Followers

Saturday, March 19, 2011

Sayangku Casper : Bab 46

            TIA merenung wajahnya melalui cermin kecil di dalam tandas pesawat. Sudah hampir setengah jam dia berkurung di dalam. Semuanya gara-gara mahu mengelak dari Rafique. Gila! Mana ada orang yang sanggup bersembunyi dalam tandas lama-lama demi kerana seorang lelaki. Aku memang sudah biul! Gumamnya seraya menggelengkan kepala.
            Dia memandang beg kertas di tangannya. Mujur saiz beg kertas itu cukup besar untuk memuatkan kepalanya. Tapi sampai bila dia harus memakai beg kertas itu? Untuk melangkah melewati Rafique, kepalanya seakan-akan berkematu dengan kebimbangan yang meluap-luap. Dia benar-benar bimbang Rafique mengecam dirinya.
            Miss, are you okay?” Tiba-tiba pintu tandas itu diketuk dari luar. Tia terkesima. Alamak! Baru aje nak perah otak, dia diganggu pula.
            No, I’m not okay. I’m having a terrible stomach ache.” Tia melaung sedikit pada wanita di luar tandas. Pramugari agaknya!
            Is it bad? Do you need help?”
            No thanks. Just give me a few minutes okay? I feel like I’m going to throw up.” Balas Tia lagi. Wanita yang berlawan cakap dengannya dari luar terus diam. Tia memasang telinga. Tidak ada bunyi kedengaran dari luar. Dia menarik nafas lega. Hmm line clear! Now it’s time for plan B!
            Tok! Tok!
            Tia mendengus keras. Ni siapa lagi yang menganggu ni? Kalau nak buang air ke apa ke, carilah port lain! Yang kau sibuk nak kacau port aku ni apasal? Rungut Tia benar-benar geram kerana diganggu berkali-kali. Tanpa berfikir panjang, dia membuka pintu di hadapannya.
            Sorry, I need to use this bathroom, so could you please..”
            Matanya terbeliak. Kata-katanya tidak jadi dilanjutkan lantaran mulutnya terlopong memandang seraut wajah di hadapannya yang sedang tersengih.
            “Lama sangat. Dah sejam kat dalam tu, takkan tak sudah-sudah lagi?” Pertanyaan itu singgah dari bibir lelaki itu.
            Tia tidak tahu apa yang harus dikatakannya. Rafique masih memerhatikannya sambil tersenyum. Sedang dia pula hanya mampu mengeluh. Tak releven rupanya beg kertas yang aku pakai tadi! Bisik hati kecil Tia.
            “Macamana awak tahu?” Tanya Tia dengan mimik muka yang sengaja dicebikkan.
            Rafique menyeluk saku seluarnya lalu mengangkat pasport di tangannya. Tia tergaman. Serentak dia meraba-raba saku bajunya. Alamak! Pasport aku!
            “Awak jatuhkan benda ni tadi, Cik Tia.” Ujar Rafique lalu ketawa kecil.
            “Bagi balik.” Tia cuba mengambilnya. Namun serentak Rafique melarikan pasport di tangannya.
            “Tidak sehingga awak beritahu saya apa yang awak buat dalam flight ni.”
            “Buat apa lagi? Saya nak pergi bercutilah.” Tia beralasan.
            “Pergi bercuti sebelum cuti semester?” Rafique seperti sukar mahu percaya.
            Tia terkedu. Betul juga! Alasan apa yang kau pakai ni Tia? Tapi takkan nak beritahu Rafique, dia lari dari rumah kerana dipaksa kahwin oleh ibu tirinya.
            “Panjang ceritanya Rafique, susahlah saya nak bagitahu.” Rungut Tia lalu menggaru kepala yang tidak gatal.
            “Kalau macam tu ringkaskan saja. Oh ya sebelum tu saya nak minta tolong sangat-sangat. Tolong jangan pakai beg kertas bodoh tu lagi boleh tak? Awak buat saya ketawa pecah perut. Sikit lagi tali perut saya ni nak terburai.” Gelak Rafique gelihati. Tia segera memasamkan mukanya. Sakit hatinya kerana disindir lelaki itu.
*  *  *  *
            Dia sengaja berjalan agak pantas sebaik mengutip bagasinya di kawasan tuntutan bagasi di Lapangan Terbang Charles de Gaule. Ketika melalui pemeriksaan kastam, matanya tiba-tiba terpandang kelibat Rafique yang turut bergegas. Tia segera mempercepatkan langkahnya. Dia tahu Rafique sedang mencarinya. Sengaja dia keluar tanpa menanti Rafique, meskipun lelaki itu berpesan agar dia menunggu berhampiran pintu keluar.
            Buat apa aku nak tunggu dia? Bukan aku nak ikut dia pun! Cebik Tia dengan perasaan dangkal. Dia sempat bertanyakan tentang teksi sapu di kaunter pegawai kastam itu. Mujurlah lelaki itu tahu berbahasa Inggeris. Malah apabila lelaki itu tahu dia datang dari Malaysia, layanan lelaki itu semakin ramah tamah. Ternyata nama Malaysia memberi efek besar pada orang-orang di situ. Sedikit sebanyak, Tia merasa bangga menjadi anak Malaysia. Hidup Malaysia!
            Mulanya dia merasa tidak ada masalah untuknya datang sendirian ke Paris. Segala-galanya berjalan lancar sejak dia menaiki penerbangan itu sehinggalah dia sampai ke kaunter pegawai kastam itu. Tapi apabila dia mahu mendapatkan teksi, masalah mula mendatang. Pemandu berusia 40an itu ternyata langsung tidak memahami bahasa Inggeris yang dituturkannya. Terkiai-kiai dia mahu menerangkan pada lelaki itu ke mana dia mahu pergi. Mujurlah dia teringat mahu menunjukkan kertas alamat yang dibawanya. Sebaik melihat kertas itu, wajah pemandu teksi itu segera berubah.
            Lelaki itu bertutur sesuatu dalam Bahasa Perancis yang langsung tidak difahaminya. Melihat gerak-geri pemandu teksi itu, Tia semakin bingung. Alahai! Macam itik dengan ayam! Keluhnya dengan wajah suram. Menyesal pula dia tidak menunggu Rafique tadi. Sekarang siapa yang susah?
            Melihat pemandu teksi itu tiba-tiba mengangkat bagasinya lalu memasukkan ke dalam bonet teksi, Tia terkedu, namun sejurus kemudian dia merasa lega. Barangkali pemandu teksi itu mahu menghantarnya ke alamat yang ditunjukkannya sebentar tadi. Begitulah fikirannya membuat rumusan.
            Dia mahu membuka pintu teksi, tapi tiba-tiba lengannya dipaut mengejut. Tia berpaling. Wajah Rafique muncul dengan mimik bengang tahap kronik.
            “Bukan ke saya suruh awak tunggu tadi? Awak ni macam hantu, hilang macam debu. Selalu ke buat orang risau macam ni?” Tukas Rafique dengan suara meninggi.
            Tia tergaman. Hantu? Debu? Apasal dengan lelaki ni? Mana dia belajar bercakap dengan ritma begitu? Tia ingin ketawa, namun renungan tajam Rafique membuatkan dia tidak berani melontarkan tawanya.
            “Awak tak jawab lagi apa awak buat kat sini.” Soal Rafique tidak puas hati.
            Tia mengeluh panjang. Perlukah dia menyusahkan Rafique dengan cerita ala-ala fairy tale nya yang tidak masuk akal sama sekali?
            Family awak tau ke awak kat sini?” Mata Rafique menyorot tajam. Entah kenapa, reaksi Tia membuatkan dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.
            “Saya nak cari seseorang.” Jawab Tia perlahan.
            “Cari siapa?” Dahi Rafique berkerut.
            Tia mengeluh panjang. Soalan Rafique meski baru masuk mukadimah, namun entah kenapa membuatkan dia rimas. Tiba-tiba dia teringatkan kertas kecil tertulis alamat yang dipegangnya sebentar tadi. Mungkin lebih baik jika dia meminta bantuan Rafique sahaja dari berbicara ala-ala Charlie Chaplin dengan pemandu teksi yang…
            Tia menoleh. Mulutnya terlopong dengan wajah pucat lesi. Ya Allah, mana perginya teksi tadi?
            “Tia? Kenapa ni?” Rafique yang melihat gelagat Tia yang sesak nafas tercengang. Apa yang tak kena? Kenapa wajah itu pucat benar seperti disampuk hantu?
            “Ra..Rafique..tek..teksi…” Bersusah payah Tia cuba berbicara.
            “Biarlah teksi tu pergi. Saya boleh hantar awak ke mana aje awak nak pergi. Don’t worry” Sahut Rafique acuh tak acuh pada kata-kata Tia.
            Tia membeliakkan biji matanya. Malas mahu melayan kata-kata Rafique, dia segera mencari-cari teksi yang menghilang entah ke mana. Dari situ matanya dengan cepat mengesan sebuah teksi yang menyerupai teksi yang sepatutnya dinaikinya, bergerak perlahan-lahan dari laluan teksi menuju ke suatu arah.
            “Rafique, tolong saya kejar teksi tu.” Jerit Tia kelam kabut.
            Rafique menoleh. Namun sejurus lelaki itu berpaling dengan wajah bingung. “Awak ni betullah tak faham-faham Tia. Kan saya kata saya boleh hantar awak ke mana awak nak pergi. Lebih selamat bersama saya, dari bersama dengan orang asing yang awak tak kenal.” Ujar Rafique dengan nada bersahaja.
            Tia mengetap bibir. Alamak! Lelaki biul. Lain yang aku maksudkan, lain pula yang dia faham.
            Shut up Rafique. Teksi tu baru aje bawak lari bagasi-bagasi saya. Sekarang  saya nak awak kejar teksi tu sampai dapat, atau saya bunuh awak kat sini sekarang jugak.” Herdik Tia dengan wajah berangin. Geram benar dia dengan ulah Rafique kali ini.
            “Hah?” Rafique terpempan. Dia cepat-cepat menoleh, namun teksi yang dimaksudkan Tia baru sahaja ghaib dari pandangannya. Seketika matanya beralih arah. Melihat wajah garang Tia yang mencerlung tajam ke arahnya, Rafique hanya mampu menelan liur. Aiseh silap perkiraan la pulak!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!