Followers

Monday, July 14, 2014

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 17


SEBAIK pintu keretanya dikunci, Diaz segera membuka langkah malas ke arah apartmen 12 tingkat di kawasan Bangsar. Dia telah berjanji untuk keluar makan bersama Haril, setelah sehari suntuk mengurung diri di dalam ruang pejabatnya. Beg berisi fail-fail penting syarikat dibimbit, sambil sebelah tangannya memegang kot hitam yang telah ditanggalkan.

            Sebelum tangannya sempat menekan punat lift, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Diaz segera berpaling. Dua lelaki berkumis dan bermisai tebal sedang merenung tajam ke arahnya.

            “Encik Diaz?” Salah seorang lelaki itu bersuara.

            “Ya saya. Awak siapa?” Soal Diaz pula serius. Kakinya diundur dua tiga langkah ke belakang. Sebelah tangannya memegang hujung anak kunci yang tajam, bersedia untuk bertindak jika lelaki-lelaki itu menyerangnya. Ilmu pertahanan diri yang dipelajarinya semasa di luar negara, memahirkan dirinya menggunakan pelbagai senjata kecil untuk melindungi diri jika perlu.

            “Kami harap Encik Diaz tolong ikut kami secara aman. Kami tak berniat jahat.” Pinta lelaki itu.

            “Ikut? Ikut ke mana? Aku takkan ikut kau selagi aku tak tahu tujuan sebenar kau.” Diaz tetap berdegil. Rasa curiga semakin kuat bercambah dalam hatinya. Dia bukan bodoh mahu mengikut orang-orang yang tak dikenali membabi buta.

            Kedua-dua lelaki itu berpaling sesama sendiri. Apabila salah seorangnya cuba menghampirinya, Diaz mula bersedia.

            Kami dapat arahan dari ayah Encik Diaz, meminta supaya Encik Diaz pulang segera ke rumah.” Jelas lelaki berkumis nipis itu pula. Mendengar kata-kata lelaki itu, barulah Diaz mula bertenang. Rupa-rupanya, kedua-dua lelaki itu dihantar ayahnya.

            “Jadi ayah aku yang hantar kau semua? Baik, tolong sampaikan pesan pada dia. Katakan padanya aku tengah sibuk. Aku akan balik ke rumah kalau aku senang nanti,” ujar Diaz seraya berpaling mahu beredar dari situ. Namun pautan kemas lelaki itu di bahunya, membuatkan dia mengetapkan bibir.Terasa berang kerana dia dihalang dari beredar.

            “Kau tak faham bahasa ke, aku tengah sibuk sekarang ni. Suruh ayah aku tunggu kalau dia nak jumpa aku.” Nada suara Diaz keras memarahi lelaki-lelaki itu.

            “Malangnya ayah Encik Diaz tak beri pilihan itu untuk Encik Diaz pilih. Samaada Encik Diaz ikut kami balik secara aman, atau kami bawa secara paksa. Tolong jangan susahkan kami kalau Encik Diaz tak nak apa-apa berlaku pada kawan Encik Diaz.” Balas lelaki itu berupa amaran.

            Diaz terdiam. Dia merenung wajah kedua-duanya yang kelihatan serius. Memikirkan masalah yang mungkin melanda Haril jika dia tetap berdegil, Diaz akhirnya akur. Lagipun dia tidak ingin menyusahkan Haril lagi. Mahu tak mahu, dia segera mengekori lelaki-lelaki itu sehingga ke kereta.

*  *  *  *

HAMPIR sepuluh tahun lamanya dia tidak menjejakkan kakinya ke rumah itu, namun rumah itu tidak jauh berbeza pada kali terakhir dia meninggalkan rumah itu dahulu. Diaz melangkah perlahan-lahan diiringi dua lelaki yang menjadi orang suruhan ayahnya. Dia tahu jika bukan sekarang, lambat-laun dia terpaksa bersemuka dengan lelaki itu juga. Malah dia juga sudah sedia maklum dengan kecekapan ayahnya mengesan sesiapa sahaja yang dikehendakinya.

            Sebaik memasuki ruang tamu rumah itu, matanya segera tertancap pada potret besar keluarganya yang tergantung pada dinding ruang tamu. Sudah agak lama potret itu tidak ditatap. Hilang rindunya dapat merenung potret wajah mamanya yang mulus. Entah bagaimana agaknya wajah mamanya sekarang? Kali terakhir mereka bertemu ialah lebih kurang setahun yang lalu, sewaktu wanita itu mengunjunginya.

            “Diaz?” Panggil suatu suara.

Dia segera berpaling. Dari bawah, dia melihat seorang wanita sedang tercegat merenungnya dari atas anak tangga. Wajah wanita itu seakan-akan terkejut melihat kehadirannya di situ. Namun wajah terkejut itu cepat sahaja diganti dengan riak wajah riang.

            “Mama…,” panggil Diaz lalu tersenyum.

Zuraini pantas menuruni anak tangga itu lalu segera meluru ke arah anak muda yang sudah sekian lama dirinduinya. Esak tangisnya terdengar dari bahu tegap Diaz. Mendengar tangisan mamanya, fikiran Diaz tiba-tiba buntu. Timbul rasa bersalahnya terhadap wanita itu. Selama ini dia terlalu ikutkan perasaannya tanpa memikirkan soal ibunya.

            Kenapa tak beritahu mama, Diaz nak pulang? Diaz tahu tak yang mama terlalu rindukan Diaz?” Keluh Zuraini sebak. Rangkulannya dilonggarkan. Matanya tak lekang-lekang menatap wajah dan tubuh Diaz yang semakin kurus.   

“Mama sihat?” Tanya Diaz sebak. Wajah ibunya kelihatan kurus dan cengkung benar, bagaikan menanggung beban yang amat berat. Kasihan mama!

            “Mama macam nilah, sihat tapi rindu,” sebut Zuraini perlahan.

Diaz terdiam mendengar kata-kata ibunya.

            “Ayah ada beritahu mama Diaz dah pulang, tapi pada mulanya mama tak percaya. Tak sangka hari ini, hasrat mama dikabulkan ALLAH. Mama benar-benar bersyukur sebab Diaz dah pulang ke sisi mama.” Bisik Zuraini.

Diaz tersenyum tenang. Bahu ibunya dipeluk melepaskan kerinduan yang selama ini hanya mampu dipendam di lubuk hati.

            Sewaktu kedua-duanya sibuk melayan perasaan, pintu dari arah ruang kerja tiba-tiba terbuka luas. Derap langkah yang keluar dari arah bilik itu, membuatkan Diaz berpaling. Wajah Hisyam muncul, merenung serius ke arahnya, membuatkan dia dihimpit resah. Namun dia cuba bertenang sebaik mungkin. Wajah ayahnya takkan dibenarkan memprovok dirinya lagi.

Zuraini yang memahami perasaan anak itu, segera memegang lengan Diaz lebih erat. Diaz melirik ke arah ibunya. Wanita itu turut memandangnya sambil menganggukkan kepala.

            “Ayah ingatkan kamu sudah lupa jalan ke rumah kita,” tegur Hisyam sambil memandang Diaz yang hanya membatu di sisi isterinya.

            “Ayah sihat?”

            Hisyam tergelak  sinis. “Sihat? Dua tahun tak berjumpa, itu yang kamu tanyakan? Kenapa tak terus balik ke rumah? Takkan kamu masih nak mengelakkan diri dari kami macam dulu?”

            “Ayah, saya sebenarnya…”

            “Kamu ingat ayah takkan tahu apa yang kamu buat? Kamu ingat kamu boleh sembunyi dari ayah buat selama-lamanya?” Pintas Hisyam.

            Saya tahu ayah pasti dapat cari saya walau ke ceruk mana sekali pun saya pergi. Bukankah itu kepakaran ayah? Mengintip anak sendiri?” Balas Diaz mulai hilang sabar.

            “Diaz…..,” tegur Zuraini, bimbang pertelingkahan itu berlarutan semakin panjang. Dia faham benar sikap suami dan anaknya yang panas baran itu.

            “Sikap apa yang kamu tunjukkan ni? Ayah ingat bila kamu dah lama di negara orang, kamu akan berubah matang. Tapi tengoklah kamu, sedikit pun tak berubah. Tak habis-habis menyusahkan kami,” rungut Hisyam berang.

            “Bagaimana dengan ayah? Ayah pun sama macam dulu, langsung tak berbeza.” Diaz melawan berani.

Hisyam mencerlung tajam ke wajah anaknya. Kedua-duanya saling berbalas pandang. Masing-masing degil, langsung tidak mahu mengalah.

            Hisyam melepaskan keluhan berat. Entah kenapa, hatinya sering rungsing setiap kali berhadapan dengan Diaz. Ketenangan hatinya selalu dicalari sikap Diaz yang degil dan suka membantah cakapnya.

            “Apa kamu buat selepas kamu pulang? Kamu bekerja?”

            “Bukan urusan ayah.”

            “Apa saja hal kamu adalah urusan ayah Diaz.” Getus Hisyam meninggikan suara.

            “Mungkin sudah tiba masanya ayah berhenti mencampuri hidup saya. Saya bukan budak kecil yang boleh ayah perintah sesuka hati.” Tegas Diaz seraya melangkah dengan rasa marah. Namun sebelum jauh dia mengatur langkah, Zuraini lekas-lekas menghalang.

            Diaz, please….temankan mama malam ni sayang?” Pinta wanita itu penuh berharap.

            Diaz memandang wajah ibunya agak lama. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Apabila dia mengalihkan pandangan, renungan tajam ayahnya terpamer di ruang mata. Jika diikutkan hatinya, dia ingin angkat kakinya begitu sahaja. Tapi rayuan si ibu membuatkan hatinya belas. Lantaran dia mengerti kerinduan yang dirasai oleh mamanya serupa dengan apa yang dirasainya saat ini.

 

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!