Followers

Monday, December 10, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 22


            SEJAK awal pagi lagi, Filman sudah tercongok di hadapan taska yang bercat dengan warna-warna terang. Di bahagian hadapan rumah, lukisan-lukisan mural watak-watak kartun terkenal menjadi hiasan dinding. Jika dia ke situ, memang matanya mudah tertarik pada watak-watak kartun Snoopy dan Minnie Mouse yang terpampang pada sebahagian besar dinding-dinding di taska tersebut. Comel sungguh! Puji Filman tidak lekang dari bibir.

            Sesekali dia mengerling Melia yang tersenyum ceria menanti di dalam kereta. Sejak semalam, anak gadisnya itu tidak sudah-sudah bersorak gembira apabila dia memberitahu yang mereka akan berkelah di pantai Port Dickson hari ini. Malah belum sempat dia mahu menyambung ceritanya, Melia sudah merengek-rengek mahu mengajak Danira bersama. Itulah sebabnya dia memberanikan diri menghubungi gadis itu. Mulanya dia tidak yakin gadis itu akan sudi memenuhi pelawaannya, namun otaknya lebih licik menggunakan helah agar Danira tidak menghampakan harapan anaknya Melia. Kerana itu dia mengambil keputusan menghubungi Kamila terlebih dahulu. Dan anehnya, hatinya entah kenapa dipenuhi bunga-bunga harapan untuk menemui gadis itu semula.

            Melihat sesusuk tubuh melangkah keluar dari dalam rumah itu, hati Filman bagaikan terawang-awang. Hampir terpegun dia melihat Danira yang mengenakan baju kurung berwarna biru laut yang sesuai dengan kulitnya yang putih mulus. Tudung yang dikenakan gadis itu membuatkan wajahnya bertambah ayu. Filman hampir tidak tahu bereaksi jika Melia tidak menguis-guis tangannya. Entah sejak bila anak gadisnya itu keluar dari perut kereta lalu berdiri di sampingnya.

            Dia menahan nafas apabila Danira semakin menghampiri mereka. Melia segera menuju ke arah gadis itu tanpa disuruh. Melihat kelibat Melia, Danira segera melemparkan senyuman. Dia tunduk lalu memeluk anak kecil itu. Tidak disangka-sangka, Melia tiba-tiba mengucup pipi Danira. Filman terpinga-pinga melihat tingkahlaku Melia yang kelihatan amat manja dengan Danira.

            Shall we go now?” Filman bersuara memecahkan kesunyian. Danira segera menoleh. Mata kedua-duanya saling berlaga. Dalam gugup, Filman masih sempat melemparkan senyuman, menampakkan sedikit lekuk di dagunya. Mahu tak mahu Danira turut menguntum senyuman kecil sebagai balasan.

            Melihat senyuman manis itu terukir di wajah ayu di hadapannya, Filman mula merasakan ada yang tidak kena dengan perasaannya ketika ini. Aduh, kenapa tiba-tiba sahaja ketenangannya hilang dengan kehadiran Danira?

            “Kita nak ke mana sebenarnya Encik Filman?” Tanya Danira sewaktu mereka sudah berada di dalam perut kereta. Filman menoleh tapi hanya sebentar. Dari tadi dia cuba menahan diri agar tidak memandang Danira secara terus, bimbang hatinya bakal mencair seperti seketul ais di kawasan terik mentari.

            “Kita nak ke Port Dickson. Dah lama Melly teringin nak pergi berkelah, tapi saya tak ada masa nak bawa dia pergi. Mujurlah hari ni saya cuti, jika tidak hari Ahad pun saya sibuk dengan urusan.” Ujar Filman.

            “Berkelah?” Danira tersentak. Terkejut mendengar kata-kata lelaki itu. Biar betul! Dia memandang baju kurung yang menutupi tubuhnya. Sesuaikah dia pergi ke pantai dengan berbaju kurung?

            “Jangan bimbang, kalau Danira rasa tak selesa berbaju kurung, nanti sampai kat Seremban kita singgah sekejap beli baju.” Pintas Filman bagaikan tahu apa yang difikirkan gadis itu.

Danira tidak bersuara. Matanya dikerling ke arah belakang tempat duduk. Melihat Melia tertidur di tempat duduk belakang, dia tersenyum.

            “Melly dah tidur.” Ujar Danira perlahan. Mata Filman segera menjunam ke arah cermin di hadapannya. Kelibat anak gadisnya cuba diintai.

            “Dia penat sangat agaknya. Semalaman dia keluar bermain-main dengan adik-adik saya. Biarlah dia tidur, nanti kita kejutkan dia bila sampai ke Seremban.” Balas Filman.

Danira melontar pandangan ke luar tingkap. Entah kenapa, suasana sepi yang menyelubungi keadaan membuatkan dia tiba-tiba diulit keresahan. Dia sebenarnya tidak pandai berbual-bual dengan Filman.

            “Maafkan saya…” ucap Filman tiba-tiba. Danira menoleh. Ungkapan kata maaf yang terlontar dari bibir lelaki itu tidak mampu menghalau tanda tanya yang bersarang di kepalanya. Untuk apakah kata-kata maaf itu diucap?

            Filman tiba-tiba berpaling. Danira jadi kaget. Dia tidak sempat mahu melarikan anak matanya. Melihat renungan lelaki itu singgah ke wajahnya, dia merasa gugup entah kenapa.

“Maaf sebab saya buat Danira bimbang semalam. Sepatutnya saya pastikan betul-betul dulu di mana Melly berada sebelum saya ke taska.” Ujar Filman. Rasa kesal kerana peristiwa petang kelmarin masih menghantuinya.

            Danira terdiam sejenak. Dia tahu benar apa yang dimaksudkan lelaki itu.

            “Encik Filman tak salah apa-apa. Syukur sebab tak ada apa-apa yang buruk menimpa Melly Kalau tidak, saya akan merasa bersalah.” Danira tunduk. Jujurnya, perasaan gementarnya belum hilang semasa dia mendengar lelaki itu mencari Melly di taska tempohari.

Filman melirik gadis di sampingnya. Ada sesuatu yang menarik tentang Danira. Dia sendiri tidak tahu kenapa hatinya boleh terpaut pada gadis itu secepat ini. Padahal jika diikutkan, mereka baru bertemu beberapa kali. Malah Danira baru seminggu bekerja dengan Kamila di Sissy Kindergarden.

            Suara rengekan Melia terdengar jelas dari arah belakang. Danira dan Filman serentak berpaling. Danira terasa darah panasnya meruap naik ke muka apabila menyedari wajahnya bertentangan dengan lelaki itu, agak hampir. Untuk sesaat dua, renungan Filman singgah ke wajahnya. Debaran kencang mula bertebar di hatinya.

            Danira cepat-cepat mengalihkan wajah. Filman juga begitu. Untuk seketika, mereka hanya berdiam diri. Namun senyuman Filman bermain di bibir. Ada sesuatu yang indah mula berputik di jiwanya.

*  *  *  *

            Filman nampak begitu teruja melayan keletah Melia. Sesekali dia menyimbah air ke arah anaknya, menyebabkan Melia tertawa senang hati. Gelak ketawa Melia terdengar sehingga ke telinga Danira yang sedang menyiapkan makanan. Dia berpaling. Melihat kedua-duanya, entah mengapa dia tersenyum sendiri.

            Dia mengalihkan pandangan ke arah sandwich dan meehun di dalam bekas yang dibawa lelaki itu. Mulanya dia segan juga apabila tidak menyiapkan apa-apa bekalan untuk berkelah. Namun semuanya sudah disiapkan lelaki itu sejak awal-awal lagi. Tinggal nak menghidangkan sahaja.

            “Kak Nira!” Laung Melia lantang. Danira segera berpaling. Melihat anak kecil itu menggamitnya, dia sekadar menggelengkan kepala. Filman turut berpaling ke arahnya. Danira hanya mampu tersenyum. Dengan baju kurung yang dipakainya, tak mungkin dia akan turun walau ke gigi air sekalipun.

Pada mulanya Filman ada mengajaknya untuk membeli pakaian yang lebih sesuai, tapi pada saat-saat akhir Danira menukar fikiran. Dia tidak mahu lelaki itu menghabiskan wang untuknya. Lagipun dia hanya bersetuju mahu menemani Melia, bukannya untuk turut sama berseronok di dalam air.

            Melihat suasana pantai yang dipenuhi pengunjung yang bukan sahaja datang dari Kuala Lumpur tapi juga dari luar Kuala Lumpur, hati Danira tiba-tiba merasa damai. Sudah lama dia tidak menghidu bau air laut dan merasai nyaman angin begini. Malah dia sudah lupa, bilakah kali terakhir dia bersiar-siar di kawasan pantai seperti sekarang.

            Sepasang suami isteri tiba-tiba melintas berhampiran tempat duduknya sambil memimpin tangan seorang anak kecil. Danira menoleh. Pandangannya tumpah pada pasangan itu serta anak perempuan mereka yang comel. Menyedari Danira memerhatikan mereka, si ibu tiba-tiba menoleh lalu tersenyum. Mahu tak mahu Danira turut sama tersenyum.

            “Asyiknya termenung, ingatkan siapa?” Tiba-tiba Filman muncul lalu melabuhkan diri di sampingnya. Dia terkejut besar, malah gugup disapa lelaki itu.

            “Melly mana?” Dia mencari-cari wajah Melia. Sengaja untuk menutup rasa kekok yang ketara di wajahnya. Filman menunjukkan ke suatu arah. Melia sedang seronok bermain-main di beting pasir tidak jauh dari tempat duduk mereka. Danira bingkas bangun, berhasrat mahu mendapatkan Melia.

            “Danira, jangan pergi dulu. Duduk sini.” Pinta Filman secara tiba-tiba.

Danira menoleh. Permintaan Filman membuatkan dia terkedu. Wajah Filman serius menatap ke arahnya. Mahu tak mahu, Danira tidak jadi menuju ke arah gadis kecil yang masih asyik membina istana pasir itu.

            Duduk bersama-sama lelaki itu, entah kenapa reaksinya jadi kaku. Dia sedar mata Filman tidak berganjak dari wajahnya. Hatinya berdebar-debar tidak keruan. Renungan Filman terlalu berani kali ini. Dia mulai resah. Perlahan-lahan dia memberanikan diri memandang lelaki itu.

            “Encik Filman nak makan apa-apa? Nanti saya hidangkan.” Dia pura-pura membuka penutup makanan di hadapan mereka. Namun belum sempat dia mahu mencapai pinggan plastik yang mereka bawa, Filman terlebih dahulu membawa lari pinggan plastik tersebut.

            “Saya belum lapar.” Ujar Filman.

            Danira terkedu. Filman tiba-tiba ketawa kecil sebelum melarikan anak matanya. Danira tergaman. Dia segera melemparkan pandangan ke arah lelaki itu. Dahinya berkerut. Kenapa lelaki itu ketawa? Apa yang lucu?

 “Maaf, saya tak berniat nak buat Danira rasa malu atau segan pada saya. Kalau boleh panggil saja saya Filman atau Fil. Jangan berencik-encik lagi. Formal sangat, saya tak berapa suka.” Ujar Filman.

“Err..tak elok macam tu Encik Filman. Saya tak biasa.” Danira tergagap-gagap menjawab.

“Tak biasa lah maka kena biasakan.” Ujar Filman.

“Tapi Lynn dan Umaira tak panggil Encik Filman dengan panggilan nama aje. Seganlah saya nak panggil macam tu.” Sahut Danira lurus bendul.

Filman tersengih sendiri. Hendak tergelak pula dia mendengar kata-kata gadis itu. Diam-diam Danira mengenakannya.

“Lynn dan Umaira tak berapa rapat dengan saya.”

“Saya pun.” Pantas Danira mencelah.

Filman ketawa lebih besar kali ini. Aduh Danira! Dia menoleh ke arah Danira yang terkelip-kelip memandangnya. Jika diikutkan hatinya, ingin rasanya dia mencuit hidung kecil yang terletak elok di wajah manis itu.

“Tapi saya nak rapat dengan Danira. Sebab tu Danira kena panggil saya Filman atau Fil saja.” Filman nekad berterus-terang.

Wajah Danira berubah sedikit. Dahinya berkerut mendengar kata-kata Filman. Nak rapat dengan aku? Biar betul! Apa sebenarnya maksud lelaki itu?

“Saya tahu saya mungkin bertindak agak cepat. Tapi saya bukan jenis lelaki yang pandai bermain kata. Saya benar-benar sukakan Danira.” Filman memberanikan diri mengaku.

Wajah Danira merah padam. Dia benar-benar tidak menduga akan mendengar pengakuan itu dari mulut Filman hari ini.

“Encik Filman, saya bukan seperti yang encik sangkakan. Encik Filman belum cukup mengenali saya.” Balas Danira rungsing.

“Jadi berikan saya peluang untuk kenal Danira lebih rapat.” Pintas Filman. Wajah gadis itu ditatap tidak berkelip.

“Saya..saya..” Danira tidak mampu meluahkan apa yang berada di fikirannya. Dia benar-benar malu mahu mengaku di hadapan Filman bahawa dia seorang bekas banduan. Tak mungkin seorang bekas banduan, layak untuk seorang lelaki bergelar peguam seperti Filman. Yang membesar di dalam keluarga yang dihormati.

 “Maaf, saya tak patut berterus-terang begini. Gadis secantik Danira, pasti sudah ada teman istimewa.” Ujar Filman lalu bingkas bangun. Dia mahu mendapatkan Melia yang masih bermain-main dengan pasir. Kekecewaan yang melanda hatinya saat ini terasa membekam jiwa. Dia harus mengalihkan perhatiannya sebelum rasa kecewa ini bertukar lebih parah.

“Encik Filman…”panggil Danira sebelum sempat lelaki itu beredar. Filman menoleh seketika.

“Bukan itu sebabnya. Saya..saya juga suka pada Encik Filman.” Danira tunduk malu. Wajahnya sudah merona merah. Alamak! Apa kena dengan aku kali ini? Kenapa  mulut ini begitu berani mengatakannya di hadapan Filman?

Kata-kata Danira membuatkan Filman tidak jadi beredar. Sepasang matanya terus meratah wajah si gadis yang kelihatan malu-malu. Betulkah apa yang didengarinya? Betulkah Danira juga menyukainya?

 “Kak Nira, jomlah mandi.” Laung Melia dari suatu arah.

Danira berpaling. Melihat Melia melambai-lambai ke arahnya, dia hanya mampu tersenyum hambar. Kepalanya digeleng pantas. Apabila anak matanya beredar ke wajah Filman, lelaki itu masih menatap wajahnya. Danira merasa tubuhnya tiba-tiba kaku. Renungan lelaki itu terus menikam wajahnya, sekaligus membuatkan dia terbuai-buai di awangan.

2 comments:

NoRiZaN MoHd NOoR said...

wahhh..!!! Betol ke mereka dh suke antara 1 sama laen??? :-) .x sbr nk baceeee..!!!

Unknown said...

pengakuan ade barani terluah di ulas bibir nira..hehe rupa2 nyer suke same suke...namun persoalan nye sape nira!tu yg blom filman tahu n kena amek tau gak....rahsia hati dh terluah nira but rahsia diri kemas tersimpan kat hati!!!ade beran! tk nk luah kn nira....

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!