Followers

Tuesday, August 24, 2010

Hujan Rindu - Bab 1

Dia terjaga dari lena sebaik mendengar beberapa suara sedang asyik berbual-bual di tepi telinganya. Dia meluruskan badan yang terasa lenguh. Sesekali matanya menjeling beberapa penumpang kabin pesawat kelas ekonomi yang bersamanya di sepanjang perjalanan.

Dari tempat duduknya, dia melihat seorang wanita dalam lingkungan usia 50an, sedang asyik membaca majalah di sisi seorang lelaki sebaya. Tidak jauh dari pasangan itu, dia ternampak pula seorang kanak-kanak perempuan sedang tertidur pulas. Sesekali wanita di sisi gadis itu sibuk membetulkan kepala anak gadisnya yang hampir terlentok jatuh. Dia menyimpul senyuman. Lucu melihat wanita itu bersusah payah begitu.

Lelaki yang asyik bercakap di hadapan tempat duduknya pula dia tidak nampak wajahnya. Namun dia tahu lelaki itu pastinya seorang doktor. Jika tidak masakan lelaki itu asyik bercakap tentang soal seminar perubatan yang baru selesai dihadirinya di Iowa dengan teman di sebelahnya.

Dia pula sendirian, tidak berminat mahu menegur sesiapa. Kadangkala beberapa pramugari asyik berulang alik di hadapannya bertanya, apakah dia perlukan minuman atau bahan bacaan. Namun dia hanya menggelengkan kepalanya.

Matanya asyik merenung kosong ke arah luar jendela kapal terbang. Kabus-kabus nipis yang menyelimuti awan, membuatkan pandangannya terbatas. Puas menjejak awan itu, dia memejamkan matanya sambil bersandar di dada kusyen Ingatannya singgah pada Auntie Marionnya.

“Anum kena lupakan semua ini.” Kata-kata Auntie Marion kerap meletus di benaknya sejak akhir-akhir ini. Dia melepaskan keluhan berat. Bukan senang untuknya memadamkan gelodak resah yang tak kunjung padam..

“I really care about you Anum. I do. Tapi tolong fikirkan semula tentang semua ini. All of this is ridiculous! Insane!” kata-kata Jeremy pula menggantikan suara Marion, cukup jelas di telinganya.

Insane? Gila? Dia membuka matanya perlahan-lahan. Kata-kata Jeremy takkan mampu merubah keputusan yang dibuatnya. Biarlah aku menjadi gila untuk kali ini! Teringat sesuatu, dia menyeluk saku seluarnya. Sekeping gambar yang hampir lunyai dikeluarkan, lalu ditatap. Matanya leka merenung wajah riang seorang kanak-kanak perempuan di pangkuan seorang wanita yang manis airmukanya. Di belakang wanita itu pula, berdiri seorang lelaki bermisai tebal dengan wajah garang. Wajah-wajah di dalam potret itu saling kontras, namun kata mama…itulah keluarganya!

“Itu datuk dan nenek Anum, ayah dan ibu mama.” Bisik wanita bercermin mata nipis itu seraya tersenyum. Mata itu asyik menatap potret itu tidak mahu lepas.

“Kenapa mama tunjukkan gambar ni pada Anum?”

“Sebab mama nak Anum kenal dengan keluarga mama. Mama juga mahu mereka mengenali Anum.” Bisik ibunya.

“Tapi kenapa baru sekarang?”

Pertanyaannya tidak disambut oleh wanita itu. Sebaliknya wanita itu termenung panjang, bagaikan sedang memikirkan sesuatu. Dia memandang wajah mamanya berkali-kali. Ada air jernih mengalir dari cerun pipi wanita itu. Hatinya turut tersentuh.

“Don’t ever asking something that your mum doesn’t ready to tell you, honey.” Bisik Baba suatu hari, sambil mengusap ubun-ubun di kepalanya.

“But why Baba? I just want to know. I need to know.”

“Honey dear, jangan tanya jika mama tidak suka .” Pujuk Baba dengan Bahasa Melayu yang pelat. Bibir lelaki itu tak putus-putus melemparkan senyuman ke arahnya. Mahu tak mahu dia turut sama tersenyum. Baba sentiasa pandai menceriakan hatinya. Apabila dia merajuk hati dengan sikap mama yang agak tegas, Baba akan menjadi pendamai antara mereka berdua. Meskipun kadangkala lelaki asing itu masih canggung tentang budaya ketimuran yang menjadi santun dalam hidup mama, namun Baba cepat belajar.

Sejak Baba memeluk Islam hampir 25 tahun yang lalu, Baba tidak pernah meninggalkan tikar sembahyang. Bahkan lelaki itu tidak pernah lupa mengaji dan menunaikan zakat. Malah sewaktu bulan puasa, Babalah orang yang paling rajin bangun sahur. Kadangkala dia kagum dengan lelaki Inggeris bernama Sufian Patrick Abdullah itu. Nama Sufian itu sengaja dipilih oleh mama agar dekat dengan nama Syarifah Sufiyah milik mama sendiri.

“Miss, tight your seat belt, please. This plane will be landing soon.” Suara pramugari manis bermekap agak tebal itu, mematikan lamunannya. Dia cepat-cepat menarik ‘seat belt’ lalu mengenakan ke tubuhnya yang kecil. Matanya sempat menjenguk ke luar tingkap. Entah kenapa dadanya mula berdebar-debar. Inilah kali pertama, dia menjejakkan kakinya ke tanah kelahiran ibunya. Perasaan gementarnya tiba-tiba muncul.

* * * *

Matanya asyik memandang kelibat orang ramai yang memenuhi ‘Arrival Hall’. Beberapa penumpang yang menaiki penerbangan yang sama dengannya, kelihatan gembira dijemput sanak saudara dan handai taulan yang sedia menanti. Hanya dia sendirian yang tidak tahu apa yang harus dibuat. Apatah lagi dia tidak kenal sesiapa pun di situ.

“Auntie akan suruh teman auntie tunggu Anum di sana. Dia akan tolong Anum.” Kata-kata Marion kembali bersarang di mindanya. Dia memerhatikan setiap wajah yang berada di situ, namun tidak ada seorang pun yang dikenalinya. Marion hanya menyebut tentang temannya yang digelar ‘Auntie Linda’. Selebihnya, dia tidak kenal wanita yang dimaksudkan itu.

Puas tercegat di situ, dia beranjak pula ke suatu sudut lain. Matanya masih mengerling ke arah beberapa wanita yang sedang memegang sepanduk, namun tiada nama Anum Dahlia terpampang di salah satu sepanduk itu. Dia mengeluh. Hampir sejam dia menanti, namun orang yang dinanti tak kunjung tiba membuatka dia mula bosan.

Jam di tangannya direnung sejenak. Sambil menghela bagasinya, dia segera melangkah ke suatu arah. Niat hatinya ingin mencari telefon awam dan membuat panggilan ke US. Namun sedang matanya sibuk menjejak lokasi telefon awam, tiba-tiba bahunya dilanggar seseorang. Dia terkejut. Beg sandang yang dibawanya tercampak ke lantai. Bulat matanya melihat isi begnya bertaburan di merata tempat. Hatinya panas tiba-tiba. Sudahlah tubuhnya kepenatan… orang yang dinanti tak kunjung tiba, sekarang tiba-tiba saja dia dirempuh pula. Aduh! Malangnya nasib aku hari ni, keluh Anum Dahlia.

Apabila matanya dialihkan, seorang lelaki sedang tercegat merenung ke arahnya. Dia tergaman. Pandangan lelaki itu melekat tepat ke wajahnya, membuatkan lidahnya kelu seribu bahasa. Hilang sudah rasa marahnya kerana dirempuh tiba-tiba oleh lelaki itu.

Melihat pandangan lelaki itu tidak berganjak dari wajahnya, dia memberanikan diri menatap wajah di hadapannya. Bibirnya diketap sekuat hati. Tumbuh rasa geram kerana reaksi lelaki itu bagaikan ‘doll master’ di hadapan gerai cenderamata di laman universitinya. Senyap dan kaku!

“Don’t you think that you should apologize to me? Or you just want to stand like that like a statue?” Sindirnya sambil menjeling lelaki itu.

Lelaki itu tidak menjawab. Sebaliknya mata itu terus menujah tajam ke arahnya. Dia gelisah jadinya. Kenapa dengan lelaki ni? Tak siuman ke?

Belum sempat dia meneruskan kata-kata, lelaki itu tiba-tiba berpaling ke suatu arah. Dia turut berpaling. Seorang lelaki sederhana tinggi berkaca mata tipis sedang melangkah laju ke arah mereka.

“Ni tiket flight dengan boarding pass kau. Apa-apa hal kau contact wakil Grand Suri kita kat sana.” Ujar lelaki bercermin mata, seraya menyerahkan sesuatu pada lelaki di sampingnya. Lelaki itu menyambut tanpa banyak soal.

“Okey, aku pergi dulu. Kau jangan lupa kirimkan duit tu pada Zaza di UKM. Jangan lambat, nanti dia bising pula.” Lelaki di hadapannya bersuara.

Anum Dahlia terpegun. Ada suara rupanya, ingatkan lelaki bisu tadi, detik hati kecilnya. Namun apabila dia kembali memandang lelaki itu, langkah lelaki itu mula diatur ke suatu arah diiringi lelaki bercermin mata yang baru sampai. Dia tercengang. Amboi, buat-buat tak nampak aku pulak!

Laju kakinya dihela pantas menyaingi langkah kedua-dua lelaki itu. Apabila sampai dekat, dia mendepakan tangannya ke arah kedua-dua lelaki itu. Reaksi Anum Dahlia menyebabkan kedua lelaki itu tergaman dengan tindakannya. Terutama lelaki yang berpakaian kasual serta berjaket warna krim itu.

“Saya tak peduli awak ni siapa, tapi at least awak patut respect orang lain. Kalau dah salah tu mintalah maaf,” Ucapnya tegas. Entah kenapa, ringan mulutnya mahu mengajar lelaki itu yang dirasakannya agak biadap.

Lelaki berjaket kulit itu memandang temannya yang tercengang. Sejurus matanya dialihkan ke wajah gadis di hadapannya. Tanpa sebarang amaran, dia tersengih lebar.

“Minta maaf? Untuk apa?” Soalnya selamba.

Anum Dahlia membeliakkan biji matanya besar-besar. Entah kenapa dadanya terasa berbahang hangat! Samaada lelaki di hadapannya itu pura-pura tidak faham, atau sengaja cuba mengenakannya.

“Look…awak dah rosakkan barang-barang saya. At least awak minta maaf atau tolong saya kutip barang-barang saya tu semula. Ini tak, awak main pergi macam tu aje. Do you ever heard about civilization?” Herdik Anum Dahlia sambil mengangkat dua anak jarinya di hadapan lelaki itu.

Lelaki itu tergaman mendengar kata-kata Anum Dahlia. Matanya mencerlung tajam ke arah Anum Dahlia bagaikan tidak puas hati. Sindiran gadis itu benar-benar keterlaluan kali ini.

“Oh civilization…yeah I remember that word now? If I’m not mistaken, the word is begin with S and end up with D isn’t. Stupid!” Jerkah lelaki itu sambil menjegilkan anak matanya di hadapan Anum Dahlia besar-besar. Anum Dahlia tersentak. Dadanya terasa berbahang. Dia benar-benar naik angin kali ini.

“So what now? Kau nak buat apa? Nak jentik telinga aku?” Balas lelaki itu selamba.

Berdesing telinga Anum Dahlia mendengar kata-kata lelaki di hadapannya. Dia merenung lelaki itu bagaikan ingin ditelannya. Harap muka saja handsome, perangai ntah apa-apa, kutuk Anum Dahlia di dalam hati.

Lelaki bercermin mata itu hanya tersenyum sambil menjongketkan bahunya. Dia malas mahu ikut campur, sementelah lagi dia tidak tahu hujung pangkal pergaduhan itu. Namun pandangannya singgah tepat ke wajah gadis yang bertingkah kata dengan temannya.

“Yuzer, dah sampai masa ni,” sampuk lelaki bercermin mata itu.

Lelaki itu memandang temannya sebentar, sebelum mengalihkan pandangan ke arah Anum Dahlia. Perlahan-lahan langkahnya dihela mendekati Anum Dahlia, menyebabkan gadis itu berundur setapak dua. Entah mengapa, dia gugup apabila lelaki itu tiba-tiba mara di hadapannya.

Apabila mata lelaki itu menjamah wajahnya, Anum Dahlia bagaikan tergaman memandang sepasang mata bersinar tajam itu. Renungan itu singgah lama di wajahnya. Bibir lelaki itu bertaut rapat warna merah jambu, memukau perasaan Anum Dahlia buat seketika.

“Bukankah seorang gadis sepatutnya lebih bersopan santun, berlemah lembut? Bertutur pun biarlah sedap telinga orang yang mendengar, barulah ramai lelaki sudi terjerat.” Bisik lelaki itu di tepi telinganya. Anum Dahlia tercengang. Lelaki itu tertawa kecil melihat wajahnya yang merah padam. Tatkala dia meluruskan pandangan, lelaki itu sudah beredar pergi meninggalkannya terkulat-kulat sendirian.

Anum Dahlia mendengus. Gila dia ni! Kalau aku jumpa dengan seratus lelaki macam ni, boleh naik gila aku dibuatnya! Dia memandang barang-barangnya yang masih bersepah di atas lantai. Dengan mulut terkumat-kamit mengutuk lelaki itu, dia tunduk mengutip barang-barangnya. Tanpa disedari, perlakuan Anum Dahlia diintai sepasang mata yang asyik memerhati sedari tadi.

Terkejut Anum Dahlia apabila menyedari kelibat seorang lelaki tunduk sama membantu mengutip barang-barangnya. Dia menoleh. Lelaki bercermin mata itu tersenyum memandangnya.

“Maafkan kawan saya tadi. Dia bukan sengaja, lagipun dia ada urusan penting di Singapura. Dia tak boleh terlepas flight ni.” Ucap lelaki bercermin mata itu.

Anum Dahlia terdiam. Dia merenung lelaki di hadapannya. Wajah itu tak putus-putus tersenyum, bukan seperti lelaki yang baru ditemuinya sebentar tadi. Sombong.

“Tak apalah, lagipun saya malas nak cari fasal dengan orang macam tu,” jawab Anum Dahlia, acuh tak acuh.

“Maaf, dia memang macam tu tapi sebenarnya hatinya baik.”

“Macam tu awak kata baik?” Anum Dahlia tertawa sinis. Lucu bila lelaki bercermin mata itu tak putus-putus menyebelahi temannya.

“Awak jangan salah faham. Kawan saya tu ada urgent appointment di Singapura. Sebab tu dia tergesa-gesa, lagipun syarikat kami ada masalah sikit. Harap awak boleh maafkan dia.” Ujar lelaki itu dengan nada tulus.

Anum Dahlia terdiam. Dia tidak membalas kata-kata lelaki itu, sebaiknya masih mengemaskan isi beg sandangnya. Apabila dia berdiri, matanya sempat mengintai kelibat auntie Linda. Tak sampai lagi ke?

“Saya Emir.” Lelaki bercermin mata itu tiba-tiba menghulurkan tangannya. Anum Dahlia kaget. Dia ragu-ragu mahu menyambut huluran tangan lelaki itu. Namun melihat keikhlasan pada raut wajah Emir, dia tidak sampai hati membiarkan lelaki itu ternanti-nanti.

“Anum. Anum Dahlia” Jawabnya lembut.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!