Followers

Wednesday, January 19, 2011

Blue Sunset : Bab 21

            SESI perbentangan hari itu berjalan lancar. Aqi petah menerangkan konsep-konsep lakaran untuk rekaan-rekaan yang telah dihasilkannya. Sambil dia membentangkan lakarannya, Swan membantu dengan menunjukkan presentation melalui Powerpoint.
            Dari tempat duduknya, Zahar memerhatikan dengan penuh minat lakaran-lakaran yang dihasilkan gadis itu. Jauh di sudut hati, dia sebenarnya mengagumi keupayaan Aqi menghasilkan rekaan yang kelihatan menarik dan idealistik untuk para pengemar jeans.
            Selesai gadis itu membuat presentation, tepukan gemuruh hangat di dalam bilik mesyuarat. Kebanyakan tertarik dengan konsep yang Aqi gunakan. Wajah Aqi berseri-seri tatkala Iman dan yang lain-lain, tak sudah-sudah memuji idea yang dihasilkannya.
            Now it’s your turn Zahar.” Iman mengalihkan pandangan ke arah Zahar. Zahar memandang sebentar ke arah Iman sebelum mengalihkan matanya ke arah Aqi. Sejurus dia bangun lalu memberi isyarat pada Edri yang turut bingkas bangun lalu bersedia di hadapan bilik mesyuarat bersama laptopnya.
            “Pertama, aku suka mahu mengingatkan kita semua yang jeans Riser bukan hanya disasarkan pada golongan 20an sahaja. Tapi pemakaian jeans sudah menjadi global dan trendy di mana lelaki di awal 30an dan 40an masih ramai yang meminati jeans kerana ia selesa dipakai. Begitu juga wanita di awal 30an masih ramai yang memakai jeans sewaktu keluar bersiar-siar bersama keluarga. Oleh itu konsep untuk Riser juga sepatutnya mementingkan  aspek keselesaan dan hubungan kekeluargaan yang utuh. Apa yang aku nak cadangkan di sini ialah sebuah konsep jeans yang khas untuk seisi keluarga di mana suami, isteri dan anak-anak memakai jeans yang hampir serupa ketika keluar berjalan-jalan.” Tutur Zahar memulakan perbentangannya.
            Zahar memandang ke arah Edri. Bagaikan memahami maksud Zahar, Edri segera menayangkan slide show yang telah disediakan oleh Zahar. Beberapa tayangan grafik menunjukkan lakaran-lakaran lelaki itu yang lebih bersifat lakaran ringkas seperti fosil-fosil alam seperti binatang, daun, pokok dan kerangka manusia yang berpegangan tangan.
            “Tema lakaran aku mungkin tidak secantik yang dihasilkan oleh Aqi, tapi ia lebih simple dan sesuai untuk golongan yang lebih berusia. Lagipun bagi golongan berusia, mereka tidak memerlukan jeans yang cantik tapi selesa dipakai dan sesuai dengan umur mereka. Lakaran-lakaran fosil ini juga sesuai dipakai oleh seisi keluarga. Bayangkan seorang ayah mungkin tidak akan malu memakai jeans yang sama dengan anaknya kerana rekaan pada jeansnya lebih simple dan sesuai dengan umurnya.” Jelas Zahar.
            Penerangan Zahar memakukan seluruh perhatian Aqi terhadap lelaki itu. Hatinya tiba-tiba kagum melihat gerak-geri dan tutur kata Zahar yang teratur. Malah idea yang dikemukakan lelaki itu begitu baik dan membayangkan kecerdasan lelaki itu.
            That was not bad at all Zahar.” Puji Iman puas hati dengan penerangan lelaki itu. Zahar hanya tersenyum lalu mengambil tempat duduknya kembali. Meskipun pada asalnya dia beria-ria mahu bertanding dengan Aqi, namun entah kenapa kali ini dia sudah tidak kisah dengan semua cabaran Iman. Kalau sekalipun Iman memilih rekaan Aqi, dia langsung tidak kisah.
            “Aku fikir kedua-dua idea yang dipersembahkan hari ini bagus. Rekaan Aqi ada kekuatan dari segi kekemasan rekaan dan konsep yang jarang diterokai. Manakala Zahar menunjukkan kematangan rekaan dengan mengambil kira semua faktor-faktor luaran. Idea Zahar tentang konsep family jeans memang menarik. Apa pendapat kamu semua?” Iman cuba meminta buah fikiran. Sebagai ketua, dia harus mendengar pandangan kakitangan-kakitangannya yang lain.
            “Kalau kita gabungkan dua konsep dalam Riser, mesti lagi menarik ni.” Celah Edri. Kata-kata Edri serentak mendapat sokongan kumpulan media creative serta designer-designer yang lain. Iman tersenyum simpul. Mereka memang sehati sejiwa!
            “Kalau semua dah setuju, kita akan gunakan kedua-dua konsep. Mulai hari ni Zahar dan Aqi akan bekerjasama dan bertanggungjawab terhadap rekaan-rekaan untuk Riser. Serahkan lakaran kamu berdua pada team Graphic Designer untuk generating software, rendering dan sebagainya.” Arah Iman.
            Aqi yang mendengar tercengang. Tak disangka-sangka Iman mengarahkan dia bekerjasama dengan Zahar. Diam-diam dia melirik ke arah lelaki yang sedang menerima ucap tahniah dari teman-temannya. Mata Zahar tiba-tiba menukas ke arahnya.
Aqi terkedu. Pantas dia melarikan wajahnya. Timbul rasa segan kerana dia asyik memerhatikan Zahar. Rona wajahnya merah padam menahan malu.
Zahar diam-diam melirik ke arah Aqi yang kelihatan serba tidak kena. Melihat tingkah gadis itu, dia tersenyum sendiri. Mulanya dia mahu mengucapkan tahniah pada Aqi kerana rekaan gadis itu turut terpilih. Tapi belum sempat dia mahu mendekati gadis itu, Iman dilihatnya terlebih dahulu menghampiri Aqi. Zahar menghela nafas panjang.
*  *  *  *
            Aqi tidak banyak bercakap ketika mengikut teman-temannya makan tengahari bersama-sama di Restoran Teratak. Mulanya dia malas mahu ikut serta. Namun Iman mendesaknya dengan pelbagai pujukan. Mahu tak mahu dia terpaksa bersetuju. Apatah lagi semua staf-staf Sri Anjung Design seramai 15 orang semuanya berada di situ. Tentu nampak janggal jika hanya dia seorang sahaja yang tidak dapat turut serta.
            Di meja restoran itu, dia duduk di tengah-tengah diapit Swan dan Iman. Swan dilihatnya tidak habis-habis berbual dengan mulut dipenuhi makanan. Dia hanya mampu tersenyum memandang gelagat gadis itu yang selalu ceria.
            “Aqi makanlah, takkan dah kenyang kut. Rugi tau tak makan. Hari ni bos yang belanja, kita kena makan puas-puas.” Ujar Swan seraya ketawa kecil. Kata-kata Swan singgah di telinga Iman yang berada tidak jauh dari kedua gadis itu.
            “Aqi tu takdelah buruk lantak macam kau Swan. Dia makan sikit-sikit aje, dah tu dia tak bercakap masa makanan penuh di dalam mulut.” Usik Khairil, lelaki berjambang tebal yang sering menjadi seteru Swan.
            Swan mengerling tajam ke arah Khairil. Kata-kata lelaki itu lantas disambut gelak ketawa ramai, tidak terkecuali Iman dan Zahar. Aqi turut ketawa mendengar kata-kata Khairil yang kuat mengusik Swan. Sejurus dia tunduk ke arah pinggannya yang masih bersisa dengan aneka lauk-pauk. Bukan dia memilih makanan yang masuk ke perutnya, apatah lagi makanan yang enak seperti yang dihidangkan di hadapannya ketika ini. Tapi sebaik mengenangkan ibunya, dia tidak mampu meneruskan seleranya. Entah apa yang mak makan hari ni! Keluh Aqi sebak. Tiba-tiba seketul udang karang singgah di pinggannya.
Aqi mendongak. Matanya berpapasan dengan wajah Zahar yang kelihatan selamba. Lirikan mata lelaki itu hanya sebentar menjamah wajahnya, sebelum anak mata lelaki itu beralih ke arah Swan, berpura-pura ralit mendengar cerita gadis itu.
            Mahu tak mahu Aqi terpaksa menjamah udang yang telah singgah ke pinggannya. Terkiai-kiai dia cuba mengopek kulit udang kara sebelum isinya dikeluarkan dengan sudu.
Zahar diam-diam mengerling ke arah Aqi. Bibirnya melemparkan senyuman. Lucu melihat gelagat Aqi yang kelihatan ‘seksa’ mahu mengopek kulit udang sebelum mengunyahnya.
            Selesai menghabiskan udang tersebut, Aqi meminta diri ke bilik air. Swan mempelawa mahu menemaninya, tapi dia menolak. Tak sampai hati dia mahu menganggu sesi bercerita Swan yang tidak pernah habis.
            Ketika melewati sebuah meja, tiba-tiba seorang wanita muda berambut ikal perang bangun dari meja di hadapannya. Aqi tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan wanita itu. Wanita itu hilang keseimbangan badan lalu jatuh ke atas pinggan lauk di atas meja. Aqi kaget. Cepat-cepat dia meluru ke arah wanita itu untuk membantu, tapi wanita itu menepis tangannya agak kasar.
            “Ma..maaf puan, saya tak sengaja.” Ujar Aqi serba-salah.
            “Senangnya cakap tak sengaja. Habis baju saya yang kotor ni macamana? Awak ingat murah ke?” Tengking wanita itu. Airmukanya nampak sombong dan garang.
            Aqi terkedu. Wajahnya merah padam. Entah kenapa dia malu menjadi perhatian orang-orang yang berada di restoran itu.
            “Aqi, kenapa ni?” Satu suara singgah di corong telinganya. Aqi berpaling. Entah sejak bila Iman sudah berada di belakangnya. Zahar dan Swan juga turut mendekatinya.
            “Maaf Encik Iman, saya tak sengaja langgar puan ni.” Ujar Aqi separuh berbisik. Perasaan takut dan malu saling berbaur dalam dirinya. Dia malu dengan Iman. Malu dengan Zahar. Malah malu dengan semua orang di dalam restoran itu yang ikut sama menonton.
            “Maaf puan, kawan saya ni tak sengaja langgar puan.” Iman memohon maaf bagi pihak Aqi. Wanita itu terkelip-kelip memerhatikan ke arah Iman yang tersenyum lembut.
            “Habis baju saya ni?”
            “Tak apa. Nanti saya ganti.” Ujar Iman cuba memujuk.
            Aqi memandang Iman dengan wajah terharu. Sebak hatinya kerana Iman sanggup membantunya. Jika tidak tentu malu besar dia diherdik dan ditengking wanita berambut perang itu. Dia hanya mampu mendengar Iman berusaha memujuk wanita itu. Pandangan matanya beralih arah.
            Tiba-tiba matanya terpandang sesuatu. Aqi terpaku. Tidak jauh dari situ, seorang lelaki memakai kot asyik memandang ke arahnya. Renungan mata lelaki itu menikam tepat ke wajahnya dengan penuh minat. Seperti ditarik-tarik, dia juga memandang lelaki itu. Malah pandangannya seperti dipukau. Dia langsung tidak berdaya mahu mengalihkan wajahnya.
            Zahar tiba-tiba menarik lengannya. Aqi tersentak. Wajah lelaki itu menghilang dari pandangan berganti wajah Zahar. Dia memandang Zahar dengan wajah bingung. Melihat renungan lelaki itu singgah di wajahnya, dia terpanar.
            “Ikut aku balik.” Ujar Zahar tegas.
            “Tapi..Iman..” Aqi serba salah mahu meninggalkan Iman, Swan dan yang lain-lain begitu sahaja. Lagipun hal dengan wanita berambut perang itu masih belum selesai.
            “Mereka pandai uruskan perkara-perkara macam ni. Lebih baik aku bawa kau balik sebelum kau menangis macam budak kecil kat sini.” Ujar Zahar lalu menarik tangannya. Dia sempat melirik ke arah Iman dan memberi isyarat. Seakan mengerti dengan bahasa isyarat Zahar, Iman mengangguk dan membiarkan Zahar dan Aqi beredar dari situ.
Lelaki dari meja di tepi sudut itu asyik memerhatikan kedua-duanya dengan penuh minat. Bebola matanya tak sudah-sudah menatap ke arah anak gadis yang sesekali berpaling ke arahnya sebelum menghilang ke luar. Pandangannya turut tertumpu ke arah lelaki yang baru sahaja menarik tangan gadis itu. Dahinya berkerut seribu. Wajah lelaki muda itu seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Tapi di mana? Lukhman termenung panjang.
*  *  *  *
            Aqi langsung tidak bersuara sepanjang berada di dalam perut kereta bersama Zahar. Dia melamun panjang bagaikan tidak peduli dengan suasana sekeliling. Fikirannya melayang jauh.
            Zahar yang sedang memandu sempat melirik ke arah anak gadis itu. Dia faham mood Aqi sedang meruncing. Semuanya kerana kejadian di restoran sebentar tadi.
            Zahar cuba mengingatkan wajah lelaki yang mereka temui di Restoran Teratak sebentar tadi. Dalam keributan yang berlaku di restoran itu, dia melihat mata Aqi mencerun ke suatu arah. Apabila dia mengekori arah pandangan Aqi, dia melihat seorang lelaki separuh umur dan kelihatan segak memandang ke arah mereka. Untuk seketika dia tergaman. Hatinya disinggahi rasa sangsi. Wajah lelaki itu bagaikan pernah dilihatnya sebelum ini. Tapi dia tidak ingat di mana. Puas sudah dia cuba memerah otak. Namun kali ini otaknya lembab benar mahu mencerna wajah itu. Zahar mengeluh panjang.
            Aqi tak sudah-sudah meramas jari-jemarinya yang gementar. Sejak mereka meninggalkan perkarangan restoran itu, dadanya berdebar kencang. Fikirannya berkecamuk. Wajah lelaki separuh umur yang ditemuinya di restoran tadi bermain-main di tubir mata.
            Kali pertama dia terpandang lelaki itu, dia terkejut besar. Selain dari Zahar, dia tidak menyangka akan dipertemukan dengan seorang lelaki yang mempunyai pelbagai warna yang cantik. Yang memukau pandangan matanya. Aneh! Kenapa aku melihatnya persis seperti Zahar? Hati Aqi tertanya-tanya. Namun dia tidak menemukan sebarang jawapan yang dicari. Siapa lelaki itu? Dan kenapa dia memandang aku seperti itu?
            “Nak ke hospital jenguk mak kau?” Pelawa Zahar tiba-tiba.
            Aqi menoleh. Memandang lelaki itu dengan wajah bingung.
            “Nanti awak balik lambat.” Ujar Aqi.
            “Aku nak jumpa ayah sekejap.” Jawab Zahar tanpa memandang gadis itu. Sebenarnya dia berbohong. Sengaja dia mengatakan mahu menemui ayahnya sedangkan dia berniat mahu menceriakan Aqi yang kelihatan muram. Sangkanya Aqi masih susah hati kerana dimarahi di khalayak ramai. Dan saat ini, hanya Makcik Kamelia sahaja mampu menggembirakan gadis itu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!