja yang mampu dipamer buat pengganti diri. Kerana sesungguhnya, dia tidak tahu apakah yang patut dibicarakan pada gadis itu.

* * * *

Mereka saling berpandangan. Pandangan kedua-duanya bertaut agak lama. Sejurus masing-masing melarikan anak mata. Aliya sendiri serba-salah dibuatnya. Dia benar-benar tidak sangka boleh bertemu dengan lelaki itu di hospital. Apa dia buat kat sini? Melawat orang sakitkah? Pelbagai andaian menerpa di fikiran Aliya.

Dalam diam-diam dia melirik lelaki itu. Tetap tampan seperti selalu, hanya cara berpakaian sahaja yang sedikit berubah. Lelaki itu nampak segak memakai kot hitam gelap dengan tali leher yang berwarna seragam. Selalunya di kampus lelaki itu lebih senang mengenakan kemeja dengan talileher. Mungkin baru balik dari kerja agaknya. Aliya baru menyedari, rupanya selama ini dia tidak pernah bertanya di mana lelaki itu bekerja. Apa yang dia tahu hanyalah Adam pensyarah ganti untuk subjek Doktor Aidit. Lebih dari itu, dia langsung tidak tahu apa-apa.

“Kenapa diam aje ni? Terkejut tengok saya dekat sini?” Adam bersuara.

“Encik Adam apa khabar? Lama kita tak jumpa kan?”

“Tapi saya hari-hari jumpa Aliya.” Balas Adam.

“Hari-hari?” Wajah gadis itu segera berkerut.

“Dalam mimpi.” Dia tersengih. Aliya tergelak kecil. Dia tahu lelaki itu mengusiknya.

“Encik Adam buat apa kat sini?”

“Aliya pula buat apa kat sini? Sakit?” Pancing Adam, cuba memerhatikan reaksi gadis itu.

“Demam, tapi dah okey dah sikit.”Wajah gadis itu selamba sahaja.

“Macamana praktikal? Dapat sesuaikan diri?” Soal Adam lagi.

“Okey, semuanya baik-baik.” Ringkas jawapan Aliya.

“Baguslah kalau macam tu. Saya gembira jumpa Aliya.”

“Saya pun sama.” Aliya tersenyum. Tuhan saja yang tahu betapa bersyukurnya dia kerana bertemu dengan Adam hari itu. Jika tidak, sudah pasti dia akan mengetuk pintu bilik Doktor Badrul. Dan jika itu berlaku, sudah pasti lidahnya kelu untuk berkata-kata dan dia hanya akan memalukan dirinya sendiri di hadapan lelaki itu.

Adam masih memerhatikan gadis itu. Ada sesuatu pada wajah gadis itu yang menyentuh hati kecilnya. Wajah Aliya seperti menyimpan beban berat. Tersenyum tapi tak ceria seperti selalu.

“Saya selalu menunggu peluang untuk bertemu Aliya.” Ucap Adam perlahan.

“Bertemu saya? Kenapa?” Aliya memandang lelaki itu.

“Entahlah, beberapa minggu tak bertemu terasa rindu pula. Bayang Aliya tak mahu keluar dari hati saya. Kenapa agaknya ya!” Dia tersenyum tenang, meskipun dilihatnya wajah Aliya mulai berubah mendengar kata-katanya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!