Followers

Friday, February 25, 2011

Blue Sunset : Bab 25

            AQI yang sibuk mengunyah epal merah sambil menyiapkan kerja-kerjanya, langsung tidak menyedari gerak-gerinya diperhatikan dari jauh. Sepasang mata begitu asyik mengintai Aqi dari tirai di biliknya. Sebaik melihat kelibat Edri tiba-tiba singgah di meja gadis itu, dia mengetap bibir. Aqi dilihatnya berbual-bual sebentar dengan Edri. Senyuman kecil menjengah wajah gadis itu apabila melayan Edri.
Meskipun dia tidak dengar apa yang sedang diperbualkan keduanya, namun perasaan tidak senang hati tetap hadir. Hmm..baguslah tu! Layanlah buaya darat tu baik-baik! Rungut Zahar merujuk pada Edri yang memang terkenal lelaki yang tak boleh lihat perempuan berdahi licin. Ada sahaja umpannya untuk memasang jerat. Melihat tidak ada tanda-tanda Edri mahu berlalu pergi dari sisi Aqi, Zahar sudah hilang sabar. Dia membuka pintu biliknya luas-luas.
            “Aqi, masuk bilik aku sekejap. Kita bincang pasal Riser.” Jerit Zahar dari muka pintu biliknya. Aqi dan Edri serentak menoleh. Swan yang kebetulan hendak ke mejanya turut berpaling. Dahi Swan berkerut lebar melihat wajah berang Zahar.
            “Nak apa Zahar tu?” tanya Swan pada Aqi.
            Aqi menggelengkan kepala. Dia sendiri tidak pasti. “Katanya nak bincang fasal Riser.” Ujar Aqi lurus bendul.
            “Bincang apa ke bendanya? Biarlah Media Creative siapkan kerja dulu.” Rungut Swan lalu menarik kerusi. Edri hanya tersengih-sengih memerhatikan ke arah Aqi dan Zahar silih berganti.
            “Adalah benda dia hendak tu.” Canda Edri seraya mencuit Swan.
            “Tak apalah, saya pergi jumpa Zahar sekejap.” Ujar Aqi lalu mula melangkah ke arah bilik Zahar. Lelaki itu sabar menantinya sehingga dia sampai. Dia gugup menerima terjahan anak mata Zahar. Tapi sebaik lelaki itu memberi laluan, Aqi segera faham maksud Zahar. Lelaki itu mahukan dia masuk ke biliknya. Hendak tak hendak dia menurut.
            “Ada apa?” Tanya Aqi.
            “Nak kena ada apa-apa ke baru boleh panggil?” Jerkah Zahar.
            Aqi terdiam. Pulak dah dia ni!
            “Duduk.” Suruh Zahar.
            Mahu tak mahu Aqi menurut buat kali kedua seperti orang bodoh. Dia mendongak wajah. Matanya berpapasan dengan renungan Zahar yang singgah di wajahnya. Aqi terkedu.
            “Nak bincang fasal Riser ke?” Aqi bertanya tergagap-gagap. Gugup melihat pandangan Zahar yang menggetarkan perasaannya.
            No.” lelaki itu menggeleng. Dahi Aqi berkerut. Habis kalau tak nak bincang fasal Riser nak bincang fasal apa?
            “Hari ni nak ke hospital lagi ke?” Tanya Zahar tak disangka-sangka.
            Aqi terdiam. Kenapa Zahar tanya? Ala ini yang dia malas ni. Dah lah perasaan malunya tempohari hari masih lagi menebal angkara cakap-cakap ibunya yang singgah di telinga lelaki itu. Jangan-jangan Zahar  mahu berbicara tentang hal tempohari! Entah kenapa Aqi terfikir begitu pula! Patutkah dia memberi penjelasan? Aduh malunya!
            “Kalau awak nak cakap fasal hal tempohari, saya..saya nak minta maaf.” Aqi tergagap-gagap bersuara. Perasaannya saling berbaur. Wajahnya merona merah tanpa disedari. Dia cuba mengawal perasaan.
            Giliran Zahar mengerutkan dahi. Hairan mendengar Aqi memintas cakapnya.
            “Mak saya tak sengaja cakap macam tu. Dia main-main aje. Awak janganlah marah pulak.” Ujar Aqi serba-salah.
            Zahar menarik nafas. Dia sudah boleh menangkap butir percakapan gadis itu. Zahar tiba-tiba tersengih. Lucu melihat wajah Aqi yang merah padam kerana malu. Tak sangka berani pula dia mengungkit hal tempohari, bisik hati kecil Zahar seraya melirik wajah Aqi yang kelihatan takut-takut.
            “Memang saya marah. Berani dia cakap macam tu!” Zahar bersuara serius, sedangkan di dalam hati dia hampir tergelak sakan.
            Aqi tersentak. Kata-kata Zahar membuatkan dia terpaku sejenak. Entah kenapa, kata-kata lelaki itu membuatkan dia didatangi perasaan sedih. Terasa benar harga dirinya jatuh di hadapan lelaki itu.
            Zahar masih cuba menyembunyikan senyuman. Melihat raut wajah Aqi berubah muram, hati Zahar bagai dipalu-palu. Marahkah dia dengan kata-kataku?
            “Maaf, memang kami salah.” Ujar Aqi. Dia sudah bersedia bingkas bangun mahu meninggalkan bilik Zahar. Malunya begitu menebal kali ini! Tapi tiba-tiba sahaja lelaki itu menghalang.
            “Nanti dulu.”
            Aqi menoleh. Mata Zahar sudah menukas ke wajahnya yang merah padam.
            “Bagitahu aku sesuatu Aqi, apa yang mak kau cakap tempohari tu betul ke?”
            Aqi tersentak. Bulat matanya memerhati ke arah Zahar yang tercegat memandangnya.
            “Betul ke kau sukakan aku?” Sambung Zahar dengan wajah penuh tanda tanya. Aqi terkedu. Alamak!
            “Eh takde lah, awak jangan dengar cakap mak saya tu. Dia bergurau aje tempohari.” Tersentap-sentap Aqi memberi alasan.
            “Betul tak ada?” Zahar cuba menguji.
            Cepat-cepat Aqi menggelengkan kepala.
            Wajah Zahar berubah. Dia faham kalau Aqi mungkin malu mahu mengaku. Tapi cara gadis itu menafikannya membuatkan dia bengang. Macam dia pula yang terhegeh-hegeh.
            “Dah la kalau tak ada. Pergi ke meja Graphic Team sekarang, pantau kerja-kerja diaorang. Mereka ni mana boleh diberi muka, asyik nak lengah-lengahkan kerja aje.” Rungut Zahar seperti berang.
            “Sekarang?” Aqi tercengang.
            “Ye la sekarang. Habis takkan tahun depan!” Jerkah Zahar. Aqi terkedek-kedek keluar dari bilik Zahar. Terkejut dengan suara lelaki itu yang mula meninggi. Buat aku terkejut aje, rungut Aqi. Geram betul dia dengan telatah Zahar.
            Selepas Aqi beredar, Zahar mengeluh kecil. Apa sebenarnya yang aku buat ni? Apa sebenarnya yang aku harapkan keluar dari mulutnya? Pengakuan bahawa dia benar-benar sukakan aku seperti yang dikatakan ibunya? Itukah sebenarnya yang aku mahu dengar?           
            Zahar mengalihkan pandangan ke arah Aqi yang berlalu ke mejanya. Sesekali gadis itu menoleh ke arahnya dengan wajah tidak keruan. Mata Zahar tetap terpaku ke arah Aqi. Diam-diam dia mengaku, ada sesuatu mula berputik di hatinya untuk Aqi. Mungkin gadis itu bukan terkategori gadis yang cantik atau seksi. Malah Aqi pendiam dan sesekali kelihatan ‘nerd’. Jadi di mana tarikan gadis itu? Dan sejak bila dia Nadzihar Hakim mula tertarik pada gadis seperti Aqi? Entahlah, dia sendiri tidak tahu jawapannya.        
            Selama hidupnya dia jarang bergaul dengan perempuan lain. Bukan dia tidak pernah menyimpan  perasaan sukakan seorang perempuan. Tapi dia sengaja menolak perasaan itu hadir dalam dirinya. Lagi-lagi setelah apa yang berlaku dalam keluarganya, dia seakan trauma mahu berhadapan dengan insan bernama ‘perempuan’.
            Namun entah sejak bila, perasaan traumanya kian menghilang. Perasaan takut kerana dikecewakan juga ghaib dalam sekelip mata. Apakah semua ini berlaku kerana Aqi? Apakah aku benar-benar sudah jatuh cinta padanya? Belum sempat dia mahu mendefinisikan perasaannya terhadap Aqi, tiba-tiba telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja berdering. Zahar terkocoh-kocoh menjawab panggilan.
*  *  *  *
Ruangan untuk Graphic Team terletak di tingkat dua bangunan Sri Anjung Design. Aqi mendaki anak tangga sambil mengguman geram. Hatinya sakit sekaligus bingung dengan kerenah Zahar yang menyebalkan dan tak habis-habis menyusahkannya. Dia melangkah agak pantas sehingga tidak melihat Iman yang kebetulan lalu di situ. Iman tersengih. Amboi lajunya!
“Nak pergi mana tu Aqi?’ Sergah Iman sebelum gadis itu menghilangkan diri.
Aqi menoleh. Wajah Iman yang penuh tanda tanya dijawab dengan keluhan.
“Nak ke bahagian media grafik. Zahar suruh saya tengokkan kerja-kerja graphic team berkenaan Riser tu.” Jawab Aqi lurus bendul.
Iman terdiam sejenak. “Dia suruh Aqi?”
Anak gadis itu mengangguk.
“Itu kan tugas dia sebagai pengarah kreatif. Apa lah si Zahar ni!” Keluh Iman seraya menggelengkan kepala.
            “Tak payah pergi. Graphic team tengah  buat kerja diaorang tu. Nanti marah pulak diaorang kalau kita kacau kerap sangat. Biar Zahar aje yang check sendiri. Ni nak tanya ni, Aqi dah makan belum?” Tanya Iman.
            Aqi menggeleng. “Belum. Kejap lagi agaknya.”
            “Kalau macam tu jom ikut saya makan?” Pelawa Iman.
            Aqi terdiam seketika. “Tak apalah Encik Iman, saya nak habiskan sikit lagi kerja ni.” Dia menolak. Sebenarnya dia segan mahu makan bersama Iman. Apatah lagi Iman bos dan dia pula hanya pekerja biasa. Mulut orang mesti dijaga! Itu pesan ibunya suatu ketika dahulu.
            “Berhentilah buat kerja tu dulu. Nanti orang kata saya ni ketua yang tak berperikemanusiaan pulak. Aqi nak kakak saya marahkan saya sebab buli Aqi dengan kerja yang bertimbun-timbun di pejabat? Dah, tak payah nak beri alasan lagi. Jom ikut saya makan tengahari.” Pintas Iman.
            Aqi serba-salah. Hendak tak hendak dia terpaksa mengikut Iman keluar makan tengahari bersama. Ketika dia dan Iman berjalan beriringan menuruni anak tangga ke bawah, Zahar tiba-tiba muncul mendadak di hadapan mereka. Wajah lelaki itu serius. Aqi dan Iman serentak memandang ke arah Zahar.
            “Kenapa Zahar?” Tanya Iman hairan.
            Zahar tidak menjawab pertanyaan Iman. Sebaliknya matanya mencari wajah Aqi. Aqi tergaman melihat renungan lelaki itu mencerun ke arahnya. Tiba-tiba langkah  Zahar menghala ke arahnya.
            “Ikut aku.” Suruh Zahar seraya memegang lengan Aqi.
            “Mana?” Aqi kebingungan.
            “Ke hospital.” Sepatah ayat dari bibir lelaki itu meluncur keluar.
            Mendengar kata-kata Zahar, Aqi tersentak. Wajah Zahar direnung tajam. Airmuka lelaki itu yang kelihatan aneh, dengan pantas melahirkan bibit-bibit kebimbangan di hatinya.
            “Zahar, kenapa dengan mak saya?”
            Zahar terdiam. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu memberitahu Aqi perkara sebenar. Hakikatnya dia juga terkejut ketika dihubungi neneknya sebentar tadi.
            “Zahar…please. Kenapa dengan mak saya?” Aqi tidak mampu lagi membendung perasaan gelisah yang semakin bersarang. Dan tanpa disedari, dia mengenggam pergelangan tangan Zahar kerana terlalu cemas.
            “Aqi sabar..” Iman cuba memujuk. Dia sempat melirik ke arah Zahar yang kelihatan gugup. Wajah sahabatnya itu kelihatan benar-benar gelisah.
            “Makcik. Makcik dah meninggal, Aqi!”
            Aqi kaku. Padam semua suara-suara yang riuh-rendah di sekelilingnya. Kata-kata Zahar bagaikan satu hentaman peluru yang sedang merobek tubuhnya satu-persatu. Rongga lututnya terasa longgar. Wajah ibunya terbayang di ruang mata. Sedang tersenyum memandangnya.
            “Mak kena pergi Aqi. Hidup mak hanya setakat ini. Tapi hidup Aqi lebih panjang. Aqi kena tabah dan terus hidup sayang!”
            “Mak dah janji takkan tinggalkan Aqi. Kenapa mak bohong?”
            Wanita itu tersenyum. “Meskipun mak pergi, mak akan sentiasa di sisi Aqi. Mak akan sentiasa berada di hati Aqi.”
            Birai matanya mula digenangi air. Wajah ibunya terus berpupuk di fikiran. Tubuhnya kian longlai. Dia merasakan kudratnya sudah tidak ada untuk berdiri di situ. Berita itu benar-benar memberi tamparan besar buatnya. Tanpa sebarang amaran, tubuh Aqi melayang. Hampir terjunam ke arah lantai.
            Zahar dan Iman sama-sama terkejut.  Zahar mahu meluru menyambut gadis itu, namun Iman lebih pantas lalu memaut tubuh Aqi yang terjelepuk lemah. Tangisan gadis itu pecah. Esakannya mula bergema, membuatkan staf-staf Sri Anjung Design melemparkan pandangan ke arah tiga susuk tubuh di tengah-tengah lobi pejabat itu. Swan dan Edri yang muncul dari suatu arah, turut tergaman menyaksikan situasi di hadapan mereka.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!